Angels Of Mercy

1,575

Pada tahun 1983, seorang jururawat yang bernama Waltraud Wagner yang berusia 23 tahun menubuhkan satu kumpulan yang pada awalnya digelar “Lainz Angels of Mercy”. Mereka pada awalnya memang menjalankan kegiatan membunuh pesakit atas sebab simpati (mercy), di mana mereka menjadikan sasaran warga tua yang mempunyai penyakit yang terminal seperti kanser tahap akhir, atau beberapa penyakit lain yang tidak mempunyai peluang untuk sembuh. Sememangnya, dia berjaya merekrut beberapa orang jururawat lain, yang mana akhirnya, terdapat 4 orang jururawat yang bergelar Angels of Mercy.

Akan tetapi, akibat desakan dan arahan daripada pihak doktor yang bertalu-talu, disamping dengan stress dan tidak tertahan dengan tekanan untuk menjaga pesakit, sifat empati dan mercy antara mereka mulai luntur. Mereka akhirnya menukar nama kumpulan mereka, yang hanya diketahui oleh kalangan mereka berempat sahaja sebagai Lainz Angle of Death, seolah-olah meletakkan kuasa menarik roh manusia lain ke atas diri mereka yang bergelar malaikat maut.

Kejadian ini berlaku di Hospital Lainz, dan di sebuah wad bernama Pavillion 5 yang menempatkan ramai pesakit dari kalangan orang tua. Sistem hospital mereka ini yang menempatkan 65 orang pesakit serta hanya 2 orang jururawat sahaja menjaga mereka pada syif malam merupakan salah satu perkara yang mendorong mereka melakukan perkara ini.  Tambahan pula, sifat dan sikap sesetengah pesakit yang sering memanggil mereka setiap 5 minit dengan cara menekan ‘call bell’ untuk pelbagai masalah yang tidak munasabah menambah lagi motif dan kegeraman mereka terhadap beberapa pesakit ini.

Untuk pengetahuan anda, di Malaysia juga terdapat sistem call bell ini, yang terletak di sisi katil pesakit dan di dalam tandas, yang mana sekiranya seseorang pesakit mengalami apa-apa kejadian kecemasan, mereka boleh menekan butang ini untuk memanggil jururawat untuk menghadirkan diri ke katil mereka. Sama seperti di Malaysia, sikap pesakit yang seringkali menekan-nekan butang ini tanpa sebab kecemasan membuatkan para jururawat sering terganggu dalam tugasan seharian mereka.

Anda perlu fahami bahawa bukan di Malaysia sahaja kejadian seumpama ini berlaku, yang mana para pesakit tidak dapat membezakan isu kecemasan dengan isu yang bukan kecemasan, malahan, di seluruh pelusuk dunia juga mengalami masalah yang sama.  

Jadi, apa yang berlaku di hospital Lainz ini lebih kurang sama sahaja seperti apa yang berlaku di tempat-tempat lain. Pada awalnya, Wagner menggunakan morfin yang disuntik kepada tiub intravena pesakit. Dos morfin yang digunakan adalah tinggi adakalanya melebihi 4 kali ganda dos maksimum. Morfin adalah sejenis ubat menahan sakit, dan tergolong dalam kumpulan opioid, yang mana apabila dos terlalu tinggi diberikan, pesakit akan hilang kesedaran kerana kesan sampingan opioid yang utama boleh menghentikan seseorang itu daripada bernafas.

Mereka mulai menggunakan pelbagai teknik dan ubat-ubatan daripada kelas yang berbeza seperti insulin (yang boleh membunuh pesakit akibat kekurangan glukosa di dalam darah), intravenous potassium (iaitu sejenis garam mineral yang menyebabkan ritma jantung menjadi bercelaru dan akhirnya menyebabkan kematian pada pesakit serta pelbagai ubat lain seperti ubat tidur yang diberikan dalam dos yang amat tinggi.

Setelah mereka mulai menubuhkan kumpulan yang terdiri daripada Maria Gruber, Irene Leidolf, Stephanija Meyer dan Wagner sendiri, mereka mulai membentuk cara pembunuhan yang terbaru dan lebih kreatif bagi mengelakkan timbulnya syak wasangka daripada doktor yang bekerja di wad tersebut. Apabila 2 daripada mereka bekerja dalam satu syif yang sama, mereka mulai menetapkan sasaran untuk mereka bunuh. Biasanya, mangsa akan dipilih secara rawak, mahupun mereka akan memilih untuk membunuh pesakit yang paling banyak kali menekan call bell dalam syif mereka.

Cara mereka membunuh menjadi semakin kreatif, di mana salah satu cara yang selalu digunakan adalah seorang daripada mereka akan memicit hidung pesakit, dan seorang lagi akan menuangkan air ke dalam mulut pesakit. Hal ini mengakibatkan pesakit maut akibat kelemasan. Picitan hidung mangsa mengakibatkan mangsa terpaksa bernafas menggunakan mulut, akan tetapi, disebabkan mereka menuang air di dalam mulut pesakit, pesakit akan mengalami refleks kelemasan, sama seperti apa yang dirasai oleh mangsa-mangsa yang diseksa melalui teknik waterboarding.

Semasa ditemubual, mereka mengatakan masa diambil untuk pesakit maut adalah diantara 30 – 45 minit. Air yang akhirnya masuk ke dalam paru-paru pesakit akan diklasifikasikan sebagai pulmonary oedema, di mana pakar forensik sememangnya tidak akan dapat membezakan sama ada air yang terkandung dalam paru-paru pesakit itu merupakan pulmonary oedema atau air paip.

Untuk pengetahuan anda, pulmonaru oedema adalah satu keadaan di mana para pesakit mulai lemas akibat bendalir yang mulai keluar dan menutup ruang alveolus di dalam paru-paru pesakit. Pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida akan tidak berlaku akibat kewujudan lapisan cecair ini, yang seringkali berlaku bagi pesakit jantung. Dalam kes ini pula, air paip yang dituang ke dalam mulut pesakit akan mereka sedut ke dalam paru-paru akibat kelemasan. Hal ini menyebabkan kadar oksigen di dalam badan mereka mulai menurun, dan pesakit akan maut akibat hypoxia, iaitu kekurangan oksigen di dalam darah mereka.

Di saat-saat akhir sebelum kegiatan mereka terbongkar, mereka mulai merasakan diri mereka berkuasa, ibarat Tuhan yang menentukan pesakit mana yang patut mati dan pesakit mana yang patut hidup. Kegiatan mereka terbongkar apabila seorang doktor terdengar perbualan mereka sesama sendiri yang begitu bangga dengan jumlah mangsa yang mereka berjaya bunuh tanpa tertangkap semasa mereka berbual di dalam pantri di hospital berkenaan.

Setelah tertangkap apabila hasil autopsi mayat yang selepas itu lebih menumpukan untuk membezakan cecair di dalam paru-paru mayat sama ada disebabkan pulmonary oedema atau air paip, mahkamah kemudiannya membicarakan kes ini pada tahun 1991, di mana 2 daripada mereka dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan dua daripada mereka penjara beberapa tahun.

Mereka mengakui membunuh sebanyak 42 orang pesakit, walau bagaimanapun, pihak penyiasat meletakkan jumlah mangsa sebenar adalah seramai lebih daripada 200 orang. Akibat semasa hukuman dijatuhkan, dan ketika itu pihak mahkamah Austria memperuntukkan penjara seumur hidup paling maksimum adalah 15 tahun, pada tahun 2008, kesemua daripada mereka telahpun dibebaskan. Hal ini membangkitkan kemarahan rakyat di Austria, yang mana setiap pesalah ini terpaksa menukar identiti mereka yang baru bagi mengelakkan mereka dibunuh oleh orang awam yang merupakan saudara-mara mahupun waris kepada pesakit yang dibunuh.

Kejadian sama berlaku di hospital yang terletak di Amerika Syarikat apabila seorang jururawat lelaki bernama Charles Cullen mendapat jolokan nama pembunuh bersiri paling ramai dalam sejarah Amerika Syarikat, di mana dia membunuh lebih daripada 400 orang di beberapa hospital yang berbeza sepanjang tempoh perkhidmatannya selama 16 tahun.

Charles Cullen dijatuhi hukuman penjara sampai mati (6 x seumur hidup) atas jenayah yang dilakukan bermula tahun 2006. Walaupun semasa ditemubual buat julung kalinya, Charles tidak mengaku menjadi seorang pembunuh sebaliknya dia menyatakan bahawa perbuatannya itu adalah untuk menghilangkan seksaan pesakit terminal.

Sememangnya bekerja di hospital kerajaan merupakan salah satu pekerjaan yang sungguh memenatkan serta stress menghadapi pelbagai kerenah pesakit yang inginkan perhatian yang lebih daripada seseorang, Bancian yang dilakukan di sleuruh dunia pada tahun 2016 meletakkan staf dan kakitangan hospital seperti doktor perubatan mempunyai stress level yang amat tinggi, bersama dengan profesion seorang guru, polis dan juga jurutera.

Tetapi, walau bagaimana tinggi sekalipun tahap stress itu kepada seseorang, hal ini tidak bermakna seseorang itu mendapat kebenaran untuk membunuh orang hanya kerana dia sangkakan seseorang itu patut mati kerana terseksa dengan penyakit yang mereka alami, atau mereka membunuh demi mengurangkan tahap tekanan dalam pekerjaan mereka sendiri.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.