Amanda Waller – Seni Manipulasi Kata-Kata

0
892
views

Amanda Waller merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam Suicide Squad. Merupakan pengarah agensi kerajaan iaitu A.R.G.U.S dan juga Checkmate. Seorang pakar taktikal dan juga sains politik, beliau menggunakan kelebihan itu untuk menubuhkan Task Force X. Task Force X pada asalnya ditubuhkan untuk kerajaan Amerika, namun Amanda Waller kadangkala memperalat Task Force X untuk kepentingannya sendiri. Artikel ini akan membincangkan seni manipulasi Amanda Waller.

Kebijaksanaan Amanda Waller dalam memanipulasi apa yang ada di sekelilingnya wajar dicontohi. Sebagai contoh, di dalam filem Suicide Squad beliau telah mengumpulkan banduan Belle Reve untuk menubuhkan Task Force X yang diketuai oleh Rick Flag. Dengan menggunakan bom nano yang disuntik pada setiap banduan, Amanda Waller mampu mengugut Task Force X pada bila-bila masa sahaja jika arahannya tidak diikuti.

Situasi ini mirip dengan instafamous yang tular ketika ini. Kadangkala secara tidak sedar mereka mampu memanipulasi haters untuk mencapai apa yang mereka inginkan iaitu populariti. Tidaklah mengatakan semua instafamous adalah sama namun kebanyakan daripada mereka menggunakan modus operandi yang serupa untuk menaikkan hantaran mereka sehingga tular.

Seseorang yang berpengaruh jika dia berbicara sesuatu, kebanyakan netizen akan percaya. Jika tidak diuruskan dengan baik, ditakuti empati akan hilang daripada netizen. Meskipun seseorang itu berpengaruh tidak bermakna dia bagus. Begitu juga sebaliknya.

Berbalik kepada Amanda Waller, meskipun beliau tidak mempunyai kuasa luar biasa seperti Superman namun beliau mampu memanipulasi kerajaan Amerika supaya mempercayainya. Jika ancaman seperti Superman datang ke Bumi, siapa yang mampu mempertahankannya? Seni berkata-kata beliau yang tegas dan mempunyai bukti menyebabkan kerajaan Amerika terpaksa meluluskan Task Force X.

Identiti sebenar Batman juga diketahui oleh Amanda Waller. Namun, Batman tahu jika Amanda Waller mendedahkan identitinya maka rahsia Amanda Waller menubuhkan Task Force X akan terbongkar. Mereka berdua mempunyai teknik memanipulasi antara satu sama lain untuk kepentingan mereka sendiri.

Untuk menjadi hebat dalam memanipulasi memerlukan pergerakan badan dan kata-kata yang mampu meyakinkan seseorang. Perwatakan Amanda Waller menunjukkan bahawa beliau bukan sahaja berbohong tetapi bijak mempengaruhi seseorang untuk mempercayai maklumat yang salah. Bermuka-muka juga merupakan ciri-ciri licik seorang si manipulasi.

Secara keseluruhan, di dalam dunia yang penuh dengan kepuraan-puraan ini, tidak banyak manusia yang menunjukkan sikap sebenar mereka di laman sosial. Kemungkinan juga mereka dalam kalangan rakan-rakan anda menggunakan anda secara tidak sedar. Boleh jadi juga anda sedang memanipulasi kepercayaan anda untuk tidak menyokong penyataan yang ditulis ini. Seni memanipulasi itu halus dan sudah tentu anda juga perlu mempelajarinya dalam kehidupan!