Amalan Menyimpan Baki: Cara Sedekah Yang Tersembunyi

721

https://bit.ky/kombowww

“Berapa harga sekilo ikan sardin ni, kak?”

“RM9.80 saja.”

“Ini wangnya, kak.”

“Eh, ini duit RM10.”

“Takpe, baki akak simpan. Terima kasih, kak.”

“Ya, sama-sama. Saya jual, ya.”

“Ya, saya beli, kak.”

Dialog sebegini sudah pasti pernah didengar dalam kehidupan seharian baik di kedai runcit, pasar atau gerai makan. Bagi sesetengah orang, amalan ‘simpanlah baki’ seolah-olah menunjukkan individu tersebut sebagai sombong kerana tidak memandang nilai baki wang. Ada pula menganggap perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana selepas membayar harga jualan, penjual harus memulangkan baki secukupnya kepada pembeli.

Tetapi tidak ramai sedar, amalan ‘simpanlah baki’ ini jika dibuat dengan penuh ikhlas dan takwa kepada-Nya, ia sebenarnya selari dengan apa yang dianjurkan agama. Dan ia disokong oleh beberapa dalil.

Firman Allah s.w.t dalam ayat 219, Surah al-Baqarah mafhumnya, “Mereka bertanya pula kepadamu: ‘Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?’ Katakanlah: ‘Dermakanlah apa-apa yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-Nya (keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.’”

Dalam tafsir kitabnya, Imam al-Suyuti menyebut satu riwayat yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a, “Setelah sahabat Rasulullah s.a.w. menerima arahan agar membelanjakan sebahagian daripada harta mereka ke jalan Allah s.w.t, ada dalam kalangan mereka yang berkata: ‘Kami tidak tahu harta mana yang wajib dibelanjakan itu.’”

Pertanyaan ini timbul setelah ramai sahabat baginda tidak lagi miskin seperti ketika mereka mula berhijrah ke Madinah. Ada dalam kalangan mereka berniaga seperti Abdul Rahman bin Auf dan Dihyah al-Kalbi r.a dan ada pula meraih harta rampasan perang yang banyak dalam ekspedisi yang disertai mereka. Ini menyebabkan ramai sahabat Rasulullah s.a.w ini termasuk dalam kalangan orang yang berkemampuan.

Kegusaran mereka berjaya ditenangkan baginda menerusi ayat 219, Surah al-Baqarah di mana ia memperkenalkan konsep al-afw dalam memberi sumbangan. Menurut Dr Wahbah al-Zuhaily, al-afw ialah membelanjakan dengan kadar yang tidak sampai ke tahap menyusahkan dan perlu mencari sumber lain atau membelanjakan kelebihan daripada apa yang diperlukan.

Jika melihat konsep al-afw ini, ini menunjukkan ia boleh dilaksanakan dengan amalan ‘simpanlah baki’ dalam urusan jual beli. Ini kerana baki yang diterima kadangkala bukanlah berjumlah, apatah lagi jika jual beli dilakukan dengan peniaga-peniaga kecil. Dan lumrah sekiranya kita melihat mereka terdiri daripada warga emas yang memerlukan bantuan dan hanya meraih pendapatan terhad menerusi aktiviti berkenaan.

Secara tidak langsung, amalan ‘simpanlah baki’ ini sebenarnya menggalakkan aktiviti bersedekah lagi-lagi sekiranya ia dibuat dengan ikhlas kerana-Nya. Selain itu, ia turut menggalakkan semangat dan kesedaran saling menolong dalam masyarakat. Lebih menarik sekiranya bantuan diberikan kepada mereka yang berusaha mencari rezeki dan bukannya dengan meminta sedekah dan bantuan tanpa melakukan sebarang usaha.

Di mata orang biasa, ‘simpanlah baki’ nampak seperti tiada makna. Tetapi jika dihayati konsepnya yang dijelaskan dalam Kalamullah, ia bukan saja memberi kegembiraan kepada si penerima. Bahkan, ia sebenarnya menambah lagi pahala dalam buku amalan si pemberi.

RUJUKAN:

Abd Latif, Abdul Nasir. (2020). ‘Simpanlah baki’ perluas konsep sentiasa bersedekah. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2020/09/734873/simpanlah-baki-perluas-konsep-sentiasa-bersedekah

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.