The best way for studios to combat the ‘Rotten Tomatoes Effect’ is to make better movies, plain and simple.”

 – Paul Dergarabedian

Pada tahun 2017, kebanyakan studio Hollywood melihat Rotten Tomatoes, iaitu pengulas filem dan televisyen Amerika Syarikat sebagai sebuah ancaman dalam pemasaran mereka.

Pada tahun 2017, filem blockbuster seperti Pirates of the Caribbean: Dead Men Tell No Tales, Baywatch dan The Mummy menganggarkan menerima keuntungan kasar masing-masing sebanyak $90 juta, $50 juta dan $45 juta. Tetapi akhirnya mereka masing-masing hanya memperoleh $62.6 juta, $23.1 juta dan $31.6 juta kerana Rotten Tomatoes memberikan markah yang cukup rendah untuk filem-filem tersebut; masing-masing 30%, 19% dan 16%.

20th Century Fox mengambil berat tentang hal ini, lalu melakukan kajian yang berjudul “Rotten Tomatoes and Box Office” yang menyatakan bahawa gabungan Rotten Tomatoes dan sosial media akan memberikan impak yang besar kepada perniagaan filem. Mengikut dapatan kajian oleh studio-studio lain, sebanyak 7 daripada 10 orang sekitar umur 25 tahun dan ke bawah akan kurang berminat dengan sebuah filem yang mempunyai markah rendah oleh Rotten Tomatoes.

Kesimpulan penting di sini ialah, filem yang mendapat markah rendah oleh Rotten Tomatoes mungkin menarik bagi diri anda, tetapi anda memilih untuk tidak menontonnya kerana pengaruh Rotten Tomatoes – Keputusan anda dipengaruhi oleh persekitaran anda.

Interstellar merupakan filem arahan Christopher Nolan (pengarah popular di Hollywood) yang pernah ditonton oleh penulis. Apabila penulis melakukan sedikit pemerhatian, penulis mendapati filem-filem Nolan mendapat maklum balas dan ulasan yang baik. Kemudian, penulis berhajat untuk menonton filem Dunkirk – Sebuah lagi filem yang pernah heboh diperkatakan oleh rakyat Malaysia.

Sewaktu menonton, tidak sampai separuh daripada durasi filem tersebut, penulis merasakan filem ini sangat membosankan. Sama juga seperti filem Star Wars; sangat popular dan rata-ratanya mendapat maklum balas yang baik, tetapi penulis tidak dapat meneruskan menonton filem ini kerana sukar memahami plot ceritanya.

Mungkin anda pernah menghadapi situasi ini – Indah khabar daripada rupa menurut cita rasa anda. Cita rasa setiap orang tidak sama, tetapi ulasan orang terhadap sesuatu kerap mempengaruhi kita dalam membuat keputusan. Sebelum anda mahu menempah hotel secara atas talian (online), setiap hotel yang dipaparkan di enjin carian Google akan memaparkan kadar bintang, markah ataupun ulasan tentang hotel-hotel tersebut.

Kadar markah dan ulasan ini semua mempengaruhi keputusan anda untuk menempah hotel yang terbaik untuk keluarga anda. Mahu ataupun tidak, faktor-faktor ini akan menjadi pemberat kepada anda dalam membuat keputusan, daripada sekecil-kecil urusan sehinggalah sebesar-besar urusan.

Lebih memberikan kesan apabila filem, ahli politik ataupun selebriti yang memberikan ulasan dan mempromosi. Ataupun munculnya isu-isu tertentu yang menjadi sebutan orang ramai yang sekali gus turut mempromosi suatu produk.

Perkara ini merupakan salah satu daripada pembelajaran sosial. Seperti eksperimen Patung Bobo yang menunjukkan kanak-kanak belajar daripada tingkah laku orang dewasa, anda sebagai seorang dewasa juga belajar sesuatu daripada tingkah laku orang lain untuk bertindak ataupun membuat keputusan yang selari dengan kemahuan anda.

Hal yang menarik tentang kadar markah ataupun ulasan bagi filem, hotel, restoran, syarikat dan pasar raya ialah ulasan pertama yang terpapar. Sean Taylor dari Facebook pernah melakukan kajian untuk mengenal pasti pengaruh ulasan sedia ada kepada ulasan paling terkini. Beliau mendapati sekiranya kita memanipulasi ulasan kita supaya menyokong ulasan pertama, kecenderungan untuk lebih banyak menyokong ulasan pertama itu lebih tinggi.

Corak seperti ini boleh diperhatikan di media sosial, terutamanya Facebook. Katakanlah terdapat sebuah jualan barangan gadget lalu di garis masa (timeline) laman Facebook anda. Anda tidak tahu sama ada kualiti barang yang dijual itu bagaimana. Adakah barangnya bagus? Adakah harganya berpatutan? Anda tidak tahu.

Sudah tentu anda akan melihat di bahagian komen untuk menjawab persoalan berkenaan barangan jualan tersebut. Kebetulan, komen pertama yang anda jumpa menyatakan barang yang dijual tidak bagus. Kemudian, ada komen susulan yang menyokong komen pertama. Hal ini tuntas akan memudahkan anda membuat keputusan untuk tidak membeli barang tersebut.

Selepas menonton Justice League, mungkin anda beranggapan bahawa filem ini begitu menarik pada anda, tetapi setelah membaca ulasan yang menunjukkan sebaliknya, mungkin anda akan mula berpendapat bahawa filem ini tidaklah menarik seperti yang anda sangkakan. Mungkin Nasi Lemak Ali begitu menyelerakan bagi anda sehinggalah ulasan tular yang menyatakan sebaliknya beberapa minggu selepas itu membuatkan anda meragui kesedapan Nasi Lemak Ali.

Sebuah kajian dilakukan di Weizmann Institute of Scienceoleh Micah Edelson, Yadin Dudai dan Tali Sharot untuk menguji pengaruh sekeliling terhadap penilaian manusia. Subjek diminta untuk menonton sebuah dokumentari yang berdurasi 40 minit. Dokumentari tersebut memaparkan tentang konflik antara pegawai polis dan imigran tidak berdaftar.

Setelah menonton dokumentari tersebut, subjek diminta untuk menjawab 320 soalan. Antara soalan yang dikemukakan adalah berkenaan ciri-ciri watak dalam dokumentari itu seperti baju seragam polis, baju imigran yang ditangkap, jumlah pegawai yang beroperasi dan sebagainya. Setelah itu, kesemua subjek diminta pulang dan datang semula ke makmal beberapa hari kemudian.

Bayangkan anda merupakan salah seorang subjek yang terlibat. Setelah menonton dokumentari dan menjawab beratus-ratus soalan, anda datang semula ke makmal. Anda diminta untuk menjawab kembali soalan-soalan tersebut, tetapi sebelum anda menjawab soalan tersebut, anda akan mendengar jawapan daripada subjek-subjek lain.

Tanpa pengetahuan anda, jawapan yang diberikan oleh subjek-subjek lain adalah palsu dan disengajakan kepalsuan itu berlaku. Menurut kajian ini, sebanyak 70% kekerapan manusia akan mengikuti jawapan palsu itu walaupun anda yakin bahawa itu bukan jawapannya. Tetapi keyakinan itu berkecai apabila dipengaruhi oleh jawapan daripada majoriti.

Eksperimen ini tidak jauh beza seperti yang pernah dilakukan Asch pada tahun 1951 – Pendapat kelompok dapat menjadi pemberat dan memberikan pengaruh kepada pendapat anda sebagai individu. Kajian dari Weizmann Institute of Science itu diteruskan dengan meminta subjek menjawab lagi sekali soalan-soalan tersebut dan subjek telah pun diberitahu bahawa jawapan yang diberikan oleh subjek-subjek lain adalah palsu.

Pada ketika ini, separuh daripada subjek kajian mengalami kekeliruan kerana jawapan palsu itu masih tersangkut dalam ingatan mereka. Apabila ditanya adakah jawapan palsu itu mempengaruhi mereka, sekeras-kerasnya mereka menafikan.

Ulasan ataupun pendapat orang lain tentang suatu perkara mudah menjadi pemberat kepada penilaian kita kerana bukan sahaja kita memerhatikan apa yang orang lain pilih, malah kita turut memerhatikan apa akibatnya apabila mereka melakukan pilihan tersebut ataupun penilaian tersebut.

Perkara ini tidaklah terpakai dalam semua perkara kerana terdapat perkara yang sangat subjektif, contohnya filem. Mungkin pada pendapat majoriti, filem Avengers adalah terbaik, tetapi mungkin tidak pada diri anda. Pada pendapat orang lain, mungkin Nasi Goreng Barratidaklah begitu menyelerakan, tetapi berbeza pula untuk cita rasa anda.

Walau bagaimanapun cita rasa anda, anda akan sentiasa memikirkan serta menilai tindakan dan pendapat orang lain supaya dapat menyelaraskan tindakan dan penilaian, sesuai dengan matlamat anda. Hal ini dikenali sebagai Theory of Mind – Kemampuan manusia untuk berfikir apa yang orang lain fikir.

Secara jelasnya, anda tidak mampu membaca fikiran orang lain. Tetapi anda mampu meramalkan apa yang orang lain fikir melalui situasi dan tindakannya. Anda akan sentiasa bertindak dan menilai berdasarkan apa yang bos, pasangan, ibu bapa, kawan rapat dan rakan sekerja anda fikir.

Semasa menulis bab ini, penulis sentiasa memikirkan apa yang pembaca fikir apabila membaca topik ini. Apabila anda melunaskan suruhan ibu bapa anda, anda akan sentiasa fikir apa yang mereka fikir ketika anda menjalankan suruhan tersebut supaya selari dengan kehendak mereka. Setibanya hari ulang tahun kelahiran anda, anda akan sentiasa fikirkan apa yang pasangan anda fikir untuk meraikan hari bermakna itu.

Bayangkan pasangan anda ingin membelanja makan di restoran Seoul Garden. Sejurus mendapat pelawaan tersebut, anda telah memulakan kemampuan Theory of Mind dalam diri untuk menyelidik motif pasangan berkelakuan sedemikian – Anda mula memikirkan mengapa pasangan anda mahu membelanja di tempat yang mahal.

Setelah membuat pelbagai jangkaan, anda bergegas membelikan sebuah hadiah kerana menurut anda, pasangan anda ingin membelanja di Seoul Garden adalah untuk menyambut hari ulang tahun perkahwinan. Setelah sampai di tempat kejadian, rupanya pasangan anda mahu menyambut kejayaan anda kerana telah berjaya memperoleh kerja yang lebih baik.

Bayangkan sekali lagi anda ditugaskan oleh bos anda untuk menyiapkan sebuah laporan. Ketika menyiapkan laporan tersebut, anda perhatikan rakan sekerja di satu jabatan dengan anda dimarahi oleh bos. Pada ketika ini, anda telah memulakan kemampuan Theory of Mind untuk menyelidik kenapa bos anda memarahi rakan sekerja anda.

Anda dimaklumkan, rakan sekerja yang dimarahi itu turut mendapat tugasan yang sama dengan anda. Apabila memerhatikan kejadian tersebut, dengan kemampuan Theory of Mind, anda akan memastikan kerja diselesaikan dengan baik supaya dapat memenuhi kepuasan bos anda.

Seterusnya, bayangkan anda tiba-tiba menghadapi kesesakan jalan raya di jalan yang sangat jarang mengalami kesesakan. Anda tidak mempunyai lesen memandu dan hal ini meresahkan anda sekiranya kesesakan jalan raya ini adalah akibat daripada semakan jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Maka, anda membuat keputusan untuk mengambil jalan yang lebih jauh untuk pulang ke rumah walaupun hakikatnya tiada sebarang semakan JPJ yang berlaku.

Hasilnya, anda dapat mempelajari bahawa anda perlu berhati-hati apabila menggunakan pilihan orang lain sebagai pemberat untuk membuat keputusan dalam hidup. Selalunya, anda masih dapat elakkan pengaruh ini dan ia sentiasa berada dalam pengawasan anda.

Oleh itu, anda perlu sentiasa sedar apa hakikat yang berlaku, bukan sekadar memerhati berdasarkan permukaan. Apa yang anda nilai berdasarkan kemampuan Theory of Mind mungkin silap dan mungkin juga benar. Apa yang orang ulas dan kadar markah yang sentiasa terpapar di internet mungkin tidak tepat seperti yang anda jangkakan.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Zamir Mohyedin merupakan penyelidik di i-Made, Institut Sains, UiTM. Mempunyai kepakaran dalam bidang fizik keadaan pepejal dan fizik bahan. Telah mengarang tujuh buah buku yang berkaitan dengan fizik, falsafah dan psikologi. Salah satu buku beliau - Theoretical Mechanics - telah menjadi rujukan di UiTM. Beliau juga telah mengarang beberapa jurnal saintifik.

Comments are closed.