Apa Akan Berlaku Jika Kesemua Ais Di Bumi Mencair Dalam Satu Malam?

1,098

90% ais segar di Bumi terletak di Greenland dan Antartika. Setiap tahun, sebahagian kecil ais tersebut akan mencair ke laut. Biasanya, kesemua ais tersebut mengambil masa ratusan hingga ribuan tahun untuk mencair. Bagaimana sekiranya tiba-tiba saja, kesemua ais tersebut mencair dalam satu malam?

Ketika kita sedang tidur, paras air laut akan meningkat sehingga 66 meter. Bandar-bandar di tepi pantai seperti New York, Shanghai, dan London akan tenggelam dalam banjir besar. Seterusnya memaksa 40% populasi dunia meninggalkan tempat tinggal mereka.

Walaupun malapateka ini jelas mengakibatkan kerosakan pada kawasan darat, hal yang sama juga turut berlaku di laut. Paras air masin yang meningkat akan menceroboh simpanan air segar (freshwater) bawah tanah. Air bawah tanah ini merupakan sumber air minuman kita, sumber sistem pengairan dan sumber sistem jana kuasa penyejukan. Sumber ini akan musnah.

Selain itu, ais di Greenland dan Antartika terdiri daripada air segar. Maka, apabila ia mencair, sekitar 69% sumber air segar dunia akan menuju ke laut. Hal ini akan menimbulkan kekacauan pada corak arus air laut dan cuaca. Contohnya seperti Gulf Stream – kekuatan arus air lautnya telah memberikan kehangatan kepada utara Eropah. Air laut ini dapat berfungsi sebegitu kerana ketumpatan air laut masin dari Artik. Kebanjiran dari air segar akan melambatkan arus tersebut, malah sampai ke tahap tiada lagi arus. Tanpa udara yang hangat, suhu di utara Eropah akan jatuh. Hal itu akan memunculkan zaman ais kecil.

Bukan itu sahaja, bayangkan sekiranya 1% ais yang bukan dari Greenland ataupun Antartika mencair. Sebahagian daripada 1% itu pula berada di kawasan darat Bumi. Contohnya ais glasier yang terdapat di banjaran Himalaya. Hal ini akan menimbulkan antara ancaman terbesar kerana apa yang terperangkap di dalam glasier tersebut iaitu bahan kimia toksik seperti dichlorodiphenyltrichloroethane (DDT). Saintis menemui bahawa glasier seperti di banjaran Himalaya mampu menyimpan bahan kimia ini untuk berdekad lamanya. Apabila glasier ini mencair, bahan kimia itu akan dilepaskan ke sungai, tasik dan simpanan air bawah tanah. Seterusnya memberikan keracunan pada kawasan-kawasan tersebut.

Selebihnya daripada 1% tersebut terdapat di tundra di Artik. Kadangkala ais ini dikenali sebagai ‘permafrost’ – tanah lapisan atas yang sentiasa beku di Artik. Salah satu ancaman yang kita hadapi apabila cairnya permafrost ialah keracunan merkuri. Dianggarkan terdapat 15 juta gelen merkuri yang tersimpan di permafrost Artik. Jumlah tersebut hampir bersamaan dengan jumlah merkuri yang terdapat di tempat lain di atas muka Bumi ini. Selain itu, jirim organik di permafrost merupakan makanan lazat bagi mikroorganism. Gas yang dihasilkan oleh mikroorganism setelah makan jirim organik tersebut akan melepaskan, seterusnya meningkatkan kesan gas rumah-hijau iaitu karbon dioksida dan metana.

Saintis menganggarkan hal ini akan meningkatkan gas rumah hijau kepada dua kali ganda di atmosfera dan seterusnya akan meningkatkan suhu global sebanyak 3.5 darjah Celsius. Bunyinya macam tidak banyak tetapi akan menghasilkan kemarau besar-besaran. Lebihan wap air di atmosfera akan menghasilkan ribut dan banjir yang lebih dahsyat. Kesemua kota-kota di tepi pantai akan ditinggalkan. Berkemungkinan besar, ramai akan berhijrah ke Kanada, Alasaka dan kawasan Artik.

Walau bagaimanapun, hal ini mungkin tidak akan pernah berlaku. Tetapi siapa tahu.

RUJUKAN:

  1. https://www.sciencealert.com/watch-what-would-happen-if-all-the-ice-on-earth-melted-overnight
  2. https://www.businessinsider.com/what-if-all-ice-earth-melted-overnight-2019-10?IR=T

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.