Semua sedia maklum sejak sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka, Negeri-Negeri Melayu Utara (NNMU) seperti Kedah, Perak dan Kelantan dianggap Siam sebagai negeri-negeri yang dinaunginya. Tetapi sejak beberapa abad, Siam terlalu sibuk melawan penceroboh yang mahu merampas wilayahnya termasuk Burma sehingga sukar membuat sebarang tuntutan terhadap NNMU. Ini memaksa Siam berpuas hati dengan hantaran bunga emas yang dihantar oleh pemerintah negeri-negeri berkenaan setiap tiga tahun sekali sebagai tanda pengiktirafan naungan Siam.

Situasi semakin tidak menyebelahi Siam menjelang abad ke-18 Masihi apabila Burma melakukan siri serangan yang melemahkan kekuatan kerajaan tersebut. Kemuncak kempen Burma ialah serangan ke atas Ayutthaya pada tahun 1767. Berita kemusnahan Ayutthaya pasti diketahui pemerintah NNMU yang lain dan pada mereka, ini satu peluang untuk mendapatkan semula kemerdekaan mereka dari Siam. Mereka turut melihat penghantaran bunga emas itu hanya sekadar tanda persahabatan dan penghormatan kedua-dua kerajaan. Atas sebab itulah, Kedah yang ketika itu diperintah Sultan Abdullah menggunakan peluang memajak Pulau Pinang kepada British yang diketuai Francis Light. Berita tersebut sudah pasti menimbulkan kemarahan Raja Siam tetapi bagi Sultan Abdullah, hubungan baru ini dilihat dapat menghalang Siam dari melakukan sebarang bentuk tindak balas terhadap Kedah.

Tetapi semua itu berubah apabila panglima terbilang Siam Phraya Taksin mengetuai angkatan perang mereka dan memerangi kerajaan Burma sehingga memaksa mereka berundur dari bumi Siam. Kejayaan Taksin membolehkan kerajaan Siam kembali bertapak dan penggantinya Rama I menubuhkan Dinasti Chakri yang memerintah Siam dari tahun 1782 hingga sekarang. Walaupun Burma sekali lagi cuba mengasak kedudukan Siam menerusi kempen ketenteraan Raja Bodawpaya pada tahun 1785, kempen tersebut berakhir dengan kegagalan. Bodawpaya terpaksa berundur dan ini membolehkan Siam mengalihkan fokusnya kepada NNMU yang mula menuntut kemerdekaan.

Apabila Kesulltanan Patani enggan menghantar bantuan tentera kepada Siam semasa menghadapi ancaman Burma, Siam menggerakkan bala tentera diketuai putera Rama I, Surasi ke Patani. Dalam serangan tersebut, Sultan Muhammad syahid di medan pertempuran sementara 4,000 orang Melayu Patani dibawa dalam keadaan berantai ke Bangkok untuk diperhambakan. Walaupun Patani cuba mendapatkan semula kemerdekaannya menerusi pemberontakan pada tahun 1791 dan 1808, ia masih gagal menyingkirkan cengkaman Siam. Malah, Bangkok bertindak balas dengan membahagikan Patani kepada tujuh wilayah dan ditadbir terus oleh Raja Ligor. Tindakan Siam menandakan berakhirnya Kesultanan Patani yang pada awalnya bermula sebagai kerajaan purba Langkasuka. Serangan tersebut turut berperanan sebagai isyarat kepada NNMU: tunduk kepada kekuasaan Siam atau bersiap sedia diserang.

Dalam dekad 1820-an, Kedah dipaksa membekalkan tentera, kapal dan beras untuk membantu Siam menghalau keluar tentera Burma dari bumi Siam. Dan Kedah turut dipaksa menyerang Perak pada tahun 1818 atas alasan Perak tidak lagi menghantar bunga emas ke Bangkok. Tetapi Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II tahu tindakan tersebut sebenarnya bertujuan melemahkan kedua-dua negeri Melayu itu dan memberi peluang kepada Siam bertapak di kedua-dua negeri berkenaan. Kedah bagaimanapun berjaya mengalahkan Perak dan seperti yang diharapkan Bangkok, Perak terpaksa menghantar bunga emas ke sana.

Pada tahun terakhir pemerintahan baginda di Kedah, Rama II menjemput Sultan Ahmad Tajuddin ke Bangkok untuk memberi penghormatan terhadapnya. Tetapi baginda enggan berbuat demikian kerana tahu risiko dibunuh di bumi Siam, sekaligus mendorong baginda tidak bergerak ke sana. Murka dengan tindakan baginda, Rama II mengarahkan satu armada Siam yang besar berlayar ke Kuala Kedah dan menghapuskan garison pertahanan Kedah yang berada di situ. Setelah itu, armada tersebut terus berlayar ke Kuala Merbok untuk memburu Sultan Ahmad Tajuddin. Tetapi baginda berjaya melarikan diri ke Pulau Pinang dan menggunakan gajah baginda dengan menaburkan duit-duit syiling dengan tujuan melengahkan pergerakan tentera Siam. Siam nyata berang dengan tindakan Britain yang memberi perlindungan terhadap baginda tetapi tidak boleh berbuat apa-apa.

Seperti mana yang dilakukan di Patani, Siam membahagikan Kedah kepada empat wilayah iaitu Kedah, Perlis, Setul (Satun) dan Kubang Pasu. Setiap wilayah ditadbir oleh raja yang dipilih kerajaan Siam dan bersedia bernaung di bawah kerajaan Siam. Kubang Pasu kemudiannya dipulangkan kepada Kedah beberapa dekad kemudian. Tetapi Perlis kekal menjadi negeri yang merdeka sementara Setul/Satun kekal dalam penguasaan Thailand.

Selepas Kedah, Siam mengalihkan perhatian terhadap Perak pula. Raja Ligor berharap dapat meluaskan jajahan Siam hingga ke kawasan paling selatan. Tetapi cita-cita baginda tersekat apabila Perak menjadikan bala tentera baginda mangsa amukan mereka dengan bantuan orang-orang Bugis yang diutus dari Kesultanan Selangor. Raja Ligor juga semakin kecewa bila setiap perangkap yang diatur untuk memaksa Perak tunduk bukan saja tidak menjadi tetapi lebih banyak makan tuan. Dan dengan British sendiri enggan menolong Siam kerana tidak mahu kehilangan hak bijih timah dengan Perak dan Selangor, Raja Ligor tahu cita-citanya itu binasa sudah.

Sementara itu di Pulau Pinang, Sultan Ahmad Tajuddin yang duduk dalam buangan mendesak campur tangan British untuk membantu baginda mendapatkan semula takhtanya. Kalau diikutkan, ramai pegawai dan peniaga British bersimpati dengan nasib baginda dan mengharapkan campur tangan London dalam isu tersebut. Ini kerana selain melibatkan soal maruah, serangan Siam sudah pasti akan mencetuskan situasi kacau-bilau dan menjejaskan soal perdagangan ketika itu. Tetapi kebimbangan mereka langsung tidak dikongsi Gabenor Jeneral British yang berpangkalan di Calcutta, India yang melihat kos peperangan yang mahal tidak menjustifikasikan campur tangan mereka di Semenanjung Tanah Melayu. Atau dalam erti kata lain, Sultan Ahmad Tajuddin bersendirian dalam menghadapi ancaman Siam.

Tetapi semua itu berubah bila Britain melancarkan kempen ke atas kerajaan Burma pada tahun 1824. British sedar sekiranya mereka hendak menang, suka atau tidak, mereka perlu membentuk pakatan dengan Bangkok. Ini yang membawa kepada Perjanjian Burney pada tahun 1826 di mana Britain berjanji tidak akan mengganggu Siam dalam urusan dalaman Kedah. Menerusi perjanjian sama juga yang dilihat menguntungkan Perak dan Selangor, Siam (dalam hati keberatan) bersetuju untuk tidak mengganggu Perak dan Selangor.

Walaupun Perjanjian Burney sudah dimeterai, Pulau Pinang terus menjadi tumpuan para pejuang Melayu yang mahu membebaskan Kedah dari cengkaman Siam. Pembesar-pembesar dan anggota kerabat diraja Kedah berterusan merancang strategi terbaik membebaskan Kedah. Dan seperti yang dinyatakan di atas, sesetengah pedagang dan individu berpengaruh British di Pulau Pinang membantu Kedah secara rahsia dengan menyediakan senjata api, peluru, kapal dan bekalan lain sebagai tukaran kepada beras. Pada tahun 1831, Tunku Kudin mengetuai 3,000 orang Melayu keluar dari Prai dan berjaya menghalau tentera Siam keluar dari Kedah.

Berang dengan tindakan Kedah, Bangkok melabel mereka sebagai lanun dan mula memburu mereka sehingga ke lubang cacing. Sekutu baru mereka di London turut melabel pejuang Kedah sebagai lanun dan bagi sejarawan British, R.O Winstedt menyifatkan tindakan London sebagai sesuatu yang memalukan. Bagi membantu serangan Siam dari darat, kapal-kapal British mengepung perairan Kedah dengan bala tentera Siam terdiri daripada 7,500 tentera dan 3,000 gajah menyerang dari darat. Tunku Kudin dan pasukannya terpaksa berundur dan terkepung di Kota Kuala Kedah. Selepas dikepung selama tiga bulan, kubu tersebut diserang dengan baginda sendiri syahid dalam pertempuran. Sebagai tanda amaran kepada Kedah untuk menghentikan pemberontakan, mayat Tunku Kudin dipenggal dan kepalanya dibawa ke Bangkok. Sementara 16,000 penduduk terpaksa melarikan diri ke Pulau Pinang dan Prai.

Tujuh tahun selepas itu, Kedah sekali lagi berjaya mendapatkan semula negeri mereka dan berjaya membebaskan Patani buat seketika serta mengepung Singgora (Songkhla). Tetapi Siam enggan mengaku kalah dan menghantar bala tentera mereka yang disokong tentera laut British dari laut. Pejuang Kedah bagaimanapun berjaya bertahan dan berkubu di Kota Kuala Kedah dengan kekuatan 200 orang. Selepas diasak bertubi-tubi dari laut dan bala tentera Siam berjumlah 15,000 yang dibekalkan senjata moden, pejuang Kedah terpaksa mengaku kalah dan bendera negeri diturunkan dari kubu berkenaan pada 20 Mac 1838.

Tetapi Sultan Ahmad Tajuddin masih tidak berputus asa mengembalikan semula takhta Kesultanan Kedah. Selepas sedar melawan Siam tidak boleh dibuat dengan kekuatan tentera tetapi dengan permainan akal, baginda mengadakan satu rancangan baru. Pada tahun 1841, putera sulung baginda Tengku Dai dihantar ke Bangkok untuk berunding dengan kerajaan Siam. Menerusi rundingan itu, Kedah bersedia menerima naungan Siam sebagai pertukaran kepada Bangkok mengembalikan semula kedudukan Sultan Ahmad Tajuddin sebagai Sultan Kedah yang sah. Raja Rama III melihat perjanjian tersebut sebagai satu peluang menamatkan ketegangan yang berlangsung hampir 20 tahun membabitkan kedua-dua kerajaan dan membolehkannya fokus kepada kawasan-kawasan lain. Ini kerana Britain dan Perancis sudah mula menghidu wilayah-wilayah Siam yang dimahukan mereka dan sudah tentu jika salah percaturan, Siam pula yang akan ditekan dua kuasa kolonial ketika itu.

Pada tahun 1843, Sultan Ahmad Tajuddin kembali menaiki takhta dan Kesultanan Kedah berjaya dikembalikan seperti sediakala. Walaupun Kedah kehilangan Perlis dan Setul, sekurang-kurangnya Kedah masih mampu mentadbir negeri mereka tanpa sebarang campur tangan Siam. Dan paling penting, Kedah juga tidak mengalami nasib sama seperti Patani. Sementara bagi British pula, ini merupakan campur tangan bersenjata pertama di rantau ini bagi menjaga kepentingan mereka. Dan mereka tidak keberatan menghantar kapal mereka untuk konflik yang berlaku 30 tahun kemudian atas sebab sama: Perang Perak.

SUMBER

Zain, Sabri. (n.d) The Kedah Blockade. http://www.sabrizain.org/malaya/kedah.htm

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.