Beberapa hari lepas, seorang kanak-kanak Melayu berusia tiga tahun mencetuskan kejutan dalam masyarakat apabila diumumkan sebagai ahli Mensa termuda. Muhammad Haryz Nadzim Mohd Hilmy Naim yang menetap di Britain bersama ibu bapanya menerima keahlian Mensa UK selepas berjaya mendapatkan markah IQ sebanyak 142 dalam ujian Stanford Binet.

Menurut ibunya, Nur Anira Asyikin Hashim, 30, mereka menerima permohonan Mensa pada 14 Januari lepas. Sebelum kita bercerita lanjut tentang adik Muhammad Haryz, mari kita selusuri sejarah Mensa itu sendiri.

Idea penubuhan Mensa datangnya dari dua individu terkenal iaitu Roland Berrill, seorang peguam Australia dan Dr Lancelot Ware, seorang peguam dan saintis dari Britain. Mensa ditubuhkan pada tahun 1946 di Lincoln College, Oxford dengan tujuan menubuhkan sebuah persatuan khas untuk orang-orang bijak dengan syarat keahliannya ialah seseorang itu mempunyai IQ yang tinggi. Mensa bersifat bebas dari unsur politik dan ahlinya datang dari pelbagai latar belakang berbeza termasuk bangsa, kerakyatan dan agama.

Bagaimanapun, kedua-dua Berrill dan Ware tidak berpuas hati dengan Mensa. Berrill yang sememangnya dikenali sebagai seorang elitis dan mahu melihat golongan elit menyertai organisasi tersebut. Bila melihat kebanyakan ahli Mensa terdiri daripada orang kebanyakan, beliau merasa amat kecewa kerana Mensa dilihat sebagai aristokrasi kebijaksanaan.

Selain itu, ramai ahli Mensa memandang sinis obsesinya terhadap dianetik, membaca tapak tangan, frenologi dan astrologi. Manakala Ware pula kecewa melihat ramai ahlinya menghabiskan banyak masa menyelesaikan teka-teki. Sikap Berrill menguruskan Mensa mengakibatkan kedua-duanya bergaduh dengan Ware memilih meninggalkan organisasi itu pada tahun 1950. Selepas peguam Australia itu meninggal dunia pada tahun 1961, barulah saintis itu memilih kembali ke pangkuan Mensa.

Ketika ini, jawatan Presiden Mensa digalas oleh Bjorn Liljeqvist dengan keahlian organisasi seramai 134,000 orang dari 100 buah negara. Tiga organisasi Mensa yang mempunyai keahlian paling ramai ialah Mensa Amerika Syarikat (57,000 orang), Mensa Britain (21,000 orang) dan Mensa Jerman (13,000 orang).

Kumpulan negara yang lebih besar dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil. Mensa Amerika Syarikat mempunyai 134 kumpulan tempatan dengan ahli teramai seramai 2,000 orang dan ahli terkecil seramai 100 orang.

Di Malaysia, idea penubuhan Mensa negara dibuat oleh Pengerusi Royal Selangor International Sdn Bhd, Tan Sri Yong Poh Kon. Pada tahun 70-an semasa mengembara dengan kapal terbang, beliau memutuskan menghabiskan masa dengan membuat ujian kepintaran dalam majalah Reader’s Digest. Tan Sri Poh Kon tidak menyangka beliau dapat menjawab 22 daripada 25 soalan dengan tepat.

Ketika itu, beliau baru berusia 22 tahun. Keputusannya menunjukkan beliau merupakan sebahagian daripada kelompok 2% manusia paling bijak sekaligus mendorongnya mengambil ujian Mensa. Tan Sri Poh Kon bukan saja bergelar tetapi juga bertanggungjawab menubuhkan Mensa Malaysia pada tahun 1984.

Keperluan kemasukan sebagai ahli Mensa mudah sahaja iaitu mendapatkan markah 98% dan ke atas dalam ujian-ujian menguji kecerdasan tertentu yang diiktiraf seperti Skala Kepintaran Stanford-Binnet. Markah bagi ujian Stanford-Binnet yang diterima ialah 132 manakala ujian kecerdasan Cattell pula ialah 148.

Kebanyakan ujian IQ direka untuk mendapatkan markah min 100 dengan standard penyisihan sebanyak 15, markah 98% di bawah syarat-syarat ini ialah 131. Walaupun kebanyakan negara anggota Mensa menggunakan ujian IQ yang diiktiraf, ada juga yang menggunakan ujian mereka sendiri seperti dibuat oleh Mensa Amerika Syarikat. Dalam sesetengah kes, ada juga yang mengambil ujian kelayakan Mensa sekali tetapi kemudian menghantar permohonan baru menggunakan markah kelayakan yang lain.

Nak tahu apa rupa ujian IQ Mensa ini? Boleh lihat di bawah:

Rajah 1: Soalan-soalan ujian Mensa. Kredit: https://www.thestar.com.my/lifestyle/features/2014/11/23/are-you-smart-enough-for-mensa

Ada berani? Jangan pula ada menggaru kepala sampai cabut rambut. Ujian IQ ini direka untuk peserta berumur 14 tahun ke atas. Manakala bagi peserta berumur 13 dan 12 tahun ke bawah pula, perlu mendapat izin daripada ibu bapa atau penjaga. Walaupun sesetengah negara mempunyai ujian untuk ahli berumur 12 tahun ke bawah, Malaysia tidak mempunyai ujian sebegitu.

Bagi yang nak mencuba, anda boleh saja pergi ke Eye Level SS2 (No. 74, Tingkat 2, Jalan SS2/60, Petaling Jaya, Selangor) pada pukul 2.00 petang setiap Ahad kedua setiap bulan dan membayar yuran ujian sebanyak RM50.

Untuk pengesahan identiti, warga Malaysia perlu membawa kad pengenalan sementara bagi warga asing, mereka perlu membawa pasport pengenalan diri. Sekiranya layak bergelar ahli Mensa Malaysia seperti yang berlaku kepada Muhammad Haryz, anda akan menerima surat jemputan dari pihak Mensa dan membayar yuran keahlian tahunan sebanyak RM70.

Jadi, bagaimana Muhammad Haryz boleh layak sebagai ahli Mensa? Menurut Nur Anira, dia dan suaminya Mohd Hilmy Naim Mohd Yakin, 31, sudah mengesan kecerdasan anak mereka itu sejak dia berusia dua tahun. Tambahnya,  guru sekolahnya mendedahkan kepintaran Muhammad Haryz sebelum membawanya bertemu pakar untuk mengetahui tahap IQ.

“Kami dimaklumkan gurunya bahawa dia lebih cerdas berbanding kanak-kanak lain dan mereka bercadang menempatkan Muhammad Haryz di kelas yang lebih berumur ketika sesi pembelajaran bahasa Inggeris. Dari situ kami rasa dia berkebolehan dan kami menghantar e-mel kepada seorang psikologi kanak-kanak pintar di Britain iaitu Lyn Kendall untuk dinilai.

Selepas dinilai, Lynn memberikan skor 142 dalam ujian Stanford-Binnet dan memberikan kami borang untuk menyertai Mensa. Kami bersetuju kerana dengan keahlian Mensa. Ini kerana kami akan dapat bertukar fikiran, saling berinteraksi dengan ibu bapa kepada kanak-kanak Mensa yang lain,” katanya lagi.

Muhammad Haryz amat meminati buku terutama buku-buku karangan Julia Donaldson seperti Zog dan The Gruffalo. Malah menurut Nur Anira lagi, dia tidak akan tidur sebelum menghabiskan sekurang-kurangnya dua buku. Tambahnya lagi, “Kami lega kerana dia sudah pandai membaca sendiri keseluruhan buku itu.”

Minat ini timbul apabila rutin harian mereka membacakan buku cerita sebelum tidur semasa Muhammad Haryz masih bayi lagi. “Setiap kali kami membacakan cerita, dia akan cuba mengingati keseluruhan cerita itu dan menceritakan semula kepada kami. Kami terpegun dengan kebolehannya,” ujarnya.

Walaupun ada menyatakan kebimbangan penyertaan Muhammad Haryz dalam Mensa boleh merencatkan kehidupannya, Nur Anira mempunyai pandangan berbeza. “Kami merasakan tidak mengganggu kehidupan Haryz kerana dia gembira bertemu dengan rakan-rakan dan dia mudah selesa.

Kami merasakan Mensa dapat membantunya mengembangkan lagi potensi dirinya. Selain itu memberikan keyakinan dalam dirinya yang dia mampu mengecapi apa yang dihajati dengan minat dan izin dari Allah s.w.t,” jelasnya.

Ini jelas menunjukkan kedua-dua Nur Anira dan Mohd Hilmy mahukan putera mereka itu dapat menjalani kehidupan normal tetapi pada masa sama, diberi peluang merealisasikan potensi dirinya dengan panduan dan bantuan yang sesuai. Ini bersesuaian dengan dua fasal perlembagaan Mensa iaitu mengenalpasti dan membangunkan kepintaran manusia demi faedah kemanusiaan serta mewujudkan persekitaran sosial dan merangsang intelektual untuk para ahlinya.

RUJUKAN:

  1. Abd Lajis, Syairah. (2020). Kisah si kecil genius dari Malaysia… Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/66520/BERITA/Viral/Kisah-si-kecil-genius-dari-Malaysia
  2. Mei Zi, Tan. (2019). All brains: Royal Selangor head Yong Poh Kon on starting the Malaysian Mensa Society and its future. Malay Mail. https://www.malaymail.com/news/life/2019/10/02/all-brains-royal-selangor-head-tan-sri-yong-poh-kon-on-starting-the-malaysi/1796446
  3. Toh, Terence. (2014). Are you smart enough for Mensa. The Star. https://www.thestar.com.my/lifestyle/features/2014/11/23/are-you-smart-enough-for-mensa

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.