Sebelum saya terangkan lebih lanjut mengikut tajuk artikel ini, saya terangkan dulu siapakah Anunnaki ini. Anunnaki ialah kumpulan dewa-dewi dari mitologi Sumer, Akkad, Assyria, dan Babylon kuno. Dewa-dewi ini ialah generasi yang lahir dari hubungan pasangan dewa langit iaitu Anu/An dan dewi bumi iaitu Ki. Nama Anunnaki juga bermaksud ‘generasi Anu’.

MITOLOGI ORANG SUMER

Dalam tamadun Sumer, nama Anunnaki pernah dicatat dalam inskripsi pada pemerintahan raja Gudea (2144-2124 SM) dan Dinasti Ur Ketiga. Anunnaki dikatakan dewa-dewi yang berkuasa dan penting dalam mitologi orang Sumer. Kumpulan ini terdiri dari 7 dewa-dewi iaitu Anu, Enlil, Enki, Ninhursag, Nanna, Utu, dan Inanna.

Sebenarnya terdapat ramai lagi dewa-dewi disenarai dalam Anunnaki namun hanya 7 dewa-dewi ini saja yang didedahkan sepanjang kajian terhadap inskripsi-inskripsi Sumer. Pada asalnya, Anunnaki wujud sebagai kumpulan dewa-dewi dari syurga yang berkuasa dan tugasnya menentukan nasib umat manusia.

Contohnya dalam puisi ‘Enki dan Tatanan Dunia’, Anunnaki memberi penghormatan kepada dewa Enki dengan menyanyikan lagu puji-pujian, kemudian mengambil tempat tinggal dalam kalangan orang Sumer. Puisi ini menunjukkan kekuasaan Anunnaki ke atas nasib manusia.

Setiap negara kota mempunyai dewa atau dewi utama yang rakyat kota sembah dan dewa dan dewi mereka berperanan sebagai pelindung negara kota. Ada manuskrip merekodkan terdapat 50 dewa-dewi Anunnaki berhubung dengan kota Eridu. Dalam kisah lagenda ‘Inanna Turun ke Dunia Bawah’, terdapat 7 dewa-dewi Anunnaki yang berada di Dunia Bawah (neraka) dan menjadi juri untuk menghakimi Inanna dalam cubaannya menakluk Dunia Bawah.Keputusannya, Inanna bersalah dan mendapat hukuman mati.

Dewa-dewi Anunnaki juga mempunyai ‘tubuh’ alam semesta tersendiri. Dewi Inanna dipercayai adalah planet Kejora. Dewa Utu pula ialah matahari manakala dewi Nanna ialah bulan. Dewa Enki dan Enlil agak berbeza. Enki dipercayai ialah langit utara manakala Enlil ialah langit selatan mengikut panduan orang Sumer melihat langit.

MITOLOGI AKKAD, BABYLON, DAN ASSYRIA

Pada abad ke-2 millenium SM, Anunnaki dicatat dalam manuskrip-manuskrip tulisan orang Akkad ketika fasa empayar Akkad. Dalam mitologi mereka, Anunnaki ialah kumpulan dewa-dewi dari Dunia Bawah. Menurut kisah ‘Inanna Turun ke Dunia Bawah’ versi Akkad, Ereshkigal iaitu dewi Dunia Bawah menyatakan bahawa dia meminum air bersama Anunnaki. Ereshkigal juga dikatakan memerintah hambanya Namtar untuk mengajak Anunnaki. Tangga khas untuk Anunnaki melangkah dihiasi dengan karang dan takhta untuk Anunnaki duduk diperbuat dari emas.

Dalam fasa Babylon Lama (1830 SM – 1531 SM), satu generasi lagi disenaraikan sebahagian dari Annunaki iaitu Igigi. Dalam kisah epik Atra-Hasis, Igigi ialah generasi keenam dewa-dewi Mesopotamia yang dipaksa menjadi buruh kepada Anunnaki. Setelah 40 hari, Igigi memberontak melawan dewa Enki kerana mencipta manusia untuk menggantikan Igigi.
Sehingga fasa Babylon Tengah (1592 SM – 1155 SM), Anunnaki dijadikan sebagai kumpulan dewa-dewi yang menetap di Dunia Bawah manakala Igigi dijadikan sebagai kumpulan dewa-dewi menetap di syurga. Dewa Damkina, Nergal, dan Madānu disenaraikan sebagai dewa-dewa Anunnaki yang berkuasa setanding dewa utama Babylon iaitu Marduk.

Dalam puisi Erra, Anunnaki ialah adik-beradik lelaki dewa Nergal dan merupakan watak antagonis kepada manusia.
Pada fasa Neo-Assyria (911 SM – 612 SM), Anunnaki dinyatakan dalam teks yang penuh dengan kisah lagenda. Dalam teks tersebut, Marduk bersama para tentera Anunnaki pergi ke kota suci Nippur namun terdapat gangguan. Gangguan tersebut kemudian mewujudkan bencana banjir yang memaksa penduduk Nippur berteduh di kuil Eshumesha. Dewa Enlil murka dengan tindakan Marduk dan mengarahkan dewa-dewi Eshumesha menangkap dan penjarakan rombongan Marduk.

Marduk yang dipenjara itu mengarahkan seorang tentera hadapan bernama Mushteshirhablim mengetuai pemberontakan melawan dewa-dewi Eshumesha dan menghantar utusan bernama Neretagmil untuk memberitahu dewa Nabu bersiap-sedia. Apabila dewa-dewi Eshumesha mendengar bisikan Nabu menghampiri kuil, kesemua mereka keluar dari kuil mencari suara itu.

Akhirnya Marduk menumbangkan dewa-dewi Eshumesha dan memenjarakan 360 dewa-dewi tersebut. Enlil membantah atas tindakan Marduk kerana dewa-dewi Eshumesha tidak bersalah atas tindakan terhadap Marduk. Maka, jalan penyelesaiannya ialah Marduk mengadili dewa-dewi ini di hadapan Anunnaki. Kisahnya sampai sini saja dengan pengajaran kepada umat manusia dan dewa-dewi supaya tidak mengulangi perbalahan seperti Anunnaki dan dewa-dewi Eshumesha ini.

ANUNNAKI IALAH PENCIPTA MANUSIA MODEN?

Setelah kita faham siapakah Anunnaki ini, kita kembali kepada persoalan utama ini. Siapa pernah tonton dokumentari Ancient Aliens dari saluran History, terdapat sebuah episode berkenaan Anunnaki dan pengamal teori Angkasawan Kuno percaya bahawa Anunnaki ialah pencipta manusia moden, iaitu kita.

Teori menyatakan Anunnaki sebagai pencipta manusia moden bermula dari buku bertajuk The Twelfth Planet, karya Zecharia Sitchin yang diterbitkan pada 1976. Beliau mendakwa bahawa Anunnaki sebenarnya spesis makhluk asing bertubuh manusia yang canggih dari planet Nibiru, tiba di Bumi pada 500,000 tahun lalu dan membina koloni untuk melombong emas.

Menurut Sitchin juga, Anunnaki hibrid-kan spesis mereka dengan spesis Homo erectus melalui pensenyawaan ‘in-vitro’ untuk mencipta manusia baru yang bertugas untuk melombong emas. Anunnaki kemudian dikatakan terpaksa tinggalkan Bumi apabila pencairan glasier Antartik berlaku yang menyebabkan Banjir Besar yang bakal menghancurkan koloni mereka.

Sitchin kemudian mengembangkan ‘mitologi’ rekaan beliau dalam karya seterusnya seperti The Stairway to Heaven (1980) dan The award of Gods and Men (1985). Dalam buku The End of Days: Armageddon and the Prophecy of the Return (2007), Sitchin menjangkakan bahawa Anunnaki akan kembali ke Bumi bermula dari 2012 seiring dengan penamat kalendar kaum Maya yang popular.

Walaupun kisah Anunnaki versi Sitchin agak menakjubkan, namun para sejarahwan menolak seratus-peratus dakwaan Sitchin serta buku-bukunya yang dikatakan penuh dengan ‘pseudo-arkeologi’. Menurut mereka, Sitchin salah tafsir manuskrip-manuskrip Sumer tentang Anunnaki sehingga membawa maksud yang terlalu jauh dari maksud sebenar.

Bagi ahli teori konspirasi British bernama David Icke, Anunnaki ialah spesis reptilia bertubuh manusia. Beliau juga menyatakan bangsa Aryan yang dipopularkan oleh Na3i Jerman ialah generasi terkini Anunnaki. Maka, teori ini menjadi antara teori popular tentang Anunnaki dalam kalangan pentaksub teori Angkasawan Kuno, selain teori Anunnaki sebagai makhluk asing.

Buat masa ini, Anunnaki tidak terikat dengan mana-mana teori penciptaan manusia moden menurut kajian sejarah dan arkeologi tamadun Mesopotamia. Kena ingat, mitologi sebegini hanya wujud sebagai penceritaan untuk peringatan moral kepada generasi baru dan cara mereka memelihara agama walaupun bercampur dengan fantasi-fantasi ciptaan si penyampai.

RUJUKAN:

Archi, Alfonso (1990), “The Names of the Primeval Gods”, Orientalia, NOVA, Rome, Italy: Gregorian Biblical Press, 59 (2): 114–129

Black, Jeremy; Green, Anthony (1992), Gods, Demons and Symbols of Ancient Mesopotamia: An Illustrated Dictionary, London, England: The British Museum Press

Fritze, Ronald H. (2009), Invented Knowledge: False History, Fake Science and Pseudo-Religions, London, England: Reaktion Books

Kramer, Samuel Noah (1961), Sumerian Mythology: A Study of Spiritual and Literary Achievement in the Third Millennium B.C.: Revised Edition, Philadelphia, Pennsylvania: University of Pennsylvania Pres

Lewis, Tyson; Kahn, Richard (2005), “The Reptoid Hypothesis: Utopian and Dystopian Representational Motifs in David Icke’s Alien Conspiracy Theory”, Utopian Studies, Pennsylvania: Penn State University Press, 16 (1): 45–74


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.