https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Annus Confusionis: Tahun Paling Panjang Di Dunia

922

Pada artikel sebelumnya, kita telah membahas berkaitan penciptaan kalendar melalui fasa Rom, Julian dan Gregorian (Masihi). Kalendar ciptaan mereka ini masih kita gunakan sehingga ke hari ini, selain kalendar Hijra bagi umat Islam.

Untuk bacaan lanjut mengenai Penciptaan Kalendar Fasa Rom, Julian dan Gregorian:

https://www.thepatriots.asia/sejarah-penciptaan-kalendar-m…/

Kalendar Hijrah:

https://www.thepatriots.asia/hijrah-detik-permulaan/

Jadi, di dalam penulisan ringkas kali ini, kita akan melihat pula mengenai, bilakah berlakunya tempoh masa tahun yang paling panjang di dunia iaitu selama 445 hari (penambahan sebanyak 90 hari/3 bulan).

Peristiwa ini berlaku pada zaman kalendar Pra-Julian, iaitu di mana tempoh waktu peralihan dari penanggalan sistem Kalendar Bulan Rom (Old Roman) ke Kalendar Matahari Julian (New Roman).

Diktator empayar Rom, Julius Caesar yang baru pulang dari tanah jajahannya di Mesir, membawa pulang hasrat baharu untuk mereformasi sistem penanggalan kalendar Rom yang kelihatan sangat berkecamuk dan tidak tersusun. Pada waktu ini, kebanyakan tarikh cuti perayaan lari jauh daripada tarikh yang ditetapkan di dalam kalendar.

Baginda bersama beberapa orang penasihatnya, ilmuwan Yunani dan Alexandria, telah menciptakan sebuah sistem kalendar baharu untuk kegunaan rakyat di seluruh tanah jajahannya yang dikenali sebagai kalendar Julian. Kalendar Julian mempunyai dua bentuk iaitu sebanyak 365 hari dan 366 hari (pada tahun lompat).

Setelah bertungkus lumus merangka dan menyusun, akhirnya kalendar Julian pun disiapkan sepenuhnya. Tetapi Caesar hanya mempunyai satu masalah. Caesar perlu melakukan sesuatu untuk menyeragamkan hitungan kalendar Julian mengikut musim sejuk, panas, bunga dan luruh, yang mana hari-hari cuti umum di Rom akan dikembalikan ke tarikh yang normal (kalendar Rom hanya mempunyai 355 hari).

Atas nasihat Sosigenes, Caesar disarankan untuk menambahkan bilangan sebanyak 90 hari ke dalam kalendar Rom dan ia secara automatiknya menjadikan tahun 46 SM sebanyak 445 hari. Ia menjadikan 25% panjang daripada tahun biasa.

Tahun panjang 46 SM ini dikenali sebagai Annus Confusionis atau Tahun Kekeliruan.

Caesar membahagikan tiga bulan khusus ini ke dalam dua bahagian. 30 hari tambahan diletakkan diantara bulan Februari dan bulan Mac. 60 hari lagi, iaitu bulan Intercalaris Prior dan Intercalaris Posterior diletakkan setelah bulan November.

Setelah 3 bulan tambahan ini berlaku, maka fasa sistem kalendar Rom dan fasa kalendar Pra-Julian pun tamat pada tanggal 1 Januari 45 SM dan bermulalah fasa kalendar Julian atau kalendar Rom Baharu (New Roman).

Penggunaan kalendar Julian hanya berakhir pada sekitar tahun 1582 M dan ditukar kepada kalendar Gregorian atau Masihi yang kita kenali pada hari ini.

Ini merupakan satu-satunya peristiwa yang hanya berlaku pertama dan terakhir di dalam sejarah dunia.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.