Apa Itu Bengap Mulut?

656

Apakah sinonim yang terlintas dalam fikiran anda apabila menyebut perkataan ‘bengap’? Anda pasti mendefinisikan ‘bengap’ sebagai ‘bodoh’. Betulkan? Sebenarnya, bengap mempunyai maksud yang lain. Jika menurut Kamus Dewan bengap juga bermaksud kesukaran untuk bercakap (kerana malu dan lain-lain).

Bertitik tolak daripada definisi tersebut, ada pula kata ‘bengap mulut’. Jika anda terdengar orang lain mengatakan bengap mulut maka bukanlah bermaksud orang itu mengatakan mulut bodoh atau cakap hal-hal yang bodoh. Bukan.

Dalam satu artikel yang ditulis oleh Dr. Suresh N Vellymalay, Bahagian Antropolgi dan Sosiologi Pendidikan Jarak Jauh, USM, ada mengatakan bahawa jika dilihat dalam konteks sekolah, perkataan ini boleh dikaitkan dengan kehadiran murid yang bersifat pemalu dan pendiam di persekitaran bilik darjah.

Beliau menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan seseorang pelajar itu bengap mulut. Faktor-faktor tersebut meliputi budaya yang diwarisi oleh masyarakat, pola pembesaran anak dalam keluarga, Persekitaran keluarga yang sering berhadapan dengan konflik, faktor genetik, kurang keyakinan diri, rakan sebaya, dan persekitaran sosial yang baharu.

Implikasi bengap mulut terhadap pembelajaran seseorang pelajar ialah pelajar itu bukan seorang yang boleh kita katakan sebagai diam-diam ubi berisi kerana dia akan menjadi seorang yang sangat pasif dan takut untuk mencuba. Pasif sehingga tidak mahu menjawab soalan yang dikemukakan oleh guru secara lisan. Pasif sehingga tidak menyumbangkan apa-apa idea dalam pembelajaran.

Pasif dalam sebarang aktiviti perbincangan dalam kelas. Bukannya dia seperti enau dalam belukar cuma disebabkan pelajar sebegini takut untuk menyuarakan apa-apa pendapat maka dia tidak dapat membantu kumpulannya dalam menyiapkan sesuatu tugasan yang diberikan oleh guru. Pasif sehingga dia akan diabaikan oleh pelajar dan mungkin guru tanpa disedari. Pasif sehingga dia mudah stres kerana berseorangan. Lebih parah lagi apabila pasif sehingga dia menjadi mangsa buli dan boleh dilanda kemurungan.

Implikasi akan berterusan apabila seseorang yang bengap mulut itu bercampur dengan masyarakat di luar sekolah. Dia akan menjadi kera sumbang. Bagi individu yang bengap mulut itu pula, sikapnya yang sentiasa  mengasingkan diri itu dirasakannya tidak menjadi masalah buat diri kerana dia ada gajet seperti telefon pintar yang boleh menjadi teman sejatinya. Orang lain tidak mahu berinteraksi atau berkomunikasi dengannya tidak apa kerana kehidupannya sudah cukup jika ada gajet.

Sikap sebegini jika tidak disedari lebih awal atau tidak dicegah lebih awal, akan memberikan impak negatif kepadanya dalam alam kerjaya nanti. Mindanya yang sudah diaturtetapkan dengan hidup sendiri semasa alam persekolahan akan berubah kepada falsafah “saya tidak kacau orang lain, saya lebih bahagia’ apabila dia berada dalam alam pekerjaan pula. Sebagai satu komuniti dalam sesebuah kerjaya, komunikasi dan interaksi dua hala sangat penting. Kerja berpasukan adalah keutamaan. Di sinilah, golongan bengap mulut tersebut berhadapan dengan kesukaran kerana mereka tidak biasa atau mungkin tidak suka dengan interaksi dan komunikasi dua hala.

Golongan sebegini biasanya tidak boleh menerima teguran, menolak pendapat orang lain dan hanya mempunyai persepsi bahawa dirinya sahaja yang tepat. Kebengapan mulutnya sejak kecil telah mentepukan sifat egosentrik dalam dirinya. Dari satu sudut yang lain pula, disebabkan sejak sekolah semangat golongan ini seperti hidup segan mati tak mahu maka ada juga antara golongan ini yang terlalu pendiam dalam komuniti kerjayanya.

Pendiam mereka di sini bukan berkaitan dengan bercakap apabila perlu dan penting sahaja tetapi sifat pendiam yang ekstrem. Penakut sehingga tidak mahu mempelajari sesuatu teknik yang baharu. Penakut sehingga tidak boleh membuat apa-apa keputusan atau memikirkan apa-apa solusi untuk menyelesaikan seseuaty permasalahan. Penakut sehingga bergantung hanya kepada seseorang atau sesuatu benda dan perkara sahaja.

Begitulah implikasi bengap mulut jika tidak dirawat dengan lebih awal. Dirawat bukanlah bermaksud bengap mulut ini satu penyakit. Akan tetapi satu masalah komunikasi. Justeru, ibu bapa dan guru sebagai orang yang terdekat sejak golongan ini masih kecil haruslah mencari kaedah atau pendekatan untuk membantu golongan sebegini.

Ibu bapa yang sedar bahawa mereka mempunyai anak yang bengap mulut tidak sepatutnya berasa malu. Tidak ada apa yang perlu anda malukan. Sepatutnya anda patut berasa lebih malu jika anda berterusan membiarkan anak anda tidak berkomunikasi dengan orang lain dengan memberikannya gajet. Balik ke kampung berkumpul dengan sanak-saudara setahun sekali tetapi anak-anak membisu seribu bahasa kerana mata hanya tertancap pada gajet di tangan. Pada awal tadi, ada disebutkan antara faktor bengap mulut berlaku adalah kerana pola pembesaran keluarga.

Zaman gajet yang pantas dengan kemunculan model-model baharu ini, terdapat segelintir ibu bapa yang menggalakkan anak-anak mereka bermain dengan gajet kerana tidak mahu anak-anak itu mengganggu mereka yang sudah penat bekerja seharian. Ada juga ibu bapa yang akan memarahi atau mengherdik anak mereka dengan menyuruh anak itu diam dan menyuruh anak itu bermain telefon apabila anak itu hendak berbual atau menceritakan sesuatu. Perkara sebeginilah yang seharusnya dielakkan oleh ibu bapa.

Tindakan sebegini tidak sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa agar mereka tidak membentuk sikap bengap mulut dalam diri anak mereka. Ibu bapa seharusnya meluangkan sedikit waktu untuk mendengar cerita atau luahan anak-anak. Kalau kita ada masa untuk berinteraksi dengan rakan alam maya dalam mana-mana laman sosial walaupun kita keletihan bekerja, pastinya kita juga boleh meluangkan masa untuk anak-anak yang terang-terang berada di depan mata kita.

Sikap ibu bapa yang ‘menghalau’ anaknya kerana letih bekerja pada waktu siang akan menyinggung perasaan anak itu. Isnin hingga Jumaat penat bekerja. Sabtu dan Ahad juga tidak mahu diganggu kerana penat juga dengan kerja-kerja di rumah. Jadi, hari apa lagi yang ibu bapa tidak berasa penat untuk melayani anak-anak?

Selain itu, guru di sekolah sebagai orang tua kedua kepada pelajar perlulah peka dan prihatin terhadap masalah bengap mulut. Guru tidak boleh mengabaikan golongan pelajar yang bengap mulut. Guru perlu mempunyai kreativiti untuk membuatkan golongan tersebut bercakap. Guru perlu sentiasa melibatkan golongan ini dalam mana-mana aktiviti perbincangan dalam kelas.

Golongan sebegini tidak boleh disoal dengan nada suara yang keras, tegas dan tinggi. Guru perlu merendahkan suara dan melembutkan suara agar perasaan mereka tidak tersinggung. Berikan galakan seperti kata pujian sebagai motivasi. Lama-kelamaan, sikap malu atau takut bercakap yang terlalu kuat itu akan hilang sedikit demi sedikit. Secara tidak langsung, keyakinan diri akan terbentuk dalam diri pelajar tersebut. Kadang-kadang, guru minta pelajar itu membacakan sebaris ayat disertai pujian “Bagus bacaan awak. Sebutan pun jelas. Suara pun sedap. Boleh baca berita ni.” boleh mengembalikan keyakinan pelajar itu yang sudah hilang.

Bengap mulut bukanlah satu penyakit. Justeru, golongan bengap mulut terutamanya pelajar perlu diberikan perhatian yang sewajarnya. Artikel ini cuma menyebutkan peranan ibu bapa dan guru kerana kedua-dua golongan ini merupakan golongan yang paling hampir dengan pelajar.

Kehidupan bermasyarakat memerlukan kita membentuk anak-anak yang mempunyai keyakinan diri dan berani bercakap tetapi usah lupa selitkan kesantunan berbahasa dalam setiap galakan berinteraksi itu agar tidak pula terbentuk golongan yang hilang adab ketika berkomunikasi dengan orang lain. Anak-anak ialah cermin ibu bapa dan pelajar ialah cermin guru. Lurus tiang itu, luruslah bayangnya tetapi jika bengkok tiang itu maka bengkoklah juga bayangnya.

RUJUKAN:

  1. Murid Bengap Mulut – Apakah punca murid jadi sedemikian?.
    https://www.pendidik.com.my/2018/02/01/murid-bengap-mulut-apakah-punca-murid-jadi-sedemikian/

 

 

 

Ruangan komen telah ditutup.