Analisis Falsafah Politik Dalam Siri Avatar

426

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Dalam sesebuah cerita, adalah penting untuk menunjukkan keadaan sesuatu watak, sama ada watak itu kaya atau miskin, sihat atau sakit dan sebagainya. Teknik yang umum digunakan ialah alegori, iaitu penggunaan bahan,keadaan untuk mengekspresi idea yang luas dan kompleks secara lebih simple dan mudah didekati [1].

Alegori bertujuan memudahkan pengarang untuk menjarakkan diri antara mereka dan isu yang mereka cuba bincangkan, terutama sekali apabila isu itu senstitif dan banyak didebatkan. Senang bagi kita untuk faham watak-watak seperti Bruce Wayne, Tony Stark, dan Lex Luthor adalah watak yang berstatus tinggi, iaitu kekayaan dari segi wang dan peralatan teknologi. Namun bagi Siri Avatar, penggunaan alegori bagi kekayaan dan status ialah melalui jurus lenturan.

Secara ringkas, komuniti dalam siri Avatar terdiri daripada pelentur, iaitu seseorang yang boleh mengawal elemen alam semulajadi seperti air, tanah, api dan angin, dan manusia biasa yang tidak mempunyai kuasa itu. Dalam kalangan pelentur, Avatar ialah seseorang yang dapat menggunakan keempat-empat elemen di atas sekaligus menjadikannya pelentur paling berkuasa. Lenturan dalam kartun ini adalah alegori kepada kekayaan, dan kemampuan yang boleh datang dengannya.

Hanya dengan memiliki kuasa ini sahaja, pelentur akan mencapai mobiliti sosial dan identiti yang berbeza dengan manusia biasa. Dalam dunia nyata, kebanyakan sumber harta dimiliki oleh sebilangan golongan kecil sahaja. Keadaan ini dipanggil kapitalisme. Golongan-golongan borjuis ini berkuasa dengan cara mengawal ‘means of production’, iaitu input fizikal dan bukan kewangan yang digunakan dalam produksi nilai ekonomi [2].

Dalam hal ini, Avatar dianggap golongan borjuis paling berkuasa kerana boleh mengawal 4 elemen alam yang utama. Kalau boleh kawal air, tanah, api dan angin, maknanya anda boleh ubah geografi setempat, sekat sumber air penduduk tempatan, panggil ribut musnahkan tempat dan pelbagai lagi guna. Dalam the Legend of Korra, Korra sebagai Avatar telah dilayan secara istimewa oleh masyarakat setempat sejak beliau ditemui sebagai Avatar yang baru.

Berlainan dengan Aang, Avatar sebelumnya yang ditemui ketika perang dengan Bangsa Api berlangsung. Aang diburu dan terpaksa sembunyikan identitinya dalam kalangan masyarakat, tapi Korra telah capai status selebriti sejak dari kecil lagi. Namun begitu, cabaran bagi Korra berbeza dengan Aang. Korra terpaksa berdepan dengan ideologi –ideologi komunisme, anarkisme, fasisme dan lain-lain. Ideologi – ideologi ini datang daripada ketidaksamarataan yang berlaku dalam kalangan masyarakat antara pelentur dan manusia biasa.

Sebagai contoh, apabila golongan Equalist, iaitu golongan yang memperjuangkan hak sama rata antara pelentur dan manusia biasa membuat demonstrasi dan menyuarakan pendapatnya, Korra tidak setuju dengan mereka. Korra mengatakan beliau berhak dengan kuasa tersebut dan golongan Equalist tidak boleh salahkan golongan pelentur tidak mencapai status yang dikehendaki hanya kerana mereka pelentur. Apabila ‘penyelamat’ Equalist, Amon dikatakan telah berjaya mencabut lenturan daripada beberapa pelentur dengan mudah, Korra berasa takut dan tergugat.

“The Time Has Come For Benders to Experience Fear” – Amon

Bagaimana pula seorang Avatar yang mampu mengawal 4 elemen berasa tergugat dengan Amon? Kerana beliau telah mula nampak bahayanya ideologi yang memperjuangkan hak sama rata dengan mengambil kuasa orang lain. Ketakutan Korra bukanlah ketakutan fizikal, tapi ketakutan existensial. Ini kerana Lenturan adalah sumber identiti dan status seseorang. Tanpa lenturan, siapalah seorang Avatar?

Situasi yang sama dicetuskan dekat US sekarang. Terdapat beberapa golongan yang membawa idea “Defunding the Police”, berikutan peristiwa pembunuhan George Floyd dan Breonna Taylor tahun ini. Sebelum ini pun dah banyak kes polis dan kematian orang kulit hitam di sana, seperti Michael Brown dll. Di Minneapolis contohnya, walaupun orang kulit hitam hanyalah 20% daripada penduduk Minneapolis, hampir 60% keadaan di mana pihak polis menggunakan kekerasan terhadap individu yang berkulit hitam [3].

Asalnya hanyalah protest secara aman, namun tindakan polis bertindak secara ‘military style’ seperti hayunan baton, gas pemedih mata, menghentak pemrotes ke lantai dan menindih lutut, ditambah pula dengan respon Donald Trump memberi amaran akan hantar pertahanan awam jika situasi tidak terkawal, memburukkan lagi keadaan [3].

Walau bagaimanapun, idea “Defunding the Police” bukan bermakna hilangkan terus kuasa polis, tapi ia lebih kepada menggerakkan duit kerajaan yang diberi kepada polis dan bagi kepada jabatan kerajaan yang lain seperti klinik kesihatan, pendidikan dan sebagainya [4]. Namun idea ini telah diretorikkan oleh golongan-golongan tertentu yang mengatakan bahawa mereka akan merobohkan kerajaan dan mempromosi keganasan. Idea Amon yang asal hampir sama dengan idea ini. Amon tidak mengatakan semua pelentur perlu ditarik kuasanya, tetapi sesetengah pelentur yang menyalahgunakan kuasa sahaja.

Secara kesimpulannya, siri kartun karya Michael Dante DiMartino & Bryan Konietzko telah berjaya menghasilkan algeori yang cukup baik dalam menggambarkan komunisme bukan sahaja ingin mengambil ‘harta’ anda, tapi ia juga akan menggugat individuality anda, nilai diri anda. Namun berbeza dengan kewangan dan harta, lenturan tidak boleh dibahagi sama rata. Pasukan polis boleh ditambah, tapi pelentur tidak boleh. Maka, sama ada anda seorang pelentur atau anda tidak.

RUJUKAN

[1] MasterClass, “What Is Allegory? Types of Allegory in Writing And 5 Tips on Using Allegory in Writing,” masterclass.com, 15 October 2019. [Online]. Available: https://www.masterclass.com/articles/what-is-allegory-types-of-allegory-in-writing-and-5-tips-on-using-allegory-in-writing. [Accessed August 2020].

[2] DK Publishing, “The Fall of the Bourgeoisie are Inevitable,” in The Sociology Book, Penguin Random House, 2015, pp. 28-31.

[3] T. Beer, “Minneapolis Police Are 7 Times More Likely To Use Force Against Black People,” forbes.com, 3 June 2020. [Online]. Available: https://www.forbes.com/sites/tommybeer/2020/06/03/minneapolis-police-are-7-times-more-likely-to-use-force-against-black-people/#6b74592d1321. [Accessed August 2020].

[4] N. Kobie, “How US police used military tactics to turn peaceful protests violent,” wired.co.uk, 4 June 2020. [Online]. Available: https://www.wired.co.uk/article/police-brutality-minneapolis-floyd-blm-trump. [Accessed August 2020].

[5] A. Ferguson, “‘Defund the Police’ Does Not Mean Defund the Police. Unless It Does.,” theatlantic.com, 14 June 2020. [Online]. Available: https://www.theatlantic.com/ideas/archive/2020/06/what-does-defund-police-really-mean/612904/. [Accessed August 2020].

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.