Analisis PRN Sabah: Apa Pengajarannya?

5,650

https://bit.ky/kombowww

Sekiranya diteliti keputusan PRN Sabah ini, banyak perkara-perkara menarik yang boleh kita pelajari. Saya hanya kemukakan beberapa sahaja.

1. Dapatan daripada kaji selidik yang dijalankan oleh Society Empowerment and Economic Development of Sabah – SEEDS menunjukkan populariti Warisan Plus (44.3%) lebih rendah berbanding BN++ / GRS (47.9%). Keputusan semalam menyaksikan Warisan Plus adalah lebih popular (42.06%) berbanding GRS (41.60%) berdasarkan peratusan turun mengundi sekitar 66%. Walaupun ralat masih di bawah 5% tetapi dalam politik di Sabah ini, beza 10 undi pun boleh menyebabkan 1 kerusi hilang.

2. Secara tidak langsung tiada parti baik GRS atau Warisan Plus yang mampu memerintah kerajaan dengan majoriti undi popular.

3. Walaupun GRS kekurangan mata 0.46% berbanding Warisan Plus, 2 kerusi Warisan tidak dapat dipertahankan oleh mereka dan dirampas kembali oleh UMNO di DUN Pantai Manis dan Karambunai. Peristiwa di sini boleh diandaikan bahawa berlakunya gelombang undi swing dari Warisan kepada GRS. Undi swing ini boleh dilihat pada undi popular Warisan pada PRU14 adalah 47.19% dan menurun sekitar 5% mata pada PRN 2020.

4. Faktor personaliti yang memainkan peranan penting ini boleh dilihat di beberapa kerusi iaitu kerusi yang dimenangi oleh Calon Bebas yang merupakan penyandang sebelum ini seperti di N.57 Kuamut berserta calon-calon Parti Cinta Sabah yang mendapat undi signifikan di mana undi tersebut melebihi jumlah majoriti. Antaranya di Bongawan (3,598 undi), Kundasang (2,384 undi) dan Labuk (1,441 undi)

5. Antara kekesalan saya di N.30 Bongawan yang dimenangi oleh Warisan dengan 5,400 undi sedangkan sekiranya undi BN dan Anifah Aman digabungkan, boleh mencecah sekitar 7,500. Keputusan ini menunjukkan, kawasan-kawasan sebegini sangat memerlukan rundingan untuk memastikan strategi yang direncanakan memperolehkan hasil di pihak anti Warisan.

6. Menjadi rahsia umum, persaingan merebut kerusi Ketua Menteri telah bermula dan sengit. Sudah tentu, pelbagai justifikasi yang akan digunakan daripada pihak masing-masing. Bagi pihak UMNO, mereka memiliki undi terbanyak berbanding parti-parti komponen lain dalam GRS (atas faktor jumlah kerusi yang dipertandingkan juga paling banyak 41 kerusi). Sekiranya peratusan kemenangan diambil kira, PN memiliki kelebihan dengan 58.6% mata kemenangan (menang 17/29 kerusi) berbanding BN 34.1% mata kemenangan sahaja.

7. Mata kemenangan di pihak Warisan pula menunjukkan DAP lah sebenarnya yang paling tinggi peratusan kemenangannya. PKR pula hanya memenangi 2/7 kerusi sahaja. Corak pengundian khususnya di kawasan DAP ini menunjukkan masyarakat Cina di sana bukan sahaja tidak menerima parti MCA, malahan parti tempatan (bekas BN) seperti LDP dan SAPP juga tidak diterima mereka. Secara tidak langsung, corak ini menunjukkan sikap majoriti pengundi Cina di Sabah dan Sarawak adalah sama dengan sikap majoriti pengundi Cina di Malaysia Barat.

8. Sehubungan itu, pandangan bahawa “politik keetnikan di Malaysia Timur dan Barat adalah tidak sama” ini boleh diragui sejauh mana kebenarannya. Pada saya perbezaannya hanyalah pada komposisi peratusan suku kaum di Malaysia Timur berbeza dengan Malaysia Barat, tetapi keterpecahannya mengikut etnik masing-masing masih lagi sama dinamiknya.

9. PRN Sabah juga menunjukkan pertembungan parti politik sekutu baik di dalam gabungan ataupun bekas gabungan dan perpecahan elit-elit politik (heavy weigh dalam PCS seperti Anifah Aman, dalam USNO, Tan Sri Pandikar Amin dan penyandang-penyandang kerusi sebelumnya) boleh merugikan gabungan parti-parti tertentu bagi merebut kuasa di Putrajaya dalam terjemahannya pada PRU15. Malahan sekiranya digabungkan undi-undi mereka ini di kawasan tersebut boleh membantu untuk memberi saingan sengit kepada calon Warisan Plus.

10. Berdasarkan situasi ini, saya sangat-sangat menekankan betapa Perikatan Nasional dan Barisan Nasional tidak berupaya untuk menghadapi pertembungan 3 penjuru pada PRU15. Konflik dalaman yang berlaku mestilah diuruskan dengan bijaksana.

#PRNSabah2020 #SabahMemilih

Artikel dikirimkan oleh Anis Sina untuk The Patriots.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.