Analisis Puisi Cao Cao Berjudul ‘Lagu Pendek’ (短歌行, Duan Ge Xing)

612

Dipercayai bahawa Cao Cao mengarang puisi ini semasa berada dalam sebuah jamuan yang diadakan di sebuah kapal yang terletak di tebing utara Sungai Chanjiang, betul-betul sebelum berlangsungnya pertempuran penentuan dengan Kerajaan Wu. Puisi ini meluahkan keterbukaan hatinya untuk meraih khidmat lebih ramai insan-insan berbakat.

Dalam banyak-banyak puisi yang dikarang oleh Cao Cao, puisi Lagu Pendek ini merupakan puisi paling dikenang – selain kerana lontaran nadanya yang paling lantang di samping luahan visinya yang paling menyerlah, puisi ini turut dikarang semasa kelangsungan salah satu pertempuran laut terhebat sepanjang sejarah – Pertempuran Chibi atau lebih dikenali sebagai Red Cliff.

Di dalam artikel kali ini, penulis ingin berkongsikan penterjemahan analisis yang dilakukan oleh laman Chinese To Learn terhadap puisi ini.

PUISI NYANYIAN PENDEK (短歌行, Duǎn Gē Xíng) – CAO CAO

对酒当歌, 人生几何?
Dùi jiǔ dāng gé, Rēn shéng jǐ hé?
Dihidang arak maka wajarlah bernyanyi, kerana siapalah tahu lamanya hayat diri?

譬如朝露, 去日苦多
Pì rū zhāo lù, Qù rī kǔ dūo.
Laksana embun pagi; terlalu banyak hari yang berlalu pergi.

Kita tidak pernah mengetahui berapa lamakah jangka hayat kita. Mungkin, kita dibenarkan untuk menjalani kehidupan yang lama. Mungkin juga hayat kita pendek akibat ditimpa kemalangan, diserang penyakit misteri atau dilanda tekanan mental. Hari esok sentiasa wujud, namun ia boleh jadi hari esok yang wujud tanpa adanya kita bersama.

Maka, ketika kita miliki peluang untuk nikmati secawan minuman, mengapa tidak kita nyanyikan lagu dan bergembira seboleh mungkin? Nikmati setiap detik kehidupan, dan manfaatkan detik-detik tersebut.

Kehidupan manusia yang tidak abadi ini boleh diumpamakan seperti embun pagi: Apabila matahari terbit, embun akan segera tersejat. Hari dan tahun-tahun yang dah pun berlalu sangat banyak. Apabila adanya permulaan, maka akan ada juga pengakhiran. Tiiada yang akan hidup buat selamanya. Begitu juga dengan manusia – mungkin kelihatan kuat, namun sebenarnya kita bersifat rapuh dan lemah.

慨当以慷, 忧思难忘
Kǎi dāng yǐ kāng, Yōu sī nān wàng,
Terus bersungguh terus bertekad, namun pedihnya gundah buatku terasa tenat.


何以解忧, 唯有杜康
Hé yǐ jǐe yōu, Wéi yǒu dù kāng.
Dengan apa dapat duka diurai? Tiada lain kecuali Du Kang.

Walaupun kita telah ditakdirkan untuk hidup dengan masa yang terhad, namun kita tidak seharusnya lemah semangat. Sebaliknya, kita perlu bersungguh-sungguh dan terus memasang tekad azam. Sememangnya, perjalanan hidup seseorang itu jarang sekali berjalan dengan lancar. Fikiran-fikiran kita tidak dapat tidak kadangkala pasti akan diuji dengan kesusahan dan kegundahan sehingga melemahkan tekad dan semangat kita untuk terus hidup.

Bagaimana caranya untuk menyelesaikan semua kekusutan ini? Minumlah secawan arak untuk melupakan segala kegusaran. Du Kang merupakan pencipta arak legenda. Oleh kerana itu, namanya digunakan bagi merujuk kepada arak.

青青子衿,悠悠我心
Qīng qīng zǐ jīn, Yōu yōu wó xīn,
Hatiku masih terkenangkan kolar biru milikmu


但为君故, 沉吟至今
 Dàn wéi jūn gù, Chēn yīn zhì jīn.
Hanya untuk kamu maka puisi ini terus kubaca perlahan hingga sekarang.

Baris青青子衿,悠悠我心 berasal daripada buku Shi Jing. Di dalam Shi Jing, rangkap ini digunakan untuk menceritakan tentang seorang gadis yang merindukan seorang cendekiawan yang memakai jubah berkolar biru. Namun, puisi Cao Cao ini tidak ada kaitan dengan tema romantik atau cinta. Cao Cao merupakan seorang raja feudal yang bercita-cita tinggi. Impiannya adalah untuk menghimpunkan kekuatan maha hebat dan menakluk dunia.

Makanya di dalam puisi ini, permisalan cendekiawan berkolar biru merujuk kepada strategis berbakat yang boleh memberikan kemanfaatan besar dalam memacu impian politik Cao Cao. Cao Cao sentiasa mengenangkan tentang strategis tersebut dan berhajat untuk memujuknya supaya menyertainya dan membantunya dalam merealisasikan impian itu. Bahkan, beliau mengarang puisi ini khas untuk strategis tersebut.

呦呦鹿鸣,食野之苹
Yōu yōu lù míng, Shí yě zhī pīng.
Teresak si rusa menangis sambil memakan mugwort belantara

我有嘉宾, 鼓瑟吹笙
Wó yǒu jiā bīn, Gǔ sè chūi shēng.
Datang padaku si tetamu terhormat, maka ziter dimain musik ditiup.
             

Di antara banyak-banyak haiwan pemakan rumput, lembu dan rusa merupakan haiwan yang amat memilih. Dengan sifatnya yang seperti itu, mereka memilih untuk memakan makanan yang berkhasiat. Apakah yang dimakan oleh rusa di dalam puisi ini? Saya melihat sebahagian penterjemah menterjemahkan 苹(pīng) sebagai pīngguo (epal). Jika begitu keadaannya, maka ia bermaksud bahawa rusa-rusa tersebut memakan epal yang telah gugur dari pokoknya.

Namun jika kita menyemak kamus Cina-Inggeri MBDG, dapat ditemukan bahawa selain epal, perkataan tersebut juga boleh diterjemahkan sebagai kiambang itik. Kiambang itik adalah tumbuhan yang hidup berapungan di permukaan air yang tenang. Melainkan rusa tahu berenang, maka penterjemahan ini bukanlah pilihan yang sesuai. Pendapat lain menerangkan bahawa苹(pīng) dimaksudkan sebagai po hao, yang juga disebut sebagai ai hao mugwort.

Mugwort merupakan nama lain bagi beberapa spesis tumbuhan beraroma. Dalam perubatan tradisional Cina, mugwort digunakan untuk memulihkan kesihatan tubuh di samping turut digunakan sebagai herba perasa pada makanan. Jika keadaannya begitu, maka ternyata rusa-rusa di dalam puisi ini bukan hanya bersifat memilih makanan, tetapi juga menjaga kesihatan.

Dalam dua rangkap yang berikutnya, Cao Cao menerima sesuautu – sesuatu yang agak jarang, iaitu tetamu yang sangat dihormati dan makanya beliau menyuruh pemusik-pemusiknya agar mempersembahkan bunyi-bunyian indah kepada tetamu istimewa ini.

明明如月,何时可掇
Míng míng rú yùe,
Hé shī kě dúo.
Bersinar terang bagai purnama, entah bila dapat kuambilnya?

忧从中来,不可断绝
Yōu cōng zhōng lái, Bù kě duàn jūe.
Gundah resah menyesak dada, tiada tenang dan meriah menghibur lara.

Bakat yang dimiliki oleh si tetamu ini terlalu hebat, bagaikan terangnya cahaya bulan purnama di dada langit malam yang hitam pekat. Alangkah tingginya hasrat Cao Cao agar tetamu ini menjadi penasihatnya. Namun, adakah tetamu tersebut bersetuju untuk berkhidmat kepadanya?

Jawapannya tidak, atau mungkin belum waktunya lagi. Menerusi rangkap忧从中来,不可断绝, kita dapat menyedari luahan kesedihan yang berterusan daripada Cao Cao. Cao Cao tahu benar bahawa untuk membina sebuah kerajaan yang hebat, beliau memerlukan bantuan daripada ahli-ahli strategi yang berbakat. Cao Cao dahagakan khidmat mereka dan menanggung perasaan gelisah kerana tidak mampu meraihnya. 
 
越陌度阡, 枉用相存
Yùe mò dù qiān, Wǎng yòng xiāng cūn.
Meredah perih belantara kau datang melawat, kepadaku engkau curah khidmat.

契阔谈宴, 心念旧恩
Qì kùo tán yàn, Xīn niàn jiù ēn.
Berbual mesra di tengah pesta, mengenang indah dahulu kala

Namun Cao Cao berasa takjub tatkala mengetahui bahawa tetamu istimewa ini sanggup meredah perjalanan yang jauh untuk bertemu dengannya. Bagaimanakah perasaan anda apabila seseorang yang anda hajatkan supaya datang melawat anda tiba-tiba sahaja datang secara mengejut? Sudah tentu anda berasa gembira. Betapa gembiranya perasaan tersebut hinggakan anda dan tetamu anda itu berbual-mesra dengan panjang dan menjamu selera sepuas hati.

月明星稀 , 乌鹊南飞
Yùe míng xīng xī, Wū qùe nǎn féi.
Bulan benderang bintang bergemerlapan, gagak dan murai terbang ke selatan

绕树三匝, 何枝可依
Rào shù sān zā, Hé zhī kě yī.
Mengelilingi pohon tiga putaran, dahan mana dijadikan sandaran?

Pemandangan langit yang disinari cahaya bulan sambil burung gagak dan burung murai berterbangan ke selatan lalu mengelilingi pokok berkemungkinan adalah pandangan sebenar yang dilihat oleh Cao Cao semasa mengarang puisi ini – atau paling tidak, itulah gambaran yang terlintas di fikirannya pada waktu itu.

Kiasan pada rangkap ini juga digunakan sebagai metafora untuk Cao Cao mengingatkan kepada para cendekiawan berbakat agar jangan bersikap teragak-agak dalam membuat keputusan  sebaliknya berteguh pendirian. Dalam erti kata lain, beliau memaklumkan kepada mereka agar datang ke kem tenteranya dan berkhidmat kepadanya demi merealisasikan impiannya yang mahu menakluk dunia.

山不厌高 , 水不厌深
Shān bù yàn gáo, Shūi bú yàn shēn,
Gunung tidak mencela awang tingginya, lautan tidak mengeluh ceruk dalamnya.

周公吐哺, 天下归心
Zhōu gōng tǔ bǔ, Tiān xià guī xīn.
Tengku Zhou menahan diri dari makan, seluruh diri menghadap mahu mempertuan.

Gunung-ganang tidaklah membenci menjadi rupa bumi yang begitu tinggi dan lautan juga tidaklah marah kerana dijadikan rupa bumi yang teramat dalam. Lebih ramai lelaki berbakat yang datang berkhidmat, lebih hebat pemerintahan sesebuah kerajaan.

Cao Cao menggunakan rangkap ini untuk memaklumkan kepada cendekiawan-cendekiawan berbakat bahawa mereka tidak seharusnya berasa khuatir melihat ramainya stategis yang telah dimiliki oleh Cao Cao pada waktu itu. Hal ini kerana beliau tetap akan bersenang hati menerima khidmat mereka dan setiap seorang dari mereka pasti akan dapat merealisasikan impian masing-masing di samping membantu Cao Cao memenuhi impiannya.

Pada akhir puisi, Cao Cao menggunakan kiasan tentang Tengku Zhou. Tengku Zhou merupakan kerabat dari Dinasti Zhou yang memainkan peranan besar dalam menyatukan kerajaan di bawah pemerintahan abangnya, Raja Wu.

Dalam Shi Ji dikisahkan bagaimana Tengku Zhou memenangi hati rakyat di seluruh negara. Menurut buku itu, dalam setiap mandian, Tengku Zhou perlu menghentikan mandiannya tiga kali, dan dalam setiap waktu makan, beliau perlu berhenti menjamu selera tiga kali untuk bangun menyambut insan-insan berbakat yang melawatnya. Hal ini kerana beliau khuatir akan kehilangan khidmat insan-insan berbakat (andai tidak berbuat demikian).

Menerusi kiasan ini, kita dapat mengetahui bahawa dua rangkap tersebut bermaksud untuk memaklumkan kepada strategis-strategis berbakat bahawa Cao Cao akan meneladani sikap Tengku Zhou dan melayan mereka dengan penuh hormat.

Puisi klasik ini merupakan sebuah puisi yang memiliki pengertian yang mendalam. Kini, mungkin kita dapat mengerti apa yang mahu disampaikan oleh Cao Cao menerusi puisinya itu. Mungkin, kita boleh mengatakan bahawa puisi ini merupakan sebuah puisi yang mengiklankan kekosongan jawatan di jabatan kerajaan.

Puisi ini bukan sebuah puisi yang ditujukan kepada semua orang, sebaliknya hanya khusus kepada bakat-bakat yang mahu diraih khidmatnya oleh Cao Cao. Untuk tujuan itu, Cao Cao turut mempamerkan keperibadiannya, ketinggian impiannya, dan penghormatan yang bakal diberikan kepada bakat-bakat tersebut sebagai manifesto kegemilangan diri dan kerajaannya.

RUJUKAN:

Chinese To Learn. (15 Januari 2013). The most famous Chinese drinking poem by the hero of Chaos.
http://www.chinesetolearn.com/the-most-famous-chinese-drinking-poem-cao-cao-duan-ge-xin/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.