Ali Wallace aka Buang (1840-1907) – Saintis Melayu Sarawak Yang Dilupakan

175

Nama Alfred Russel Wallace mungkin asing bagi orang awam tetapi bagi komuniti saintifik terutama dalam bidang zoologi dan biologi, beliau merupakan antara tokoh ulung dalam dua bidang berkenaan. Ini kerana Wallace merupakan tokoh yang bersama Charles Darwin yang menyokong teori evolusi. Tidak seperti Darwin, beliau pernah mengadakan ekspedisi penerokaan di Amazon dan Alam Melayu di mana di sinilah, kebanyakan penemuan berkenaan flora dan faunanya menjadi asas kepada buku The Malay Archipelago. Tetapi di sini, lebih baik lampu dihalakan kepada orang kanan Wallace dalam ekspedisi ini iaitu Ali Wallace.

Sejarah keluarga

Dalam setiap ekspedisi yang dijalankan Wallace, beliau merekrut ramai pembantu untuk merekodkan semua penemuan semasa sesebuah ekspedisi. Dan sebaik saja menerima gaji yang dijanjikan, sesetengah pembantu ini tidak menyertai ekspedisi berikutnya. Tetapi dua individu yang sentiasa meniti di bibir Wallace iaitu Ali dan Charles Allen dan nama kedua-duanya banyak dicatatkan dalam setiap catatan beliau semasa berada di rantau itu. Dalam catatannya, Wallace menganggap Allen yang berasal dari London suka mengambil mudah dan merasakan pembantunya itu tidak akan berubah. Sementara Ali pula sentiasa dipuji dan dianggap sebagai pembantu terbaik berdarah orang asal (Melayu) dalam ekspedisi berkenaan.

Berdasarkan rekod, Wallace dan Allen mula bertemu dengan Ali pada akhir tahun 1855 atau lebih tepat Disember 1855. Ini anekdot beliau berkenaan Ali, “Bila saya berada di Sarawak pada tahun 1855, aku mengambil seorang remaja lelaki Melayu bernama Ali sebagai pembantu peribadi dan untuk membantuku menguasai Bahasa Melayu sebagai keperluan berkomunikasi kerap dengannya. Dia seorang pembersih dan memberi perhatian serta boleh memasak dengan baik. Dia kemudiannya belajar bagaimana hendak menembak burung, membuang kulitnya dengan bersih dan memakaikan semula ia tanpa sebarang masalah. Dan dia juga seorang pelaut yang mahir, satu kelebihan bagi mana-mana orang Melayu ketika itu dan bila ekspedisi berhadapan kesulitan atau bahaya, dia tidak terganggu dan bersedia menghadapinya.”

Tetapi sejarawan luar dan tempatan berpandangan kisah ini seharusnya dilihat dari berbelas tahun lepas. Ali Wallace atau nama sebenarnya Ali Amit merupakan anak bongsu daripada lima adik-beradik dan dilahirkan pada tahun 1840. Semasa membesar, beliau belajar perubatan tradisional daripada abangnya Tad atau Panglima Putad, satu kemahiran yang dipelajari daripada bapa mereka Amit. Bila berlakunya konflik pertempuran, Panglima Putad merawat mangsa yang cedera dengan Ali bertindak sebagai pembantu. Sementara abang sulung mereka, Osman atau Panglima Seman merupakan orang kepercayaan James Brooke dan turut berperanan sebagai algojo dengan menikam dari bahagian atas belakang di sebelah kanan sehingga menembusi organ jantung pesalah dengan sebilah keris.

Berikutan jasanya terhadap keluarga Brooke, maka tidak hairanlah mengapa mereka mempunyai persepsi baik terhadap Panglima Seman. Dalam buku Ten Years in Sarawak misalnya, Charles Brooke menganggap orang Melayu sebagai teruk kecuali Panglima Seman dan Abang Ali serta menceritakan kelebihan panglima itu. Bagi Ali pula, beliau tahu jika bergaul dengan kelompok orang Eropah ketika itu, bintangnya akan bersinar. Ketika itulah, beliau berkawan dengan penjaga kuda Astana (kediaman rasmi Brooke) iaitu Edward. Kelibatnya bukanlah asing dalam kalangan warga Astana kerana beliau juga belajar Bahasa Inggeris dengan Edward.

Selepas tamat kempen pengukuhan kerajaan Brooke, Panglima Seman diberi ganjaran beberapa bidang tanah oleh Brooke pada tahun 1852. Ali masih kekal di Kampung Jaie dengan abangnya Panglima Putad saja yang memilih berhijrah ke kawasan yang dikenali sebagai Kampung Panglima Seman. Di sini, beliau membuka perusahaan tempaan besi yang menarik perhatian penduduk untuk berhijrah dan membina kehidupan baru. Namun, ini mencetuskan iri hati seorang pembesar bernama Awang Mat atau Pengiran Ahmad. Pembesar itu kemudiannya menyebarkan khabar angin cubaan Panglima Seman merampas kerajaan dari tangan Brooke. Dakwaan tersebut mudah dipercayai Raja Putih itu kerana dari bengkel besi yang diusahakan Panglima Putad boleh saja menghasilkan senjata diperlukan untuk pemberontakan.

Panglima Seman cuba menjelaskan situasi sebenar kepada Brooke sebanyak lapan kali di Astana tetapi tidak dilayan. Dan bila Brooke pergi ke Singapura (berkemungkinan untuk menjelaskan tuduhan aktiviti anti-lanun), wujud pula khabar angin beliau sudah bersedia menyerang Panglima Seman dan para pengikutnya. Beberapa minggu selepas itu, sebuah kapal besar berlabuh di muara Sungai Sarawak yang mula menimbulkan kegelisahan orang ramai. Tatkala itu apabila kedua-duanya akhirnya bertemu, ia tidak berakhir dengan baik di mana Brooke mengancam keselamatan Panglima Seman dan keluarganya. Dan dengan kemunculan kapal besar itu, itu sudah cukup mendorong mereka berhijrah ke Kampung Jaie dan menukar nama kepada nama Cina atau Barat atas sebab keselamatan. Bagaimanapun, perkara itu langsung tidak berlaku dan Panglima Seman hilang dalam lipatan sejarah di mana beliau melarikan diri ke Sambas.

Sepeninggalan abang sulungnya itu, Ali mengaturkan semua urusan kebajikan anak-anak keluarga yang terlibat dan kembali ke Kuching untuk bertemu dengan bakal rakan baik dan majikannya, Wallace. Beliau memanfaatkan keupayaan berbahasa Inggeris, kemampuan sebagai tukang masak dan pengetahuan perubatan tradisional untuk menyertai ekspedisi Wallace. Dan sepanjang enam tahun, Ali menjadi sebahagian daripada ekspedisi Wallace dan memberi kesan mendalam bukan saja kepada majikannya itu tetapi juga kepada dunia ilmu terutama dunia sains. Perjalanan dua sekawan ini bermula di Santubong di mana ketika itu, beliau sibuk mengkaji biodiversiti flora dan fauna yang wujud.

Ekspedisi Alam Melayu

Kedua-dua Allen dan Ali mula menemani Wallace semasa tempohnya di Sarawak. Tetapi pada 10 Februari 1856, Allen mengambil keputusan meninggalkan kedua-duanya dan tinggal di Sarawak sebagai guru di sebuah sekolah mubaligh. Dalam suratnya terhadap kakaknya di Britain, Wallace menulis, “Aku perlu mengajar remaja lelaki China itu (anggapan kelompok kolonial terhadap orang Asia terutama Melayu) untuk mengumpul dan melekatkan serangga.” Tetapi seperti mana Awang dengan Ferdinand Magellan, Ali cepat belajar dan mahir dengan kemahiran barunya. Seminggu selepas itu, Wallace dan Ali bertolak ke Singapura dan tinggal di situ selama 96 hari. Semasa di sana, mereka melihat harimau yang ditangkap hidup-hidup di Bukit Timah dan dipamerkan kepada orang ramai. Kisah harimau ini didakwa Wallace menjadi sumber penceritaan harimau oleh kepada penduduk Maluku iaitu kisah harimau jadian. Kisah sebegini mungkin dianggap pelik oleh ahli zoologi British itu tetapi elemen mistik sebegini sememangnya diketahui penduduk Kepulauan Melayu.

Mereka kemudiannya singgah di Bali selama dua hari sebelum meneruskan perjalanan ke Lombok. Di Bali, Wallace mengambil seorang lagi pembantu bernama Manuel Fernandez, seorang lelaki berbangsa Portugis yang mahir menyingkirkan kulit burung. Selepas tiba di Lombok pada Jun 1856, mereka meneruskan perjalanan ke Makassar dan Aru. Semasa ekspedisi, Ali jatuh sakit sekaligus memperlahankan usaha pengumpulan spesimen yang dilakukan Wallace. Sementara menunggu pembantunya kembali pulih dengan makan kuinina di Pulau Aru, beliau mengambil seorang remaja bernama Baderoon (Badrun atau Badrul) dari Makassar sebagai pembantu. Walaupun dianggap baik oleh Wallace, Baderoon juga mempunyai tabiat kaki judi dan berat tulang sehingga mengundang kemarahannya. Pembantu itu meninggalkan ekspedisi akibat masalah hutang dan sejak itu, satu-satunya individu yang paling dipercayai ahli zoologi British itu ialah Ali.

Dari Aru, ekspedisi Wallace mula bergerak ke Maros di utara Makassar dan pada November 1857, mereka meninggalkan Makassar menuju ke Ternate. Selepas tiba di Ternate pada Januari 1858, Wallace menulis esei tentang evolusi dan pilihan semulajadi versinya sebelum menghantarnya kepada rakan dan pakar zoologi, Darwin. Esei tersebut mendorong Darwin bertindak segera dan menulis versinya tentang evolusi yang kita kenali dengan tajuk On the Origin of Species. Semasa di Ternate, Ali bertemu jodoh dengan seorang wanita tempatan dan memilih untuk tidak mengikut ekspedisi Wallace pada tahun 1859. Semasa tahun-tahun ini, wujud kemungkinan beliau kembali ke Sarawak untuk menjenguk sanak-saudara di sana. Ali hanya kembali menyertai mereka pada Mei hingga Julai 1861 semasa di Pulau Buru. Tetapi bagaimana beliau tahu lokasi sebenar ekspedisi Wallace? Besar kemungkinan orang yang menyampaikan berita ekspedisi mereka ialah kenalan Wallace, Johann Alexander Jungmichael. Anak kepada seorang vikar, beliau merupakan orang kepercayaan ahli zoologi itu dalam soal kewangan semasa ketiadaannya. Dari situ, mereka menuju ke Ternate, Manado, Makassar, Jawa (dari Surabaya ke Betawi), Sumatera (dari Bangka ke Palembang) dan akhirnya Singapura.

Selepas tiba di Singapura pada tahun 1862, Wallace mula membuat persiapan untuk kembali ke England. Sebelum kembali ke sana, beliau sempat menghadiahkan banyak barang kepada Ali termasuk senapang, peluru dan duit. Sebagai tanda kenangan, beliau turut mengambil gambar orang yang dianggap sebagai rakan baik sepanjang ekspedisi. Menerusi gambar yang diambil ini menunjukkan Ali memakai pakaian Barat bersesuaian dengan kehendak majikannya. Dalam satu catatan pada tahun 1905, Wallace menulis, “Dia memakai pakaian Eropah buat kali pertama, dia tidaklah sesegak seperti mana memakai pakaian asalnya. Tetapi seorang rakanku masih berjaya mengambil gambarnya yang terbaik. Dengan ini, aku mempersembahkan kepada para pembaca rupa pembantu asalku yang terbaik dan peneman setia sepanjang ekspedisiku ke pulau-pulau di Timur Jauh.” Gambar potret Ali bersama pakaian yang digunakan untuk sesi bergambar itu kini dipamerkan di Muzium Sejarah Alam Semulajadi di London.

Berdasarkan rekod, terdapat 125,600 spesimen yang dibawa Wallace dari serata dunia termasuk Alam Melayu. Dan sepanjang ekspedisinya, beliau mengupah 100 orang dengan 30 daripadanya ialah pembantu pengumpul. Walaupun Allen dan pembantu-pembantu Wallace yang lain mengumpul 40,000 spesimen, wujud teori bahawa sebahagian besar koleksi spesimen semulajadi di Britain dan Eropah sebenarnya disediakan oleh Ali. Mengapa teori sebegini timbul? Daripada 8,050 spesies burung yang dikumpul, spesimen yang dikutip Allen hanya 2,900 sahaja dengan bakinya oleh Ali. Perkara ini tidak mustahil berlaku walaupun sesetengah hasil kerjanya tidak menunjukkan sebarang tanda pengenalan. Jika saintis dapat mengenalpasti tanda pengenalan Ali dan membezakannya dengan tanda pengenalan Wallace, ia sekaligus menjadikan Ali sebagai saintis Melayu pertama di dunia. Antara spesimen yang dikatakan diperoleh oleh beliau tetapi diletakkan di bawah nama majikannya ialah beruang matahari Borneo dan beberapa spesies serangga.

Rajah 1: Lakaran burung standardwing Wallace oleh Daniel Giraud Joseph yang dikumpul dan diterangkan cirinya oleh Ali semasa ekspedisi Wallace.
Rajah 2: Lakaran medan elektrik dalam buku nota Ali. Kredit https://isabellecreates.wordpress.com/projects/buang-the-lost-malay-scientist/
Rajah 3: Lakaran penggunaan durian bila menjana elektrik. Kredit https://isabellecreates.wordpress.com/projects/buang-the-lost-malay-scientist/
Rajah 4: Lakaran dan nota berkenaan biji benih keruing. Kredit https://isabellecreates.wordpress.com/projects/buang-the-lost-malay-scientist/

Legasi

Tidak diketahui lokasi sebenar kubur lelaki yang selayaknya digelar cendekiawan ulung Melayu abad ke-19. Pada mulanya, wujud dakwaan Ali dikebumikan di Ternate atau Papua New Guinea. Tetapi lokasi sebenar kuburnya turut mendedahkan cerita pasca-ekspedisi Wallace. Menurut seorang ekspatriat Tom McLaughlin yang juga penulis buku Borneo Tom: Stories and Sketches of Love, Travel and Jungle Family in Tropical Asia, Ali memutuskan untuk pulang ke Sarawak atau lebih tepat Kampung Jaie untuk membina kehidupan baru dan terus tinggal di situ sehingga ke akhir hayatnya.

Beliau menambah sebagai penghormatan kepada tokoh ulung Melayu ini, satu sayap Muzium Sarawak seharusnya didedikasikan kepada beliau. Sementara penulis Haslina Bujang menyifatkan cadangan kewujudan Pusat Wallace seharusnya turut memperuntukkan satu bahagian khas yang didedikasikan kepada Ali sebagai penghormatan kepada jasanya itu. Manakala Datu Dr Sanib Said pula menyatakan kerajaan negeri patut memikirkan cara untuk memberi kredit hasil kerjanya agar ia diketahui umum.

Rajah 5: Kubur Ali Wallace di Kampung Jaie. Kredit https://imaginedmalaysia.wordpress.com/2017/03/14/the-mysterious-ali-of-the-malay-archipelago/

SUMBER

1. Borneo Post Online. (2016). Proposed Wallace Centre should also honour legacy of local assistant Ali — Historian. https://www.theborneopost.com/2016/06/12/proposed-wallace-centre-should-also-honour-legacy-of-local-assistant-ali-historian/

2. M. Drawhorn, Gerrell dan van Whye, John. (2015). ‘I am Ali Wallace’: The Malay Assistant of Alfred Russel Wallace. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. http://darwin-online.org.uk/people/2015,%20John%20van%20Wyhe,%20I%20am%20Ali%20Wallace.pdf

3. Bujang, Haslina. (2017). BUANG WALLACE @ ALI AMIT ASAL KPG JAIE – Buang Wallace “Saintis Anak Sarawak Yang Hilang”. Borneo Oracle. https://www.facebook.com/BorneoOracle/posts/buang-wallace-ali-amit-asal-kpg-jaie-buang-wallace-saintis-anak-sarawak-yang-hil/1512038118843067/

4. McLaughlin, Joe. (2017). The Mysterious Ali of the ‘Malay Archipelago’. Imagined Malaysia. https://imaginedmalaysia.wordpress.com/2017/03/14/the-mysterious-ali-of-the-malay-archipelago/

5. Van Whye, John. (2017). ‘I am Ali Wallace’, the Malay assistant of Alfred Russel Wallace: an excerpt. The Conversation. https://theconversation.com/i-am-ali-wallace-the-malay-assistant-of-alfred-russel-wallace-an-excerpt-85738

6. Mail, Rintos. (2017). Call to give Wallace’s Sarawakian assistant due recognition. Borneo Post Online. https://www.theborneopost.com/2017/09/09/call-to-give-wallaces-sarawakian-assistant-due-recognition/

7. Ong, Tanya. (2017). A Malay teenager helped naturalist Alfred Russel Wallace collect specimens for 7 years. Mothership.sg. https://mothership.sg/2017/10/a-malay-teenager-helped-naturalist-alfred-russel-wallace-collect-specimens-for-7-years/

8.  Isabelle Desjeux. (2015). Buang, The Lost Malay Scientist. Isabellecreates.
https://isabellecreates.wordpress.com/projects/buang-the-lost-malay-scientist/?fbclid=IwAR0X17oGm3S0Q1-CmdcS9to95VcoSFIT5F77BeZn5yTvFU8BX-_FgFiwnl8#jp-carousel-992

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.