Amalan Berhijab Di Kalangan Wanita Islam Di Alam Melayu Ketika Zaman Penjajahan Barat

0
1031
views

Sejak dari zaman kerajaan-kerajaan Islam hingga ke zaman penjajahan barat, ramai dari kalangan wanita Islam di Alam Melayu yang sudah menutup aurat dengan sempurna.

Amalan menutup aurat ini sudah pasti terzahir dengan begitu ketara dalam Kerajaan-kerajaan yang kuat berpegang teguh dengan syariat seperti Pasai, Aceh, Melaka, Banten, Brunei dan sebagainya.

Jika kerajaan-kerajaan ini mampu melaksanakan perintah yang berat seperti perlaksanaan hudud dan pengharaman riba, maka perintah lebih mudah dilaksanakan seperti menutup aurat sudah pasti juga terlaksana.

Setelah masuknya penjajah-penjajah barat, amalan berjilbab ini masih teguh dilaksanakan oleh ramai wanita di Alam Melayu. Hal ini dicatatkan oleh Prof Hamka dalam Tafsir Al Azhar berdasarkan pengalamannya sendiri. Prof Hamka berkata:-

“Ketika Penulis (Hamka) datang ke Tanjung Pura dan Pangkalan Berandan dalam tahun 1926, Penulis masih mendapati kaum perempuan di sana memakai jilbab. Yaitu kain sarung ditutupkan ke seluruh badan, hanya separuh muka saja yang kelihatan.

Asal saja mereka keluar dari rumah hendak menemui keluarga di rumah lain, mereka tetap menutup seluruh badan dengan memasukkan badan itu ke dalam kain sarung dan salah satu dari kedua belah tangannya memegang kain itu di muka, sehingga hanya separuh yang terbuka, bahkan hanya mata saja.

Seketika Penulis datang ke Makasar pada tahun 1931 sampai meninggalkannya pada tahun 1934, perempuan-perempuan yang berasal dari Selayar berbondong-bondong pergi ke tempat mereka jadi buruh harian memilih kopi di gudang-gudang pelabuhan Makasar, semuanya memakai jilbab, persis seperti di Langkat pula.

Seketika penulis pergi ke Bima pada tahun 1956 penulis masih mendapati perempuan di Bima jika keluar dari rumah berselimutkan kain sarung sebagaimana di Langkat 1927 dan di Makasar 1931 pula.”

Namun ketika permulaan abad ke-20 iaitu tatkala sebahagian orang begitu teruja dengan idea perjuangan modernisasi dan tajdid, maka munculnya gerakan liberalism yang berkempen agar kaum wanita melepaskan jilbab-jilbab mereka agar hidup moden seperti barat.

Malah yang lebih malang, ada beberapa tokoh yang dianggap ulama tajdid juga menjalankan kempen yang sama iaitu menggalakkan wanita melepaskan hijab mereka. Fakta ini boleh dibaca dalam buku bertajuk “Pemikiran Islam Di Malaysia karya Dr Abdul Rahman Haji Abdullah.

Ketika hangatnya proses menggalakkan pemakaian ala barat yang menggesa wanita melepaskan hijab, muncul beberapa tokoh cendikiawan Melayu seperti Rahim Kajai yang sependirian dengan para ulama soleh dalam menempelak budaya pemakaian tersebut.

Ketika mengecam pakaian seragam Pandu Puteri, Rahim Kajai berkata seperti berikut:-

“Kerana seluruh tubuh wanita aurat, jangan dilupakan hukumnya jika seorang wanita memakai busana serba ketat, stoking jarang, atau brawn kulit betis, celana dalam ketat….”

Gerakan modernisasi itu nampaknya berjaya sehinggakan pemakaian hijab dilihat begitu asing dari sekitar tahun 1940-an hingga 1970-an. Pada era ini, gaya hidup dan aliran pendidikan barat begitu dipandang tinggi.

Pada tahun 1980-an, ketika masyhurnya gerakan-gerakan dakwah dan tarbiah seperti Jemaah Tabligh Al-Arqam, Abim dan lain-lain, barulah kesedaran menutup aurat di kalangan wanita Islam subur kembali.