Anak Melayu Ini Mencadangkan Koloni Marikh Daripada Buluh

868

Kita sentiasa membayangkan satu ketika, kita dapat menjejakkan kaki di planet Marikh. Bukan sekali rancangan televisyen dan filem menunjukkan bayangan manusia menubuhkan koloni di Marikh seperti minisiri Mars, Doctor Who (Waters of Mars) dan The Martian. Tetapi pernahkah kita bayangkan asas koloni dibina bukan dari imbasan cetakan 3D tetapi dari sejenis tumbuhan beriklim panas dan tropika iaitu buluh?

Buluh?! Macam mengarut, kan? Tetapi bagi dua anak Melayu dari Malaysia bernama Warith Zaki dan Amir Amzar, ia dianggap satu konsep yang masuk akal. Projek yang diberi nama Benih Kehidupan (Seed of Life) ini menunjukkan reka bentuk koloni terdiri daripada beberapa struktur yang dianyam dengan buluh oleh robot. Idea ini merupakan sebahagian daripada cadangan mereka bahawa ada alternatif dalam membina koloni di Marikh tanpa perlu bergantung kepada penghantaran bahan dari bumi atau cetakan 3D.

Bila ditanya oleh laman sesawang Dezeen.com, kedua-duanya menceritakan idea tersebut timbul selepas mengkaji banyak konsep kolonisasi Marikh. Separuh daripada idea kolonisasi mencadangkan penghantaran bahan sintetik dari bumi ke Marikh untuk bahan binaan tempat perlindungan sementara separuh lagi menggunakan idea bahan binaan dari kawasan regolitos berhampiran. Warith dan Amir berkata, “Kami cuba mencari sesuatu di antara dua idea itu, keseimbangan penggunaan bahan semulajadi dari bumi dan teknologi terkini.”

Untuk menghasilkan bangunan sebegitu, kedua-duanya membayangkan projek penanaman buluh di Marikh dan menggunakannya sebgaai bahan binaan untuk membina koloni. Tambah mereka, “Tamadun manusia tidak pernah membina sesuatu di luar bumi. Fakta itu sudah cukup membuka kemungkinan yang tidak terbatas tentang apa yang patut atau tidak patut digunakan semasa pembinaan. Benar, cadangan 3D nampak seperti satu idea yang bagus tetapi dengan pengetahuan dan pengalaman ribuan tahun dalam membina tempat perlindungan, kenapa tidak kita manfaatkannya untuk mencari alternatif lain?”

Setiap pod modular dalam koloni akan dibina dalam tempoh enam tahun. Bagi fasa pertama, kapal peneroka akan mendarat dan mencari lokasi ais bawah tanah untuk dijadikan sebagai sumber air bagi fasa pertama pembangunan. Selepas lokasi air dikesan, sebuah habitat ETFE yang dilancarkan sendiri mengandungi pucuk-pucuk buluh akan dihantar ke planet.

Sebuah gerudi akan digunakan untuk mengorek ais bawah tanah untuk membekalkan air kepada buluh di mana ia akan membesar dalam habitat ETFE. Selepas ia membesar dengan sihat dalam tempoh tiga tahun, ia akan dikeluarkan dari kebuk tumbesaran, dipotong dan dianyam sekitar struktur ETFE dengan robot. Akhir sekali, ia akan dipam dengan air di mana ia akan membeku dalam iklim Marikh bagi menghasilkan satu lagi lapisan perlindungan untuk koloni.

Buluh menjadi pilihan Warith dan Amir kerana ia tumbuhan yang cepat tumbuh dalam kuantiti yang banyak sekaligus mengurangkan keperluan menghantarnya ke Marikh. Dan sepanjang lipatan sejarah manusia, ia juga menjadi pilihan bagi tamadun-tamadun manusia sebagai bahan binaan bangunan dan monumen mereka.

Tambah mereka lagi, “Manusia telah menguasai teknik pembinaan tempat perlindungan dengan kayu dan buluh selama ribuan tahun. Buluh sahaja tidak akan bertahan dengan iklim Marikh tetapi dengan kombinasi teknologi dan bahan lain, sudah pasti ada kemungkinan ia dapat bertahan.”

Walaupun Benih Kehidupan ini masih lagi bersifat konsep, kedua-dua pereka ini berharap ia dapat menggalakkan rakan-rakan pereka lain untuk berfikir di luar kebiasaan termasuk menggunakan teknik dan bahan binaan berbeza untuk tujuan kolonisasi di angkasa lepas. K

etika ini, ramai pereka dan arkitek masih memikirkan cara terbaik untuk membina koloni di Marikh. NASA sibuk menganjurkan pertandingan rekaan koloni yang diperbuat daripada 3D sementara arkitek Itali, Stefano Boeri membayangkan siri kubah yang menutup hutan melintang.

RUJUKAN:

Ravencroft, Tom. (2019). Malaysian designers propose building colony on Mars from locally grown bamboo. Dezeen. https://www.dezeen.com/2019/09/03/mars-colony-bamboo-warith-zaki-amir-amzar/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.