Analisis Rakyat Taiwan Menolak Perkahwinan Sesama Jenis

2316
views

Pada 24 November, referendum-referendum untuk mengiktiraf perkahwinan sesama jenis telah dibuka untuk undian di Taiwan, namun ramai tidak sangka referendum tersebut telah ditolak. Taiwan, sebuah negara pulau moden dan sekular telah menolak referendum mengiktiraf perkahwinan sejenis.

Chung (2018) melaporkan bahawa terdapat sebanyak 5.2 juta sehingga 6.1 juta undian yang menolak referendum-referendum berkaitan perkahwinan sesama jenis. Edwards (2018) pula melaporkan perkara yang sama dan berkata bahawa seramai 6 juta penduduk Taiwan telah menolak referendum perkahwinan sesama jenis.

Bagi jumlah undian yang menyokong referendeum-referendum berkaitan perkahwinan sesama jenis pula, referendum-referendum ini hanya mendapat 2.8 juta undian sahaja. Amnesty International melaporkan bahawa tiga usul “anti-LGBT” telah disokong dengan meraih sokongan sebanyak 35 peratus manakala dua usul “pro-LGBT” telah ditolak kerana hanya mendapat sokongan sebanyak 18 peratus (Amnesty International 2018).

Referendum-referendum seperti “Adakah anda bersetuju bahawa perkahwinan khas untuk pasangan lelaki dan wanita sahaja?” dan “Adakah anda bersetuju bahawa Kementerian Pendidikan tidak harus mengajar subjek berkaitan homoseksualiti di peringkat sekolah rendah dan menengah?” telah disokong oleh majoriti penduduk Taiwan yang pro-family dan anti-perkahwinan sesama jenis.

Sepuluh soalan yang muncul di ballot. Lima soalan pertama berkaitan dengan perkahwinan sesama jenis. Sumber: Chung (2018)

Persoalannya, apa sebab lain majoriti penduduk Taiwan menolak referendum perkahwinan sesama jenis dan apakah impaknya kepada Taiwan?

Tradisi dan Agama

Sebanyak 5 peratus populasi Taiwan terdiri daripada penganut Kristian dan ramai penduduk Taiwan juga menjunjung struktur keluarga Cina tradisional (Jennings 2018 dan The Guardian 2018). Kumpulan-kumpulan konservatif Taiwan seperti Alliance for the Happiness of the Next Generation dan lain-lain telah mengumpulkan dana sebanyak USD 3.24 juta untuk perjuangan mereka menentang pengiktirafan perkawinan sejenis (Watson, Westcott, dan Sun 2018 dan Maxon 2018).

Walaupun, dianggap homophobic, mereka sebenarnya hanya menentang pengiktirafan perkahwinan sejenis tetapi mereka menyokong undang-undang istimewa untuk melindungi hak-hak pasangan sesama jenis. Namun begitu, para penyokong LGBTQ+ tidak bersetuju dengan idea ini kerana berpendapat ianya mendiskriminasi individu homoseksual (Cole 2018).

Politik, agama, dan homosexualiti

Berhubungan dengan hujah di atas, walaupun Taiwan merupakan negara yang sekular, menariknya terdapat kumpulan-kumpulan konservatif yang dipercayai mewakili beberapa parti politik di Taiwan (Rong, Ping, dan Liu 2010). Hanya 5 peratus penduduk Taiwan menganuti agama Krisitan, namun begitu nilai-nilai konservatif mereka ini tidak bersumberkan agama Kristian sahaja tetapi bersumberkan nilai-nilai tradisional Han juga. Pengiktirafan perkahwinan sesama jenis pada pendapat golongan konservatif Taiwan ini akan mengancam dan menghakis kebudayaan tradisi dan agama mereka.

Perikatan politik seperti Pan-Blue Coalition yang terdiri daripada Parti Kuomintang (KMT), The First People Party, New Party dan Minkuotang dan perikatan politik Pan-Green Coalition yang terdiri daripada Democratic Progressive Parti (DPP), Taiwan Solidarity Union (TSU), dan Taiwan Independence Party (TAIP) didakwa telah menyokong dan bersekongkol dengan golongan konservatif Taiwan (Rong, Ping, dan Liu 2010). Apa yang menarik juga adalah perjuangan kedua-dua perikatan ini berlawanan. Contohnya Pan-Blue Coalition menyokong One China principel atau Prinsip Satu China yang menekankan bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada China. Manakala Pan-Green Coalition menyokong idea Taiwan yang merdeka daripada China.

Pada tahun 2008, pelbagai soalan-soalan berkaitan LGBTQ+ telah ditujukan kepada Parti KMT dan Parti DPP. Mantan Presiden Taiwan pada masa itu, Ma Ying-jeou (KMT) dan seorang calon DPP bernama Frank Hsieh Chang-ting, hanya menjawab bahawa pengiktirafan perkahwinan sesama jenis akan menjadi objektif parti mereka tetapi ia semua bergantung jika terdapat social consensus atau sokongon majoriti daripada penduduk Taiwan (Dai 2016).

Pada awalnya di bawah Presiden Tsai Ing-wen (DPP), golongan LGBTQ+ disuap pelbagai janji termasuklah pengiktirafan perkahwinan sesama jenis pada tahun 2016 (The Guardian 2018). Tambahan pula, Mahkamah Perlembagaan Taiwan pada awalnya berkata perkahwinan sesama jenis merupakan hak yang termaktub dalam perlembagaan atau constitutional right dan memberikan jangka masa 2 tahun kepada para pengubal undang-undang Taiwan untuk memaktubkan perkahwinan sesama jenis dalam undang-undang Taiwan (CNN 2018).

Namun begitu, perundangan tersebut tidak dapat melalui parlimen Taiwan dan telah menemui jalan buntu. Kebuntuan kerajaan DPP pada masa itu telah digunakan sebagai peluang oleh golongan konservatif Taiwan untuk mengusulkan referendum bagi menghalang perkahwinan sesama jenis (CNN 2018).

China pula tidak ada pendirian yang tetap tentang homoseksualiti, walaupun homoseksualiti tidak lagi dianggap sebagai jenayah pada tahun 1997. Walau bagaimanapun, parti Komunis China masih lagi dilihat sebagai parti yang sangat konservatif dan berpegang pada nilai-nilai tradisional (Minter 2018). Malahan juga, idea perkahwinan dan hubungan sesama jenis tidak dipandang baik oleh parti Komunis China.

Contohnya, pada tahun 2016, pihak berkuasa telah bertindak mengharamkan drama bertemakan homoseksual dalam mana-mana rancangan TV. Selain itu, tahun lepas pula, pihak berkuasa telah bertindak menutup aplikasi Rela yang didakwa sebagai aplikasi yang mempunyai pengguna lesbian teramai dan dipercayai mendalangi salah satu protes LGBTQ+ yang berlaku pada tahun itu (Minter 2018).

DPP pada awal tahun telah menggunakan dan mempermainkan sentimen anti-China dalam kempen-kempen mereka. Malah, setelah Presiden Tsai dan parti DPP kalah pilihanraya mereka telah mendakwa bahawa China telah mensabotaj kempen mereka melalui propaganda namun China telah menolak dakwaan tersebut (The Guardian 2018 dan Edwards 2018).

China pun pada awalnya memang tidak menyukai Presiden Tsai dan parti DPP. Semenjak Presiden Tsai naik pada tahun 2016, hubungan Taiwan dengan China telah merosot sedemikian rupa sehingga China tidak mahu berurusan dengan Taiwan. Presiden Tsai juga tidak mengiktiraf perjanjian antara Taiwan dan China yang ditemeterai pada tahun 1992 di mana Taiwan mengiktiraf bahawa mereka sebahagian daripada China dan ini telah mengundang kemarahan China (BBC 2018).

Oleh kerana hal yang demikian, China mengalu-alukan Pan-Blue Coalition terutamanya Parti Kuomintang (KMT) yang dilihat sebagai lebih mesra terhadap China dan mempunyai objektif untuk membina semula hubungan mereka dengan China. Kemenangan Parti Kuomintang terhadap DPP, dipandang oleh China sebagai bukti yang Taiwan mahu hubungan yang aman dan mesra dengan China (The Guardian 2018).

Amerika Syarikat pada tahun 2016 juga telah melihat banyak dakwaan yang kuasa luar seperti Rusia telah bercampur tangan dalam pilihanraya mereka. Jika benar Rusia atau kuasa besar lain telah mensabotaj pilihanraya Amerika Syarikat, ini mesti kerana Rusia ingin menjamin kepentingan mereka di Amerika Syarikat. Persoalannya, adakah ini juga terpakai pada China dalam piliharanya Taiwan?

Malahan Xi Jinping memang berancang untuk mengambil semula Taiwan. Sesetengah sarjana seperti Deng Yuwen (2018) berpendapat bahawa Taiwan akan disatukan semula dengan Tanah Besar China pada tahun 2020 sempena ulang tahun ke-100 Parti Komunis China. Menariknya juga, dalam piliharanya Taiwan ini (Midterm Election), Presiden Tsai ingin memenanginya untuk menguatkan lagi kedudukan DPP sebelum piliharanya umum Taiwan diadakan pada Januari 2020, sekaligus menegaskan pendirian mereka bahawa Taiwan merdeka daripada China.

Walau bagaimanapun, dengan kekalahan terbaru mereka ini dan perletakan jawatan Presiden Tsai sebagai Pengerusi DPP, ramai berpendapat yang perkara ini akan mengurangkan lagi peluang DPP untuk memenangi piliharanya umum Taiwan pada tahun 2020. Namun Yuwen (2018) berkata kebarangkalian China mengambil semula Taiwan pada tahun 2020 sangat rendah dan mungkin akan ditangguhkan sehingga tahun 2030 kerana masalah-masalah dalaman yang dialami China yang diakibatkan oleh Trade War.

Selain itu, China ingin menyempurnakan reformasi ketenteraan mereka dulu. Yuwen (2018) berpendapat tindakan ini kerana Xi akan mengambil Taiwan dengan menggunakan ketenteraan jika perlu dan menguatkan lagi pengaruh ketenteraan China di Laut Cina Selatan. Taiwan terletak dalam perancangan Xi Jinping untuk menyatukan China sekaligus mengalahkan legasi yang ditinggalkan oleh Mao Zedong.

Namun begitu, teori China mensabotaj pilihanraya Taiwan ini agak keterlaluan dan tidak harus diambil sebagai rujukan oleh para pembaca, begitu juga dengan teori yang budaya dan politik Tanah Besar China mempengaruhi tindakan majoriti penduduk Taiwan menolak referendum perkahwinan sesama jenis. Hal ini demikian kerana analisi yang lebih tepat dan mendalam harus ditulis untuk meyokong teori ini.

Amnesty International menegur Taiwan

Organisasi antarabangsa dan hak asasi manusia seperti Amnesty International mendakwa tindakan majoriti penduduk Taiwan menolak perkahwinan sesama jenis adalah satu tindakan yang keterbelakang. Memetik kata-kata Annie Huang:

“This result is a bitter blow and a step backwards for human rights in Taiwan. However, despite this setback, we remain confident that love and equality will ultimately prevail (Amnesty International 2018).”

Namun begitu, Amnesty menekankan bahawa mereka akan terus menyokong perjuangan aktivis-aktivis LGBTQ+ di Taiwan.

Kesimpulan

Taiwan, walaupun negara yang sekular dan moden, telah bertindak menolak pengiktirafan perkahwinan sesama jenis. Institusi agama tidak mempunyai kuasa mahupun pengaruh yang kuat di Taiwan, maka ramai yang hairan kenapa referendum perkahwinan sesama jenis tidak berjaya diiktiraf.

Namun begitu, seperti yang dicadangkan tadi, faktor tradisi, agama, dan politik dipercayai telah mempengaruhi tindakan para pengundi untuk menolak referendum perkahwinan sesama jenis. Selain agama Krisitian, kebudayaan Tanah Besar Cina yang mengangkat serta menjunjung tradisi Han dan struktur keluarga tradisional merupakan antara salah satu sebab kenapa ramai penduduk Taiwan menolak referendum perkahwinan sesama jenis.

Politik juga dispekulasi telah mempengaruhi pilihan penduduk Taiwan, Pan-Blue Coalition contohnya telah didakwa menyokong dan bersekongkol dengan kumpulan-kumpulan konservatif Taiwan. Aktivis-aktivis LGBTQ+ memandang tindakan ini sebagai satu keputusan yang memalukan untuk Taiwan yang mereka dakwa sebagai homophobic. Oleh kerana itu,  tindakan Taiwan menolak referendum perkahwinan sejenis ini telah mengundang pelbagai komen, pendapat, dan tohmahan di persada antarabangsa. Namun, apakah daya mereka kerana sistem demokrasi Taiwan telah bersuara.

Rujukan

Amnesty International (2018) ‘Taiwan: Referendum results rejecting marriage equality a “bitter blow”. Amnesty International [online] 25 Nov. available from <https://www.amnesty.org/en/latest/news/2018/11/taiwan-referendum-lgbti/> [26 November 2018]

BBC (2018) ‘Taiwan voters reject same-sex marriage in referendums’. BBC [online] 25 Nov. available from <https://www.bbc.com/news/world-asia-46329877> [26 November 2018].

Chung, L. (2018) ‘Taiwan’s image as Asia’s LGBT rights beacon takes a hit as same-sex marriage referendum fails’. South China Morning Post [online] 25 Nov. available from <https://www.scmp.com/news/china/politics/article/2174881/taiwans-image-asias-lgbt-rights-beacon-takes-hit-same-sex> [26 November 2018]

Cole, J.M. (2018) ‘Conservative’s Bid for Referendum on Same-Sex Marriage, Sex Education Highlights Democratic Blindspot in Taiwan’. Taiwan Sentinel [online] available from <https://sentinel.tw/conservatives-ref-same-sex-marriage-tw/> [26 November 2018]

Dai, S. (2016) ‘Coming out of Silence: Candidates’ Stances on LGBT Rights in Taiwan’s 2014 Municipal Councilor Elections’. Journal of Electoral Studies [online] 23 (1), 39-62. available from <esc.nccu.edu.tw> [26 November 2018]

Edwards, C. (2018) ‘Taiwan voted to reject same-sex marriage in a surprise about-face that has changed the island both socially and politically’. Business Insider [online] 25 Nov. available from <https://www.businessinsider.my/taiwan-same-sex-marriage-vote-referendum-2018-11/?r=US&IR=T> [26 November 2018]

Jennigs, R. (2018) ‘Taiwan Votes Against Same-Sex Marriage in Referendum’. Time [online] 25 Nov. available from <http://time.com/5462767/taiwan-same-sex-marriage-referendum/> [26 November 2018]

Minter, A. (2018) ‘As acceptance grows, gay China wants rights’. The Japan Times [online] 25 Nov. available from <https://www.japantimes.co.jp/opinion/2018/04/21/commentary/world-commentary/acceptance-grows-gay-china-wants-rights/#.W_zIG-gzY2x> [26 November 2018]

Rong, C.Y., Ping, W., and Liu, P. (2018) ‘Obstacles to LGBT Human Rights Development in Taiwan’. Duke University Press [online] 18 (2), 399-407.  available from <https://read.dukepress.edu> [26 November 2018]

The Guardian (2018) ‘Taiwan votes down same-sex marriage as China welcomes midterm results’. The Guardian [online] 25 Nov. available from <https://www.theguardian.com/world/2018/nov/24/anti-gay-marriage-groups-win-taiwan-referendum-battle> [26 November 2018]

Westcott, B., Watson, A., and Sun, H. (2018) ‘’A great divide’: Inside the battle to stop same-sex marriage in Taiwan’. CNN [online] 25 Nov. available from <https://edition.cnn.com/2018/11/23/asia/taiwan-gay-marriage-china-intl/index.html> [26 November 2018]

Yuwen, D. (2018) ‘Why China will wait until 2030 to take back Taiwan – unless the island forces Xi Jinping’s hand’. South China Morning Post [online] 25 Nov. available from <https://www.scmp.com/comment/insight-opinion/united-states/article/2174705/why-china-will-wait-until-2030-take-back> [26 November 2018].

Bibliografi

Chen, S. (2018) ‘China’s Complicated LGBT Movement’. The Diplomat [online] 1 June. available from <https://thediplomat.com/2018/06/chinas-complicated-lgbt-movement/> [26 November 2018]

He, T. (2007) ‘Cyberqueers in Taiwan: Locating Histories of the Margins’. Journal of International Women’s Studies [online] 8 (2), 55-73. Available from <https://vc.bridgew.edu/> [26 November 2018].

Sumber gambar

Mori, K. (2016) 2016 LGBT Pride, Taipei City, 2016 [photograph]. available from <https://www.flickr.com/photos/taiwan_scenery_gallery/31006141990> [26 November 2018]