ANDREAS Emil Lange mungkin satu nama yang agak asing bagi kita di Sarawak namun begitu ada ceritera sejarah mengenai individu ini yang begitu menarik untuk kita ketahui.  Ketika zaman Brooke memerintah Sarawak hampir 100 tahun lamanya, bukanlah sesuatu yang pelik apabila tiga tuan rajah memilih untuk mengambil ramai bangsa Eropah bekerja sebagai penjawat awam di Sarawak.  Dan salah seorang daripadanya adalah yang bernama Andreas Emil Lange iaitu yang menjadi setiausaha sulit kepada Tuan Rajah Sir Charles Brooke.

Dilahirkan pada tanggal 13hb September 1850 di Badong, Bali, Andreas merupakan anak kepada seorang hartawan berbangsa Denmark yang bernama Mads Johansen Lange. Ayahnya adalah seorang hartawan serta individu yang amat dihormati di Bali suatu ketika dahulu kerana merupakan wakil Belanda di Bali atau dipanggil  “Punggawa Besar Bali”.  Dengan kedudukannya sebagai seorang ahli perniagaan yang menjadi pengeksport utama hasil-hasil dari Bali seperti rempah-ratus, beras dan daging lembu ke benua Eropah, Mads Lange juga merupakan pengimport senjata dan tekstil untuk sebilangan pemerintah kerajaan-kerajaan kecil yang ada di Bali pada ketika itu.

Kedudukan Mads Johansen Lange yang diterima di Bali sebenarnya mempunyai perkaitan dengan perkahwinannya dengan seorang puteri kepada salah seorang Raja di Bali iaitu Kerajaan Tabanan.  Puteri asli dari Kerajaan Tabanan itu adalah yang bernama Nyai Kenyer dan beliaulah ibu kepada William Peter Lange dan Andreas.

Dalam pada itu mungkin timbul lagi satu persoalan apakah pula perkaitan seorang penjawat awam Brooke ini dengan kerabat diraja Johor? Sebenarnya jika kita mengorek ceritera sejarah dulu-dulu, Kerajaan Johor pernah mempunyai seorang Sultan yang mendapat pengiktirafan sebagai Sultan Johor era moden yang pertama yakni Sultan Sir Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah ibni Almarhum Tun Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim.  Baginda memerintah negeri Johor dari tahun 1862 hingga 1895.

Sejarah lama negeri Johor Darul Takzim juga turut mencatatkan bahawa baginda mempunyai empat orang isteri dan isteri keduanya itu bernama Enche’ Besar Zubaidah binti Abdullah. Sebelum memeluk Islam, Enche’ Besar Zubaidah bernama Cecilia Catherine Lange merupakan puteri kepada Mads Johansen Lange.  Jika pada awal artikel ini menceritakan mengenai ibu kepada Andreas iaitu Nyai Kenyer, puteri Kerajaan Tabanan untuk Enche’ Besar Zubaidah pula ibunya merupakan isteri kedua kepada Mads Johansen Lange iaitu yang bernama Nona Sang Neo, seorang wanita berketurunan Cina dari Bali.  Dari hasil perkahwinan Mads dengan Nona Sang Neo inilah lahirnya satu-satunya puteri di dalam keluarga Lange.

Difahamkan setelah kematian ayah kepada Andreas dan Enche’ Besar Zubaidah akibat diracun, perniagaan keluarga Lange malah pengaruh turut sama semakin kurang sehingga menyebabkan kesemua harta dan perniagaan mereka terpaksa dijual kepada ahli-ahli perniagaan Cina di Bali.  Atas sebab-sebab itulah adalah tidak menghairankan sekiranya seorang anak hartawan yang bernama Andreas Emil Lange akhirnya memilih untuk bekerja sebagai seorang penjawat awam di Sarawak iaitu setiausaha sulit selama lebih 18 tahun berkhidmat kepada Tuan Rajah Sir Charles Brooke.

Walau dilahirkan di Bali, ketiga-tiga anak-anak Mads Johansen Lange dihantar mendapat pendidikan di negara Singapura. Andreas sendiri merupakan mantan pelajar di Raffles Institute, Singapura.  Beliau yang berkahwin dengan Ayan Jane Lange, seorang wanita kacukan eropah dan tempatan yang dilahirkan di Pahang pada tahun 1857.  Perkahwinan mereka dikurniakan dengan 12 orang cahayamata.  Andreas  meninggal dunia pada tanggal 12 September 1909 ketika usianya 58 tahun.  Jasadnya disemadikan di Negara Singapura dan begitu juga isterinya, Ayan.  Difahamkan sehingga sekarang keturunan keluarga Lange sudah menjadi rakyat Singapura mahupun Australia.

Bilamana melihat sejarah ini adalah tidak menghairankan bagaimana Raja Permaisuri Agong Malaysia sekarang iaitu yang amat kita cintai DYMM Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Allalah Sultan Iskandar Al-Haj turut pernah memuatnaik di laman twitter baginda bahawasanya Sarawak era Brooke cukup dekat dengan keluarganya.  Ini kerana moyangnya melalui kekanda kepada Enche’ Besar Zubaidah binti Abdullah iaitu Andreas Emil Lange yang pernah bekerja di Sarawak sewaktu Brooke berkuasa dahulu.

Begitulah ceritanya seorang mantan setiausaha sulit kepada Tuan Rajah kedua Sarawak era Brooke yang secara tidak langsung memberikan kita cerita keluarga dari satu kerajaan kuno yang bergelar Kerajaan Tabanan di Bali sehingga kepada Kerajaan Johor sekarang.

Dari laman mukabuku cicit kepada Sir Charles Brooke iaitu Jason Desmond Anthony Brooke ada menceritakan bahawa melalui satu surat Tuan Rajah Charles mencatitkan bahawa Andreas Emil Brooke sebagai “zealous in his duty, painstaking and trustworthy”.

-HB-

#kameksayangSarawakBah!

RUJUKAN:

  1. Sejarah Tabanan. http://kritisfrombali.blogspot.com/2011/07/sejarah-tabanan.html
  1. Kesultanan Johor: Gelaran Yang Amat Mulia Enche Besar. http://kesultananjohor.blogspot.com/2011/01/gelaran-yang-amat-mulia-enche-besar.html
  1. Jason Desmond Anthony Brooke FB. https://www.facebook.com/jbrookesarawak/posts/delightful-tea-and-chat-on-family-and-history-with-her-majesty-tunku-azizah-quee/2149361661825811/
  1. The White Rajah Of Bali. https://www.baliadvertiser.biz/white_radja/

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.