Filem ini bermula dengan ayat “This is not based on a true story. This is a true story.”

SINOPSIS

Selepas diberitahu oleh Spencer (Barry Keoghan) tentang sebuah buku antik bernilai jutaan dolar, Warren (Evan Peters) mendapat idea untuk mencuri buku tersebut dari perpustakaan Universiti Transylvania. Warren kemudian berhasil memujuk Spencer, Eric (Jared Abrahamson) dan Chas (Blake Jenner) untuk membantunya dalam satu misi gila yang pada akhirnya tercatat sebagai salah satu kes jenayah paling menggemparkan dalam sejarah Amerika Syarikat.

Berikut adalah empat sebab kenapa American Animals begitu cemerlang, menghiburkan dan wajar ditonton oleh para penggemar filem heist.

  1. GOOD CHARACTER

Filem ini tak ada ustaz kacak lawan setan atau hantu cantik duduk kat pulau. Yang ada hanyalah orang biasa yang ingin mengubah kehidupan dan akhirnya tersalah membuat pilihan. Berbanding Warren yang diuji dengan perpisahan ibu bapanya, saya lebih terkesan dengan watak Spencer, seorang remaja sederhana yang memiliki keluarga bahagia.

Spencer amat berbakat dalam bidang lukisan namun dia berasa hidupnya terlalu ‘normal’. Dia mula membaca kisah hidup pelukis agung seperti Van Gogh dan Monet yang sewaktu hayat mereka menempuhi kehidupan yang sukar dan mencabar. Memetik kata-kata Spencer dalam satu babak, “Art has to be about more than just my life is great and I’m really good at drawing.”

Selain Spencer dan Warren, watak-watak lain turut diperkenalkan dengan baik. Penonton seakan-akan dapat merasai konflik dalaman dan luaran yang dihadapi mereka sebelum dan selepas kejadian itu berlaku. Babak di perpustakaan misalnya, bagi saya itulah babak kemuncak dalam filem ini kerana kita tahu, ada manusia yang benar-benar tercedera dan ada nyawa yang benar-benar dalam bahaya.

  1. INNOVATIVE STORYTELLING

Dalam opening scene, satu ayat muncul di skrin THIS IS NOT BASED ON A TRUE STORY. Kemudian bersama satu bunyi tiupan, perkataan NOT BASED ON terpadam dan yang tinggal hanyalah THIS IS A TRUE STORY. Walaupun ending filem ini sudah didedahkan seawal lima minit pertama, opening scene ini sahaja telah berhasil mencuri perhatian kita untuk mengetahui apa yang berlaku seterusnya sehingga watak-watak ini tiba ke ‘pengakhiran’ tersebut.

American Animals juga berjaya mengadun elemen fiksyen dalam sebuah dokumentari yang setahu saya tidak pernah dibuat oleh filem lain sebelum ini. Setiap kali satu babak selesai dipaparkan, watak sebenar dalam dunia nyata akan muncul dan bercerita tentang babak yang dilakonkan oleh aktor-aktor bagi watak mereka. Penonton dapat menilai adakah lakonan tersebut selari dengan memori mereka saat peristiwa itu berlaku. Ada ketikanya ia bercanggah dan ini menarik untuk diperkatakan kerana kita dan kawan kita misalnya mungkin pernah melalui situasi yang sama. Kita sukar mengingati sesuatu peristiwa dengan tepat disebabkan sudut pandang yang berbeza. Ini dapat disaksikan menerusi dialog menarik melibatkan aktor yang memainkan watak Warren dan Warren yang sebenar.

Warren Lipka : So, this is how you remember it?

The Real Warren Lipka : Not exactly. But if this is how Spencer remembers it, then let’s go with it.

  1. MUZIK

Pujian harus diberikan kepada Annie Nikitin. Opening scene filem ini dilatari muzik mendebarkan yang mengingatkan saya kepada babak serbuan polis di permulaan filem Sicario (2015) dan rompakan bank dalam The Dark Knight (2008). Ditambah pula dengan bunyi detik jam dan diselangi komentar daripada ahli keluarga penjenayah tentang peristiwa hitam itu, muzik latar dalam American Animals berjaya memukau kita untuk terus terpaku dikerusi saat menontonnya.

  1. EVAN PETERS, EVAN PETERS & EVAN PETERS

Penggemar filem X-Men dan drama America Horror Story tentu setuju yang Evan Peters memang berbakat dan ada gaya tersendiri yang memikat. Dalam filem ini, sekali lagi dia beraksi cemerlang dengan mutu lakonan yang mantap. Kalau betul Kevin Fiege nak masukkan X-Men dan Fantastic Four dalam Marvel Cinematic Universe, saya harap si Evan ni terpilih lagi untuk menyertainya. Tak jadi Quicksilver pun tak apa, bagi je dia pegang watak apa-apa asalkan dia ada haha.

Satu perkara lagi yang menarik, watak-watak dalam filem ini banyak kali mengulangi betapa mereka menyesal dengan apa yang telah mereka lakukan. Walaupun wanita tua yang menjadi penjaga buku antik itu tidak dipukul atau dibunuh, dia tetap tercedera dari sudut mental dan emosi akibat tindakan mereka. Kejujuran seperti ini amat sukar ditemui dalam filem-filem heist terbitan Hollywood.

Kalau dulu saya terpikat dengan The Italian Job (1969), terpukau dengan Inception (2010), tertidur menonton Ocean’s Eight (2018), kini American Animals berjaya membuat saya mahu menonton semula Ocean’s Eleven (2001), Inside Man (2006), dan pelbagai lagi filem heist yang menarik. Oh ya, Malaysia juga tidak ketinggalan dengan filem seperti Baik Punya Cilok (2005) dan Setem (2009).

Ringkasnya, sudah banyak filem heist yang memaparkan aksi memukau daripada sekumpulan pencuri yang bijaksana dan kacak bergaya. Hampir segalanya kelihatan cool dan sempurna. Akan tetapi, sedikit sekali filem yang merakam emosi dan psikologi watak-watak tersebut seperti yang cuba diketengahkan oleh American Animals.

Jika anda sudah lelah melayan filem yang sarat dengan agenda politik dan mesej social justice, American Animals adalah naratif segar yang jauh lebih menarik. Ia bukanlah sebuah naskhah sempurna, namun tetap berbaloi untuk ditonton. Jadi tunggu apa lagi, tontonlah American Animals dan nikmati sendiri pengalaman visual yang penuh mendebarkan dan pastinya sukar dilupakan.

Judul Filem : American Animals
Genre : Drama Dokumentari/Thriller Psikologikal
Pengarah & Penulis Skrip : Bart Layton
Pelakon : Evan Peters, Barry Keoghan, Ann Dowd


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.