Lumrah manusia bila ditimpa musibah penyakit, maka perlu datang ke klinik atau hospital untuk berubat. Tetapi jika penyakit serius melanda seperti penyakit jantung atau kanser, antara kaedah yang menjadi pilihan doktor ialah pembedahan demi menyelamatkan nyawa pesakit. Dan semua ini tidak akan berlaku tanpa sumbangan seorang pakar bedah Islam abad ke-10 Masihi yang berasal dari Andalusia. Pakar yang dimaksudkan ialah al-Zahrawi atau panggilan Latinnya Albucasis atau Zahravius.

Biografi

al-Zahrawi atau nama sebenarnya Abū al-Qāsim Khalaf ibn al-‘Abbās al-Zahrāwī al-Ansari dilahirkan pada tahun 936 Masihi di Alzahraa, sebuah kawasan pinggir bandar yang terletak di barat laut Cordova, Sepanyol hari ini. Bagi yang meneliti nama penuhnya itu, wujud kemungkinan al-Zahrawi mempunyai darah Arab Ansar iaitu kelompok Arab Madinah yang membantu Rasulullah s.a.w pasca-penghijrahan baginda.

Bagaimanapun, sedikit sahaja maklumat yang diketahui berkenaan beliau. Ini kerana kebanyakan maklumat penting ketika itu musnah akibat konflik antara Andalusia dengan Castille. Tetapi sejarawan Andalusia al-Humaydi berjaya merekodkan biografi pakar bedah hebat ini dalam kitabnya Jadhwat al-Muqtabis yang disiapkan 60 tahun selepas kem4tiannya.

Berdasarkan maklumat, al-Zahrawi membesar di Alzahraa dan menjadi orang penting di kota kelahirannya itu. Dan pada satu ketika dalam kehidupannya, beliau menjadi doktor peribadi Khalifah al-Hakam II dari Bani Umayyah yang memerintah Andalusia ketika itu. al-Zahrawi juga merupakan kenalan kepada beberapa ahli kimia Andalusia yang terkenal ketika itu seperti Ibnu al-Wafid, al-Majriti dan Artephius. Seperti mana cendekiawan-cendekiawan Islam ketika itu, beliau mendedikasikan kehidupannya kepada dunia perubatan termasuk pembedahan. Selepas berkhidmat dengan setia selama bertahun-tahun, al-Zahrawi kembali ke rahmatullah pada tahun 1013 semasa berusia 77 tahun.

Figure 1: al-Zahrawi merawat luka seorang pesakit di sebuah hospital di Cordova.

Kegemilangan Cordova

Cordova ketika itu merupakan ibu kota Andalusia dan dianggap sebagai salah satu daripada keajaiban dunia. Semasa ia berada di kemuncak, ibu kota kelahiran al-Zahrawi ini mempunyai populasi seramai sejuta orang yang menetap di 200,000 buah rumah. Bandar tersebut turut menempatkan 600 masjid, 900 laluan pejalan kaki awam, 80 buah sekolah, 27 sekolah tinggi dan 300 perpustakaan dengan koleksi buku sebanyak sejuta buku.

Status kekayaan di Cordova bukanlah dikira mengikut bilangan wang yang dimiliki hari ini tetapi berapa banyak buku yang dimiliki seseorang ketika itu. Dikatakan Khalifah al-Nasir mempunyai koleksi sebanyak 30,000 buah buku dengan banyak komennya dijadikan sebagai nota kaki. Ini sama sekali berbeza dengan kota-kota Eropah lain yang hanya mempunyai populasi daripada berbelas ribu orang kepada puluhan ribu orang.

Dan jika dibandingkan dengan perpustakaan di Cordova, Perpustakaan Gereja St Gall di Switzerland hanya mempunyai 35 buah buku. Ini sekaligus menunjukkan jika ada orang Eropah yang mahu melanjutkan pelajaran mereka, maka mereka harus berkunjung ke Cordova. Justeru tidak hairanlah mengapa penyajak Itali bernama Lane Poole memuji kecemerlangan bandar tersebut dalam sajaknya.

Sebelum penulis berbicara lebih lanjut tentang jasa al-Zahrawi terhadap dunia perubatan, elok kita selusuri status hospital Cordova pada ketika itu. Hospital-hospital yang beroperasi dengan cekap merupakan sumbangan besar Tamadun Islam terhadap manusiawi. Ini kerana hospital pada abad ke-10 dan ke-11 Masihi dibangunkan dengan indah atau menukar peranan istana sebagai hospital awam.

Setiap hospital mempunyai wad berasingan untuk pesakit lelaki dan perempuan manakala penyakit-penyakit berbeza seperti cirit-birit dan sakit mental dirawat di bahagian hospital yang berbeza. Hospital-hospital di Andalusia turut menyediakan sebuah farmasi yang memberi ubat secara percuma kepada pesakit, masjid untuk umat Islam dan gereja kecil (penganut Kristian), sebuah bilik persidangan dan sebuah perpustakaan.

Tidak seperti hari ini, hospital merupakan satu-satunya institusi yang layak mendidik pelajar-pelajar yang beraspirasi menjadi doktor. Hanya doktor-doktor yang berkelayakan dan mempunyai lesen sahaja yang dibenarkan beroperasi. Untuk memastikan proses pelesenan berjalan lancar, Lembaga Pelesenan (Muthalib) ditubuhkan oleh kerajaan Bani Umayyah ketika itu. Sementara ahli farmasi pula turut dilantik sebagai pemeriksa untuk memeriksa kualiti ubat dan mengekalkan kualiti ubat yang diberi.

Berbeza seperti hari ini, hospital-hospital Cordova mempunyai beberapa polisi menarik. Pertama, pesakit tanpa mengira lelaki, wanita atau kanak-kanak akan ditahan di wad sehingga mereka pulih sepenuhnya. Kedua, semua kos perubatan semasa berada di hospital akan ditanggung pihak hospital tanpa mengira sama ada pesakit itu orang tempatan atau orang luar, kuat atau lemah, kaya atau miskin, bekerja atau menganggur, celik huruf atau buta huruf. Ini kerana perkhidmatan sebegini dibuat semata-mata kerana Allah. Justeru tidak hairanlah ada yang cuba berpura-pura sakit agar dimasukkan ke hospital dan menikmati layanan baik sebegitu rupa.

Sumbangan al-Zahrawi

13 tahun sebelum kem4tiannya, al-Zahrawi mula menulis mahakarya ulungnya yang bertajuk Kitab al-Tasrif. Kitab yang mengandungi 30 buah judul itu merangkumi pelbagai topik perubatan seperti pembedahan, perubatan, ortopedik, farmakologi, nutrisi, pergigian, perbidanan dan patologi. Judul pertama berkisar tentang prinsip asas perubatan, kedua (patologi) dan selebihnya membabitkan semua topik yang dinyatakan di atas dengan pembedahan diletakkan sebagai bab terakhir. Menurut al-Zahrawi, pembedahan merupakan tingkat paling tinggi dalam ilmu perubatan dan seseorang itu tidak boleh menjadi pakar bedah sehinggalah dia arif dengan semua cabang perubatan.

Figure 2: Terjemahan Latin Kitab al-Tasrif.

Buku ini dihasilkan dengan memanfaatkan data yang diambil sepanjang kariernya selama 50 tahun dari segi latihan, perguruan dan amali. Dalam kitab yang sama, al-Zahrawi turut menyebut perihal hubungan doktor-pesakit dan suka memanggil pelajar-pelajarnya sebagai ‘anak-anakku’. Beliau juga sangat menekankan kepentingan merawat pesakit tanpa mengira status sosial mereka dan menggalakkan pemerhatian rapi pada sesetengah kes bagi membolehkan doktor membuat diagnosis yang tepat dan rawatan yang terbaik untuk penyakit yang dihadapi.

Menariknya, terdapat banyak bentuk rawatan yang dikreditkan kepada pakar perubatan lain sebenarnya sudah lama disebut dalam Kitab al-Tasrif. Misalnya, proses Kosher iaitu sejenis membetulkan kedudukan bahu kembali ke posisi asal bagi merawat kecederaan bahu terkehel sudah lama disebut dalam kitab berkenaan.

Selain itu, al-Zahrawi sudah memperkatakan cara mengikat saluran darah 600 tahun sebelum ia dikatakan diperkenalkan oleh tabib peribadi raja-raja Perancis abad ke-16, Ambroise Pare dan menjadikan kitabnya kitab pertama yang membicarakan keadaan hemofilia. Di samping itu, al-Zahrawi juga merupakan orang pertama yang memperkenalkan prosedur pembedahan migrain (prosedur pembedahan untuk membantu penghidapnya kurang mengalami gangguan migrain) yang kini muncul semula hari ini.

Tetapi tiada siapa boleh menafikan bab terakhir Kitab al-Tasrif yang menyentuh soal pembedahan memberi impak besar kepada dunia perubatan hari ini. Bab ini bukan saja menyentuh teknik dan cara pembedahan tetapi juga inovasi peralatan yang digunakan al-Zahrawi semasa melakukan pembedahan. Teks penuh judul ini terdiri daripada tiga buah buku bagi membolehkan pelajar-pelajar perubatan yang menceburi disiplin ilmu pembedahan meraih lebih banyak ilmu dari segi prosedur dan alat-alat yang diperlukan.

Figure 3: Alat-alat pembedahan al-Zahrawi yang dicatat dalam Kitab al-Tasrif.

Bab ini kemudiannya diterjemah ke dalam Bahasa Latin oleh Gerard of Cremona pada abad ke-12 Masihi dan selepas itu tersebar ke seluruh Eropah. Memandangkan Eropah ketika itu perlahan-lahan bangkit dalam mengejar soal keilmuan, bab ini menjadi rujukan popular para pelajar dan diterjemah ke Bahasa Latin sebanyak lima kali. Menurut sejarawan perubatan Arturo Castiglioni, tahap bab ini sama dengan Kanun Perubatan yang dikarang Ibnu Sina dalam dunia perubatan.

Bila ditanya bagaimana beliau meraih pengetahuan dalam disiplin ilmu ini, al-Zahrawi mendedahkan ia datang hasil daripada pembacaan kitab-kitab yang dikarang ilmuan-ilmuan terdahulu dan juga pengalamannya sendiri. Beliau juga mendedahkan mengapa pembedahan dianggap tahap tertinggi dunia perubatan dan kepentingannya terhadap tamadun Islam. Beliau melihat wujud keperluan untuk mengubah persepsi orang awam terhadap pembedahan dan persepsi buruk ini berlaku kerana para tabib tidak mempunyai pengetahuan anatomi yang mencukupi dan salah faham terhadap fisiologi manusia.

Menerusi judul terakhir ini, terlalu banyak sumbangannya terhadap bidang pembedahan yang boleh dinyatakan di sini. Dalam urologi misalnya, al-Zahrawi mencipta satu alat yang dipanggil al-Mirwed yang mengesan kedudukan sebenar batu karang dalam badan pesakit sebelum sebarang pembedahan dijalankan.

Beliau juga merupakan orang pertama yang menggunakan forsep (gunting pembedahan) untuk mengeluarkan batu karang di mana sebelumnya, pakar-pakar bedah menggunakan alat serupa sudu untuk mengeluarkan batu karang. Dalam bidang pergigian dan periodotologi pula, al-Zahrawi selalu menggunakan wayar yang diperbuat daripada emas dan perak untuk mengikat gigi yang longgar dan merupakan orang pertama yang dikreditkan sebagai pelopor penanaman semula gigi dalam sejarah pergigian.

Figure 4: Forsep yang digunakan untuk mengeluarkan batu karang dari badan pesakit. Kredit: http://www.aps.eg.net/back_issue/vol2/issue2_april2006/pdf/1-Al%20Zahrawi.pdf

Dalam pembedahan plastik pula, ramai menganggapnya sebagai pelopor dalam pembedahan plastik berikutan banyak pembedahan plastik dibuat oleh beliau. Malah, al-Zahrawi turut menganggap kosmetik merupakan sebahagian daripada disiplin perubatan sehingga mendedikasikan salah satu bab Kitab al-Tasrif sebagai Adwiyat al-Zinah (Perubatan Kecantikan). Antara barang yang selalu digunakan ialah minyak wangi, bau-bauan beraroma dan kemenyan. Malah tidak mengejutkan sekiranya al-Zahrawi juga merupakan pencipta gincu dan deodoran pertama.

Legasi

Yang pasti, pengaruh al-Zahrawi terhadap dunia ilmu terutama perubatan ternyata amat besar sama sekali. Pada Zaman Pertengahan, ramai menganggapnya sebagai orang yang berautoriti dalam bidang pembedahan. Malah Kitab al-Tasrifnya menjadi sebutan ramai tokoh perubatan Eropah dengan Guy de Chauliac menyebutnya sebanyak 200 kali dengan Pietro Argallata menggelar beliau sebagai ketua kepada semua pakar bedah. Pengaruhnya terus kekal hingga ke Zaman Renaissance dengan Kitab al-Tasrif menjadi rujukan tokoh perubatan Perancis abad ke-16, Jacques Dalechamps.

Hari ini, sebatang jalan di Cordova di mana beliau pernah menetap dinamakan sempena namanya. Dan bagi pengunjung yang pernah melalui jalan di situ, pasti akan perasan kehadiran rumah nombor enam yang dipasang plak gangsa oleh Lembaga Pelancongan Sepanyol. Plak ini merupakan petunjuk bahawa rumah tersebut pernah didiami oleh al-Zahrawi. Plak tersebut diletakkan di situ pada tahun 1977.

SUMBER

  1. Tbakhi, Abdelghani dan S. Amr, Samir. (2007). Abu Al Qasim Al Zahrawi (Albucasis) : Pioneer of modern surgery. Annals of Saudi Medicine 27(3):220-223. https://www.researchgate.net/publication/45260613_Abu_Al_Qasim_Al_Zahrawi_Albucasis_Pioneer_of_modern_surgery
  2. Elgohary, Muhammad Amin. (2006). Al Zahrawi: The Father of Modern Surgery. Annals of Pediatric Surgery, Vol 2, No 2, Muka Surat 82-87. http://www.aps.eg.net/back_issue/vol2/issue2_april2006/pdf/1-Al%20Zahrawi.pdf

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.