Android VS IOS

932

Mobile Operating System (OS) merupakan salah satu komponen terpenting dalam anatomi telefon pintar (smartphone) dan tablet pada hari ini. Ketiadaan sistem ini tidak akan membolehkan sesuatu telefon pintar beroperasi.

Selain OS, telefon pintar memerlukan komponen terpenting lain seperti ‘Hardware’ yang mengandungi ‘motherboard’, bateri, rangka telefon, skrin, dan camera. Telefon pintar juga memerlukan ‘Software’ yang terdiri daripada aplikasi asas seperti aplikasi sms, galeri, kalkulator ataupun aplikasi media sosial seperti Facebook, Youtube, Twitter, dan Instagram.

Ketiga-tiga komponen iaitu ‘Hardware’, ‘Operating System’ dan ‘Software’ merupakan sistem yang dibina secara berasingan oleh beberapa syarikat berbeza. Namun, terdapat juga syarikat yang mampu membina 2 atau 3 komponen secara bersendirian seperti syarikat Apple.

Sebagai contoh, komponen ‘Hardware’ telefon pintar jenama Samsung dibina oleh syarikat Samsung Corporation. Telefon pintar Samsung menggunakan ‘Operating System’ jenis Android yang dicipta oleh konsortium syarikat Open Handset Alliance dan syarikat Google. Selepas itu, pengguna telefon pintar Samsung melayari aplikasi ‘software’ seperti Facebook yang dicipta oleh syarikat Facebook Inc.

Antara OS yang wujud pada hari ini adalah Android, iOS, Tizen, Sailfish OS, Ubuntu Touch dan lain-lain. Dari sudut perkongsian pasaran (Market Share), hanya dua jenis OS sahaja yang menguasai hampir keseluruhan pasaran iaitu Android dengan peratusan sebanyak 86.1% dan 13.6% untuk iOS pada tahun 2019.

Android adalah OS keluaran konsortium Open Handset Alliance dan dimiliki oleh Google Inc. Pada tahun 2005, Google Inc telah membeli syarikat Android Inc dengan nilai kira-kira $50 juta USD. Android Inc telah diasaskan oleh Andy Rubin dan 3 rakan yang lain pada tahun 2003.

Selepas Google mengambil alih Android Inc, Google telah menaja pembangunan OS Android yang diketuai oleh Andy Rubin sehingga OS Android berjaya dihasilkan pada penghujung tahun 2007 dan dipasarkan secara rasmi pada tahun 2008. Menurut rekod, terdapat 2.5 bilion pengguna aktif OS Android di seluruh dunia pada setiap bulan pada tahun 2019.

Pada 3 September 2019, Android telah melancarkan OS versi ke-17 yang dikenali sebagai Android 10. Dijangka Android 11 akan dilancarkan pada tahun ini. Pesaing terkuat Android iaitu iOS adalah OS ciptaan Apple Inc. Berbeza dengan Android, iOS merupakan OS yang lebih eksklusif dan elegan.

Hal ini demikian kerana, iOS hanya digunakan oleh telefon pintar keluaran syarikat Apple Inc sahaja manakala Android digunapakai oleh pelbagai jenama telefon pintar seperti Samsung, Huawei, Oppo, Lenovo dan lain-lain.

Versi pertama iOS dilancarkan pada tahun 2007, setelah Apple melancarkan telefon pintar Iphone generasi pertama. Dengan perkongsian pasaran OS kedua terbesar dibelakang Android, iOS mencatatkan jumlah pengguna aktif seramai 1.5 bilion setakat tahun 2019.

Pada 19 September 2019, iOS telah melancarkan OS versi terbaharu yang dinamakan sebagai iOS 13. Seperti Android, iOS akan mengeluarkan versi terbaharu (iOS 14) pada tahun 2020 setelah pengumuman dibuat pada 22 Jun yang lepas.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.