Teruk-teruk kerajaan Amerika boleh kata baik sangat sebab sentiasa fikir kebajikan penyokong Arsenal. Kelab sendiri tidak menjaga hati penyokong. Kerajaan seberang lautan pula yang main peranan.

Apa yang kerajaan Amerika buat? Mereka simpan keju siap-siap dalam gua. Berapa banyak keju? Banyak gila. Dianggarkan lebih daripada 600 juta kilogram – terdiri daripada jenis Cheddar, Swiss dan American.

Pertama sekali, memang tiada kena mengenalah pasal Arsenal. Kerajaan Amerika Syarikat mula menyimpan keju sejak pentadbiran Woodrow Wilson lagi.

Advertisements

Untuk pengetahuan semua, Wilson mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat antara tahun 1913 hingga 1921. Kira sudah 100 tahunlah.

Sebulan ambil satu, siapa tahu? (Kredit: Brown Political Review)

Kumpul sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi 1.39 bilion pound (630 juta kilogram).

Kesan Ular Tedung Pada Solusi

Amerika Syarikat mempunyai industri tenusu yang sangat hebat. Tetapi siapa sangka – kehebatan ini mengundang satu kelemahan ketara.

Apa-apa jua benda pasal industri mesti ikut permintaan pengguna. Kalau rakyat gigih membeli, barulah laris.

Produk-produk tenusu seperti daging dan susu di Amerika Syarikat selalu laku. Walau bagaimanapun, pentadbiran Woodrow Wilson berakhir pada dekad ekonomi Amerika Syarikat hancur terburai.

Terburai pula bukan selama beberapa tahun. The Great Depression masuk pula dengan Perang Dunia Kedua. Sepanjang tempoh ini, industri tenusu sentiasa menghasilkan susu.

Pengeluaran Susu (Kredit: Gunnar Richter)

Malangnya, pengguna kurang membeli (barangkali kerana tidak begitu mampu). Akhirnya kerajaan terpaksa berdepan dengan kemelut bekalan terlampau banyak.

Logiknya penjual susu hanya perlu borong dengan harga paling lantai. Tetapi itulah – teori ekonomi tidak semudah disangka: kalau jual terlalu murah, rakyat mesti pakat tunggu hujung-hujung waktu kemudian hari. Lingkuplah industri tenusu.

Jadi ada satu cara saja untuk uruskan lambakan susu. Tukar jadi makanan seperti keju dan hantar kepada budak-budak sekolah. Masalahnya, lambakan keju ini perlu bersaing pula dengan pengeluaran keju semasa. Jadi pengguna tidak sempat menghabiskan kedua-duanya.

Keju semasa dihasilkan pada musim panas, ketika lembu menikmati rumput begitu banyak. Tetapi ketika musim panas pula, sekolah tutup. Jadi bekalan melambak – permintaan kurang. Garu kepala balik.

Peralihan Selera Rakyat

Lambakan keju ini hanya dilambak dibawah penjagaan kerajaan. Tiada akta memperuntuk bahawa kerajaan memilikinya. Jadi kalau kerajaan ingin bersedekah kepada orang awam, kena beli dulu.

Itu yang pentadbiran Jimmy Carter buat… disambung pentadbiran Ronald Reagan (Poonia, 2022). Benda biasa sampai hari ini: beli dan beri untuk mengurangkan lambakan.

Semua langkah sudah dibuat. Tetapi keju masih berlambak. Semua adalah kerana subsidi kerajaan Amerika Syarikat beri pada industri tenusu (Dewey, 2018).

Susu tidak berhenti melimpah daripada balang-balang industri. Kalau banyak sangat, proses saja jadi mentega.

Kerajaan main peranan menggalakkan industri pemakanan boikot marjerin dan guna mentega (kurangkan harga begitu mendadak).

Rencana-rencana ini memang berkesan. Syarikat makanan seperti Domino Pizza misalnya tidak perlu berbelanja terlalu banyak untuk membeli keju dan mentega. Potongan harga bukan main sedap lagi. Tetapi itulah – keju masih berlambak… dan jumlah stok kian meningkat.

Tidak pasti berapa lama trend ini akan berterusan. Tetapi mungkin satu hari, jumlah keju akan capai satu takat tertinggi. Ramai dalam kalangan rakyat sekarang sedang memboikot susu lembu (Ferdman, 2014). Mereka hanya menyokong susu badam yang lebih sihat dan mesra alam (Arnarson, 2020).

Cuba bayangkan – susu badam 10 tahun yang lalu bukan main susah masuk pasaran. Yang berjaya tembus pun, sudah betul-betul diproses. Tetapi hari ini, susu badam segar sudah bersepah… siap ada mesin “milk maker” sendiri di rumah. Sekadar letak badam saja.

RUJUKAN:

Arnarson, A. (2020, Jun 2). 7 benefits of almond milk. Medical News Today.

Dewey, C. (2018, Jun 28). America’s cheese stockpile just hit an all-time high. The Washington Post.

Ferdman, R. (2014, Jun 20). The mysterious case of America’s plummeting milk consumption. TheWashington Post.

Poonia, G. (2022, Februari 14). Why does the U.S. government have 1.4 billion pounds of cheese stored in a cave underneath Springfield, Missouri? Deseret.

Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply