Kita semua pernah alaminya sama ada pada masa dahulu atau sekarang. Kita rasakan apa saja yang kita kejar tidak dapat atau berpihak kepada orang lain. Tetapi itulah nama rezeki, sudah ditetapkan Yang Maha Esa sebelum kita lahir ke dunia lagi. Dia bukan saja menetapkan bila dan di mana kita lahir, bila dan di mana kita mati dan siapa jodoh kita tetapi juga apa rezeki yang kita dapat dan bagaimana kita memperolehnya. Namun jangan rasa gundah-gulana tentang soal rezeki kerana ia sudah ditetapkan untuk kita, cuma kita tidak tahu sama ada ia cepat atau lambat. Justeru, di sini saya menyatakan beberapa amalan buka pintu rezeki yang diajar oleh Rasulullah s.a.w dan para ulama terdahulu.

1. Solat sunat fajar/sebelum Subuh.

Sebelum melakukan solat Subuh, apa salahnya meluangkan sedikit masa melakukan solat sunat fajar. Ini kerana antara kelebihan solat ini ialah ia sebenarnya antara amalan buka pintu rezeki. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan Saidatina Aisyah r.a, “Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seluruh isinya.” Imam an-Nawawi rahimahullah bila membicarakan hadis ini berpandangan dunia dan seluruh isinya yang disebut baginda ialah kesenangan dunia. Dan jika mengikut kedudukan solat sunat rawatib (solat sunat yang dilakukan sebelum dan selepas solat fardu), solat sunat fajar merupakan solat sunat yang dituntut. Ini berdasarkan riwayat Aisyah r.a, “Tidak pernah dilihat Nabi s.a.w begitu mengambil berat solat-solat sunat sebagaimana baginda mengambil berat solat sunat fajar.”

2. Solat sunat Dhuha.

Solat Dhuha ialah solat sunat yang dilakukan bermula 28 minit selepas waktu syuruk dan dan habis sembilan minit sebelum masuk waktu Zuhur. Terdapat banyak fadilat yang diceritakan Rasulullah s.a.w bagi yang istiqamah mengerjakan solat Dhuha. Pertama, hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar r.a, “Hendaklah kamu bersedekah untuk setiap ruas tulang badanmu pada waktu pagi. Sebab setiap bacaan tasbih itu adalah sedekah, setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah dan setiap takbir itu adalah sedekah, menyuruh kepada makruf (kebaikan) adalah sedekah, mencegah yang mungkar (kejahatan) adalah sedekah. Dan sebagai ganti daripada semua itu, maka cukuplah mengerjakan dua rakaat solat Dhuha.” (Riwayat Muslim). Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Nuwas bin Sam’an, Allah berjanji mencukupkan rezeki pelaku solat Dhuha sampai ke petang bila ia mengerjakan solat Dhuha sebanyak empat rakaat. Kedudukan solat ini amat penting sehinggakan Abu Hurairah r.a meriwayatkan, antara wasiat Nabi s.a.w kepada beliau ialah puasa tiga hari setiap bulan (14, 15 dan 16 haribulan), solat Dhuha dua rakaat dan solat sunat Witir sebelum tidur.

3. Beristighfar dan memohon ampun kepada-Nya.

Nampak macam remeh tapi hakikatnya ia memberi kesan besar dalam kehidupan kita. Ini berdasarkan satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Imam al-Qurtubi dalam kitab beliau, Tafsir al-Qurtubi. Pada satu ketika, seorang lelaki mengadu kepada Hasan al-Basri rahimahullah tentang kemarau yang menimpa tanahnya. Lalu beliau berkata, “Beristighfarlah kepada Allah.” Kemudian, datang sepasang suami isteri mengadu kesukaran mereka mendapatkan anak. Hasan al-Basri memberi nasihat yang sama kepada mereka.

Tak lama selepas itu, seorang individu mengadu tentang kemiskinan yang dihadapinya dan mendapat nasihat sama daripada beliau. Maka periwayat kisah ini, Rabi’ bin Shabih berkata kepada Hasan, “Ramai mengadukan banyak perkara kepadamu dan engkau memerintahkan mereka untuk beristighfar.” Hasan membalas, “Aku tidak mengatakan hal itu dari diriku. Sebaliknya, aku merujuk kepada firman Allah dalam Surah Nuh, “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Ayat 10-12, Surah Nuh).

Dan terlalu banyak hadis yang menyebut tentang kelebihan istighfar. Sabda Rasulullah s.a.w, “Sesiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah menjadikan untuknya daripada setiap kesedihan ada kegembiraan, bagi setiap kesempitan ada kelapangan/jalan keluar dan memberinya rezeki yang tidak disangka-sangka.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud) Rezeki yang tidak disangka-sangka ini bukan saja dalam bentuk harta tapi boleh juga muncul dalam bentuk kesihatan, peluang pekerjaan dan seumpamanya. Dan selain rezeki dan kegembiraan, orang yang beristighfar ini juga sentiasa mendapat doa para malaikat. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a di mana selagi mana seseorang itu masih berada di tempat solat dan tidak terbatal wuduknya kerana kentut, maka selagi itu juga para malaikat mendoakan keampunan dan rahmat ke atas orang tersebut.

4. Menjalin hubungan silaturahim.

Perkara ini selalu saja dipandang sepi kerana menurut pandangan sesetengah daripada kita, ia dirasakan tidak berbaloi untuk dikejar. Padahal ia sebenarnya membantu kita mengeratkan lagi pertalian yang sedia terjalin dan menambah lagi jaringan kenalan kita. Silaturahim di sini bukan dalam erti berkunjung ke rumah jiran tetangga atau rakan-rakan tetapi menjaga hubungan baik dengan kaum kerabat yang ada pertalian darah dengan kita. Agak malang bagi yang enggan mengamalkan perkara ini kerana selain menjadi amalan buka pintu rezeki, ia sebenarnya memanjanglah usia kita. “Siapa yang bertaqwa kepada Rabb-Nya dan menyambung silaturahim, nescaya akan dipanjangkan umurnya dan hartanya akan diperbanyakkan, serta keluarganya akan mencintainya.” (Riwayat Bukhari).

5. Sedekah.

Bila menyebut soal sedekah, sesetengah daripada kita terlalu berkira dalam soal ini. Hakikatnya, sedekah tidak terbatas kepada bentuk harta semata-mata. Terlalu banyak hadis Nabi s.a.w yang menyatakan bentuk-bentuk sedekah. Salman bin Abi Dabbi meriwayatkan, Nabi s.a.w bersabda, “Sedekah yang diberi kepada orang miskin adalah pahala dan memberi kepada kaum kerabat mendapat dua jenis pahala, pahala sedekah dan pahala mengeratkan silaturahim.” (Riwayat Ibnu Majah) Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan Abu Dzar al-Ghifari r.a, “Memandang saudaramu dengan senyuman adalah sedekah. Menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah sedekah. Memberi arah kepada orang yang tersesat jalan adalah sedekah. Kamu melihat bagi pihak seseorang yang lemah penglihatannya adalah sedekah, mengalihkan tulang, batu atau duri daripada jalanan adalah sedekah. Kamu menuang apa yang ada dalam baldimu ke dalam baldi saudaramu ialah sedekah.” (Riwayat Tirmidzi)

Jangan takut untuk bersedekah. Ini kerana Allah s.w.t sama sekali tidak menahan rezeki orang yang bersedekah. Semakin banyak infaq yang mereka beri, semakin banyak juga rezeki yang mereka terima. Contohilah keperibadian para sahabat Nabi s.a.w yang sentiasa berlumba-lumba dalam soal sedekah. Atas sebab itu, Nabi s.a.w bersabda kepada Asma’ binti Abu Bakar r.a, “Janganlah engkau menyimpan harta tanpa menyedekahkannya, jika tidak Allah akan menahan rezeki untukmu.” Dalam satu hadis lain, baginda bersabda, “Tidaklah hamba Allah bangun pada pagi hari, kecuali disertai dua malaikat. Salah satu daripadanya berdoa sekiranya dia bersedekah, “Ya Allah, berilah ganti kepada barang yang diinfaqkan.” Sekiranya individu itu tidak bersedekah, seorang lagi malaikat berdoa, “Ya Allah, berilah orang yang bakhil ini kerugian.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sumber:

1. Kashif, Mohd Izhar Ariff Mohd. (2017). Berita Harian. Agama. Amalan buka pintu rezeki.

2. Alauddin, Badli Shah. (2015). Cinta Ilmu: Akidah dan Falsafah. TVAlhijrah.

3. Sunnah.com. The Hadith of Prophet Muhammad s.a.w at your fingertips.

4. Ayoup@Ayub, Muhammad Mushfique bin Ahmad. (2017). Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Irsyad Al-Hadith Siri ke-192: Kelebihan Solat Sunat Fajar. http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-al-hadith/1606-irsyad-al-hadith-siri-ke-192-kelebihan-solat-sunat-fajar

5. Panduan solat sunat Dhuha. https://shafiqolbu.wordpress.com/solat-sunat/solat-sunat-dhuha/

6. Umar, Asdhar. (2014). Imam Hasan al-Basri dan Buah dari Istighfar. http://asdhar.blogspot.my/2014/05/imam-hasan-al-bashri-dan-buah-dari.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply