Analisis Disebalik Watak Tyrion Lannister

0
661
views

Game of Thrones merupakan salah satu daripada drama bersiri yang amat popular di Amerika Syarikat bahkan seluruh dunia. Siri drama ini amat sarat dengan falsafah dan teori politik yang amat menarik untuk dikaji. Karakter-karakter di dalam rancangan ini juga adalah sangat dinamik, menggambarkan realiti kotor dunia politik.

Salah satu daripada watak kegemaran ramai adalah Tyrion Lannister,  iaitu seorang lelaki kerdil yang dilahirkan di dalam sebuah keluarga bangsawan kaya.  Tyrion sering menerima kecaman ramai oleh kerana keadaan fizikalnya. Ibu kandung Tyrion telah meninggal dunia sewaktu beliau melahirkan Tyrion, menyebabkan ayah kandung Tyrion,  Tywin Lannister untuk membencinya.

Tywin juga menganggap Tyrion sebagai salah satu sumpahan tuhan kepada beliau. Kakak kandung Tyrion,  Cercei juga membenci Tyrion kerana dia menganggap Tyrion sebagai punca kematian ibu kandung kesayangannya. Jamie, iaitu pasangan kembar Cercei merupakan satu-satunya ahli keluarga Tyrion yang melayani Tyrion dengan baik serta menyayanginya.

Tyrion sering menerima hinaan masyarakat oleh kerana keadaan fizikalnya yang kerdil,  menyebabkan beliau sudah lali dengan kutukan yang diterima. Tetapi kutukan yang diberikan oleh ahli keluarganya,  terutamanya daripada ayah kandungnya sendiri masih lagi menyakiti Tyrion. Tyrion sangat dahagakan penerimaan daripada keluarganya.

Menyedari kekurangan beliau dari segi fizikal, menyebabkan Tyrion lebih bersemangat untuk meningkatkan kebolehan intelektualnya. Tyrion meluangkan sebahagian besar dari masanya untuk membaca bagi meningkatkan pengetahuan beliau. Ini menyebabkan Tyrion menjadi salah satu daripada karakter utama yang mempunyai kebolehan intelektual yang sangat luar biasa. Kebijaksaannya diakui oleh ahli keluarganya sendiri, termasuklah ayah kandungnya yang masih membenci Tyrion.

Ketika tampuk pemerintahan anak saudaranya yang gila kuasa,  Joffrey Baratheon,  Tyrion telah dilantik menjadi  ‘Hand of the King’ buat sementara waktu oleh ayahnya,  iaitu penasihat utama keluarga diraja. Kebijaksaan Tyrion telah berjaya menyelamatkan keluarga mereka berulang kali dalam usaha untuk mempertahankan kerusi besi diraja.

Namun, di sebalik kebijaksanaan Tyrion,  Tyrion juga merupakan seorang kaki mabuk yang gemar meluangkan masanya di rumah pelacuran. Ini adalah salah satu daripada kaedah ‘defense mechanism’ yang dilakukan oleh Tyrion bagi melupakan kekosongan jiwa dan kecaman yang diterimanya oleh masyarakat ramai.

Jika dibandingkan dengan keluarganya sendiri,  Tyrion merupakan salah satu karakter yang mempunyai sifat baik dan ihsan yang paling tinggi. Kecaman dan deraan yang diterimanya sejak kecil menyebabkan Tyrion mempunyai sifat belas kasihan yang tinggi,  terutamanya kepada mereka yang sering berasa tersisih dalam masyarakat.

Buktinya, dalam permulaan siri ini,  Tyrion menasihati Jon Snow yang juga sering rasa tersisih oleh kerana status beliau sebagai seorang ‘bastard’ (anak luar nikah). Ketika itu, golongan anak luar nikah sering dipandang hina dan disisihkan oleh masyarakat ramai kerana meraka dianggap golongan kotor,  mereka juga tidak boleh mewarisi harta keluarga mereka. Seperti Tyrion,  Jon juga sangat mendahagakan penerimaaan daripada orang ramai. Tyrion menasihati Jon dengan berkata,  “Never forget what you are, the rest of the world will not. Wear it like armor and it can never be used to hurt you.”

Sewaktu Sansa Stark ditangkap untuk dijadikan seorang banduan oleh ahli keluarganya,  Tyrion telah bertindak memberikan Sansa layanan yang sangat baik berbanding ahli keluarganya yang lain yang sering mendera emosi dan fizikal Sansa. Selepas beliau dipaksa untuk mengahwini Sansa yang masih muda remaja, Tyrion tidak pernah menyentuhi Sansa kerana beliau mahu menghormati Sansa yang tidak rela dengan perkahwinan tersebut.

Tyrion dituduh membunuh anak saudaranya,  Joffrey Baratheon dan dihukum mati. Ayahnya telah berkomplot untuk menuduh Tyrion secara palsu bagi menghapuskan kehadiran Tyrion kerana beliau malu dengan fizikal Tyrion yang kerdil. Selepas beliau berjaya meloloskan diri dari King’s Landing,  Tyrion menawarkan khidmatnya kepada Daenarys Targaryen,  yang ingin menuntut haknya di kerusi besi diraja.

Bersama-sama dengan Daenerys,  Tyrion mengimpikan untuk membina sebuah dunia yang baharu yang bebas daripada kekejaman dan ketidakadilan. Dibekalkan dengan kebijaksanaan beliau,  Tyrion telah berjaya untuk mengatur strategi untuk membantu Daenerys menawan King’s Landing tanpa peperangan yang besar yang akan mengorbankan ribuan nyawa.

Drama bersiri ini telah berjaya memaparkan realiti sebenar dunia politik. Mereka yang terlalu berprinsip, baik hati dan lurus bendul tidak akan mampu untuk bertahan di dalam perebutan kuasa. Politik adalah bukan untuk semua,  mereka yang bercita-cita untuk menceburkan diri di dalam dunia politik harus berani untuk mengotorkan tangan mereka.

Ini mengingatkan saya kepada kisah Imam Syafie yang pernah bekerja sebagai penjawat awam semasa tampuk pemerintahan Khalifah Harun ar-Rashid. Sikap beliau yang sangat berprinsip menyebabkan beliau dicemburi, dituduh dan dipenjarakan di atas tuduhan palsu. Selepas beliau dilepaskan dari penjara,  Imam Syafie menjadi serik untuk melibatkan diri dalam dunia politik dan mengambil keputusan untuk mendedikasikan seluruh kehidupannya dalam menuntut ilmu.