Apa Akan Berlaku Kalau Muzik Hilang Dari Dunia?

909

Kau biarkan aku sendiri
Menderita siksa
Racun hidup ku
Saliha

Kau biarkan aku sendiri
Melewati sepi dalam hidup ku saliha
Kau biarkan aku sendiri
Meratapi nasib dalam gelita
Saliha

Oohh saliha

Aduh Saliha merupakan antara lagu kegemaran penulis jika penulis berhadapan dengan situasi tiada idea dalam menulis. Jika untuk situasi lain, ada juga seleksi muzik lain sebagai halwa telinga penulis dari Dean Martin hinggalah Akim and the Majistret. Sebut pasal muzik, ia sebenarnya komponen manusiawi yang tidak boleh dipandang enteng. Ini kerana ia mempunyai pelbagai kelebihan yang banyak membantu manusia dari pelbagai peringkat umur.

Tidak ramai tahu tatkala ibu bapa cuba berkomunikasi dengan bayi mereka menerusi bahasa bayi dengan tujuan menenangkan si anak, itu sebenarnya merupakan bentuk muzik yang paling awal didengar oleh manusia. Ini kerana ia dihasilkan melalui manipulasi bunyi dan intonasi untuk membantu komunikasi antara ibu bapa dengan anak.

Cara ini bukan sekadar membantu kanak-kanak membangunkan kemahiran percakapan mereka malah turut menjelaskan bagaimana bunyi berbentuk melodi menjadi kegunaan manusia dan haiwan dalam menarik pasangan mereka, membina komuniti dan menjaga kesihatan mental mereka. Justeru tidak hairanlah mengapa filsuf dan komposer Jerman terkenal, Friedrich Nietzsche berpandangan, “Tanpa muzik, kehidupan merupakan satu kesilapan.”

Ada masanya kita perlukan masa untuk bersunyi-sunyian untuk tujuan tertentu seperti beribadat dan bermeditasi. Tetapi untuk sepanjang masa? Jika didengar oleh pemain industri muzik, pasti ramai akan naik minyak. Ini kerana nilai industri penyiaran muzik dunia sahaja bernilai $10 bilion setiap tahun.

Dan berdasarkan pengamatan pemain industri, lebih 152 juta tiket dijual kepada peminat artis-artis pujaan ramai seperti BTS dan Lady Gaga untuk konsert-konsert persembahan langsung setiap tahun. Dan purata bagi setiap warga Amerika mendengar muzik ialah 32 jam seminggu, satu perkara yang menunjukkan bahawa kita tidak boleh berenggang dengan muzik.

Jika berlaku kejatuhan dari segi industri muzik, manusia akan beralih ke medium lain seperti syarahan dan komedi. Dan usah terkejut jika langganan dan siaran podcast akan meningkat berkali ganda akibat kejatuhan industri tersebut. Dan tanpa muzik, kita dilihat akan lebih mengambil tahu isu semasa memandangkan yang didengari di tetuang radio ialah berita hal ehwal semasa dan rancangan diskusi radio.

Tetapi bersedialah jika ia jatuh, sudah pasti ramai pemain industri seni yang terkesan akan cuba mempertahankannya terutama dari bahagian filem dan televisyen. Ini kerana tanpa muzik, apa saja babak yang dianggap ikonik dan diingati akan kelihatan bosan seperti babak larian Rocky Balboa (Sylvester Stallone), kemunculan Darth Vader dalam filem Star Wars atau babak-babak aksi filem Indiana Jones (Harrison Ford).

Muzik mempunyai pelbagai kelebihan yang memberi manfaat kepada manusiawi seperti:

1. Lagu yang menenangkan jiwa dan mengingatkan pendengar pada tempat yang selamat mampu mengurangkan kerisauan yang dialami pesakit yang duduk di unit rawatan rapi (ICU) berdasarkan kajian Ohio State University.

2. Mengurangkan isu terlebih makan dan mendorong manusia menikmati makanan yang dihidangkan.

3. Membantu minda fokus pada tugas yang diberi bila mendengar muzik-muzik yang boleh menaikkan semangat.

4. Satu kajian Universiti Maryland mendedahkan mendengar lagu yang menggembirakan bukan saja meningkatkan aliran darah tetapi juga menambahbaik kesihatan jantung.

5. Membantu melepaskan endorfin yang bukan saja membantu mengurangkan tekanan stres tetapi juga menambah rasa gembira dalam diri manusia.

6. Mengurangkan kesakitan fizikal dan menstabilkan sistem imuniti badan. Satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Florida mendedahkan pesakit strok yang mendengar muzik dua jam sehari pulih lebih pantas berbanding pesakit yang tidak menjalani sesi berkenaan.

7. Pesakit yang mengalami isu kehilangan memori yang menjalani sesi mendengar muzik didapati boleh mengingat melodi atau rangkap lagu tertentu lebih baik berbanding mengingat memori penting seperti tarikh lahir.

8. Walaupun ada kajian yang menyatakan manusia menjadi lebih agresif dan lebih cuai bila memandu sambil mendengar muzik, satu kajian lain dalam jurnal Ergonomics pada tahun 2013 mendedahkan pemandu menjadi kurang agresif dan kurang membuat silap bila mendengar muzik yang lembut dan menenangkan jiwa.

9. Satu kajian yang dibuat Universiti Cornell mendapati pekerja yang mendengar muzik bukan saja dapat menyelesaikan kerja lebih cepat tetapi juga dilihat lebih mudah bekerjasama dan menyumbang dalam keputusan kolektif yang menguntungkan kumpulan kerja mereka.

10. Jika anda menonton Doctor Strange, pasti anda sudah masak dengan kerenah Dr Stephen Strange (Benedict Cumberbatch) yang mendengar muzik semasa melakukan pembedahan. Bagi pakar bedah, ia sememangnya menjadikan mereka lebih fokus dan kurang membuat kesilapan. Sementara bagi pesakit pula, jika mereka mendengar muzik sebelum, semasa dan selepas pembedahan, ia mengurangkan rasa bimbang, mengurangkan rasa sakit dan mengurangkan keperluan sedatif.

RUJUKAN:

1. Gelman, Lauren dan Crouch, Michelle. 21 Hidden Health Benefits Music Lovers Wish You Knew. Reader’s Digest. https://www.rd.com/health/conditions/health-benefits-of-music/

2. What If. (2019). S4:E7 What If There Was No Music?. https://www.facebook.com/watch/?v=412159426064066

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.