Angkasawan Pun Menonton Filem Dari ISS!

573

Sebut saja angkasawan, kita sudah terbayang nama Dr Sheikh Muszaphar Shukor, Neil Armstrong dan Yuri Gagarin. Mereka merupakan antara puluhan angkasawan yang sudah berada di angkasaraya atas nama manusiawi.

Dan bagi yang bekerja di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), antara tugas mereka ialah membuat kajian dan penyelidikan dalam mana-mana bidang dari biologi hinggalah botani. Di sebalik tugas yang kadangkala melelahkan, masih ada masa untuk mereka menenangkan fikiran dan menghiburkan diri mereka.

Terima kasih kepada permohonan yang dibuat oleh Mark Novak dari Paleofuture kepada kerajaan US melalui Akta Kebebasan Maklumat pada tahun 2016, kini orang ramai sudah tahu apa filem dan siri televisyen yang ditonton angkasawan pada masa lapang mereka. Selalunya, filem dan siri televisyen ditonton melalui skrin kecil gajet mereka. Tetapi pada tahun 2015, sebuah projektor berdefinisi tinggi dan skrin berukuran 65 inci dipasang di ISS.

Selain untuk menonton filem, ia juga digunakan untuk berkomunikasi dengan keluarga atau berkomunikasi dengan Misi Kawalan. Maklumat berkenaan sistem hiburan baru ISS ini didedahkan oleh komander stesen Scott Kelly yang menghantar twit mengandungi gambar skrin yang menayangkan filem sains fiksyen thriller arahan Alfonso Cuaron, Gravity. Tak percaya? Boleh lihat gambar twit yang dinyatakan di bawah.

Rajah 1: Gambar skrin 65 inci yang dinyatakan oleh Scott Kelly dalam twitnya. Sumber: https://www.businessinsider.my/how-astronauts-watch-movies-at-the-international-space-station-2016-7/?r=US&IR=T

Jadi bagaimana mereka hendak mendapatkan filem-filem yang ditonton? Menurut jurucakap NASA, Stephanie Schierholz, angkasawan boleh memesan filem yang mereka mahukan dan ia akan dihantar melalui kenderaan-kenderaan kargo (kargo dibawa mengikut had muatan yang dibenarkan). Tambah Schierholz, DVD filem dan siri televisyen, cakera padat muzik dan buku merupakan aspek penting dalam memberi sokongan psikologi kepada para angkasawan semasa menjalani misi jangka panjang.

Bagi peminat filem dan siri televisyen bercorak pengembaraan angkasa lepas, pilihannya sudah tentu dari francais Star Wars dan Star Trek hinggalah Gravity dan Oblivion. Atau bagi yang menggemari gabungan cerita angkasa lepas dengan genre fantasi, thriller atau aksi, memang sah peminat francais Aliens, Battleship dan Guardians of the Galaxy.

Ironinya, satu filem bercorak angkasa lepas tiada dalam senarai permintaan angkasawan ialah filem Apollo 13 yang diarah oleh Ron Howard. Bagi yang kurang arif, Apollo 13 diadaptasi dari kisah benar ekspedisi bulan Apollo 13 NASA termasuk cubaan mereka untuk hidup dan kembali ke bumi dengan selamat.

Bagi penggemar kisah fantasi, tak sah jika tidak diselitkan francais Harry Potter, francais Lord of the Rings dan The Hobbit, Men in Black dan Avatar. Bagi pencinta filem romantis, pasti ada yang tersengih melihat Love Actually, Silver Linings Playbook dan Crazy, Stupid, Love.

Manakala bagi penggemar filem aksi atau thriller, pasti ada yang jadi gila menonton francais James Bond dari Dr No hingga Skyfall, Mission Impossible dan Top Gun. Bagi penggemar filem sejarah, pasti menantikan filem-filem seperti The Last Samurai, Fury, Saving Private Ryan dan W.

Rajah 2: Antara filem yang disiarkan di ISS ialah Mission Impossible III. Sumber: https://www.theworkprint.com/a-look-back-mission-impossible-iii-2006/123

Yang pasti dengan seleksi filem dan siri televisyen yang dinyatakan, ia menjadikan masa senggang para angkasawan ini terisi dengan hiburan sebelum meneruskan kerja mereka.

Jadi setiap kali anda nak menonton filem seperti Mission Impossible: Fallout, Avengers: Infinity War atau Venom, ingatlah di satu tempat di ISS, ada angkasawan sedang melakukan perkara sama… di angkasa lepas.

SUMBER

1. Sundermier, Ali. (2016). Here’s one way that astronauts keep themselves entertained in space. Business Insider. https://www.businessinsider.my/how-astronauts-watch-movies-at-the-international-space-station-2016-7/?r=US&IR=T

2. Hamer, Ashley. (2018). Yes, NASA Astronauts Can Watch Movies in Space. Curiosity. https://curiosity.com/topics/yes-nasa-astronauts-can-watch-movies-in-space-curiosity/

3. Novak, Matt. (2016). The Complete List of Movies and TV Shows On Board the International Space Station. Gizmodo. https://paleofuture.gizmodo.com/the-complete-list-of-movies-and-tv-shows-on-the-interna-1782918945

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.