Moving Forward As One

Analisis Loghat Melayu Abi Yang Berasal Dari Perlis

1,052

Bahasa Melayu adalah sebuah bahasa Austronesia yang dituturkan oleh 250 juta orang di seluruh dunia. Bahasa ini dituturkan di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Australia dan Thailand.

Loghat “Johor-Riau” dan “Riau” masing-masing dijadikan sebagai asas dalam Bahasa Melayu (Baku) dan Bahasa Indonesia (Baku). Selain itu, terdapat juga “loghat” seperti Abi. Persoalannya, apakah itu “Abi”?

APAKAH ITU ABI?

Abi adalah sebuah perkampungan Melayu yang terletak di antara Kangar dan Kaki Bukit. Kawasan tersebut terletak di negeri Perlis, Malaysia. Kampung Abi terletak kira-kira 6.8 kilometer dari Kangar dan 491.4 km dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Seperti mana kawasan lain di Malaysia, perkampungan tersebut juga mempunyai “loghat” ataupun “dialek” yang tersendiri. Apakah gambaran bagi “dialek” tersebut? Penulisan ini mungkin menjawab sedikit persoalan kita.

CONTOH AYAT

Pertimbangkan ayat berikut. Ayat berkenaan dipercayai dituturkan oleh penduduk yang mendiami kawasan tersebut.

“Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Sat lagi kita nak mendaghat di Lapangian Teghebiang Cupin
Tali pinggiang tu tulung pakai takut nye pelantin pi depan sat lagi nye ketag kepala, kepala dah ni nak mendaghaaaaattt… jenuh dok kacau oghiang pulok
Mana nak tekencin , nak beghok tu nye tulun tahan sat kut sat lagi tesembog kut jalan sat lagi samao dengan kapai teghebang nye tughun .. boleh kut nye tahan noooo
Mana hok ada talipon boleh nye mintak tulun tutup pi sat , jangan dok ketegag dok bukak jugak … tampiag kepala sat lagi kuit …
Tuan-tuan dan puan-puan , kita dah selamat mendaghat di Lapangan Teghebiang Cupin …
Jangan dok buat ‘cempegha bewok’ , mangkit pi tunggu ghamai-ghamai di depan pintu …. tunggguuu saaattt duluuuu!!!”

Adakah kita dapat memahami ayat di atas? Sekiranya tidak, teruskan pembacaan karangan ini.

MAKNA PERKATAAN

Antara perkataan yang terdapat dalam “loghat” Abi adalah “mendaghat”. Perkataan tersebut adalah sepadan ataupun kognat dengan perkataan “mendarat” dalam loghat Melayu Baku. Huruf “gh” dalam loghat Abi mewakili bunyi “Getaran Anak Tekak Bersuara [ʀ]”.

Selain itu, “pelantin” adalah antara perkataan yang terdapat dalam “loghat” Abi. Perkataan tersebut adalah sepadan ataupun kognat dengan perkataan “pelanting” dalam loghat Melayu Baku. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “pelanting” telah ditakrifkan sebagai “jatuh terguling-guling”.

Di samping itu, “beghok” adalah antara perkataan yang terdapat dalam “loghat” Abi. Perkataan tersebut adalah sepadan ataupun kognat dengan perkataan “berak” dalam loghat Melayu Baku. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “berak” telah ditakrifkan sebagai “najis yang keluar dari dubur”.

Kemudian, “sat” adalah antara perkataan yang terdapat dalam “loghat” Abi. Perkataan tersebut dipercayai membawa maksud “sebentar” dalam loghat itu. Perkataan berkenaan dipercayai berasal daripada Bahasa Arab iaitu “saat (ساعت)”.

Seterusnya, “tesembog” adalah antara perkataan yang terdapat dalam “loghat” Abi. Perkataan tersebut adalah sepadan ataupun kognat dengan perkataan “tersembur” dalam loghat Melayu Baku. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “tersembur” telah ditakrifkan sebagai “terpercik keluar”.

Akhir sekali, “Cempegha” adalah antara perkataan yang terdapat dalam “loghat” Abi. Perkataan tersebut adalah sepadan ataupun kognat dengan perkataan “Cempera” dalam loghat Melayu Baku. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “cempera” telah ditakrifkan sebagai “berpecah-belah ke sana ke mari”.

PERALIHAN BUNYI DARIPADA PROTO-MALAYIK

Proto-Malayik (PM) adalah kajian bahasa purba yang telah melahirkan bahasa moden iaitu Melayu, Iban, Minangkabau dan sebagainya. Untuk pengetahuan, PM adalah anak kepada Proto-Malayo-Polinesia (PMP) di mana PMP adalah anak kepada Proto-Austronesia (PAN).
Contoh perkataan yang terdapat dalam PM adalah *tAr(ə)baŋ, *uraŋ dan *dʒalan. Ketiga-tiga perkataan purba itu masing-masing membawa maksud “terbang”, “orang” dan “jalan”.
Perkataan *tAr(ə)baŋ adalah antara yang diwarisi dalam loghat Abi. Perkataan purba tersebut telah berubah menjadi “teghebiang”. Bunyi “Getaran Gusi Bersuara [r]” telah bertukar menjadi “Getaran Anak Tekak Bersuara [ʀ]”. Huruf “ia” merupakan diftong dalam loghat itu.

Perkataan *uraŋ adalah antara yang diwarisi dalam loghat Abi. Perkataan purba tersebut telah berubah menjadi “oghiang”. Bunyi “Getaran Gusi Bersuara [r]” telah bertukar menjadi “Getaran Anak Tekak Bersuara [ʀ]”. Huruf “ia” merupakan diftong dalam loghat itu.
Perkataan *dʒalan adalah antara yang diwarisi dalam loghat Abi. Perkataan purba tersebut telah berubah menjadi “jalan”. Tidak ada sebarang perubahan yang berlaku dari Proto-Malayik kepada Loghat Abi.

TERJEMAHAN KE JOHOR-RIAU

Adakah masih ingati akan ayat loghat Abi yang diberikan tadi? Ini yang dapat diterjemahkan oleh kami iaitu penulis artikel ini.

“Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Sebentar lagi kita nak mendarat di Lapangan Terbang Chuping.
Tali pinggang itu tolong pakai takutnya pelanting pergi depan sebentar lagi … kepala, kepala dah ni nak mendarat… jangan … kacau orang pula.
Mana nak terkencing, nak berak itu tolong tahan sebentar … … lagi tersembur di jalan … lagi … dengan kapal terbangnya turun.. boleh …nya tahan.
Mana yang ada telefon boleh minta tolong tutup sebentar, jangan degil buka juga… tampar kepala sekejap lagi…
Tuan-tuan dan puan-puan , kita sudah selamat mendarat di Lapangan Terbang Chuping…
Jangan … buat ‘…’, bangun pergi tunggu ramai-ramai di hadapan pintu …. tunggu sekejap dulu!!!”

Tiga titik di atas menunjukkan kesukaran penulis dalam mencari padanan perkataan.

KEBOLEHFAHAMAN BERSAMA

Kebolehfahaman Bersama ataupun dalam bahasa Inggeris “Mutual Intelligibility” secara ringkasnya adalah situasi di mana penutur dapat memahami antara satu sama lain tanpa perlu pelajarinya.

Persoalannya, apakah kesemua penutur Melayu dapat memahami loghat Abi? Dengan keadaan, mereka tidak mengenali Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia Baku, tidak pernah bertemu dan mereka perlu berbual dengan menggunakan loghat masing-masing.
Sejujurnya, penulis tiada jawapan untuk soalan tersebut. Harap mereka yang berkenaan dapat memberikan ulasan di dalam ruangan ulasan di bawah.

AKHIR KATA

Kesimpulannya, itu adalah artikel tentang “loghat” Abi. Perlu diiingatkan, tidak semua loghat Melayu adalah Johor-Riau. Malah, kesemuanya adalah adik-beradik yang telah dilahirkan oleh induk yang sama iaitu Proto-Malayik.

Apakah yang penulis terlupa tentang “loghat” tersebut? Harap berikan ulasan anda di dalam ruangan ulasan di bawah.

RUJUKAN

Austronesian Basic Vocabulary Database (Proto-Malayic). Dicapai pada 26hb November 2020 dari https://abvd.shh.mpg.de/austronesian/language.php?id=740

How many people speak Indonesian? Dicapai pada 26hb November 2020 dari http://ipll.manoa.hawaii.edu/…/how-many-people-speak…/

Bahasa Melayu. Dicapai pada 26hb November 2020 dari https://www.mustgo.com/worldlanguages/bahasa-melayu-malay/

Kursus Bahasa Untuk Penerbangan ~ Loghat Perthliess (Abi). Dicapai pada 26hb November 2020 dari https://kheru2006.livejournal.com/1943829.html

Omniglot: Malay. Dicapai pada 26hb November 2020 dari https://www.mustgo.com/worldlanguages/bahasa-melayu-malay/

Dewan Bahasa Dan Pustaka. Dicapai pada 26hb November 2020 dari http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=johor+riau&d=175768

Ruangan komen telah ditutup.