Pada 16 Julai ini, ia mungkin sekadar satu lagi tarikh biasa. Tetapi bagi peminat dan penggiat astronomi, ia merupakan satu tarikh istimewa kerana pada hari itu merupakan ulangtahun ke-50 peristiwa manusia melakukan pendaratan di bulan.

Ekspedisi angkasawan terdiri daripada Neil Armstrong, Edwin Aldrin dan Michael Collins itu ke bulan dianggap satu pencapaian terbesar untuk manusiawi. Namun, ekspedisi ini hampir dimusnahkan oleh keinginan memuaskan ego yang tidak mahu diatasi oleh Kesatuan Soviet. Dan ia dimanifestasikan melalui Projek A119 atau eksperimen meletupkan bom nuklear di bulan!

Kegilaan yang tercetus pada tahun 1958 ini disertai ramai cerdik pandai Amerika termasuk seorang saintis berumur 24 tahun bernama Carl Sagan. Ya, hos ikonik di sebalik program asal Cosmos bertanggungjawab melakukan kiraan kritikal dalam program berkenaan.

Jika ada yang cuba mencari siapa si bodoh yang mencetuskan kegilaan ini, salahkan Sputnik saja. Perlu diingat pada tahun 50-an, perlumbaan angkasa lepas merupakan sebahagian daripada Perang Dingin dan apa saja kelebihan yang diraih Soviet ketika itu dianggap satu ancaman kepada Amerika Syarikat.

Dengan Sputnik berjaya dilancarkan pada tahun 1957, wujud kebimbangan pihak Soviet mempunyai keupayaan melancarkan peluru berpandu nuklear ke atas negara berkenaan. Amerika harus memberi jaminan kepada dunia bahawa ia masih lagi menjadi sebahagian daripada perlumbaan angkasa lepas.

Dan untuk menunjukkan bahawa mereka masih ada kelebihan berbanding Soviet, maka idea meletupkan bom nuklear di bulan menjadi pilihan. Secara dasarnya, projek ini tidak mempunai sebarang matlamat saintifik atau sebab munasabah yang menjustifikasikannya. Sebaliknya, ia merupakan satu bentuk operasi pembaziran wang pembayar cukai untuk membuktikan bahawa Washington juga berupaya melakukan sesuatu yang dramatik di bulan.

Projek A119 ini diketuai oleh Dr Leonard Reiffel. Pada tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua, Reiffel menikmati pengalaman kerja menarik bersama saintis legenda Enrico Fermi di Institut Penyelidikan Nuklear, Universiti Chicago. Tetapi pada tahun 1949, beliau diberi peluang menguruskan semua kajian dan penyelidikan fizik di satu lagi institusi terkemuka berpangkalan di Chicago iaitu Yayasan Penyelidikan Perisai (ARF). Kini ARF dikenali sebagai Institut Teknologi Illinois. Semasa berkhidmat di situ dari 1949 hingga 1962, pasukan Reiffel mengkaji aspek fizik ke tahap maksimum termasuk mengkaji kesan letupan nuklear ke atas persekitaran global.

Melihat kajian ini relevan dengan Projek A119, tidak hairanlah mengapa Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) meminta mereka melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan iaitu mengkaji penglihatan dan kesan letupan nuklear di bulan. Jika itu dapat direalisasikan, ia dapat mengejutkan Soviet dan memperlihatkan kehebatan Amerika Syarikat.

Dan bagi para saintis yang terlibat, usaha ini dianggap satu peluang untuk meneroka dan menyelidik misteri angkasa lepas. Namun, Reiffel sedar ARF tiada pakar yang berkebolehan untuk kajian berkenaan. Selain Sagan, beliau merekrut Gerard Kuiper, seorang pakar fizik planet-planet. Namanya kemudian diabadikan pada rangkaian Kuiper iaitu rangkaian objek cakerawala luar Neptun terdiri daripada ratusan ribu objek cakerawala yang diperbuat daripada ais dan satu trilion komet.

Ini mengundang persoalan, mengapa saintis-saintis yang dianggap terhormat dan berjaya dalam bidang masing-masing mahu melibatkan diri dalam sesuatu yang dianggap gila ini? Sesetengah daripada mereka didorong oleh perasaan takut terutama bagi pencinta keamanan. Ini kerana jika mereka enggan melibatkan diri dalam mana-mana projek saintifik yang dibiayai oleh pihak tentera, bersedialah nama mereka dimalukan atau disenaraihitam.

Ini berlaku kepada Robert Oppenheimer, pencipta bom atom yang kemudiannya menjadi penentang tegar penghasilan bom termonuklear. Ini menyebabkan beliau disenaraihitam, kehilangan pekerjaan dan sentiasa dikatakan merupakan seorang perisik Soviet.

Ada pula yang menyertai program-program ini atas dasar patriotisme terutama selepas WWII. Perlu diingat, sesetengah daripada mereka ini merupakan golongan cerdik pandai yang kehilangan semua benda termasuk orang tersayang apabila negara kelahiran mereka dijajah rejim Nazi Jerman. Justeru bila mereka berhijrah ke Amerika, perkara ini tidak menjadi satu isu kerana pada mereka, penyertaan mereka diharap dapat menghalang perkara yang menimpa negara kelahiran mereka tidak berulang di Amerika Syarikat.

Selain itu, ada yang melihatnya sebagai satu peluang meneroka cabang baru sains terutama bidang astronomi. Sagan misalnya melihat menerusi Projek A119, ia boleh membuka ruang kepada penyelidikan mikrob di bulan dan sekaligus, bukti konklusif kepada kewujudan kehidupan di alam semesta selain bumi. Ada pula yang melihat peluang mengkaji struktur sub-permukaan bulan melalui gempa bumi tiruan yang terhasil daripada letupan bom nuklear di bulan.

Mengikut pelan asal projek, bom termonuklear itu akan diletupkan bahagian sisi gelap bulan agar cahaya matahari dapat menunjukkan awan cendawan yang terhasil dari letupan berkenaan. Menurut Reiffel, tidak mustahil peluru berpandu nuklear dilancarkan ke bulan dengan ketepatan dalam jarak dua kaki memandangkan jarak bumi dengan bulan ialah 2,159 batu.

Tetapi, perancang projek berhadapan satu masalah. Untuk mendapatkan imej letupan sedemikian di bulan merupakan sesuatu yang mustahil. Jika bom termonuklear itu diletupkan, ia tidak akan menghasilkan awan cendawan yang biasa kita lihat dalam mana-mana video ujian bom nuklear pada tahun 50-an kerana awan sebegini hanya wujud dalam atmosfera.

Tanpa beban atmosfera, tidak akan wujud halagan bagi pengembangan abu-abu dan serpihan yang terhasil daripada letupan nuklar. Senang cerita, terlalu banyak habuk. Ya, cahaya matahari masih tetap menyinari letupan berkenaan dan ia dapat dilihat dari bumi tetapi ia tidak sedramatik yang disangkakan.

Justeru, tidak hairanlah mengapa Projek A119 dihentikan tanpa dinyatakan sebab ia ditutup berikutan masih diklasifikasikan sebagai rahsia sulit. Tetapi ramai dapat menelah mengapa ia dihentikan. Sesetengah merasakan ia dihentikan kerana bahaya objek yang kembali ke bumi dalam keadaan beradiasi selepas melancarkan peluru berpandu nuklear ke bulan sekaligus memberi ancaman kepada kehidupan di bumi.

Ada pula berpandangan ia dihentikan kerana bimbang kesan radiasi yang wujud akan menjejaskan sebarang peluang ekspedisi penjelajahan ke angkasa lepas termasuk bulan. Akhir sekali, ada juga melihat jika ia tetap diteruskan, USAF yang akan menanggung malu kerana orang ramai melihat projek ini cubaan merosakkan kecantikan bulan daripada demonstrasi kehebatan sisi saintifik Amerika.

Dan bila Perjanjian Angkasa Lepas dimeterai pada tahun 1967, ia mematikan terus sebarang cubaan menghidupkan projek itu. Melalui salah satu terma perjanjian, negara-negara yang menandatangan termasuk Amerika dan Soviet bersetuju untuk tidak meletakkan mana-mana bentuk senjata pemusnah besar-besaran di angkasa lepas termasuk bom nuklear. Perjanjian sebegini dilihat paku terakhir kepada keranda Projek A119 dan menjadi motivasi kepada penyelidikan dan ekspedisi berbentuk saintifik termasuk pendaratan di bulan pada tahun 1969.

RUJUKAN

1. Andrews, Robin. (2018). This Is The Story Of How America Once Thought About Nuking The Moon. Forbes. https://www.forbes.com/sites/robinandrews/2018/08/06/this-is-the-story-of-how-america-once-thought-of-nuking-the-moon/#daa413c30b75

2. Houghton, Vince. (2019). Why the Air Force Almost Blasted the Moon with an H-Bomb. History. https://www.history.com/news/nuclear-bomb-moon-cold-war-plan


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.