Rentang waktu dari kurun ke-8 hingga kurun ke-13 Masehi secara umum dirujuk sebagai Zaman Keemasan Islam. Pada era ini, dunia Islam melahirkan begitu ramai ilmuwan yang memberi sumbangan besar kepada pelbagai cabang keilmuan manusia, termasuklah falsafah, matematik dan astronomi.

Ahli-ahli intelek Islam pada zaman ini menghasilkan banyak sumbangan kepada sejarah perubatan, antaranya seperti ‘Ali ibn al-‘Abbas al-Majusi (nama Latinnya Haly Abbas), Muhammad ibn Zakariya Razi (nama Latinnya Rhazes atau Rasis), dan Abu al-Qasim Khalaf ibn al-‘Abbas az-Zahrawi (masyhur sebagai Al-Zahrawi, atau nama Latinnya iaitu Abulcasis).

KEHIDUPAN AL-ZAHRAWI


Al-Zahrawi dilahirkan pada tahun 936M di El-Zahra, berhampiran Cordoba, Andalusia, selatan Sepanyol. Beliau lahir pada zaman kegemilangan Kekhalifahan Umayyah di Cordoba, yang menguasai rantau berkenaan. Malangnya, tidak banyak yang diketahui tentang hidup Al-Zahrawi.

Dikatakan bahawa Al-Zahrawi menerima naungan diraja dan diperakui sebagai genius perubatan. Oleh kerana itu, selama 50 tahun, beliau berkhidmat sebagai tabib diraja kepada khalifah Cordoba kedua, iaitu Al-Hakam II, dan Al-Mansur, pemerintah de facto Muslim Sepanyol selepas kemangkatan al-Hakam.

Al-Zahrawi, ‘bapa pembedahan moden’

Apapun, dikatakan bahawa Al-Zahrawi sering bertegas mahu merawat pesakit tanpa mengambil kira status kewangan mereka. Hal ini membolehkan Al-Zahrawi berjumpa dengan pelbagai jenis dan ragam pesakit pada setiap hari, sekaligus merekodkan rawatan yang diberikannya kepada mereka.

Dengan melakukan sedemikian, tabib diraja itu berupaya meninggalkan kitab perubatan berharga yang dikenali sebagai Al-Tasrif li man ajz an-il-talif (Bantuan Bagi Yang Tidak Berkemampuan Membaca Kitab-Kitab Besar), atau ringkasnya, Al-Tasrif.

AL-TASRIF
: ENSIKLOPEDIA PERUBATAN


Al-Tasrif
 boleh dianggap sebagai hasil karya yang sangat penting dalam sejarah perubatan, memandangkan ia menjadi rujukan piawaian dalam perubatan Islam dan Eropah selama lebih dari separuh abad. Ensiklopedia perubatan ini disiapkan sepenuhnya sekitar tahun 1000M, dan dibahagikan kepada 30 jilid. Setiap jilid meliputi pelbagai aspek perubatan dan perincian tentang lebih 300 jenis penyakit serta rawatannya.

Ilustrasi alat pembedahan Muslim di zaman pertengahan yang diambil daripada Kitab al-Tasrif karangan Al-Zahrawi

Lebih daripada itu, aspek-aspek perubatan lain turut dibincangkan di dalam Al-Tasrif. Misalnya pada salah sebuah jilid awal, Al-Zahrawi menulis tentang kaedah mendiagnosis penyakit dan menyatakan bahawa doktor yang bagus seharusnya kerap bergantung pada pemerhatian sendiri terhadap pesakit dan simptom-simptom penyakitnya – tidak hanya sekadar mendengar dan mengiyakan apa sahaja yang diadukan oleh pesakit.
Al-Zahrawi juga menulis tentang hubungan antara kesihatan dan pemakanan. Sebahagian daripada Al-Tasrif dikhususkan untuk memperbahaskan tentang makanan apakah yang perlu dielakkan oleh seseorang, pengekalan diet yang sihat, dan pemakanan sebagai rawatan.

Halaman judul dari terjemahan pertama Al-Tasrif dalam bahasa Latin, yang berjudul Liber theoricae nec non practicae Alsaharavii (Buku teori dan praktikal oleh Al-Zahrawi. 1599)

AL-TASRIF: DEDIKASI BUAT PEMBEDAHAN MODEN

Bahagian dalam Al-Tasrif yang dianggap oleh ramai ilmuwan sebagai paling berpengaruh adalah jilid ke-30. Jilid ini khusus membincangkan tentang pembedahan, dan disebabkan oleh bahagian inilah Al-Zahrawi digelari sebagai ‘Bapa Pembedahan Moden’.

Di samping perkara-perkara lain, jilid ini mengandungi penjelasan-penjelasan terperinci tentang prosedur beberapa pembedahan tertentu, sekitar 200 penerangan dan ilustrasi alat pembedahan (gambar-gambar ini dikatakan yang terawal dalam sejarah), serta sejumlah inovasi yang digunakan secara meluas di bilik bedah.

Operasi pembedahan di zaman pertengahan, dalam karya tabib-tabib Arab

Misalnya, Al-Zahrawi dikatakan merupakan pembedah pertama yang menggunakan usus kucing sebagai benang untuk jahitan dalaman. Bahan ini diperbuat daripada lapisan usus haiwan, dan untuk tempoh masa yang lama, ia adalah satu-satunya bahan yang boleh digunakan untuk menjahit dan masih boleh diserap (diurai) oleh tubuh manusia.

Penggunaan usus kucing bagi tujuan ini memaksudkan bahawa tiada keperluan untuk melakukan pembedahan kedua bagi membuang benang dari jahitan dalaman itu. Antara inovasi lain yang dikatakan telah digunakan buat pertama kali oleh Al-Zahrawi dan kemudian menjadi amalan piawai dalam bidang pembedahan adalah penggunaan dakwat untuk menandakan bahagian tubuh pesakit yang hendak dibedah.

Halaman dari terjemahan Latin tahun 1531 oleh Peter Argelatta terhadap kitab Al-Zahrawi berkenaan alat perubatan dan pembedahan

Secara ringkas, Al-Zahrawi menghasilkan banyak sumbangan penting buat bidang perubatan, terutama pembedahan. Sebahagian inovasi yang dirintis oleh Al-Zahrawi masih digunakan sehingga ke hari ini, atau paling tidak, digunakan buat tempoh masa yang cukup lama. Hal ini membuktikan legasi berpanjangan Al-Zahrawi, walaupun mungkin tidak ramai daripada kita yang menyedari hakikat tersebut.

DITERJEMAH DAN DIOLAH DARI:

Wu Mingren. (26 November 2015). Al-Zahrawi: The Legacy of the Father of Modern Surgery. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-writings/al-zahrawi-legacy-father-modern-surgery-004693


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.