Apa Beza Agnostisme dan Ateisme?

816

Bukan mudah untuk menyulamkan semangat agama agar kekal konsisten sepanjang zaman. Tidak pernah dalam sejarah agama kekal tidak terusik. Terutamanya pada zaman sekarang apabila arus modernisme telah melengkapkan hampir semua aspek kehidupan, sampai ada yang mampu mempersoalkan keperluan Tuhan.

Suatu masa dahulu, ramai dalam kalangan manusia berdoa dengan tekun supaya diberikan kesembuhan bagi penyakit-penyakit tertentu. Namun kini dengan kehebatan industri perubatan, agama telah disisihkan. Kenyataan sebegini bukanlah untuk menggalakkan ateisme. Sebaliknya, ia merupakan pengakuan bagi realiti sekarang.

Selain daripada perbezaan agama, seperti Islam, Kristian, Buddhisme dan sebagainya, dunia juga mempunyai cabang-cabang bukan-agama seperti agnostisme dan ateisme. Kedua-dua perkara ini dilihat sering dipetik seolah-olah mempunyai maksud sama. Namun hakikatnya, agnostisme dan ateisme mempunyai definisi, ciri-ciri dan sejarah yang jauh berbeza.

Bermula dengan ateisme, iaitu seperti semua tahu bererti “kepercayaan tiada tuhan”, sebarang unsur tuhan atau dewa tidak diterima pakai oleh penganutnya. Senang kata, seorang ateis menafikan kewujudan ketuhanan dan unsur modernisme telah sebatikan Big Bang dan juga teori evolusi dengan menyatakan bahawa alam semulajadi telah terjadi secara sendiri.

Bertatahkan konsep “Here and Now”, kewujudan ateisme telah lama dituliskan – sebelum kelahiran Nabi Isa (as) lagi. Namun definisi ateisme hanya timbul sekitar abad ke-16 semasa penularan pemikiran bebas (freethought), persoalan skeptisme dan pengkritikan terhadap agama. Rasionalisme di sebalik ateisme pula lebih mendalam atas desakan bukti empirikal.

Dalam kalangan Arab, wujud individu-individu seperti  Ahmad ibn Yahya al-Rawandi, Muhammad bin Zakariyya al-Razi, Abu al-Ala’ al-Ma’arri dan Abu Isa al-Warraq yang mendalami ateisme. Ada dalam kalangan mereka telah menentang Islam (dan agama-agama lain) pun atas pegangan bahawa agama merupakan induk orang terdahulu untuk mengawal masyarakat, satu pegangan yang dijulang sampai hari ini.

Agnostisme pula merupakan pegangan bahawa kewujudan Tuhan tidak boleh diketahui. Bahawasanya manusia tidak mempunyai kemampuan untuk mengemukakan bukti rasional untuk mengatakan bahawa Tuhan wujud. Menurut Thomas Henry Huxley sekitar 1869 yang menggunakan perkataan agnostik buat julung kalinya, manusia tidak mempunyai asas saintifik untuk membuktikan pengetahuan dan kepercayaan. Namun Huxley tidak menciptakan agnostisme kerana pegangan ini telahpun wujud seperti ahli falsafah India bernama Sanjaya Belatthaputta sekitar abad kelima sebelum Masihi.

Secara jelas disini, lawan bagi “agnostik” dan “ateis” ialah “gnostik” dan “teis”. Gnostik pula bermaksud individu yang tahu bahawa Tuhan wujud. Manakala “teis” merujuk kepada golongan yang percaya Tuhan wujud. Disini wujud satu bayangan empat arah –

  1. Gnostik teist – percaya Tuhan wujud dan akui mengetahui-Nya.
  2. Agnostik teis – percaya Tuhan wujud tetapi tidak akui mengetahui-Nya.
  3. Gnostik ateis – Tidak percaya sesuatu tuhan, tetapi akui ada Sang Penguasa Alam.
  4. Agnostik ateis – Tidak percaya sesuatu Tuhan dan tidak akui adanya Sang Penguasa Alam.

Disini jelas bahawa Islam, Kristian dan Yahudi merupakan agama kategori pertama, iaitu gnostik teis. Namun dalam kalangan penganut-penganutnya terdapat tebaran kategori dua, tiga dan empat. Ada dalam kalangan Kristian tidak menyakini doktrin Triniti tetapi percaya ada Satu Tuhan yang menguasai semua. Golongan sebegini boleh tergolong dalam kalangan kategori kedua atau ketiga.

Dalam kalangan ateisme pun terbahagi kepada dua jenis: (1) lemah dan (2) tepu. Golongan ateis lemah tidak begitu yakin dengan pegangan mereka. Manakala yang tepu itu definisinya sendiri telah mencirikan jenis mereka.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.