Alatan Yang Tidak Terpengaruh Dek Zaman

1,565

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Dunia hari ini menyaksikan perubahan untuk kebanyakan peralatan yang manusia gunakan. Dari satu peralatan yang menggunakan tenaga manusia untuk digerakkan, bertukar kepada tenaga elektrik dan elektronik. Daripada satu peralatan dengan kapasiti lemah kepada peralatan dengan kapasiti yang lebih besar.

Sebagai contoh cangkul yang digunakan untuk menggembur tanah. Awalnya menggunakan tenaga manusia, seterusnya direka bajak yang ditarik menggunakan kekuatan haiwan peliharaan. Kemudian traktor pembajak direka untuk memudahkan kerja pertanian.

Contoh lain ialah alat untuk menyimpan data. Kita bermula dengan cekera liut (disket) kemudian beralih kepada cekera padat (Compact Disk – CD) untuk mendapatkan ruang lebih besar. Hari ini kita boleh simpan ribuan data dalam cekera keras (external hard disk) yang hanya sebesar tapak tangan.

Tapi sedar atau tidak ada beberapa peralatan atau rekaan yang tidak berubah sejak dari dulu. Hanya sedikit penambahbaikan dilakukan tanpa mengubah rekaan asal. Beberapa rekaan lain turut muncul selepas itu namun peralatan yang direka asal tetap menjadi pilihan untuk digunakan.

Antaranya ialah alat untuk memotong kuku. Lumrah manusia untuk memotong kuku apabila sudah panjang. Manusia pada masa lalu menggunakan batu untuk mengasah hujung kuku, kemudian beralih kepada penggunaan pisau.

Pada tahun 1875, seorang lelaki bernama Valentine Fogerty telah mematenkan rekaan pengetip kukunya di Amerika Syarikat. Manakala di Eropah, David Gestetner juga muncul dengan rekaan pengetip kuku pada tahun sama.

Eugene Heim and Oelestin Matz menambah baik rekaan ini pada tahun 1881 dan bentuk ini kekal sehingga sekarang. Mungkin ada penambahan daripada segi fungsi seperti menambah pengikir atau menambah pembuka botol namun itu tidak mengubah bentuk rekaan asal.

Paten rekaan Eugene Heim and Oelestin Matz

Selain itu, peralatan lain yang masih kekal dengan rekaan asal ialah pagar kawad berdiri atau barbed wire.

Pagar yang terdiri dari dawai rata dan nipis pertama kali dicadangkan di Perancis, oleh Leonce Eugene Grassin-Baledans pada tahun 1860.

Pada tahun 1868, seorang lelaki bernama Michael Kelly telah mencipta reka bentuk asas untuk kawat berduri semasa dia memusingkan dua wayar untuk membuat bucu tajam pada pagar wayar.

Paten rekaan pagar kawad berduri Joseph Glidden

 

Paten pertama pada kawat berduri dikeluarkan di Amerika Syarikat pada tahun 1867. Pada tahun 1874, Joseph Glidden mencipta mesin untuk menghasilkan peralatan itu dalam skala besar dan penggunaan pagar itu menjadi semakin meluas.

Paten rekaan pagar kawad berduri Joseph Glidden

Pencipta lain menerima paten untuk variasi mereka sendiri pada reka bentuk dawai berduri asas lebih daripada 500 paten dikeluarkan di Amerika Syarikat antara tahun 1868 dan 1874.

Antara variasi paten lain

hari ini, pagar kawad berduri rekaan Joseph Glidden masih diguna pakai. Sedikit penambahbaik dilakukan seperti penggunaan besi tahan karat dan jarak piawai antara kawat. Kita boleh lihat pagar kawat duri digunakan untuk ladang, tempat penternakan, penjara malah untuk pagar kawasan individu.

Satu lagi peralatan yang masih menggunakan rekaan asal ialah perangkap tikus. Peralatan ini mempunyai variasi rekaan lain tetapi rekaan asal masih lagi digunakan.

 

Keju akan diletakkan diatas picu. Apabila tikus memijak atau meyentuh picu itu, spring akan terlepas dan satu lagi besi dipanggil hammer akan memerangkap tikus itu.

Perangkap tikus dengan bahan kayu, spring dan picu

William C. Hooker mematenkan rekaan pertama perangkap tikus pada tahun 1894 di Amerika Syarikat. Pada tahun 1898, James Henry Atkinson mematenkan rekaan perangkap tikus bernama Little Nipper di Eropah.

Rekaan asal William C. Hooker

Peralatan ini mempunyai banyak variasi seperti perangkap sangkar, perangkap elektrik malah ada yang menggunakan gam. Namun rekaan asal masih tidak berubah secara asasnya.

Itu sedikit sebanyak peralatan yang saya dapati tidak berubah walaupun masa telah jauh beredar. Mungkin artikel ini akan disambung dengan beberapa lagi peralatan yang mengalami nasib sama.

 

 

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.