Sebagai seorang Muslim, penulis percaya alam ghaib itu wujud, namun makhluknya pasti tentulah tak mungkin seperti yang digambarkan melalui kisah-kisah mitologi yang penuh mistik seperti ketamadunan lain kerana semua makhluk adalah makhluk Allah.

Walau bagaimanapun, semua gambaran unik kisah-kisah mitos dan legenda ini boleh diterima sebagai karya sastera silam, namun dalam disiplin bidang kajian sejarah dan sains, memahami perbezaan istilah tertentu adalah amat penting. Terutamanya memahami perbezaan antara kisah mitos dan kisah legenda.

Kerana ramai orang yang sering menerima suatu kisah sebagai fakta tanpa menyedari ia hanyalah rekaan. Ada juga pihak yang mengambil kesempatan untuk menafikan sejarah suatu bangsa atau sebaliknya.

Hikayat Merong Mahawangsa.

Jika pembaca masih ingat, kita pernah berhadapan dengan se.rangan terhadap sejarah Laksamana Hang Tuah, di mana kewujudannya dalam sejarah telah dipertikaikan kerana kekurangan bukti fizikal, justeru, ada pihak cuba menyebarkan doktrin jijik tentang Hang Tuah sebagai watak mitos.

Namun konsep ini sangat kompleks dan ada berbagai versi. Kebanyakan orang menganggap mitos dan legenda adalah dua perkara yang sama sedangkan ia berbeza. Ya, mungkin kisah Hang Tuah diromantiskan sedikit, tetapi tidak bermakna Hang Tuah tak pernah wujud dalam sejarah.

Hang Tuah adalah tokoh legenda bersejarah, kerana itulah kisahnya diberi judul Hikayat Hang Tuah, status yang setara dengan legenda lain seperti Hikayat Tiga Kerajaan di China.

Hikayat Tiga Kerajaan.

Legenda dianggap lebih memiliki asas dalam fakta sejarah dan lebih cenderung memperkenalkan tokoh atau peristiwa yang sebenar.

Fakta sejarah berubah menjadi legenda apabila kebenarannya terlalu diwar-warkan dan diperbesar-besarkan sehingga individu atau peristiwa realiti memiliki kualiti romantisme yang “lebih besar daripada kehidupan”.

Gilgamesh.

Sebaliknya, mitos adalah sejenis penceritaan simbolik yang tidak pernah dilakukan berdasarkan fakta. Sejak spanjang zaman, mitos telah berperanan dalam menjelaskan konsep yang menyukarkan (misalnya, asal usul alam semesta) dengan bantuan alat cerita biasa, seperti personafikasi atau penjelmaan dan kiasan.

Istilah-istilah ini biasanya digunakan secara berganti-ganti untuk merujuk kepada sifat fiktif sesuatu perkara. Walau bagaimanapun, dari segi penyelidikan sejarah dan akademik, terdapat banyak perbezaan.

Dalam lagenda, terdapat bukti bahawa suatu kejadian itu pernah berlaku atau sosok tubuh seseorang tokoh yang diceritakan itu benar-benar wujud. Tetapi, bukti itu tidak semestinya sentiasa tepat atau tidak kuat. Manakala mitos tidak ada bukti nyata.

Garis masa lagenda biasanya banyak muncul pada masa silam dalam sejarah yang paling hampir dengan kita hari ini, antaranya ialah Zaman Pertengahan, dan ia biasanya datang dari budaya tertentu. Manakala mitos boleh ditemui pada masa yang lebih jauh di zaman kuno dari budaya kuno tertentu.

Pertaru.ngan epik Hang Tuah dan Hang Jebat.

Lagenda adalah unsur sejarah nyata yang telah diputarbelitkan atau dibesar-besarkan lantas menjadikan ia separa fiksyen. Manakala, tak ada bukti untuk mitos dijelaskan sebagai fakta.

Mitos adalah sepenuhnya fiksyen yang biasa menjelaskan bagaimana “penciptaan dunia” berlaku atau beberapa jenis kejadian semula jadi yang berlaku di Bumi lalu memunculkan watak-watak dewa-dewi, alam ghaib, makhluk ghaib.

Berbeza dengan kisah lagenda yang menonjolkan watak-watak berdasarkan tokoh bersejarah yang pernah wujud. Hikayat-hikayat lagenda selalunya berkaitan mengenai kisah kepahlawanan, pepe.rangan, tetapi boleh juga mengisahkan tentang kejahatan.

Mitos pula dicipta dari naratif tradisional yang menerangkan fenomena alam melalui simbolisme dan kiasan – sering melibatkan dewa-dewa budaya kuno, adakalanya ia menghidangkan kisah tradisional atau petikan kisah keagamaan yang berlaku pada masa lalu yang garis masanya sentiasa bercelaru.

Mitos menggabungkan watak yang direka dengan ciri-ciri entiti ghaib, seperti dewa dewi – dan unsur penceritaan yang fantastik seperti jin Aladdin, dan biasanya berlaku “di luar” garis masa yang konvensional. Konsepnya sama saja seperti kisah-kisah superhero Marvel zaman moden.

Sepanjang sejarah, mitos telah digunakan sebagai bentuk penjelasan alternatif tentang fenomena yang tak dapat dijelaskan mengenai bagaimana dan mengapa dunia berfungsi seperti yang kita ketahui atau mengapa seseorang bersikap tertentu.

Liu Bang (pengasas Dinasti Han) membun.uh ular putih gergasi.

Namun bagi mitos-mitos lama adakalanya boleh memiliki fakta setelah beberapa penemuan penting berkait dengan suatu kisah atau watak mitos mendapat petunjuk kewujudannya sebelum ia diterima sebagai fakta, atau mitos yang kebetulan menyerupai fakta, seperti yang berlaku dalam kes dewa-dewa Yunani dan Rom.

Ertugrul Gazi, bapa kepada Osman Gazi, pengasas Empayar Uthmaniyah antara kes paling unik, kerana kewujudannya mungkin tergantung antara legenda dan mitos berikutan bukti fizikal yang ada hanyalah makamnya yang tak pernah digali dan syiling yang terukir gambaran tentangnya.

Namun sejarah memihak kepadanya kerana tradisi lisan turun temurun. Jika diikutkan, bukti bercatit tentang Hang Tuah jauh lebih jelas berbanding Ertugrul. Sekurang-kurangnya Hang Tuah masih disebut di dalam hikayat.

Sejarah Ertugrul kebanyakannya bergantung kepada tradisi lisan.

Boleh dikatakan, hampir setiap bangsa atau negara moden hari ini masing-masing ada kisah mitos atau legenda pengasasan bangsa sendiri.

Jika Jepun ada kisah Maharaja Jimmu, kita ada kisah Parameswara atau Sang Nila Utama. Mereka diterima sebagai legenda bersejarah kerana masing-masing memiliki aturan garis masa yang jelas.

Maharaja Jimmu.

Bahkan penjelasan untuk penyakit misteri sudah ada yang kini boleh disembuhkan, contohnya ‘rasukan syaitan’ (masalah psikologi). Ini kesan dari perkembangan akal dan sains yang menghasilkan banyak penjelasan mitos sebegini hingga ia secara umumnya mula diterima sebagai mitos yang penting dalam sains geologi, ia diberikan istilah ‘geomitologi’.

Geomitologi bermula dari orang zaman dahulu yang menyampaikan cerita untuk menjelaskan apa yang mereka lihat – berabad-abad kemudian, para saintis cuba memetakan mitos yang membawa penemuam akar mitos dari peristiwa geologi sebenar.

Mungkinkah naga dan dinosaur sebenarnya adalah makhluk yang sama tapi mengelirukan manusia?

Kewujudan naga dianggap kesan dari penemuan tulang dinosaur oleh manusia kuno, letusan gunung berapi dianggap benc.ana dari para dewa yang berte.mpur, ini menunjukkan geomitolog mengkaji mitos kuno untuk mendapat petunjuk nyata saintifik

Benar, kisah legenda juga kisah rekaan, tetapi asal-usulnya sering berdasarkan kepada kejadian nyata. Lada asalnya, legenda secara khusus merujuk kepada kisah hidup figura-figura suci yang ada sejarah gemilangnya sendiri, contohnya, Hang Tuah atau Joan of Arc.

Tetapi hari ini suatu legenda sering merujuk kepada kisah hidup gemilang seseorang atau apa saja yang terkenal.  Kita akan temui ciri-ciri watak individu terutamanya pahlawan dalam hikayat legenda yang tak dapat dibuktikan kewujudannya atau mungkin palsu, tetapi legenda itu masih ada asas sebenarnya.

Legenda cenderung menonjolkan tokoh-tokoh yang wujud dalam sejarah atau peristiwa yang pernah berlaku seperti pepe.rangan, tetapi mempunyai unsur-unsur nyata yang terlalu berlebihan.

Dalam legenda, tokoh sejarah mungkin mempunyai sifat manusia super atau luar biasa, dan peristiwa nyata mungkin merangkumi unsur-unsur palsu, walhal watak super itu yang dalam sejarah sebenarnya tetap manusia biasa yang diperbesar-besarkan kelebihannya.

Kebanyakan kisah-kisah mitos dan legenda  mengandungi elemen moral dan kebenaran yang hampir kelihatan nyata, terutamanya mengenai keberanian, kebaikan, pengecut, dan kejahatan. Inilah salah satu sebab mengapa sangat mudah untuk dikelirukan oleh kedua-dua konsep ini.

Dewa dewi Yunani kuno.

Contoh mitos Yunani adalah Prometheus yang mencuri api dari Zeus, ketua para dewa, dan memberikannya kepada manusia agar dapat memanaskan diri. Untuk menghukumnya, Zeus mengikat Prometheus pada batu di mana jantungnya akan dimakan oleh burung helang setiap hari tetapi akan tumbuh semula setiap malam.

Sudah tentu tak ada sebarang perkara yang boleh membuktikan bahawa peristiwa ini berlaku, dan kita bahkan tidak tahu langsung garis masa yang seharusnya menjelaskan zaman bilakah ia berlaku, jadi ia dianggap sebagai mitos. Tidak seperti kepercayaan agama, yang masih ada penjelasan tentang zaman bilakah sebuah peristiwa itu keagamaan berlaku.

Pada zaman moden masih ada kepercayaan mitos kontemporari yang ringkas, contohnya seperti tanggapan bahawa kucing yang melintas di hadapan seseorang boleh membawa nasib buruk.  Ini adalah mitos, kerana ia tidak berdasarkan bukti kukuh.

Kisah kepahlawanan seperti Robin Hood, King Arthur, Merong Mahawangsa, Hikayat Tiga Kerajaan, adalah berkaitan dengan sejarah dan ada garis masa yang tertentu, maka oleh itu mereka adalah legenda. Oleh kerana mitos cenderung memasukkan unsur-unsur ghaib di masa lalu, tidak ada bukti objektif bagi mereka.

Gambar hiasan.

Legenda mungkin merangkumi fakta, tetapi tidak sepenuhnya fakta. Kebenarannya telah diputarbelitkan dari masa ke semasa, biasanya demi menambahkan jalan cerita yang lebih menarik.  Jadi mungkin sudah tiba masanya pembaca hari ini mula memandang kisah-kisah mitos tidak lebih sekadar dari kisah cereka sastera, dan kisah legenda boleh dipandang sebagai karya sastera yang memiliki nilai sejarah yang penting dalam membentuk perjalanan dunia.

RUJUKAN:

Mark, J. J. (2018, October 31). Mythology. World History Encyclopedia.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.