Anjing Berkepala Dua & Pembedahan Pemindahan Kepala

616

Kewujudan haiwan yang mempunyai fizikal aneh ini sudah tidak asing lagi kepada masyarakat dunia. Kerana sudah terdapat banyak kes yang dilaporkan di dalam media massa, berkenaan peladang dan penternak haiwan yang menemukan haiwan ternakan mereka memperoleh zuriat berkepala dua.

Tetapi, di sebalik kejadian alam yang aneh itu, terdapat sebuah eksperimen “menakutkan” yang telah dijalankan pada tahun 1950-an oleh seorang saintis dari Rusia.

Eksperimen tersebut dijalankan dengan objektif untuk mengkaji sama ada pemindahan atau dalam bahasa inggerisnya (“transplant”) kepala yang didatangkan dari satu tubuh badan, boleh dipindahkan ke satu tubuh badan yang lain.

Saintis gila ataupun seorang genius?

Saintis yang menjadi tumpuan di dalam artikel serta eksperimen ini adalah Dr. Vladimir Petrovich Demikhov yang berasal dari Kesatuan Soviet, kini Rusia.

Walaupun sesetengah pihak menganggap bahawa eksperimen ini sebagai salah satu cubaan untuk melanggar norma semulajadi atau mungkin cubaan ‘menjadi Tuhan’, tetapi untuk mengatakan bahawa Demikhov ini sebagai seorang saintis yang gila (“Mad Scientist”) adalah sangat tidak adil dan keterlaluan.

Ini kerana, dengan hasil penyelidikan serta eksperimen beliau ini lah yang membolehkan pakar perubatan pada zaman moden kini melakukan pemindahan organ kepada manusia.

Sebelum dari ekperimen anjing berkepala dua itu lagi, Demikhov sememangnya seorang yang pakar di dalam bidang (“transplantology”). Selepas beliau dengan jayanya, melaksanakan beberapa prosedur pembedahan pemindahan organ utama misalnya seperti paru-paru dan jantung dari seekor anjing, ke seekor anjing yang lain.

Terma “transplantology” itu direka oleh beliau sendiri yang membawa maksud pengajian tentang pemindahan organ.

Selain daripada menjadi seorang yang pakar di dalam bidang pembedahan pemindahan organ, Demikhov turut menjadi pelopor (“pioneer”) kepada;

• Penggunaan (“immunosuppresants”) di dalam pembedahan organ, iaitu sejenis ubatan yang mengawal tindak balas sistem imunisasi badan terhadap organ yang baru dipindahkan.

• Beliau juga turut bertanggungjawab kepada penciptaan mesin mekanikal bantuan kardiak (jantung artifisial) yang pertama dalam dunia pada tahun 1937. Sebuah mesin yang dicipta bagi membantu mengambil alih fungsi jantung untuk mengepam dan mengedarkan darah.

Seterusnya, Demikhov juga turut dikenali sebagai individu pertama yang berjaya melakukan pembedahan pemindahan jantung terhadap seekor anjing pada tahun 1946. Prosedur pembedahan ini merupakan 21 tahun lebih awal daripada prosedur pembedahan pemindahan jantung kepada manusia yang pertama.

Walau bagaimanapun, di sebalik kejayaan dan sumbangan Demikhov di dalam bidang ini, beliau tetap dicemuh oleh mereka yang berada di luar komuniti perubatan berikutan eksperimen ‘berani’ yang beliau jalankan, iaitu eksperimen memindahkan kepala seekor anjing ke seekor anjing yang lain.

Dr. Vladimir Petrovich Demikhov.

Permulaan Eksperimen

Selepas berjaya menjalankan pembedahan organ utama seperti paru-paru dan jantung dari seekor anjing ke seekor anjing yang lain, Demikhov ingin pergi lebih jauh dengan memindahkan organ paling penting yang dimiliki oleh haiwan dan manusia, iaitu otak.

Demikhov dikatakan telah memperoleh ilham ini daripada rakan sejawat beliau iaitu Dr. Sergei Bryukhonenko. Seperti Demikhov, kejayaan dan sumbangan Bryukhonenko juga terlepas dari pandangan orang awam disebabkan oleh eksperimen yang beliau jalankan terhadap anjing.

Di dalam kes Bryukhonenko pula, eksperimen beliau yang paling dikenali adalah dengan meletakkan beberapa kepala anjing yang telah dipotong tersebut, untuk terus-menerima bantuan peredaran darah dari mesin mekanikal justeru membolehkan anjing-anjing tersebut hidup untuk beberapa jam selepas kepalanya dipotong. Ia dilakukan bagi mengkaji tentang kebolehan otak untuk terus hidup dan berfungsi seperti biasa, walaupun selepas trauma melampau seperti dipenggal dan sebagainya.

Berbalik ke Demikhov pula, idea pembedahan beliau sangat mudah, namun boleh dikatakan mengejutkan. Beliau ingin membuktikan bahawa otak ini seperti organ lain boleh dibedah dan dipindahkan dengan memotong kepala anjing itu, memberi bantuan peredaran darah seperti di dalam kes Bryukhonenko, dan memindahkannya ke atas badan seekor anjing yang lain.

Kesemua sekali, Demikhov dipercayai telah melakukan eksperimen ini lebih 24 kali dengan taraf kejayaan yang berbeza-beza bagi setiap eksperimen. Maksudnya, ‘subjek’, atau anjing di dalam eksperimen itu berjaya hidup untuk beberapa hari dan berkebolehan untuk bertindakbalas terhadap rangsangan seperti bunyi, sentuhan dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, selepas pembedahan pemindahan yang berjaya, anjing-anjing tersebut mati tidak lama kemudian hasil daripada tindak balas sistem imunisasi disebabkan kekurangan ubatan mengawal sistem imunisasi (“immunosuppressants”).

Dan sememangnya saintis dan pakar perubatan lain berasa skeptik kepada pendedahan Demikhov terhadap eksperimen beliau, dan mahukan bukti yang kukuh. Mereka menganggap eksperimen tersebut hanyalah sebahagian daripada propaganda kemajuan perubatan Soviet.

Demikhov dalam usaha untuk melenyapkan suara-suara skeptik mereka, menjemput pihak Life Magazine pada tahun 1959, untuk menyaksikan sendiri serta mendokumentasi prosedur pembedahan pemindahan tersebut dijalankan.

Dokumentasi Eksperimen Demikhov oleh Life Magazine

Semasa jurugambar dari pihak Life Magazine yakni Howard Sochurek memasuki ke ruang pembedahan di Moscow First Medical Institute, beliau disambut oleh salakan dari seekor anjing yang mempunyai kesan cukuran di sekeliling perutnya.

Seterusnya, Dr. Vladimir Petrovich Demikhov bertindak memperkenalkan diri dan pembantu beliau Dr. Vladimir Mikhailovich Goriainov. Turut berada bersama di dalam dewan bedah itu merupakan seorang doktor lelaki lain dan seorang jururawat wanita berpakaian lengkap sedia untuk proses pembedahan.

Demikhov kemudian memperkenalkan subjek eksperimen kepada wartawan, iaitu anjing betina bersaiz kecil bernama Shavka berumur 9 tahun yang dicukur badannya itu tadi.

Kemudian, Demikhov menjelaskan kepada wartawan bahawa Shavka ini akan dibedah pada bahagian tengah badannya untuk dijahit atau disambung kepada bahagian atas leher anjing perumah @ hos, yakni seekor anjing dari baka German Shepherd, bersaiz besar dinamakan Brodyaga, sambil menunjukkan jari beliau ke arah anjing itu yang berada di atas meja bedah dalam keadaan bius.

Secara tiba-tiba, datang seekor lagi anjing bernama Palma yang dibawa oleh pembantu Demikhov. Demikhov kemudian bertanya kepada wartawan tersebut;

“Anda nampak apa-apa yang aneh pada anjing ini?” Sambil menunjukkan pada bahagian dada anjing tersebut yang mempunyai kesan jahitan.

Demikhov kemudian menceritakan bahawa anjing tersebut baru sahaja 6 hari menjalani proses pembedahan ‘penambahan jantung’.

“Pembedahan itu memerlukan kami untuk mengubah sedikit struktur paru-paru anjing ini. Seperti yang anda lihat, anjing ini dalam keadaan sihat dan kembali pulih selepas pembedahan.”

Proses Pembedahan Shavka & Brodyaga

Pasukan perubatan yang terlibat mula mempersiapkan pelbagai peralatan yang diperlukan dalam pembedahan tersebut. Demikhov dan pembantu beliau, Goriainov, mula membasuh tangan dengan teliti serta memulakan persiapan dengan memakai sarung tangan lateks dan topeng bedah masing-masing.

Pemotongan pertama dilakukan kepada bahagian pangkal leher anjing perumah iaitu Brodyaga, mendedahkan urat jugular, aorta dan segmen saraf tunjang. Kemudian, mereka menggerudi pula dua lubang kecil pada bahagian tulang saraf tunjang itu, untuk dimasukkan 2 tali plastik berwana merah dan putih pada setiap satu lubang yang digerudi. Proses ini menggambil masa 40 minit.

Tumpuan pasukan perubatan mula beralih kepada Shavka yang akan menjadi parasite ‘menumpang’ tubuh Brodyaga. Shavka diletakkan dalam keadaan bius dan tiub pernafasan dimasukkan melalui mulutnya.

Bahagian kepala Shavka dibalut oleh 1 tuala, manakala bahagian badan pula dibalut 1 tuala yang lain. Hanya meninggalkan bahagian yang dicukur sahaja terdedah untuk proses pembedahan.

Mereka seterusnya memulakan pembedahan untuk mendedahkan bahagian dalaman Shavka. Pada masa ini, salur darah anjing itu dijahit dengan benang bagi mengelakkan dari darah terus mengalir keluar. Selepas itu, Demikhov memisahkan tulang belakang atau saraf tunjang Shavka.

Walaupun badan Shavka kini sudah terputus dua, bahagian kepala, kaki hadapan serta organ penting seperti paru-paru dan jantung masih lagi bersambung. Seterusnya, bermula fasa ketiga dan paling penting di dalam pembedahan ini.

Salur darah utama Shavka perlu disambungkan dengan salur darah dari anjing perumah yakni Brodyaga. Perkara ini dilakukan Demikhov dengan memisahkan arteri Shavka, kemudian dengan menggunakan alat stapler pembedahan, ia disambungkan kepada salur darah utama yang terdedah pada leher Brodyaga itu. Shavka yang kini menerima nutrien dan oksigen dari darah Brodyaga, tidak lagi memerlukan organ penting iaitu paru-paru dan jantungnya di mana kedua-duanya dibedah dan dikeluarkan.

Seterusnya, kedua-dua tali plastik yang sebelum ini dimasukkan ke bahagian tulang saraf tunjang Brodyaga, kini digunakan untuk mengikat dan mengukuhkan posisi kepala dan kaki hadapan Shavka ke bahagian leher Brodyaga itu. Demikhov dan Goriainov kemudian menjahit kembali kulit dua ekor anjing yang tubuhnya kini menjadi 1 itu. Operasi pembedahan dari mula hingga berakhir mengambil masa 3 jam 30 minit.

Bagi Demikhov dan Goriainov, pembedahan ini adalah pembedahan yang ke-24 bagi mereka sejak 10 tahun memulakan eksperimen ini. Demikhov mengatakan bahawa masa singkat 3 jam 30 minit yang diambil, adalah hasil pengalaman daripada pelbagai prosedur pembedahan yang dijalankan. Tambah beliau lagi, pembedahan pertama dilakukan mereka berdua mengambil masa 12 jam. Bermaksud mereka berdua telah menyempurnakan teknik dan proses ini boleh dianggap hanya sekadar rutin bagi mereka.

Beberapa jam kemudian, Demikhov membuka sarung tangan lateks beliau dan mula memeriksa keadaan ‘kedua-dua’ ekor anjing tersebut. Shavka dan Brodyaga masing-masing menunjukkan tindak balas daripada rangsangan. Kedua-dua kepala itu mempunyai deria pendengaran, mampu melihat, mempunyai deria bau serta mampu menelan makanan dan minuman, membuktikan bahawa pembedahan tersebut berjaya.

Walau bagaimanapun, bahagian tekak Shavka tidak disambungkan ke perut Brodyaga. Bermakna, apa yang diminum atau dimakan Shavka akan mengalir keluar melalui tiub yang disambungkan. Seperti yang telah dinyatakan di atas, Shavka hanyalah seperti seekor ‘parasit’ yang menumpang dan berkongsi nutrien dari anjing perumah yakni Brodyaga.

Kira-kira 4 hari selepas pembedahan tersebut, kedua-dua Shavka dan Brodyaga ditemui mati pada waktu malam. Hasil pemeriksaan menunjukkan bahawa salah satu daripada salur darah di leher tersimpul. Demikhov berkata, jika tidak kerana kemalangan tersebut, anjing-anjing ini mungkin dapat bertahan lebih lama daripada anjing dari pembedahan sebelumnya, yang hidup selama 29 hari sebelum mati.

Shavka yang sedang dibedah.
Lakaran Peredaran darah Brodyaga dan Shavka.
Shavka (atas) dan Brodyaga selepas pembedahan. Dapat dilihat tiub dipasangkan pada badan Shavka.
Pemeriksaan ke atas Shavka dan Brodyaga
Maria Tretekova (kanan) membantu Dr. Goriainov memberi air kepada Brodyaga.

Pengakhiran

Walaupun terdapat potensi besar disebalik kajian Demikhov, disebabkan oleh eksperimen anjing berkepala dua yang dijalankan oleh beliau, potensi tersebut seolah-olah telah diabaikan oleh majoriti daripada komuniti saintifik pada waktu itu.

Namun begitu, masih ada saintis yang optimis terhadap kajian Demikhov dan beliau adalah seorang neurosaintis dari Amerika Syarikat iaitu Dr. Robert White. White yang diilhamkan oleh kejayaan eksperimen Demikhov, turut menjalankan eksperimen pada tahun 1970, tetapi beliau menggunakan monyet rhesus sebagai subjek.

Sementara kedua-dua eksperimen mereka berdua secara asasnya hampir sama, White tidak memindahkan kepala monyet, kepada badan monyet sempurna yang lain. Beliau bagaimanapun lebih ‘berani’, dengan memindahkan kepala dari seekor monyet ke badan seekor monyet lain yang ‘dibuang’ kepalanya.

Dengan berbuat begitu dan tanpa saraf tunjang yang dapat disambungkan berikutan prosesnya terlalu rumit, monyet tersebut bagaimanapun ditakdirkan untuk lumpuh. Namun salur darah utama, salur udara dan tekak dapat disambungkan kepada badan monyet hos.

Selain daripada isu lumpuh, eksperimen White boleh dikatakan berjaya (untuk satu tahap), kerana apabila monyet itu sedar daripada dibius, ia telah menggigit jari pembantu perubatan yang sedang memeriksa keadaannya. Monyet tersebut bagaimanapun hanya dapat hidup selama 8 hari sebelum ‘kepala’ nya berdepan serangan daripada sistem imunisasi badan.

Dengan keputusan yang diperoleh dari eksperimen itu, Dr. White berpendapat bahawa, mungkin tidak lama lagi, manusia juga boleh menjalani pembedahan seperti ini.

Tetapi seperti biasa, eksperimen yang berada luar dari norma masyarakat ini, pasti akan berdepan dengan masalah sama ada dari segi etika, moral dan justifikasi sosial terhadap prosedur yang dilakukan.

Neurosaintis Dr. Robert White
Dr. White bersama monyet yang ingin dibedah, dalam eksperimen pada tahun 1970.
Lakaran pembedahan pemindahan kepala

RUJUKAN:

Min Lang, John Tsiang, Nina Z Moore, Mark D Bain, Michael P Steinmetz. “A Tribute to Dr Robert J. White” (2018). Neurosurgery, Volume 85, Issue 2. Academic OUP.

“Russia Two Headed Dog, How Shavka Joined Brodyaga”. Life Magazine 20 July 1959.

V. P. Demikhov: (Experimental transplantation of the essential organs for living.)

Keiji Sang, Hideo Terao, Isao Hayakawa, Shuji Kamano and Isamu Saito. (1964). “Experimental Transplanation of the Head -Two Headed Dog-“ Dept. of Neurosurgery, Faculty of Medicine, University of Tokyo. Neurologia medico-chirurgica Vol. 6, pp. 35-38.

At the Cutting Edge of the Impossible. A Tribute to Dr. Vladimir Petrovich Demikhov. Retrieved from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2763473/

Inside the Soviets’ Cold War experiments to create TWO-HEADED DOGS – and how one of these monsters lived for a month. Retrieved from: The Sun

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.