Gigi merupakan komponen yang sangat penting di dalam mulut manusia. Bahkan, kekerasan enamel sebatang gigi adalah lebih keras jika ingin dibandingkan dengan tulang manusia. Hal ini demikian kerana, enamel gigi mengandungi kandungan mineral lebih banyak berbanding tulang iaitu setinggi 96%. Kendatipun saiznya yang kecil, namun gigi memainkan peranan yang sangat signifikan dalam kehidupan seharian seseorang. Selain berfungsi untuk mengunyah makanan, gigi juga berfungsi untuk memudahkan percakapan dan menentukan penampilan wajah seseorang.

Namun demikian, kesedaran penjagaan gigi dalam kalangan rakyat Malaysia masih berada pada tahap yang membimbangkan. Bagi sesetengah golongan rakyat Malaysia, selagi tidak terasa sakit yang amat selagi itulah tiada kepentingan untuk berjumpa doktor gigi untuk demi mendapatkan rawatan (tak tahulah sama ada takut atau membazir masa dan tenaga). Salah satu masalah berkaitan gigi yang sering dianggap enteng oleh sesetengah rakyat Malaysia adalah karang gigi atau tartar gigi (selepas ini akan dikenali dengan nama calculus).Masalah ini jika tidak ditangani dengan segera akan menyumbang kepada masalah lain yang lebih teruk.

PENGENALAN.

Gambar 1 : Karang gigi (calculus) di kawasan belakang gigi hadapan rahang bawah

Calculus adalah ‘dinding’ atau lapisan yang terhasil daripada plak-plak gigi yang tidak dibersihkan dan seterusnya akan mengeras. Calculus terjadi apabila plak gigi bercampur dengan bakteria, mineral pada air liur, protein dan sisa-sisa makanan yang tidak dibersihkan di dalam mulut seseorang. Plak yang dibiarkan lama di dalam mulut akan terkalsifikasi (berkaitan dengan kalsium) dan mengeras sehingga terhasilnya calculus. Warnanya pula sama ada kuning, coklat atau lebih parah lagi sehingga menjadi hitam. Plak ini akan ‘matang’ setelah dibiarkan selama satu sehingga dua hari.

Secara normalnya, gigi mempunyai kemampuan untuk melakukan pembersihan sisa-sisa makanan di dalam mulut dengan bantuan air liur. Namun, semakin banyak calculus yang terhasil dan dibiarkan semakin kurang keupayaan tersebut. Disebabkan kebolehupayaan gigi untuk membersihkan makanan yang semakin berkurang, maka bakteria dan kuman menjadi lebih mudah untuk melekat pada gigi.

KLASIFIKASI.

Calculus dapat diklasifikasikan kepada dua jenis mengikut kedudukannya di gusi seseorang.

Gambar 2 : Supragingival calculus
https://www.slideshare.net/abhishekgakhar11/dental-calculus/com

Gambar 2 : Supragingival calculus

  1. SUPRAGINGIVAL CALCULUS.
  2. Terletak di atas gusi.
  3. Sifatnya yang agak keras.
  4. Berasal daripada mendapan air liur.
  5. Mudah ditanggalkan dari permukaan gigi.
  6. Warnanya kekuningan tetapi boleh berubah menjadi hitam terutamanya apabila terdedah kepada asap rokok.
  7. Biasa terjadi pada gigi geraham rahang atas (maxillary molars) dan gigi hadapan rahang bawah (mandibular anterior) di bahagian belakang berhampiran dengan lidah.
Gambar 3 : Subgingival calculus
  • SUBGINGIVAL CALCULUS.
  • Terletak di bawah gusi dan sukar untuk dilihat.
  • Berasal daripada serum darah seseorang (serumal calculus).
  • Warnanya coklat kehitaman.
  • Sifatnya lebih keras berbanding supragingival calculus.
  • Sukar untuk ditanggalkan daripada permukaan gigi.

IMPLIKASI.

Masalah calculus jika tidak ditangani dengan segera akan menyumbang kepada masalah lain yang lebih serius. Antaranya,

  1. MASALAH GUSI.
Gambar 4 : Ilustrasi masalah gingivitis


Calculus yang dibiarkan di dalam mulut akan mengakibatkan masalah keradangan dan jangkitan pada gusi dikenali dengan nama periodontium. Impaknya, gusi akan menjadi bengkak (gingivitis)dengan warna sedikit kemerah-merahan dan akhirnya berdarah apabila menggosok gigi.

  • GIGI GOYANG.
Gambar 5 : Ilustrasi masalah periodontitis

Walaubagaimanapun, sekiranya tidak dirawat, penyakit gingivitis boleh menjadi penyakit yang lebih teruk iaitu periodontitis. Disebabkan keadaannya yang parah, gusi dan tulang penyokong gigi juga akan mengalami kerosakan sehingga akhirnya menyebabkan gigi menjadi goyang. Hal ini demikian kerana, pengumpulan calculus yang berlebihan akan mendorong gusi untuk turun dari kawasan anatomi asalnya sehingga menyebabkan gigi tidak tertanam pada rahang gigi dengan kuat dan normal.

  • PENYAKIT BADAN LAIN.

Jangkitan dan keradangan gusi yang tidak dirawat dengan segera akan menyebabkan penyakit-penyakit badan yang lain seperti angin ahmar, penyakit paru-paru dan kencing manis (diabetes).

  • GIGI BERLUBANG.

Dalam bidang pergigian, gigi berlubang dikenali dengan nama carries. Keadaan ini terjadi akibat penghasilan asid daripada penguraian (breakdown) gula oleh bakteria daripada sisa-sisa makanan yang tidak dibersihkan di dalam mulut. Asid yang terhasil akan menghakis permukaan enamel gigi sehingga terjadinya lubang pada gigi. Sekiranya perkara ini dibiarkan, carries akan menyebabkan penyakit yang lebih serius dan boleh menyebabkan kemudaratan gigi dan juga badan seseorang.

  • MULUT BERBAU BUSUK.

Keadaan ini dikenali sebagai halitosis. Walaupun seseorang itu seringkali menggosok giginya, namun keadaan nafas dan mulut berbau busuk ini tidak dapat dihilangkan kerana plak-plak yang terhasil di dalam mulut boleh menghasilkan bahan toksik yang mengeluarkan bau busuk. Keadaan ini didorong lagi apabila bercampur dengan makanan yang melekat di celah-celah gigi atau di dalam kaviti gigi (carries).

RAWATAN.

Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Penghasilan plak di dalam mulut terjadi setiap saat. Maka, penjagaan mulut yang efektif amat-amatlah dititikberatkan.

  1. Langkah paling utama adalah menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan menggunakan berus gigi yang sesuai dan cara yang betul (dan jangan lupa bersihkan kawasan lidah sekali).
Gambar 7 : Teknik memberus gigi dengan betul.
  • Kedua, penggunaan flos juga amat dititikberatkan dalam penjagaan kesihatan mulut. Penggunaan flos amat penting untuk membersihkan sisa-sisa makanan di celah-celah gigi yang tidak dapat dibersihkan oleh berus gigi.
Gambar 8 : Cara menggunakan flos.
  • Seterusnya, penggunaan alat pembersih tambahan seperti inderdental brush atau ubat kumur (mouthwash) yang disyorkan oleh pakar pergigian.
Gambar 9 : Contoh interdental brush dan cara menggunakannya.
Gambar 10 : Pelbagai jenama ubut kumur. Dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pengamal pergigian untuk menggunakan ubat kumur yang sesuai.

.Ketiga-tiga langkah di atas merupakan langkah pencegahan awal untuk mengelakkan pembentukan karang gigi atau calculus. Namun, sekiranya plak gigi telah menjadi calculus, lawatan ke doktor gigi dan pakar pergigian adalah jalan terbaik. Hal ini demikian kerana penskaleran (scaling) hanya boleh dilakukan oleh pengamal pergigian yang diiktiraf dan bertauliah. Karang gigi ini amatlah sukar untuk ditanggalkan walaupun menggunakan berus gigi atau flos. Maka, seseorang individu disyorkan untuk mengadakan lawatan ke doktor gigi sebanyak dua kali setahun untuk mendapatkan rawatan pergigian yang menyeluruh dan terbaik.

Gambar 11 : Antara peralatan tangan rawatan scaling.

DILEMA SCALING GIGI.

  1. GIGI AKAN MENJADI JARANG.
Gambar 12 : Perbezaan sebelum dan selepas menjalani rawatan scaling.

Rawatan scaling tidak menyebabkan gigi menjadi jarang. Sebaliknya, ruang yang terhasil adalah disebabkan daripada karang gigi atau tartar yang telah dibuang. Ruang ini akan tertutup setelah gusi sembuh dan penjagaan rapi dilakukan. Apabila seseorang merasakan giginya menjadi jarang setelah menjalani rawatan scaling, perkara ini disebabkan kerana lidah atau keadaan mulutnya sudah terbiasa dengan ‘ketebalan’ palsu tersebut. Apabila karang gigi telah dibuang, maka dia tidak terbiasa dengan ketebalan yang baru.

  • GIGI AKAN MENJADI TIPIS.
Gambar 13 : Rawatan scaling adalah menggunakan gegaran.
Gambar 14 : Peralatan scaling ultrasonik yang menjalankan rawatan secara gegaran.

Rawatan scaling berfungsi secara getaran dan bukannya menghakis. Mata peralatan yang digunakan adalah dikenakan pada permukaan calculus dan bukannya pada permukaan gigi. Perlatan ultrasonik berfungsi dengan penghasilan getaran yang dijana oleh angin turbin selaju 25 000 hingga 40 000 Hertz. Getaran selaju ini mampu menanggalkan karang gigi dan menghilangkan kesan-kesan hitam pada permukaan gigi.

Justeru, pancutan air digunakan apabila scaling dijalankan bagi mengelakkan tip ultrasonik menjadi terlalu panas. Selain daripada menggunakan alat ultrasonik, karang gigi juga boleh dikikis menggunakan peralatan tangan tanpa menggunakan pancutan air. Proses ini dilakukan pada permukaan gigi dan di bawah paras gusi.

  • GIGI AKAN MENJADI NGILU.

Seperti yang telah saya katakan tadi, calculus akan menyebabkan penyakit gusi yang menjadikan gusi semakin susut dan turun dari anatomi asalnya. Maka, gusi yang susut ini sudah tentu akan menyebabkan permukaan akar gigi terdedah dan menjadi ngilu atau sensitif. Justeru, rawatan cucian gigi atau scaling amatlah perlu untuk menyingkirkan karang gigi dan memulihkan gusi supaya gigi tidak lagi rasa sensitif.

  • GIGI AKAN MENJADI GOYANG.

Telah saya jelaskan tadi bahawa karang gigi atau calculus yang menebal dan dibiarkan itulah yang menyebabkan kerosakan pada tulang sokongan gigi sekaligus menyebabkan gigi bergoyang. Pun begitu, keadaan gusi yang semakin menyusut akibat daripada terwujudnya karang gigi juga yang menyebabkan gigi bergoyang kerana tiada sokongan yang kukuh. Justeru, rawatan penskaleran atau scaling inilah merupakan satu-satunya cara untuk mendapatkan dan memulihkan gusi semula.

  • SCALING INI PUTIHKAN GIGI KE?

Saya tidak pasti dari mana atau daripada siapa individu ini memperoleh maklumat sedemikian, tetapi perkara yang ingin ditekankan adalah rawatan scaling bukannya untuk memutihkan gigi. Adapun rawatan untuk memutihkan gigi dinamakan whitening (atau pensyarah saya mengenalinya dengan nama bleaching). Kalau pun boleh scaling memutihkan gigi (menghilangkan staining), namun ini bukanlah matlamat utama rawatan ini.

  • DAH GOSOK GIGI DUA KALI SEHARI, BUAT APA NAK SCALING?

Dakwaan ini; bagi saya, adalah kurang tepat. Mengapa? Kerana mungkin masih ada permukaan atau kawasan gigi yang tidak dapat dibersihkan oleh berus gigi biasa. Sebab itu diperlukan flos kerana berus gigi yang biasa tidak akan mampu untuk memasuki celah-celah gigi dan membersihkan sisa-sisa makanan yang terdapat di situ. Apa-apa pun, yang penting periksa gigi terlebih dahulu. Kemudian, barulah dapat ditentukan sama ada rawatan cucian gigi diperlukan atau tidak.

  • BAGAIMANA PULA DENGAN PEREMPUAN YANG HAMIL?

Perempuan yang hamil juga tidak terkecuali untuk mendapatkan rawatan pergigian. Malah, bukan sesuatu yang luar biasa sekiranya wanita hamil mengalami masalah pergigian seperti gusi bengkak, gusi berdarah atau gigi berlubang kerana perkara ini ada kaitannya dengan hormon sewaktu mengandung. Sekiranya memerlukan rawatan pergigian, datang sahaja berjumpa dengan doktor gigi dengan segera.

Kebanyakan doktor gigi memilih untuk tidak mengambil x-ray dan menjalankan rawatam yang rumit pada trimester pertama. Trimester kedua merupakan waktu terbaik untuk mendapatkan rawatan pergigian. Pembersihan karang gigi tidak akan memperngaruhi bayi yang dikandung.

  • KENAPA PERLU BERSIHKAN SISA-SISA MAKANAN?

Seperti yang telah saya katakan, sisa-sisa makanan yang tidak dibersihkan akan menyumbang kepada masalah seperti karang gigi dan gigi berlubang. Perkara ini juga terkait dengan ibadah seorang yang beragama Islam. Sisa makanan yang terselit di celah-celah gigi semasa sedang solat tidak akan membatalkan solat selagi sisa makanan tersebut tidak ditelan. Namun, perkara sebaliknya berlaku sekiranya sisa makanan tersebut ditelan dengan segaja, tidak kira banyak atau sedikit.

Imam an-Nawawi RA menyatakan dalam kitab al-Majmuk,

Solat akan batal jika menelan makanan yang terselit di celah gigi dengan segaja. Namun, tidak akan batal jika bukan sengaja hendak menelan air liur yang bercampur dengan lebihan makanan.

Islam memberikan solusi untuk membuang sisa makanan tanpa perlu menghentikan solat iaitu dengan cara menyapunya pada hujung serban atau kain yang boleh menghilangkan sisa makanan tersebut (sabil al-Muhtadin, 2008:352). Namun, umat Islam yang bijak adalah yang menyediakan payung sebelum hujan. Tindakan Nabi Muhammad SAW bersiwak sebelum memulakan solat merupakan pengajaran terbesar buat seluruh umat Islam yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

  • BATAL TAK PUASA KALAU BUAT RAWATAN PERGIGIAN?

Menjalani apa-apa rawatan pergigian semasa berpuasa (termasuklan scaling gigi) pada siang hari dalam bulan Ramadan hukumnya adalah makruh, tetapi akan membatalkan puasa sekiranya tertelan darah dan bahan rawatan bersama air liur. Sekiranya rawatan pergigian dapat ditangguhkan ke waktu malam tanpa apa-apa kemudaratan, maka itu adalah lebih baik.

  1. BAHAYA KE NAFAS BERBAU?

Menurut peribadi saya, ya. Lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan orang lain. Sudah tentu perkara ini agak menjengkelkan. Nafas yang berbau sehingga menyebabkan orang lain terganggu adalah sesuatu yang perlu dielakkan. Bahkan, hukum nafas berbau sehingga menyebabkan ketidakselesaan orang lain ketika solat jemaah adalah makruh. Perkara ini dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA mafhumnya,

Sesiapa yang memakan biji-bijian ini, iaitu bawang putih (Baginda pernah juga menyatakan bawang merah dan kurrats iaitu sejenis mentimun), maka janganlah dia mendekati masjid kami. Kerana malaikat turut terganggu dengan sesuatu yang membuat Bani Adam (manusia) terganggu.

KESIMPULAN.

Sediakan payung sebelum hujan. Jangan dah terhantuk baru nak terngadah. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Sedarlah, bahawa mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Justeru, rawatan awal pergigian amatlah penting untuk mengelakkan masalah yang lebih serius berlaku. Malah, sebagai umat Islam yang mentaati perintah-Nya, penjagaan mulut dan badan dengan baik amatlah dititikberatkan kerana semua ini adalah pinjaman daripada-Nya dan kita diamanahkan untuk menjaga badan ini dengan sebaik mungkin, bukan memudaratkannya. Akhir kalam, janganlah takut berjumpa dengan doktor gigi kerana kami sayangkan gigi anda semua! Say cheese! (Senyumlah!)

Wallahu Ta’ala A’lam.

RUJUKAN:

  1. Dr. Wan Noorina, Dr. Nik Salida Suhaila, Dr. Wan Abdul Fattah. (2015). Tanyalah Pakar Tentang Fiqh Dental; Kefahaman Mengenai Isu-isu Rawatan Pergigian Menurut Prinsip Islam dan Kaedah Perubatan Modern. Kuala Lumpur: Telaga Biru.
  2. Staff members of Oral Medicine, Periodontology, Oral Radiology and Oral Diagnosis Department, al-Azhar University,Cairo, Egypt (2018/2019). Handbook Of Periodontology: Dental Calculus.
  3. Dr. Che Noor Aini, Dr. Azillah, Dr. Chew Yoke Yuen, Dr. Norizzan, Dr. Doreyat, Dr. Sharol Lail (2014). Kesihatan Pergigian: Plak Gigi. Boleh didapati di, https://www.myhealth.gov.my/pal-gigi/com
  4. Dr. Lydia Mason ak Lionel (2014). Kesihatan Pergigian: Panduan Penjagaan Kesihatan Pergigian Untuk Ibu Hamil. Boleh didapati di, https://www.myhealth.gov.my/panduan-penjagaan-kesihatan-pergigian-untuk-ibu-hamil/com
  5. Murni Azman. (2018). 6 Mitos Tentang ‘Scaling’ Gigi Yang Ramai Percaya Tapi Sebenarnya Langsung Tak Masuk Akal. Boleh didapati di, https://www.myhealth.gov.my/panduan-penjagaan-kesihatan-pergigian-untuk-ibu-hamil/com
  6. Utusan Online. (2015). Kesihatan: Kurang Kesedaran Kesihatan Mulut. Boleh didapati di, https://www.utusan.com.my/mega/kesihatan/kurang-kesedaran-kesihatan-mulut/com

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Mahasiswa Jurusan Pergigian, Universiti al-Azhar. Anak jati Kota Tinggi, Johor. Keturunan Jawa mengalir dalam pembuluh darahnya. Puisi Buya Hamka dan Pak Natsir menjadi bacaan saban hari. Suka berkawan dengan sesiapa sahaja. Kalau bosan, gitar dan irama puisi menjadi peneman.

Comments are closed.