Anda Mampu Kalahkan Beth Harmon Dalam Queens Gambit?

1,090

Catur telah wujud sejak dari kurun ke-6 lagi. Dipercayai berasal dari salah satu tamadun awal di India, tiada siapa menyangka bahawa catur masih mampu kekal bertahan dan relevan sehingga ke hari ini.

Dengan lambakan permainan atas talian seperti Mobile Legend dan FIFA, catur juga mula dijadikan permainan digital, dengan laman web catur atas talian mula bertambah, seperti chess.com dan lichess, yang membolehkan peminat catur diseluruh dunia berkumpul dan bertarung sesama mereka.

Catur atas talian memiliki peminat dan penggunanya yang tersendiri. Bagi sesiapa yang tidak pernah bermain catur, catur atas talian dilihat sebagai satu loncatan yang agak baik untuk mereka mula belajar asas-asas catur. Disamping itu, catur atas talian juga menyediakan sistem ranking yang membolehkan pemain bermain bersama dengan mereka yang berada pada tahap kemahiran yang sama dengan mereka.

Fenomena catur atas talian juga sebenarnya bukanlah satu fenomena yang baru. Dengan berlakunya pandemik Covid-19 di seluruh dunia, kebanyakan negara mengadakan lockdown dan hasilnya, ramai orang terperap di rumah mereka, dan permainan atas talian adalah antara penghilang kebosanan mereka.

Fenomena catur atas talian juga boleh dikreditkan kepada beberapa selebriti catur sendiri yang menghidupkan semula nama catur. Pemain catur professional seperti Magnus Carlsen, jaguh dunia, dan Hikaru Nakamura, jaguh catur dari Amerika Syarikat, telah menjadi antara tumpuan utama dunia catur kerana mereka rajin membuat live session atau stream sesi mereka bermain catur, sama ada di Twitch atau di laman catur itu sendiri. Selain itu, turut muncul beberapa selebriti catur lain sepanjang lockdown ini, seperti IM Levy Rozman, IM Eric Rosen, GM Ben Finegold dan adik beradik Botez (Botez Sisters, Alex dan Andrea).

Dan kini, satu lagi faktor telah merancakkan populariti catur: Elizabeth Harmon.

Elizabeth Harmon merupakan watak fiksyen dalam drama bersiri terbitan Netflix dan mula disiarkan sekitar bulan lepas. Drama yang bertajuk The Queen’s Gambit itu merupakan adaptasi dari novel dengan tajuk yang sama, yang berkisarkan perjuangan seorang pemain catur professional wanita pada zaman catur didominasi oleh kaum lelaki.

Watak Beth yang dibawa oleh Anya Taylor-Joy merupakan satu fenomena, dan inii dapat dilihat apabila The Queen’s Gambit menjadi antara rancangan paling banyak ditonton di Netflix dan mendapat rating yang agak tinggi (8.8/10) di laman IMDB.

Bahana dari The Queen’s Gambit, menurut npr, telah menyebabkan papan catur menjadi antara permainan yang amat popular dan dicari  atas talian. Laman sesawang e-Bay menunjukkan penambahan hampir 215% penjualan permainan catur dan aksesori semenjak The Queen’s Gambit membuatkan catur menjadi terkenal.

“Enam bulan yang lepas, tiada sesiapa pun yang bercakap mengenai manambah stok set catur”, ayat dari seorang penganalisis alat permainan, Gerrick Johnson yang menjangkakan permintaan akan melebihi stok yang sedia ada.

Sekiranya anda masih baru dan tertarik untuk belajar bermain catur, anda boleh mula belajar di laman sesawang chess.com, kerana laman ini agak mesra pengguna, dengan bantuan kepada pemain baru dari aspek teknikal dan bantuan berlawan dengan komputer (Bot), terutamanya bagi mereka yang takut untuk bertarung dengan orang sebenar secara atas talian.

Dan untuk peminat The Queen’s Gambit, ini ada satu “hadiah” untuk anda.

Laman sesawang chess.com telah menganalisa The Queen’s Gambit dan membawa satu set Bot Beth Harmon. Set Bot itu terdiri daripada Beth Harmon sewaktu dia berumur 8 tahun, 9 tahun, 10 tahun, 15 tahun, 17 tahun, 20 tahun dan 22 tahun. Sekiranya anda menonton The Queen’s Gambit dari mula, usia Beth merujuk kepada kemahiran Beth, di mana pada 8 tahun Beth mula belajar bermain catur, Beth berlawan di sekolah pada usia 10 tahun dan Beth mula bermain catur di kejohanan pada usia 15 tahun.

Sekiranya anda berminat untuk bertarung dengan juara catur Netflix ini, anda boleh klik link ini. Setakat ini, penulis masih kalah dengan Beth Harmon pada usia 10 tahun. Aduh.

RUJUKAN:

“Can’t Find a Chess Set? You Can Thank ‘The Queen’s Gambit’ For That.” (2020) National Public Radio. https://www.npr.org/2020/11/20/936732591/cant-find-a-chess-set-you-can-thank-the-queens-gambit-for-that#:~:text=eBay%20registered%20a%20215%25%20increase,that%20demand%20will%20outstrip%20supply

“Hit Netflix show ‘The Queen’s Gambit’ will speed up chess ‘boom,’ say grandmasters.” (2020) CNN. https://edition.cnn.com/2020/11/19/sport/the-queens-gambit-netflix-chess-garry-kasparov-judit-pogar-spt-intl/index.html

“The Queen’s Gambit” (2020) IMDB. https://www.imdb.com/title/tt10048342/

“The Queen’s Gambit” (2020) Netflix. https://www.netflix.com/my-en/title/80234304?source=35

“‘The Queen’s Gambit’ sparks fresh interest in chess.” (2020) The Star. https://www.thestar.com.my/lifestyle/entertainment/2020/11/09/039the-queen039s-gambit039-sparks-fresh-interest-in-chess

“Play Chess With Beth Harmon from The Queen’s Gambit.” (2020) chess.com. https://www.chess.com/news/view/play-beth-harmon

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.