KELUARGA Brooke yang memerintah Sarawak lebih kurang 100 tahun sememangnya terkenal dengan barisan kapal-kapal perang mahupun mewahnya yang mendominasi dunia laut di Sarawak suatu waktu dahulu.  Selain daripada HMS Royalist, Iris dan banyak lagi ada satu kapal yang agak berbeza sedikit sejarahnya.  Jika ceritera HMS Royalist dikatakan “hilang” ketika ianya rosak dan dihantar ke Singapura untuk dibaikpulih untuk satu lagi kapal Brooke yang dikenali dengan nama H.V Maimuna pula mempunyai pengakhiran yang cukup memilukan.

Di kalangan masyarakat Melayu Sarawak misalnya kehebatan kapal Brooke yang bernama H.V Maimunah cukup popular dan dekat dihati masyarakat Sarawak sehingga ada satu seloka pantun yang menjadi penghias dunia hiburan Melayu tradisional yang dinamakan budaya “bermukun” dan “nopeng” menggunakannya sebagai satu subjek utama.  Bait-bait pantun lama ini berbunyi seperti berikut:

Siapa bilang Maimuna laju

Laju lagik kapal Meluan

Siapa bilang saya mengkudu

Lebih mengkudu kekanda tuan

Berdasarkan kepada bait-bait pantun ini walau hanya sebagai pembayang sahaja ianya berbicara mengenai kapal Maimuna yang laju namun tidak boleh menandingi satu kapal yang dinamakan S.S Meluan.  Dan kapal S.S Meluan ini jika kita menggodek sejarah dunia perkapalan di Sarawak merupakan antara kapal dagang dan penumpang di Sarawak yang popular suatu masa dahulu seperti juga kapal-kapal yang bernama M.V Tambali, M.V Rejang, M.V Rajah Mas dan banyak lagi. Itu ceritanya H.V Maimuna melalui seni pantun masyarakat Sarawak.

Dan mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa sebenarnya bagaimana ada satu nama kemelayuan pada satu kapal milik Brooke iaitu “Maimuna” mempunyai hubungkait dengan kerajaan Melayu yang wujud di Tanah Melayu iaitu Kerajaan Kesultanan Johor Darul Takzim (JDT) yang kita kenali sekarang.  Diceritakan hubungan baik antara Sarawak Kingdom dengan Kerajaan Johor telah lama terjalin dan kapal mewah Brooke dinamakan sedemikian rupa untuk memberi penghormatan kepada permaisuri Johor yang bernama Sultanah Maimunah ibni Ungku Abdul Majid yang mangkat pada 2 September 1909.  Dikatakan Rajah Charles Vyner Brooke, tuan rajah ketiga Sarawak Kingdom begitu akrab dengan Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar yang memerintah Johor selama lebih kurang 64 tahun suatu masa dahulu.

Kapal H.V Maimuna adalah satu kapal yang dibina untuk tujuan peribadi kepada Rajah CV Brooke ini dengan beratnya 316 tan dan 130 kaki dengan kapasiti “steel single crew motor” dibina oleh J. Pollock, Sons and Company Limited yang berpangkalan di Faversham, England.  Ianya siap sepenuhnya pada tahun 1925 dan majlis perasmiannya diadakan dengan penuh gilang gemilang.  Kemudian pada awal tahun 1926, H.V Maimuna telahpun menjadi “raja” di Sungai Sarawak memandangkan ianya digunakan oleh Rajah CV Brooke untuk berulang alik diantara Kuching dan Miri serta tempat-tempat yang lain di Borneo pada waktu itu. Selepas beberapa tahun digunakan sebagai kapal mewah yang dikhaskan untuk keluarga Brooke akhirnya H.V Maimuna juga turut digunakan sebagai kapal kargo antara Kuching dan kawasan persisiran yang lain.

Di ketika Perang Dunia Kedua berlangsung dan Sarawak turut mendapat tempiasnya, H.V Maimuna masih lagi digunakan untuk “berbakti” dengan Sarawak.  Ini kerana ketika saat akhir iaitu 24 jam sebelum Jepun menduduki bumi Sarawak melalui Miri sebagai destinasi pertamanya dengan kapal inilah para Sarawak Force (Sarawak Rangers, Sarawak Constubulary dan Trup Punjabi) meninggalkan bumi Miri selepas menjalankan taktik “bumi hangus” ke atas segala infrastruktur minyak dan gas di Miri.

Menurut cerita yang ditulis di dalam “Sarawak Tribune, 6 April 2017: Kampung Sri Maimunah – A Forgotten Malay Village tulisan James Alexander Ritchie” ada mencatatkan secara terperinci bagaimana sewaktu H.V Maimuna di dalam perjalanan ke Kuching telah diserang oleh pesawat tempur Jepun.  Dengan berbekalkan satu “machine-gunner” pada H.V Maimuna itulah tentera SARAFORCE bertahan dan diatas kapal ini jugalah ada beberapa orang tentera yang terkorban sebagai bunga bangsa mempertahankan Sarawak pada masa itu.

Awalnya H.V Maimuna mampu mempertahankan diri daripada serangan pesawat tempur Jepun namun kisahnya ternoktah pada penghujung Perang Dunia Kedua berlangsung.  Ini kerana H.V Maimuna dikatakan musnah terkena jatuhan bom yang bertali arus oleh tentera-tentera bersekutu.  Akhirnya H.V Maimuna tenggelam lesu di dalam muara Sungai Apong, Kuching iaitu tempat dimana ianya kelihatan kali terakhir berlabuh.  Dan kerana adanya sejarah kapal yang bernama H.V Maimuna di lokasi itulah membawa kepada kewujudan satu nama perkampungan Melayu di Kuching yang dinamakan Kampung Seri Maimunah yang turut digelar Kampung Sungai Apong sekarang.

Hanya berbicara mengenai satu kapal Brooke yang dinamakan H.V Maimuna namun jauh didalam ceriteranya mampu menggodek sejarah perjuangan tentera Sarawak dulu-dulu mempertahankan Sarawak serta hubungan diplomatik lama antara Sarawak dan kerajaan Melayu di bumi Tanah Melayu.  Apa ada pada nama!

-HB-

#KamekSayangSarawakBah

Rujukan:

  1. New Sarawak Tribune, 6 April 2017 by James Alexander Ritchie – Kampung Sri Maimunah – A Forgotten Malay Village. https://www.newsarawaktribune.com.my/news/kampung-sri-maimunah-a-forgotten-malay-village/
  1. Rajah Brooke’s Ships – The Maimunah. http://themaidensgiedd.blogspot.com/2017/01/rajah-brookes-ship-maimuna.html
  1. Sejarah Perkapalan Di Sarawak
    http://themaidensgiedd.blogspot.com/2018/02/sejarah-perkapalan-di-sarawak.html
  1. Senarai Baginda Sultanah Johor Bermula Dari Tahun 1699. http://warisanpermaisuri.blogspot.com/2011/12/senarai-baginda-sultanah-johor-bermula.html

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.