Analisis Siapa Yang Akan Menang Game Of Thrones

299

Lately ni macam tak ada isu politik antarabangsa yang best dikupas. Tarif yang Trump kenakan ke atas China pun isu lama. So bolehlah kita nak lari kejap ke dunia fantasi ‘Game of Thrones’.

Selepas 8 tahun siaran, akhirnya GOT akan tamat dalam 2 episod lagi. Soalan yang ditanya-tanya sejak musim pertama iaitu ‘siapa yang akan menduduki Iron Throne’ bakal dijawab. 

Cerita GOT berbuka dengan kisah Perang Lima Raja (War of the Five Kings) antara Joffrey Baratheon, Robb Stark, Stannis Baratheon, Renly Baratheon dan Balon Greyjoy. Tapi tak ada seorang pun daripada 5 raja ni survive hingga ke musim terakhir. Mereka ni mati samada sebab lurus (Robb Stark), degil (Stannis Baratheon), angkuh (Renly Baratheon), bodoh (Balon Greyjoy) atau jenis memang tunggu masa nak mati (Joffrey Baratheon). 

Jadi sambil kita tonton cerita ini, kita ambil pengajaran daripada mereka ni, terutamanya kalau kita ni kena mainkan peranan pemimpin. Elakkan jadi pemimpin seperti mereka, sebalkinya contohilah 3 watak yang survive hingga ke musim terakhir iaitu Daenerys Targaryen, Jon Snow dan Cersei Lannister.

Daenerys (Dany) ada banyak persamaan dengan pembina dinasti dalam sejarah. Watak Dany ni sebenarnya diilhami oleh Henry Tudor, pengasas Dinasti Tudor di England (1485-1603). Seperti Henry, Dany juga merupakan zuriat dinasti terdahulu yang hidup dalam buangan, menunggu masa untuk klaim balik takhta daripada perampas takhta (usurper).

Iron Throne di Westeros merupakan hak House Targaryen selama 300 tahun sebelum dijatuhkan oleh Robert Baratheon. Seperti Abdul Rahman ad-Dakhil, pendiri Dinasti Umayyah di Andalusia, kesemua ahli keluarga Dany dibunuh, tinggal dia dan abangnya Viserys dapat lari ke Essos. 

Sejak dari kecil Dany hidup merempat dengan abangnya. Dia dijual oleh abangnya kepada orang gasar untuk mendapatkan tentera yang diperlukan untuk merampas balik takhta. Namun abangnya mati, suaminya mati, anak pun keguguran. Dia punya kesian kalah semua watak cerita slot Samarinda. 

Tapi GOT bukan Nur 2. Dany tak ada nangis-nangis tunggu lelaki baik datang menyelamatkan dia. Dia menyahut destininya sebagai satu-satunya pewaris Targaryen. Dengan bantuan 3 ekor naga dia, Dany berubah dari seorang balu menjadi seorang penakluk.

Dany memang ada kualiti pemimpin secara semulajadi (born leader). Semua pembina dinasti memang macam tu. Salah satu sifatnya ialah pandai bermuslihat. Di Astapor, dia berpura-pura nak jual naga dia kepada pemilik hamba. Selepas dia dapat tentera hamba yang dia mahu, dia mengarahkan naga dia membakar pemilik hamba dan guna tentera hamba itu untuk menakluk bandar Astapor, menjadikan ia tapak untuk memperluaskan empayar dia.

Dany tahu apa jenis pengikut yang dia mahu rekrut. Dia membina tentera dari golongan hamba sebab dia tahu hamba ni akan rasa terhutang budi dengan Dany yang membebaskan mereka. Jadi morale tentera Dany lebih tinggi berbanding tentera di bawah mana-mana dinasti di Westeros (kecuali House Stark) yang hanya berperang untuk mempertahankan kedudukan tuan mereka. Jadi tentera hamba Dany (juga dikenali sebagai Unsullied) menjadi aset Dany yang menggerunkan. 

Dany tahu pasal kepentingan pakatan. Siapa saja yang tak puas hati dengan Cersei, Dany mengalu-alukan semua dan serap ke dalam kem dia. Dany juga seorang yang terbuka kepada kritikan dan pendapat para penasihat. Cuma ada masanya, Dany menunjukkan sisi ‘gelap’ dia yang autokratik. 

Ada sekali Tyrion menasihatkan Dany supaya jangan bakar dua jeneral yang tewas, tapi Dany buat juga. Sebab Dany sedar keabsahan autoriti dia lemah. Kalau dia tak guna ‘fear’, nanti orang akan mencabar dia. Walaupun nampak kejam, sebenarnya sifat ini boleh kelihatan di kalangan ramai pemimpin terutamanya penakluk dan pembina dinasti.

Sifat autokratik Dany juga datang daripada kepercayaannya terhadap destini dia. Kepercayaan tentang diri sebagai ‘chosen one’ ini yang menjadi motivasi dia selama ini. Jadi dia tak berapa happy apabila ketahui Jon Snow, sekutu dan kekasihnya sebenarnya ialah anak kepada abangnya Rhaegar yang terkorban semasa pemberontakan Robert Baratheon. Hakikat itu akan menghancurkan motivasi dia dan membuat perjuangan dia kehilangan makna. 

Jon pula ialah ‘accidental leader’. Dalam hidup dia tak pernah cari kuasa, tapi orang lain yang angkat dia jadi pemimpin. 

Berbeza dengan Dany, Jon tak pernah lihat diri ada destini. Dari kecil dia rasa terpinggir dengan kedudukannya sebagai ‘bastard’. Dia ialah anak Rhaegar Targaryen dan Lyanna Stark, adik Ned Stark. Tapi Ned merahsiakan identiti Jon dan membesarkan Jon sebagai anak luar nikah sendiri. 

Rasa diri tak diterima oleh masyarakat, Jon memilih untuk menyertai Night’s Watch menjaga sempadan utara. Anggota Night’s Watch ni kebanyakan terdiri daripada banduan. Mula-mula Jon pun rasa diri macam ‘outsider’, tapi lama-kelamaan, dia mencari tempat di kalangan manusia ‘social outcast’ ini, dan mula membina persahabatan dan reputasi. 

Pemimpin yang efektif ialah mereka yang mempunyai supporter base yang kukuh. Kedua-dua Dany dan Jon memenuhi kriteria ini. 

Jon ialah seorang strategis yang lemah, malah sentiasa menyusahkan rakan-rakan. Tapi itu tidak menghalang dia disayangi. Sebab Jon sentiasa berada di barisan paling hadapan bila bertempur, dan menjadi orang terakhir untuk lari, selepas memastikan rakan-rakan semua dan selamat. Sifat sedia berkorban dan mendahulukan orang lain dia ni membuat ramai selesa dengan kepimpinannya. Dari komander Night’s Watch, Jon kemudian ditabalkan sebagai ‘King in the North’.

Walaupu ada ciri-ciri pemimpin baik, tapi Jon tak pernah tamak kuasa. Dia bersedia untuk melepaskan kuasa dia asalkan matlamat lebih besar dia tercapai. Untuk mendapatkan sumber untuk melawan ancaman zombi di utara, Jon telah melutut kepada Dany (simbol mengakui ketuanan Targaryen ke atas North). Walaupun keputusan itu ditentang oleh sahabat-sahabat Jon sendiri, tapi dia tahu langkah itu adalah perlu demi maslahat umum. 

Pemimpin macam ni rare, dalam sejarah pun banyak wujud di kalangan tokoh keagamaan sahaja, seperti Nabi Musa (Moses), Nabi Isa (Jesus) dan Rasulullah. Mereka bukan tokoh yang paling hebat dalam mengatur strategi dan berpolitik, tapi diangkat pemimpin atas akhlak dan moral. 

George Washington juga antara contoh pemimpin seperti Jon. Washington tak minat dengan pangkat presiden US, lepas 2 penggal terus berundur. Dan itu menjadi precedent kepada semua presiden selepas itu untuk berundur secara automatik selepas 2 penggal. Prinsip hanya akan jadi ikutan apabila pemimpin sendiri menjadi tauladan. 

Cersei ialah watak yang paling dibenci. Tapi kalau kita betul-betul memahami motif dia, sebenarnya apa yang dia buat adalah logik dan ‘necessary’. Semua perancangan jahat yang dia buat adalah untuk melindungi anak-anaknya Joffrey dan Tommen. Cersei sedar ‘power is power’, dalam dunia realpolitik, hanya dengan memiliki kuasa mutlak, baru orang tak berani buli dia. 

Cuma kelemahan Cersei ialah sifat kuat dendam dia membuat dia ni tak ada kawan. Dia langsung tak mewarisi kebijaksanaan ayahnya Tywin dalam membina pakatan. Dalam realpolitik, pembentukan pakatan adalah kunci kepada kejayaan. Cersei hanya mewujudkan lebih ramai musuh, dan musuh-musuh ini semua berpaling ke kem Dany dan memperkuatkan dia. 

Sebab itu Cersei terpaksa berpakat dengan Euron Greyjoy, raja Iron Islands dan menerima lamarannya, dan ini membuat Jaime, satu-satunya orang yang menyokong dia tanpa syarat, rasa terkhianat dan berpaling daripada dia. 

Berdepan dengan ancaman Dany, Cersei jadi tiada cara lain selain mengguna rakyatnya sebagai ‘hostage’ di King’s Landing (ibu negara Westeros) untuk menghalang Dany melancarkan serangan dengan naga. Dalam episod seterusnya, kita akan tengok samada Dany akan teruskan dengan ‘destini’ dia dengan menghancurkan King’s Landing, atau ada strategi yang lebih bijak.

Jadi, kalau berbanding dengan pengajaran ‘leadership’ dalam kelas MBA yang abstrak, sejarah dan fantasi epik seperti GOT memberi leadership lesson yang lebih konkrit dan ‘colorful’. Nak jadi pemimpin seperti Dany, Jon atau Cersei? Bergantung kepada keadaan dan keperluan.

Tapi disebabkan penulis skrip GOT nak sangat buat plot twist, mungkin juga tiada seorang pun daripada 3 ni akan menduduki Iron Throne. Kita find out dalam episod esok pada 9 pagi.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.