Anak-Anak Sidek – Bun Yang Nakal

1674
views

‘Old but gold.’ Itulah yang boleh diungkapkan untuk siri animasi Anak-anak Sidek. Sebuah animasi tempatan yang berjaya menyuntik elemen kekeluargaan lebih baik daripada drama-drama televisyen yang sedia ada. Siapa yang tak ingat tentang keluarga Haji Sidek yang gigih melatih anak-anaknya untuk menjadi jaguh badminton? Lagi-lagi dengan telatah Bun yang nakal serta anak emas Ajib. Animasi ini mula ditayangkan di TV1 pada sekitar tahun 1999. Dalam versi komik pun ada. Tapi, kini semua itu hanya tinggal kenangan.

Perjalanan watak Bun pada mulanya sebagai seorang nakal dan degil. Selepas kematian Buyut akibat dipanah petir, Wak Sakawi lah tempat Bun mengadu masalah. Semua ini disebabkan sikap Haji Sidek yang sering melayan Ajib sebagai anak emas. Beberapa kali Bun mengusik Ajib sehingga membuatkan Haji Sidek melepaskan amarahnya dengan menampar Bun. Akibat sikap Haji Sidek tersebut, Bun melarikan diri ke dalam hutan dan berjumpa dengan bidadari. Dengan bantuan dan pujukan Wak Sakawi, barulah Bun pulang ke rumah.

Bun, meskipun dia membenci adiknya Ajib dan dengki terhadapnya namun dia tetap  beralah dengan adiknya. Benarlah pepatah mengatakan ‘air dicincang tak akan putus.’. Jika anda masih ingat, mereka pernah berebut aiskrim ketika ponteng puasa.

Bun : Bagi aku yang besar tu, Ajib. Patutnya aku dapat besar sebab aku paling besar!

Ajib : Eh, memilih pulak. Kau ingat beli aiskrim ni pakai badan? Tapi duit yang kau bagi tadi kecil tau!

Bun : Yelah, yelah. Kecil pun kecillah. Janji aiskrim!

Didikan Haji Sidek yang sentiasa menyebelahi Ajib membuatkan Bun merasa dengki dengan Ajib. Mana tidaknya, setiap permintaan Ajib sentiasa ditunaikan. Sebab itulah, Bun sentiasa berusaha untuk menarik perhatian Haji Sidek meskipun dia tahu apa yang dia buat itu salah. Contohnya, melastik burung di hutan dan juga menangkap burung hantu. Dikurung di dalam reban ayam berkali-kali, Bun masih juga tidak serik dengan sikapnya. Bun tetap juga mengenakan Ajib tanpa henti.

Sudah tentu anda masih ingat Bun cuba mengenakan jerat untuk dipasang mengenakan Ajib tetapi yang menjadi mangsa ialah Wak Sakawi. Kasihan Wak Sakawi, dia juga yang menjadi mangsa keadaan.

Sikap Bun yang degil juga diwarisi oleh Haji Sidek satu ketika dahulu. Lebih teruk lagi, Haji Sidek pernah membaling batu ke arah lembu sehingga berdarah. Sebab itulah Haji Sidek mendidik Bun dengan cara yang tegas. Beliau tahu anaknya itu mewarisi sikapnya ketika beliau muda dahulu.

Masa terus berlalu dan Bun menginjak ke alam remaja. Dia mula berjinak-jinak dalam dunia percintaan bersama Mei Ling. Dia tidak kisah sangat tentang adiknya sehinggalah dia dimasukkan ke dalam sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur. Bun pula yang merindui adiknya itu.

Begitu juga dengan kita. Semakin kita menginjak dewasa, segala yang berlaku akan tinggal kenangan. Adik-beradik kita semakin membesar dan perlahan-lahan satu hari nanti mereka akan ada kehidupan yang tersendiri. Berapa kerapkah anda bertegur sapa dengan adik-beradik anda?

Kemungkinan yang jauh merindui yang dekat. Cuma tak dapat diungkapkan dengan kata-kata sahaja. Maka, jangan jadikan alasan sibuk dengan pekerjaan semata-mata untuk menjauhkan diri dengan ahli keluarga. Tak akan hanya raya saja baru berjumpa? Tidaklah menjadi masalah dengan telefon walaupun seminit sahaja. Malah ia akan membuatkan adik-beradik anda rasa dihargai. Beringatlah kepada yang tersayang. Mereka tidak selamanya berada di dunia ini. Hargai sementara mereka masih ada.