Amalan Keagamaan Masyarakat Purba Aztec

1,634

Empayar Aztec merupakan empayar yang paling besar dan berjaya di Mesoamerika dalam soal saiz dan demografi. Empayar ini terbentang luas merentasi gunung-ganang, dataran pesisiran, lembah-landai dan hutan-hutan. Lantaran itu, bukanlah suatu perkara yang mengejutkan seandainya agama pegangan masyarakat Aztec memiliki pengaruh yang agak kuat.

TAMADUN AZTEC DAN MESOAMERIKA


Agama masyarakat Aztec tidaklah muncul tanpa memiliki asal-usul yang mempengaruhinya. Ia hadir daripada pengaruh tamadun-tamadun Mesoamerika yang bersilih-ganti sepanjang ribuan tahun, meliputi Zapotec di Monte Alban, Teotihuacan, Toltec, dan juga Mixtec.

Banyak kepercayaan yang dipegang oleh masyarakat Aztec dikongsi oleh kebudayaan-kebudayaan di sekelilingnya. Sebagai contoh, Naga Berbulu telah pun dipuja selama satu milenia oleh beberapa tamadun seperti Teotihuacan dan Toltec. Kebanyakan dewa di dalam panteon Aztec juga turut dipuja oleh tamadun-tamadun Mesoamerika yang lain.

DEWA-DEWA AZTEC


Sama seperti kebanyakan budaya Mesoamerika yang lain, masyarakat Aztec mengamalkan kepercayaan politeisme. Mereka meyakini bahawa segala aspek alam seperti angin dan hujan, serta segala macam aktiviti manusia seperti pertanian dan peperangan mempunyai dewata pelindung yang tersendiri.


Ilmuwan agama Aztec membahagikan dewata Aztec kepada tiga kategori, iaitu dewa-dewa pencipta atau kosmik, dewa-dewa pertanian, air dan kesuburan serta dewa-dewa perang dan ritual korban.
Dewa-dewa kosmik bertanggungjawab dalam penciptaan dan pentadbiran alam. Salah satu dewata kosmik yang utama adalah Huehueteotl-Xiuhtecuhtli si dewa api dan musim.

Patung batu berpostur duduk bagi Huehueteotl-Xiuhtecuhtli, dewa api dan musim Aztec

Huehueteotl-Xiuhtecuhtli mewakili keupayaan dunia untuk berubah sifat dan melakukan penjanaan semula. Beliau juga bertanggungjawab ke atas pertukaran musim dan kitaran alam yang lain, yang berkaitan dengan pembaharuan dan penjanaan semula bumi.

Satu lagi peranan penting yang dimainkan oleh Huehueteotl-Xiuhtecuhtli adalah mencipta matahari. Beliau sangat penting dalam tradisi agama Mesoamerika purba dan gambarannya buat kali pertama muncul di tapak-tapak arkeologi seperti Cuicuilco yang usianya menjangkau zaman pra-klasik Mesoamerika.

Antara dewata kosmik lain yang utama adalah Tezcatlipoca. Tezcatlipica atau ‘Cermin Asap’ dianggap sebagai dewa malam dan sihir. Beliau diyakini oleh masyarakat Aztec sebagai dewa keadilan yang mennghakimi pelaku-pelaku jenayah.

Raja-raja Aztec dianggap sebagai wakil-wakilnya dalam melaksanakan penghakiman tersebut. Mereka turut dituntut untuk melaksanakan upacara di hadapan patung dewa berkenaan bagi memperoleh hak untuk memerintah. Dalam beberapa buah tradisi Mesoamerika, Tezcatlipoca dianggap sebagai dewata terulung yang amat berkuasa lagi suci. Beliau adalah figura yang digeruni, yang menjadi personafikasi bagi alam itu sendiri.


Quetzalcoatl juga merupakan dewa penting yang dikaitkan dengan planet. Namanya boleh diterjemahkan sebagai ‘Naga Berbulu’. Masyarakat Aztec mempercayai bahawa beliau merupakan pencipta manusia di samping dewata yang paling ramah terhadap manusia.

Kuil Naga Berbulu Aztec di Xochicalco, dihiasi dengan ukiran naga berbulu

Beliau juga dianggap sebagai dewa kesenian dan ilmu pengetahuan. Tambahan lagi, beliaulah dewa yang menyelamatkan manusia pada permulaan zaman matahari kelima dan mengembalikan tulang-temulang manusia dari alam kematian agar nyawa dapat dimasukkan semula ke dalam tubuh mereka.

Salah satu dewa yang menojol bagi aktiviti pertanian, unsur air dan kesuburan adalah dewa hujan yang bernama Tlaloc. Dalam hasil-hasil seni masyarakat Aztec dan Mesoamerika, Tlaloc digambarkan sebagai dewa yang memakai kaca mata. Antara dewa penting dalam hal peperangan dan ritual korban pula adalah Huitzilopochtli. Dewata ini dianggap sebagai dewa kebangsaan Aztec. Namanya membawa maksud ‘Hummingbird Kiri’.

KOSMOLOGI DAN MASYARAKAT AZTEC


Masyarakat Aztec percaya bahawa alam terdiri daripada tiga tingkat yang bersambung dengan paksi pusat. Paksi pusat ini kononnya menghubungkan alam kematian, alam bumi dan alam kayangan.

Templo Mayor Aztec di Tenochtitlan

Dunia bagi manusia dikenali sebagai Tlaltipac, yang berbentuk seperti sekeping cakera di tengah-tengah alam semesta. Alam kematian pula terdiri daripada 9 tingkat. Kayangan pula mempunyai 13 tingkat.

Masyarakat Aztec meyakini bahawa alam ini terdiri daripada hubungan yang saling berbalikan, di mana keseimbangan menjadi tunjang utama yang membolehkan dunia terus berfungsi. Keseimbangan ini meliputi panas dan sejuk, kering dan basah, lelaki dan wanita, serta cahaya dan gelap.

Dualisme sebegini sangat sebati dalam hati dan pandangan alam masyarakat Aztec. Mereka percaya bahawa manusia bertanggungjawab dalam mengekalkan keseimbangan alam menerusi ritual dan korban manusia.

KOSMOGONI DAN MASYARAKAT AZTEC


Bentuk paling lazim dalam mitos penciptaan masyarakat Aztec menyebutkan bahawa pada permulaan masa, alam ini dipenuhi dengan kekosongan. Dewa pencipta mereka memiliki kedua-dua jantina dan sifat – lelaki dan wanita, cahaya dan gelap, jahat dan baik. Dewa ini memiliki empat anak, iaitu Tezcatlipoca, Quetzalcoatl, Xipe Totec dan Huitzilpochtli.
Masyarakat Aztec juga meyakini bahawa empat zaman telah pun berlalu dan kini, mereka hidup di zaman matahari kelima. Pada setiap zaman, satu dewa yang berbeza memainkan peranan sebagai matahari dan setiap zaman juga dikaitkan dengan elemen yang berlainan.

Pada zaman matahari pertama, Tezcatlipoca memainkan peranan sebagai matahari. Namun, beliau tidak berupaya mencapai tingkat tertentu dan hanya menjadi separa-matahari. Pada zaman ini, dunia dihuni oleh gergasi. Berlaku persengketaan antara Tezcatlipoca dan Quetzalcoatl. Para gergasi pula dimusnahkan dengan wabak harimau bintang. Elemen bagi zaman ini adalah bumi.

Dewa Tezcatlipoca menjadi matahari pada zaman pertama

Pada zaman matahari kedua, Quetcalcoatl menjadi matahari dan manusia mengambil rupa bentuk seperti manusia pada hari ini. Namun, manusia-manusia tersebut menjadi rosak sikapnya lantas disumpah menjadi monyet. Kononnya, monyet moden merupakan keturunan mereka. Zaman matahari kedua ini berakhir dengan badai ribut taufan yang dihantar oleh Quetzalcoatl untuk menghapuskan hampir seluruh monyet berkenaan. Elemen yang menjadi teras bagi zaman ini adalah angin.

Pada zaman matahari ketiga, Tlaloc memerintah sebagai dewa tertinggi dan elemen bagi zaman ini adalah api. Di zaman inilah Tezcatlipoca menculik isteri Tlaloc. Untuk membalas dendam, Tlaloc mengubah kesemua manusia yang menghuni dunia menjadi ayam turki, anjing dan rama-rama. Zaman ini berakhir apabila api memenuhi langit atas perintah Quetzalcoatl.

Patung dewa Tlaloc di Mexico

Pada zaman matahari keempat, adik perempuan Tlaloc iaitu Calchiuhtlicue menjadi dewata tertinggi. Elemen bagi zaman ini adalah air. Pada zaman ini, Quetzalcoatl dan Tezcatlipoca saling menyimpan rasa cemburu sekaligus mengakibatkan matahari jatuh dari langit.

Zaman ini berakhir dengan bencana banjir dan manusia dari zaman ini diubah menjadi ikan. Zaman matahari kelima pula adalah zaman yang berlangsung sekarang. Dewa yang menjadi matahari bagi zaman ini adalah Nanahuatzin. Kononnya pada permulaan zaman ini, para dewa mengorbankan diri untuk membolehkan nyawa manusia dikembalikan.

BANJIR PARA DEWA DAN KORBAN MANUSIA

Masyarakat Aztec percaya bahawa para dewa telah menumpahkan darah mereka sendiri untuk menghidupkan semula alam dan manusia. Lantaran itu, manusia berhutang kepada para dewa dan perlu membayar semula dengan cara menumpahkan darah mereka senidri.

Kononnya jika mereka tidak berbuat demikian, keseimbangan alam akan hilang. Pahlawan-pahlawan Aztec digalakkan untuk mencontohi amalan mengorbankan diri sendiri yang dilakukan oleh para dewa demi melancarkan pergerakan alam.

Cara yang paling berkesan untuk membekalkan darah buat alam adalah dengan mengorbankan jantung manusia. Atas sebab inilah para pahlawan dan mangsa perang dikorbankan secara berkala sepanjang tahun.

KALENDAR RITUAL AZTEC


Sama seperti kebudayaan Mesoamerika yang lain, masyarakat Aztec merupakan ahli astronomi yang mahir. Pengetahuan tentang kitaran astronomi sangat penting untuk mengetahui peredaran masa dan membantu dalam pertanian serta penetapan upacara sivik dan keagamaan.

Lukisan kosmologikal Aztec dengan dewa Xiuhtecuhtli, dewa api dan musim (calendar) berada di tengah dan dewa-dewa penting lain di sekelilingnya, setiap satu di hadapan sebatang pokok keramat

Kalendar Aztec terdiri daripada 260 hari bagi kitaran ritual dan 365 hari bagi kitaran matahari. Kalendar 260 hari terhasil daripada pemerhatian yang dilakukan oleh para paderi dan ahli astronomi Mesoamerika di mana kononnya, matahari mencapai titik kemuncak di atas kota Capan di Maya pada setiap 260 hari.

Kalendar ritual ini mengandungi 20 buah tempoh yang setiap tempoh terdiri dari 13 hari. Penetapan hari bagi ritual dan festival bagi setiap dewa utama diselaraskan sepanjang 260 hari itu.

Kalendar 365 hari pula berdasarkan tahun matahari. Kalendar ini secara umum digunakan untuk tujuan pertanian memandangkan ia lebih tepat dengan peredaran musim. Ia dibahagikan kepada 18 tempoh di mana setiap tempoh mengandungi 20 hari.

5 hari terakhir bagi setiap tahun dianggap sebagai tempoh peralihan. Tempoh ini dihabiskan dengan kelangsungan festival-festival keagamaan. Setiap 52 tahun, calendar olar dan calendar ritual akan menemui titik selari. Pada masa itu, festival selama 12 hari akan diadakan dan pada permulaan festival ini, kesemua api akan dipadam.
12 hari selanjutnya merupakan tempoh berpuasa di seluruh kota. Pada akhir tempoh berpuasa ini, seorang banduan akan dikorbankan dan api upacara akan dinyalakan semula. Upacara ini bertujuan untuk menjadi simbolisme bahawa matahari akan terus menyinari alam untuk 52 tahun berikutnya.

KUIL-KUIL AZTEC|

Kompleks kuil Mesoamerika lazimnya terdiri daripada sebuah platform yang ditnggikan. Atau jika tidak, ia berbentuk piramid dengan sebuah kuil diletakkan di tingkat tertinggi. Pada tapak platform atau piramid ini mula terdapat plaza atau kawasan lapang.

Kuil Itza Chichen

Ruangan-ruangan terbuka ini dibina bersebelahan dengan tangga yang membawa ke gerbang kuil. Contoh terawal yang menerapkan seni bina sebegini datang dari zaman Olmec, iaitu sekitar 1200-900SM. Melepasi tahun 600SM, ciri sebegini disebarkan ke seluruh Mesoamerika dan dijadikan sebagai piawai bagi seni bina kuil sehingga zaman ketibaan Sepanyol. Upacara pemujaan lazimnya dilangsungkan di kawasan luar dan di dalam kuil itu sendiri.

KUIL KORBAN


Masyarakat Aztec lazimnya menggunakan banduan perang sebagai korban manusia. Mangsa korban kebiasaannya akan dimaklumkan bahawa mereka adalah seorang yang berani seandainya memberikan kerjasama.
Mereka percaya bahawa gempa bumi yang bakal memusnahkan dunia hampir sahaja berlaku. Untuk melambatkan ketibaan bencana itu, korban-korban manusia perlu dipersembahkan. Jika tidak, bukan sahaja gempa bumi akan berlaku, malah matahari tidak akan muncul lagi dan dunia akan menemui pengakhirannya.

Lazimnya, mangsa-mangsa korban ini akan dibawa ke altar di mana mereka akan dipegang oleh empat orang paderi. Seorang pegawai kemudian akan mengeluarkan jantung mangsa dari dadanya dan jantung tersebut akan dipersembahkan di altar. Setelah itu, tubuh mangsa akan ditolak atau diturunkan dari tangga kuil, bergantung kepada keberanian yang dipamerkan oleh mangsa.

Jumlah manusia yang dikorbankan bergantung kepada keadaan. Kadangkala, hanya seorang sahaja yang dikorbankan. Namun ada juga kes di mana angka tersebut mencecah ribuan orang.

Disebabkan adanya keperluan secara berterusan terhadap korban manusia, maka masyarakat Aztec sentiasa mengadakan peperangan ritual dengan tujuan khusus untuk menangkap tawanan perang untuk dijadikan sebagai korban. Perang-perang sebegini disebut sebagai perang bunga. Antara kaum yang lazim menjadi serangan mereka adalah kaum Tlaxcala.

AGAMA AZTEC – LEBIH DARI SEKADAR RITUAL KORBAN


Agama masyarakat Aztec amat sinonim dengan persembahan korban manusia. Aspek-aspek lain di dalam kepercayaan Mesoamerika seperti hubungan yang mendalam dengan kitaran alam, lazim dikesampingkan. Padahal faktor berlangsungnya amalan mempersembahkan korban manusia adalah bertuntas daripada kepercayaan mereka yang berpaksi pada keseimbangan alam.

Masyarakat Aztec juga memandang tinggi pendidikan dan kesenian. Salah satu dewa paling penting dalam panteon Mesoamerika adalah Quetzalcoatl. Beliau mengajarkan manusia kaedah menggunakan sumber alam untuk membangunkan kemajuan. Untuk itu, mereka terlebih dahulu perlu diajar pengetahuan tentang alam. Pada sudut sebegini, Quetzalcoatl diangap mirip dengan Prometheus, dewa dalam mitologi Yunani.

Ilmuwan berpendapat bahawa andai kebudayaan Mesoamerika dapat hidup selama beberapa kurun lagi, mungkin sahaja idea-idea tentang Quetzalcoatl ini akan membawa kepada kebangkitan keilmuan bagi Mesoamerika sebagaimana yang berlaku di Ionia dan pantai timur Aegean sekitar tahun 500-400SM, di mana ahli-ahli falsafah pra-Socrates menjadi masyarakat barat pertama yang mengemukakan pemikiran tentang sains dan asal-usul sumber bumi.

Terdapat banyak aspek keagamaan masyarakat Aztec yang mungkin tidak sesuai untuk terus diterapkan di zaman moden, seperti amalan mempersembahkan korban manusia. Namun, sebahagian aspek yang lain pula mungkin boleh memperkayakan dunia moden justeru membuktikan bahawa falsafah dan kepercayaan masyarakat Aztec jauh lebih kompleks dan terkehadapan berbanding apa yang sering kita gambarkan.

TERJEMAHAN:

Caleb Strom. (27 Julai 2019). Religion of the Aztecs: Keeping the Balance in an Unpredictable and Terrifying World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/aztec-religion-0012359

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.