Alhazen: Ilmuan Islam Arab Paling Agung Bidang Fizik

0
547
views

Alhazen merupakan ilmuan Islam Arab paling agung dalam bidang fizik, terutamanya optik. Kitab al-Manazir yang dikarang oleh Alhazen banyak membicarakan tentang bidang optik. Kitab al-Manazir juga telah memberikan pengaruh yang sangat besar kepada ilmuan-ilmuan Eropah seperti Isaac Newton, Galileo Galilei, Rene Descartes, Leonardo da Vinci dan ramai lagi.

Selain fizik, Alhazen juga terlibat dalam menyumbang dalam pelbagai bidang ilmu seperti astronomi, perubatan, matematik dan falsafah. Dalam Astronomi, Alhazen banyak melakukan pembetulan dan kritikan ke atas Ptolemy.
Di Barat, Alhazen digelar sebagai ‘Ptolemaues Secundus’ yang bermaksud ‘Ptolemy II’. Ilmuan Barat menganggap Alhazen sebagai Ptolemy yang kedua. Selain itu, Alhazen juga digelar sebagai ‘Ahli Fizik’ (The Physicist).

Kelahiran Ahli Fizik Arab

Alhazen adalah nama Latin bagi Ibn al-Haytham. Nama penuhnya ialah Abu ‘Ali al-Hasan ibn al-Haytham. Beliau dilahirkan pada tahun 965 M di Basrah, Iraq yang terletak di bawah kekuasaan Empayar Abbasiyah.
Alhazen pernah berkahwin dan ada anak perempuan. Tidak diketahui nama isteri dan anak perempuannya. Tapi telah disebut nama menantunya iaitu Ahmad ibn Muhammad ibn Ja’far al-‘Askari yang telah menyalin semula manuskrip Kitab al-Manazir.
Alhazen pernah memegang jawatan sebagai vizier yang pada hari ini kita kenali sebagai jawatan menteri di wilayah kediamannya, Basrah.

Keraguan Alhazen

Alhazen pernah mendakwa beliau mampu mengawal kebanjiran dan pengairan Sungai Nil. Dakwaan ini menyebabkan beliau dipanggil dengan ganjaran wang oleh Khalifah Fatimiyyah zaman itu iaitu Khalifah al-Hakim bi-Amr Allah untuk jalankan projek kawalan tersebut.

Bila sampai di Mesir, Alhazen kagum dengan binaan-binaan di Mesir yang baginya agak maju, penuh dengan susunan geometri yang cantik. Bila diperhatikan binaan-binaan hebat ini, Alhazen mula ragu yang projeknya mampu berjaya. Katanya, kalau projek ini betul-betul boleh menjadi, sudah tentu pereka-pereka binaan ini sudah melakukannya sejak sekian lama.

Alhazen kemudiannya melakukan pemerhatian teliti di Aswan dan dan datang dengan kesimpulan jitu bahawa projeknya tidak praktikal. Alhazen pulang ke Cairo dengan perasaan malu dan kalah. Selepas dimaklumkan tentang apa yang berlaku, Khalifah menerima kegagalan tersebut dan mula memberikan tugasan pentadbiran kepada Alhazen.

Hidup Dalam Persembunyian

Alhazen merasakan bahawa khalifah seorang yang tak dapat dijangka dan beliau takut kegagalan projek Sungai Nil itu akan mengundang kemarahan khalifah, seterusnya membawa kepada hukuman bunuh tanpa bicara. Tindakan seterusnya Alhazren mempunyai dua versi.

Versi pertama, Alhazen terpaksa hidup dalam persembunyian. Alhazen dikatakan telah meninggalkan jawatannya sehinggalah kematian khalifah. Versi kedua pula, Alhazen berpura-pura gila sehingga beliau ditahan di rumahnya sendiri yang berada berdekatan dengan Masjid al-Azhar. Mana-mana versi sekalipun, Alhazen melakukan perkara tersebut dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawanya.

Pada masa ini jugalah Alhazen melakukan kajian saintifik optik dan menghasilkan karyanya yang terkenal iaitu Kitab al-Manazir yang diterjemahkan menjadi ‘Book of Optics’. Selepas kematian Khalifah al-Hakim, Alhazen bebas semula dan meneruskan kehidupannya sebagai penyelidik dan guru di Cairo, Mesir.

Kitab al-Manazir

Dalam Kitab al-Manazir, Alhazen telah menghasilkan penjelasan dan analisis yang lengkap tentang teori-teori optik zaman purba Yunani, terutamanya yang telah terkumpul dalam Optics Ptolemy. Sebahagian teori tersebut dipersetujuinya, dan sebahagian lagi ditolaknya.

Karyanya mengandungi 7 buah jilid. Dalam jilid I, Alhazen bersyarah secara dasar dan teori tentang penglihatan, cahaya dan warna. Berkenaan cahaya, Alhazen menyatakan bahawa bentuk asas cahaya datang daripada objek yang bercahaya seperti matahari. Cahaya ini dipanggil sebagai cahaya utama (primary light). Pantulan cahaya dari objek adalah cahaya sekunder.

Waqaf Saham

Kemudian, Alhazen menjelaskan lagi teori-teori cahaya yang lain seperti objek legap dan objek transparen. Alhazen juga mengatakan bahawa warna pun seperti cahaya sebelum menjelaskan tentang konsep pelangi.

Dalam jilid II dan III, Alhazen menjelaskan tentang teori penglihatan. Empedocles adalah yang paling awal mengusulkan teori penglihatan. Katanya, manusia dapat melihat kerana dewa Aphrodite mencipta mata manusia daripada api. Cahaya daripada api inilah yang membuatkan manusia dapat melihat.

Idea ini dipegang selama lebih daripada 1000 tahun. Cuma konsepnya saja berubah-ubah. Tetapi doktrin cahaya keluar dari mata tetap menjadi teras utama sepertimana doktrin geosentrik dalam astronomi model alam.

Alhazen tidak menerima konsep ini dan beliaulah yang pertama mengusulkan teori bahawa manusia dapat melihat kerana pantulan cahaya daripada objek yang dilihat masuk ke dalam mata. Apa yang Alhazen usulkan terbukti benar dan itulah apa yang saintis moden pegang pada hari ini.

Penjelasan Alhazen disesuaikan dengan konsep anatomi mata yang dibawa oleh Galen dengan teori optik penglihatan yang diusulkan olehnya sendiri.

Dalam jilid IV, V, VI, dan VII, Alhazen menjelaskan teori tentang pantulan, pembiasan dan penghantaran cahaya yang pernah disebut oleh Ptolemy dan melakukan pembetulan serta laporan eksperimennya yang terperinci.

Kitab al-Manazir sangat memberikan pengaruh kepada perkembangan ilmu fizik optik di tamadun Barat selepas zaman kegemilangan Islam.

Keraguan ke Atas Ptolemy

Selain optik, Alhazen menyumbang peranan yang besar dalam astronomi terutamanya peranan dalam mengkritik karya Almagest Ptolemy. Kritikan ini Alhazen muatkan dalam Al-Shukuk ‘ala Batlamyus yang bermaksud ‘Keraguan ke atas Ptolemy’ (Doubt Concerning Ptolemy). Ada juga dalam karya-karya lain seperti Correction to the Almagest dan Resolution of Doubts concerning the Almagest. Tapi Correction to the Almagest telah hilang.

Dalam karya-karya ini, Alhazen mengkritik tiga karya Ptolemy iaitu Almagest, Planetry Hypotheses dan Optics. Dalam Almagest mengkritik konsep matematik untuk menjelaskan model planet-planet Ptolemy. Dalam erti kata lain, konsep matematik yang diusulkan Ptolemy untuk menjelaskan model alam Ptolemaic tidak konsisten.
Alhazen dapati, bukan itu saja masalahnya. Percanggahan yang beliaulami oleh Ptolemy terdapat dalam Almagest dan Hypotheses secara berterusan. Maksudnya, konsep matematik yang dibentangkan dalam Almagest bercanggah dengan konsep-konsep fizikal planet yang ditulis dalam Hypotheses.

Planet-planet model Ptolemaic bergerak secara bulatan dan seragam, tetapi konsep matematiknya menunjukkan pergerakan planet tak seragam. Alhazen mengkritik dan membetulkan konsep matematik tersebut.

Alhazen masih berpegang dengan konsep geosentrik dan model alam Ptolemaic yang dibentuk sejak era Aristotle. Alhazen cuba melakukan pembaharuan ke atas teoritikal dan konsep matematiknya supaya lebih konsisten dengan model alam ini.

Dalam On the Configuration of the World, Alhazen menjelaskan secara terperinci aspek-aspek fizikal model alam Ptolemaic yang memberikan pengaruh kepada ilmuan-ilmuan Renaissance. Karya ini tidak bersifat teknikal, jadi tiada unsur-unsur matematik.

Alhazen juga ada membincangkan tentang permasalahan-permasalahan dalam astronomi seperti paralaks, galaksi Bima Sakti, keralatan dalam pemerhatian objek-objek samawi, bintang-bintang dan pergerakan planet.

Penglibatan Dalam Matematik

Kebanyakan sumbangan Alhazen dalam matematik tertumpu pada lapangan kajiannya dalam optik dan astronomi terutamanya geometri. Dalam optik, Alhazen cuba menyelesaikan permasalahan yang timbul melibatkan pantulan cahaya pada cermin sfera berdasarkan konsep geometri.

Permasalahan ini dikenali sebagai ‘Permasalahan Alhazen’ (Alhazen’s Problem) tapi diusulkan pertama kali oleh Ptolemy. Tetapi Alhazen tidak dapat menyelesaikan permasalahan ini. Malah, saintis-saintis ternama seperti Christiaan Huygens dan Guillaume de l’Hopital pun tak dapat selesaikannya. Ia hanya dapat diselesaikan pada tahun 1997 oleh Peter M. Neumann, ahli matematik Oxford.

Alhazen juga terlibat dalam pembuktian postulat Euclid yang ke-5 yang sehingga ke zamannya tidak dapat diselesaikan pembuktian tersebut. Ptolemy pernah mencuba untuk membuktikan postulat ke-5 ini, tapi gagal. Alhazen adalah orang yang pertama berjaya melakukannya, seterusnya memperkenalkan konsep pergerakan dalam geometri.

Alhazen juga membentuk geometri untuk bentuk ‘segi empat ibn al-Haytham-Lambert’. Berbezanya bentuk ini dengan segi empat yang lain adalah cuma tiga sudut saja yang berdarjah 90 manakala sebuah lagi sudut tidak mempunyai 90 darjah.

Sepanjang hanyatnya, Alhazen telah mengarang lebih daripada 200 karya dalam pelbagai bidang namun hari ini, tidak sampai 100 pun karyanya yang terselamat.