American Made: Antara Fakta Dengan Fiksyen

0
1973
views

Apabila filem American Made ditayangkan di pawagam tahun ini, sekali pandang, filem ini kelihatan sama dengan filem The Wolf of Wall Street lakonan Leonardo DiCaprio tidak lama dahulu. Ya, filemnya berbeza dari segi naratif dan plot penceritaan tetapi dari beberapa aspek, ia kelihatan sama. Antaranya bagi memastikan penonton tertarik melihat protagonis yang rosak dari segi keperibadian mereka, maka produksi memilih nama besar, dalam kes ini, pengarah Doug Liman memilih Tom Cruise sebagai Barry Seal. Selain itu, antara teknik The Wolf of Wall Street yang digunakan dalam filem tersebut ialah pemilihan antagonis dan bila Seal bercakap secara terus dengan kamera (penonton), sekaligus menjadikan kita rakan subahat. Paling penting, produksi bersikap bebas dalam menceritakan kisah hidup Seal tetapi cerita sebenar jauh lebih gelap dari apa yang kita tonton di pawagam.

DIREKRUT

Dalam filem tersebut, Seal merupakan juruterbang hebat dalam syarikat penerbangan TWA dengan tabiat melakukan aksi akrobatik sehingga menyebabkan topeng oksigen terkeluar dan menakutkan para penumpang. Namun aksi sebegini yang menarik perhatian Agensi Perisikan Pusat (CIA) di mana Seal dihampiri seorang ejen bernama Monty Schafer (Domnhall Gleeson). Schafer mahu Seal mengambil gambar dari udara kedudukan gerila yang berlatih di Amerika Tengah seperti El Salvador, Nicaragua dan Honduras dengan ganjaran pesawat dua enjin yang pantas.

Namun kisah sebenarnya lebih dari itu. Menurut mendiang Alexander Cockburn, seorang wartawan penyiasatan mendedahkan Seal sebenarnya sudah mempunyai hubungan dengan CIA semasa berkhidmat sebagai juruterbang helikopter pasukan khas di Vietnam pada tahun 60-an dan mengekalkan hubungan tersebut sepanjang bersama TWA. Ada juga mendakwa hubungan ini sudah berlaku semasa era operasi Bay of Pigs. Walaupun Liman dan penulis lakon layar, Gary Spinelli menyatakan Seal hanya seorang juruterbang yang gilakan keterujaan yang terperangkap dalam permainan perisikan, hakikatnya itu sebenarnya satu pembohongan.

Ini kerana pada tahun 1972, Seal ditahan pihak kastam Amerika atas tuduhan menyeludup 1,350 bahan letupan plastik untuk kegunaan kumpulan gerila anti-Castro yang berpangkalan di Mexico. Dan jika anda percaya bahawa Seal meletak jawatan dari TWA pada 1978 untuk mengejar karier dalam perisikan, anda salah lagi. Pada tahun 1974, beliau dipecat dari TWA kerana memalsukan cuti sakitnya. Pada tahun yang sama, kes penyeludupan tersebut digugurkan dan Seal terlepas dari pendakwaan berikutan campur tangan CIA atas alasan keselamatan negara.

PENGINTIPAN GERILA

Dalam adegan sama, antara sebab Seal menerima tugasan CIA tersebut kerana melihat tindakannya mengambil gambar secara rahsia pergerakan gerila boleh saja membantu kerajaan membanteras ancaman komunis. Dan ini sengaja tidak dikembangkan oleh pihak produksi. Motif sebenar Seal menerima tugas sedemikian ialah melihat CIA sebagai pelindung yang boleh melindungi operasinya dari diganggu pihak kastam dan Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA). Buktinya, pada tahun 1980-an, pihak kastam Amerika terpaksa menghentikan siasatan dadah ke atas salah seorang juruterbang Seal. Dalam satu memo kepada pegawai atasannya, ejen bertugas menulis, “Joe (nama dirahsiakan) bekerja dengan Seal dan tidak boleh disiasat kerana Seal berkhidmat dengan CIA.”

Selain itu, kita juga perlu maklum situasi gerila di Amerika Tengah. Ya, ada sesetengah daripada mereka menerima bantuan kewangan, senjata dan latihan dari Cuba namun hakikatnya mereka yang berjuang dalam hutan ini bangkit sebagai tindak balas kepada diktator-diktator di negara-negara mereka, kemiskinan, penindasan dan kecewa terhadap usaha reformasi politik di negara mereka. Tidak percaya, lihat saja kes Klaus Barbie. Barbie yang dikenali di Perancis sebagai Penyembelih Lyon menjadi aset CIA selepas Perang Dunia Kedua (WWII). Dan seperti rakan-rakan seperjuangan Nazinya, Barbie melarikan diri ke Amerika Selatan dan mempunyai hubungan dengan beberapa ketua kartel dadah berpengaruh seperti Pablo Escobar dan Roberto Suarez Gomez. Suarez Gomez menggunakan Barbie dan pasukannya yang dipanggil Tunang Kematian untuk menggulingkan kerajaan Bolivia dan membantunya membentuk Bolivia sebagai negara dadah dengan pengetahuan CIA.

KARTEL MEDELLIN

Dalam satu adegan American Made, Seal sedang mengisi minyak kapal terbangnya apabila sekumpulan lelaki menculiknya dan membawanya ke sebuah landasan kapal terbang tersorok di hutan Colombia. Di sinilah Seal bertemu dengan tiga ‘ahli perniagaan’ termasuk ketua kartel Medellin, Escobar di mana mereka membuat satu tawaran yang tidak boleh ditolak kepada beliau: seorang juruterbang yang mahir mendarat di landasan sempit dan pendek. Merasakan kerjanya bersama CIA tidak lagi berbaloi, Seal bersetuju dengan tawaran $2,000 setiap kilogram dadah yang diseludup ke Amerika Syarikat.

Hakikatnya, pertemuan sebegini tidak berlaku sama sekali. Ini kerana menerusi keterangannya kepada DEA, Seal mengaku menyeludup ganja pada tahun 1976 dan kokain pada tahun 1978, jauh lebih awal dari tahun yang dinyatakan dalam filem tersebut. Dan jika anda merasakan pertemuannya dengan tiga ‘ahli perniagaan’ itu fiksyen, salah. Pertemuan itu benar-benar berlaku tetapi ia berlaku hanya selepas Seal ditahan oleh DEA pada tahun 1983.

Figure 1: Pertemuan Seal dengan Pablo Escobar hanya berlaku selepas Seal ditahan DEA, tidak seperti digambarkan dalam filem.

DITAHAN DI COLOMBIA

Dalam filem ini, Liman menunjukkan bagaimana Seal menjadi rakan rapat dengan ketua kartel dadah seperti Ochoa dan Escobar sehingga ke tahap berparti di kediaman mereka di Cartagena, sebelum parti tersebut dijahanamkan oleh serbuan tentera Colombia. Kesemua mereka ditahan dan dipenjarakan di mana Ochoa dan Escobar dilepaskan sehari selepas itu sementara Seal terus dibiar dalam tahanan sebelum dibebaskan Schafer. Schafer memberi amaran kepada Seal supaya berpindah dari Baton Rouge untuk mengelak dari ditahan polis dan mengaturkan mereka untuk berpindah ke Mena, Arkansas. Di situ, agensi menyediakan rumah dan landasan kapal terbang untuk Seal sekeluarga.

Kisah penahanan ini benar berlaku tetapi bukan berlaku di Colombia. Sebaliknya, Seal ditahan di Honduras dan dipenjarakan selama sembilan bulan kerana menyeludup 40 kilogram kokain. Di sinilah beliau bertemu pengurus perniagaan kartel Ochoa di New Orleans, dari situ menarik perhatian kartel Medellin pada tahun 1982. Seal menjadi orang penting penyeludupan dadah di tenggara Amerika Syarikat. Buktinya, setiap hari pada tahun 1981, rekod bank menunjukkan Seal memasukkan deposit harian sebanyak $50,000 di sebuah bank di Bahamas. Sementara perpindahannya ke Mena bukan atas sebab mengelak dikejar pihak berkuasa tetapi sebahagian daripada rancangannya mengembangkan lagi operasi penyeludupannya.

MENYOKONG KONTRAS

Dalam filem sama, sebagai pertukaran kepada tidak merengkok dalam penjara, Schafer mahu Seal menerbangkan senjata api AK-47 dari Mena kepada pihak Contras di Nicaragua. Dan untuk menambah lagi risiko, Schafer mahukan juga bukti ahli-ahli Contras yang akan dilatih ke Mena. Sementara itu, kawan-kawan lamanya dari kartel mahukan senjata yang dibawanya ditinggalkan di Colombia dan sebagai pertukaran, ia diganti dengan bekalan dadah semasa perjalanan pulang.

Tuduhan sebegini ada benarnya kerana pesawat-pesawat Seal yang bertolak dari Mena ke Colombia ini berhenti mengisi minyak di Panama dan Honduras. Kedua-dua negara ini merupakan tempat aktif gerila Contras berlatih sebelum pesawat-pesawat ini membawa pulang dadah bernilai $13 juta. Malah, inilah sebab sebenar mengapa pihak CIA mahukan khidmatnya. Seal boleh saja mengubah pelan penerbangannya bagi membantu mereka membawa bekalan ke kem-kem Contras di Honduras dan Costa Rica serta ia samaran terbaik untuk operasi penyeludupannya.

DITAHAN

Dalam filem ini, CIA mengabaikan Seal dan memadamkan semua bentuk dokumen yang mengaitkan mereka dengan beliau sebelum beberapa agensi persekutuan dan polis menyerbu lapangan terbang Mena. Seal didakwa atas tuduhan pelaburan wang haram, penyeludupan dadah dan senjata api tetapi terlepas dengan perintah khidmat komuniti dan segera dibawa ke Rumah Putih. Namun, cerita sebenar jauh lebih pelik.

Pada tahun 1983, Seal ditahan atas kesalahan menyeludup 200,000 Qualludes ke Florida. Beliau cuba mengadakan perjanjian dengan DEA tetapi permintaannya tidak dilayan. Sebaliknya, Seal didakwa pada Februari 1984 dan berhadapan hukuman 10 tahun penjara. Terdesak, Seal berhubung dengan pasukan petugas khas dadah George Bush dan bertemu dengan staf Bush bernama Jim Howell. Howell menemubual beliau dan membawanya bertemu dengan seorang ejen DEA bernama Kenneth Kennedy. Di sinilah Seal membuat tawaran mendapatkan maklumat berkenaan kartel Medellin dan mendedahkan peranan Sandinista dalam perang dadah. Sebulan selepas itu, Seal disenaraikan sebagai pemberi maklumat DEA dan hukumannya dikurangkan.

Apa yang berlaku selepas itu kabur. Menurut Robert Joura, seorang ejen DEA yang bekerjasama dengan Seal mendedahkan untuk penghantaran seterusnya, Ochoa atau Escobar memberitahu Seal mereka akan memindahkan operasi kartel dari Colombia ke Nicaragua. Sebagai pertukaran kepada penggunaan lapangan terbang persendirian Managua di sana, mereka akan memberi potongan keuntungan operasi kepada rejim Sandinista. Satu lagi teori mendedahkan taktik ini sebenarnya dirancang oleh Seal dan Ochoa bagi memastikan Seal terus menjadi aset perisikan Amerika. Apapun, Seal terbang ke Florida dan hukuman penjara 10 tahun dikurangkan kepada hukuman percubaan enam bulan selepas mendapat surat sokongan daripada DEA dan CIA.

LEFTENAN KOLONEL OLIVER NORTH

Figure 2: Leftenan Kolonel Oliver North

Oliver North merupakan tokoh kontroversi dalam skandal Iran-Contra dan dalam filem ini, North tidak terkecuali terbabit. Dalam filem tersebut, North memberi Seal satu misi iaitu mendapatkan gambar pembabitan rejim Sandinista dengan kartel dadah. Bagi mencapai tujuan tersebut, pesawat pengangkut C-123 yang digunakan Seal diubahsuai bagi membolehkannya mengambil gambar secara rahsia. Beliau terbang ke Managua dan mengambil gambar Escobar dan tentera-tentera Sandinista mengangkut dadah dari pesawat Seal. Namun dalam kegelojohannya mengenakan pihak komunis, North mendedahkan gambar tersebut sebelum semua anggota kartel ditahan. Dengan penyamarannya terbongkar, Seal ditahan dan semua asetnya dirampas. Paling teruk, beliau terpaksa berhati-hati kerana kartel pasti mahukan Seal dibunuh.

Sebelum kita teruskan, mari kita lihat hubungan Doug Liman dengan kisah Seal dan skandal Iran-Contra ini. Pada tahun 1980-an selepas pendedahan skandal Iran-Contra, Arthur L. Liman, seorang peguam yang juga bapa pengarah tersebut mengetuai siasatan Senat terhadap skandal tersebut termasuk menyiasat CIA dan menyoal North. Liman sendiri menggunakan North sebagai model kepada bekas penyelia Jason Bourne dalam Operasi Treadstone, Alexander Conklin (Chris Cooper) dalam filem The Bourne Identity.

Dalam kehidupan sebenar, samaran Seal terbuka bukan atas tindakan North tetapi berikutan tindakan CIA dan Majlis Keselamatan Kebangsaan (NSC) membocorkan maklumat Nicaragua kepada pihak media. Buktinya, laporan muka depan akhbar The Washington Times pada 17 Julai 1984 berkenaan operasi dadah Sandinista di Nicaragua. Laporan ini bertujuan mempengaruhi pihak Kongres untuk meluluskan lebih banyak tindakan bagi mengekang ancaman komunis dan kartel dadah di Nicaragua. Namun sebaliknya, Kongres meluluskan pindaan Boland yang melarang sebarang bentuk bantuan ketenteraan secara terus kepada Contras. Ini mendorong North terus menggunakan Seal untuk menyeludup senjata api tetapi Seal sekali lagi ditahan pada Disember 1984 atas tuduhan menyeludup ganja. Untuk menyelamatkan dirinya, Seal memberi keterangan dalam tiga perbicaraan dadah terbesar untuk tahun berikutnya untuk membantu pihak pendakwaraya mendakwa semua tertuduh terlibat dalam penyeludupan dadah. Sebagai pertukaran kepada kerjasamanya itu, Seal dikenakan hukuman percubaan enam bulan di sebuah rumah tumpangan di Baton Rouge.

Semasa ditahan, Seal kehilangan rakan baik dan juruterbang, Emile Camp yang mati selepas pesawatnya terhempas di sebuah gunung berhampiran Mena. Ramai rakan Camp berpandangan pesawat Camp sebenarnya disabotaj berikutan statusnya sebagai antara beberapa orang yang tahu aktiviti Seal dengan DEA dan CIA. Pada tahun 1985, Seal turut menjual pesawatnya kepada seorang kontraktor CIA bernama Harold Doan. Pesawat tersebut terus digunakan dalam program bekalan Contra tetapi ditembak jatuh di ruang udara Nicaragua pada 3 Oktober 1986. Juruterbangnya, Eugene Hasenfuss terselamat tetapi ditahan oleh rejim Sandinista sebagai bukti penglibatan pentadbiran Amerika Syarikat dalam perang ke atas mereka.

KEMATIAN

Seperti dalam kehidupan sebenar, filem tersebut memaparkan adegan tiga pembunuh upahan kartel Medellin menembak Seal semasa beliau duduk dalam kereta Caddilacnya berwarna putih di luar rumah Salvation Army di Baton Rouge. Beliau mati pada 19 Februari 1986 dan ketiga-tiga pembunuh tersebut didakwa atas pembunuhan tersebut. Sebagai tambahan, Seal mengakui walaupun beliau diletakkan dalam program perlindungan saksi, beliau merasakan dirinya seperti sasaran senapang patah.

Selepas kematian Seal, Jawatankuasa Hubungan Luar Senat diketuai bakal Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry menyiasat satu laporan yang menyebut penyeludup-penyeludup dadah seperti Seal dibayar yang sepatutnya disalurkan kepada dana bantuan kemanusiaan Contras. Siasatan selama tiga tahun dari 1986 hingga 1989 mendapati bayaran tersebut dibuat oleh Jabatan Negara kepada mereka. Pentadbiran presiden ketika itu, Ronald Reagan mengakui dana tersebut dari penyeludupan kokain untuk membiayai Contras tetapi menegaskan operasi tersebut diadakan tanpa pengetahuan pentadbiran mereka. Namun, nasi menjadi bubur dan pentadbiran Reagan terpalit dengan skandal Iran-Contra.

Walaupun American Made bersikap liberal dalam menceritakan fakta kepada penonton, sekurang-kurangnya mereka jujur untuk satu perkara iaitu jumlah kekayaan Seal. Berdasarkan keterangan Seal dan penyiasat Polis Negeri Arkansas, kekayaannya dianggarkan antara $50 juta hingga $5 bilion. Lembaga Hasil Dalam Negeri (IRS) mendapati estet Seal berhutang $86 juta dengan mereka tetapi dimansuhkan selepas menyemak hubungannya dengan CIA dan DEA. Kedua, seperti dalam filem tersebut, Seal boleh dianggap tersepit. Menurut abangnya, Wendell, Seal terlibat dalam ramai hubungan sama ada dengan ejen atau kartel dadah sehingga tidak tahu membezakan siapa sebenarnya yang baik atau jahat.

SUMBER

1. St. Clair, Jeffrey & Alexander Cockburn. (2016). Counterpunch. Air Cocaine: the Wild, True Story of Drug-Running, Arms Smuggling and Contras at a Backwoods Airstrip in the Clintons’ Arkansas. https://www.counterpunch.org/2016/11/04/air-cocaine-the-wild-true-story-of-drug-running-arms-smuggling-and-contras-at-a-small-airstrip-in-clintons-arkansas/
2. Stein, Ellin. (2017). Slate. What’s Fact and What’s Fiction in American Made. http://www.slate.com/blogs/browbeat/2017/09/29/what_s_fact_and_what_s_fiction_in_american_made.html
3. History vs Hollywood. American Made (2017). http://www.historyvshollywood.com/reelfaces/american-made/

Previous articleTangisan Srebrenica
Next articleMerungkai Polemik Hukum Mengucapkan Tahniah Kepada Masyarakat Bukan Islam Pada Hari Perayaan Mereka
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE