https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Analisis Kejuaraan Liga Liverpool

599

Walk on, walk on
With hope in your heart
And you’ll never walk alone
You’ll never walk alone

Selepas Chelsea berjaya mengalahkan Manchester City awal pagi tadi, maka gegak-gempitalah Merseyside dengan dua lagu ini sehingga membuatkan penyokong musuh setempat, Everton merasa bingit. Tetapi di sebalik kejayaan menamatkan kemarau kejuaraan liga selama 30 tahun, semua ini bermula dengan kehadiran Jurgen ‘Run, Forrest, Run’ Klopp pada Oktober 2015 menggantikan Brendan Rodgers.

Bagi yang mengenalinya dari era pengurusannya di Mainz dan Borussia Dortmund, sudah pasti masak dengan perangai gila-gilanya di tepi padang termasuk meraikan kemenangan bersama peminat. Justeru semasa diperkenalkan kepada media pada Oktober 2015, jangkaan terhadapnya tidaklah terlalu tinggi bersesuaian dengan kedudukan Liverpool yang dilihat belum berupaya mencabar hegemoni Chelsea, Manchester United, Manchester City dan Arsenal.

Tetapi mesejnya kepada media mudah sahaja iaitu, “Kami mesti berubah daripada orang yang ragu-ragu kepada orang yang yakin.” Sejak itu, Reds tidak menoleh ke belakang dan di bawah kendaliannya, Liverpool bergelar juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali keenam dan sudah tentu kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Melwood

Di sebalik imejnya yang peramah dan gila-gila, beliau amat menjaga kualiti kejurulatihan. Baginya, sebarang perubahan di atas padang perlu bermula di padang latihan Melwood. Di sinilah, semua idea termasuk teknik dan taktikal permainan dicuba, digilap dan diasah.

Rajah 1: Sebarang perubahan teknik dan taktikal pasukan bermula di Melwood. Sumber: https://www.business-live.co.uk/economic-development/liverpool-fcs-melwood-training-ground-16683445

Dalam setiap sesi latihan, ia sudah dirancang dengan teliti sebelum ia dimulakan. Selepas itu, Klopp akan bercakap dengan pemain-pemain tentang apa yang dimahukannya dalam sesi tersebut. Dengan erti kata lain, ‘Forrest’ bukan sekadar berperanan sebagai bos tetapi juga sebagai jurulatih.

Bagi memastikan pemain mengikuti apa yang dimahukannya, Klopp menjadi contoh teladan mereka termasuk sentiasa menepati masa dan memastikan semua mengikut rancangan. Etika sebegini ditambah dengan kata-kata ini, “Aku hidup 100% untuk mereka dan bersama-sama dengan mereka.”

Tetapi perlu diingat, individu yang bertanggungjawab mencalar ego Bayern Munich dengan menjulang kejuaraan Bundesliga sebanyak dua kali bersama Dortmund disokong oleh pasukan teknikal yang dipercayainya. Dua daripadanya mengikut Klopp ke Anfield iaitu Zeljko Buvac dan Peter Krawietz.

Rajah 2: Klopp bersama Buvac (kanan) dan Krawietz. Sumber: https://www.liverpoolfc.com/news/first-team/226757-jurgen-klopp-signs-extended-long-term-lfc-deal

Nak dapat Klopp, senang sahaja tapi dengan syarat dua pembantunya mesti ikut bersama. Buvac digelar The Brain kerana kebijaksanaan taktikalnya manakala Krawietz digelar The Eye kerana mempunyai pemerhatian analisis yang hebat.

Namun entah di mana silapnya, Buvac memilih meninggalkan rakan lamanya itu pada tahun 2018. Namun, Klopp bernasib baik kekosongan tersebut diisi oleh jurulatih Belanda, Pep Ljinders. Ljinders bukan nama asing bagi Reds kerana pernah berkhidmat sebagai jurulatih pasukan bawah 16 tahun Liverpool sebelum dilantik sebagai jurulatih pembangunan pasukan bersama Rodgers dan Klopp pada tahun 2015.

Tiga tahun selepas itu, Ljinders memilih menjadi pengurus NEC Nijmegen tetapi karier pengurusannya tidak bertahan lama apabila dipecat pada akhir musim. Keadaan ini mendorong ‘Forrest’ memanggilnya kembali berkhidmat sebagai penolong jurulatih bersama Krawietz.

Rajah 3: Pep Ljinders. Sumber: https://www.forbes.com/sites/jamesnalton/2019/07/24/pep-lijnders-liverpool-coaching-philosophy-tactics/

Tiada hierarki membabitkan dua penolong pengurus dengan kedua-duanya memainkan peranan penting bersama kelab. Krawietz yang sentiasa berada di Melwood setiap hari menguruskan bahagian analisis kelab dan memberi input dalam banyak hal termasuk jadual latihan dan cuti pemain.

Gandingan Klopp-Krawietz dapat dilihat misalnya semasa Piala Dunia 2018 membabitkan beberapa pemain Liverpool. Pemain-pemain seperti Trent Alexander-Arnold dan Virgil van Dijk menjadi senjata utama pasukan kebangsaan masing-masing dalam situasi sepakan percuma/sepakan penjuru.

Buktinya, Reds berjaya menjaringkan 13 gol dan hanya melepaskan 12 gol dalam situasi berkenaan pada musim 2017-2018. Dan musim lepas menyaksikan angka tersebut bertambah kepada 29 gol dan Reds hanya dibolosi sebanyak lapan kali. Semua ini dicapai dengan perlantikan jurulatih balingan dari Denmark, Thomas Gronnemark yang ditugaskan menyingkirkan kesilapan dan menambahbaik teknik sepakan percuma/sepakan penjuru.

Namun, itu bukan bermakna kedua-duanya merupakan hamba statistik. Klopp dan Krawietz masih mahukan pemain berfikir kreatif dan spontan dalam situasi berkenaan. Masih ingat sepakan penjuru spontan Alexander-Arnold semasa perlawanan UCL menentang Barcelona musim lepas? Lihat klip ini:

Manakala Ljinders pula lebih kepada pembantu pengurus ortodoks dan bertanggungjawab menguruskan sesi latihan bersama ‘Forrest’. Dia juga bertanggungjawab menjadi pengaturcara semua jabatan bukan bola sepak termasuk membentuk pengurusan operasi dan membentuk jadual bagi membolehkan pemain berehat, perlu berlatih atau tidak dan memaksimumkan potensi mereka semasa latihan.

Pembelian pemain

Yang pasti, apabila Liverpool semakin menyerlah dari musim ke musim, nama Klopp dianggap setanding dengan Pep Guardiola, Jose Mourinho dan Carlo Ancelotti. Dan sebut pasal pemain, mana-mana pemain yang dilatih atau dibeli semakin menunjukkan peningkatan di bawah kendaliannya.

Contoh paling mudah, kapten Liverpool sendiri iaitu Jordan Henderson. Dibeli oleh ‘King’ Kenny Dalglish pada musim panas 2011, Henderson sentiasa dilabel sebagai pemain yang tidak berupaya menempa nama di kelab besar berstatus Liverpool. Tetapi Klopp tidak pernah mengalah dan akhirnya, menjadi ayam tambatan Reds dan England.

Rajah 4: Jordan Henderson

Satu lagi nama yang menyerlah di bawah Klopp ialah Roberto Firmino. Dibeli dengan yuran perpindahan 29 juta paun sterling pada Jun 2015 sebagai pengganti Luis Suarez yang berhijrah ke Barcelona, ramai meragui keupayaannya untuk berjaya di Anfield.

Keraguan penyokong terhadap Reds ketika itu berasas berikutan jawatankuasa perpindahan yang dianggotai beberapa staf kelab termasuk Rodgers dan pengarah sukan ketika itu, Damien Comolli banyak membuat pembelian pemain yang tidak berhasil. Salah satu daripadanya ialah Mario Balotelli walaupun Rodgers sendiri menegaskan kelibat bekas pemain Inter Milan itu tidak dialu-alukan di Anfield.

Tetapi sejak ketibaan Klopp, ramai pemain Reds kini berstatus kelas dunia seperti Mohamed Salah, van Dijk, Sadio Mane dan Alisson. Mane dalam satu temubual memuji ‘Forrest’ kerana bersifat peramah, memberi tanggungjawab kepada mereka di atas padang dan tidak pernah berhenti mempercayai mereka.

‘Trio utama Anfield’

Ketibaan Klopp turut mengubah urusan perpindahan yang dikendalikan Reds. Tidak seperti sebelum ini yang penuh dengan kerenah birokrasi, semua itu dihapuskan menerusi kerjasama beliau, pengganti Comolli iaitu Michael Edwards dan pemegang ekuiti kedua terbesar kelab, Mike Gordon.

Walaupun semua mengenali wajah John W Henry sebagai pemilik Liverpool, hakikatnya Henry hanyalah wajah FSG. Sebaliknya, Gordon yang digelar pemilik pengurus diberi kepercayaan oleh beliau dan pengerusi Tom Werner membuat keputusan bersama kedua-duanya dalam banyak isu dari perluasan kapasiti stadium sehinggalah merekrut pemain akademi.

Mungkin ada mengganggap Gordon sebagai pemilik yang tidak kisah membazirkan wangnya demi minatnya terhadap bola sepak. Hakikatnya, sumber dalaman Anfield mendedahkan orang kepercayaan Henry dan Werner ini sebenarnya amat arif dengan sukan berkenaan dan bijak dalam hal ehwal perniagaan.

Edwards bukan asing bagi Reds kerana bermula sebagai penganalisis pada tahun 2011 sebelum dilantik sebagai pengganti Comolli pada tahun 2015. Tetapi kelibatnya jarang dilihat di khalayak awam sekaligus memudahkannya beroperasi tanpa diperhatikan oleh media dan penyokong. Malah, Klopp tanpa segan melihat Edwards sebagai faktor utama beliau menandatangani kontrak baru sehingga tahun 2024.

Jadi, apa bukti tiga individu ini dapat bekerjasama dengan mudah? Satu nama: Philippe Coutinho. Semasa pra-musim 2017 di Hong Kong, Coutinho memberitahu kelab bahawa beliau tidak gembira dan mahu berpindah ke Barcelona yang baru saja menjual Neymar kepada Paris St Germain ketika itu.

Di sebalik hakikat bahawa beliau ayam tambatan Liverpool terbaik ketika itu, jika tidak menyerlah memang Reds menderita. Dan itu yang berlaku pada final Liga Europa 2016 selepas Reds tewas di tangan Sevilla.

Walaupun sudah ada rancangan untuk mencari penggantinya, kelab memutuskan untuk meneruskan pengukuhan dua posisi penting iaitu pertahanan (van Dijk dari Southampton bernilai 75 juta paun) dan penjaga gol (Alisson dari Roma bernilai 66.8 juta paun) pada tahun 2018. Dua pemain ini yang menolak Reds ke mercu yang lebih tinggi.

Tentang pengganti Coutinho, Klopp meneliti beberapa nama yang dikenali seperti Julian Brandt dan Christian Pulisic. Tetapi Edwards memberitahunya mereka harus mendapatkan Salah yang cemerlang bersama Giallorossi pada musim 2016-2017. Menurut Klopp, jika tidak kerana ketegasan pengarah sukan mereka itu, mereka akan terlepas mendapatkan pemain yang mengubah segala-galanya.

Rajah 5: Mohamed Salah

Akademi

Di sebalik kesibukannya menguruskan pasukan utama, akademi tidak pernah dilupakan ‘Forrest’. Pada hari-hari pertamanya sebagai pengurus Liverpool, beliau bersama pengurus akademi Alex Inglethorpe meninjau pemain-pemain akademi yang ada ketika itu. Klopp bukan sekadar meninjau tetapi melihat siapa yang berpotensi diserap ke pasukan utama ketika itu.

Beliau tidak lokek berbelanja besar tetapi pada masa sama, tidak mahu membazirkan sumber. Jika Klopp merasakan diri mereka layak membarisi pasukan utama, mereka akan diberi peluang berbuat demikian. Buktinya, pasukan bawah 23 tahun yang dibimbing Neil Critchley ketika itu diberi peluang mengisi pasukan utama Liverpool untuk perlawanan Piala FA semasa mereka sibuk menyertai perlawanan Piala Kelab Dunia musim ini.

Klopp juga turut menilai pembangunan pemain seperti Curtis Jones, Harvey Elliott dan Neco Williams bagi melihat sama ada mereka boleh bersaing atau tidak. Sebarang keputusan yang dibuat bersifat perniagaan dan jika ada peluang, ia akan direbut segera. Sisi Klopp inilah yang menjadikan Liverpool sebagai sebuah pasukan yang disegani di Eropah.

Semasa sidang media pengenalan Klopp pada Oktober 2015, pengarah urusan kelab ketika itu Ian Ayre pernah ditanya sama ada keputusan membawa Klopp merupakan keputusan yang bijak. Ayre menjawab ia merupakan satu keputusan yang bijak dan auranya dapat dirasai di setiap peringkat kelab. Ternyata keputusan CEO Nashville SC hari ini mengukir senyuman luar biasa kepada sisi merah Merseyside.

RUJUKAN:

McNulty, Phil. (2020). Premier League title: Jurgen Klopp’s transformative role in leading Liverpool success. BBC Sport. https://www.bbc.com/sport/football/51751082

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.