Al-Musnid Dato’ Syeikh Haji Muhammad Fuad Bin Kamaludin al-Maliki ar-Rembawi merupakan seorang ulama kelahiran Kampung Chenong Chenkau, Rembau Negeri Sembilan. Syeikh Fuad dilahirkan pada 16 September 1974. Beliau merupakan ulama yang banyak menyumbang kepada umat Islam di Malaysia sehingga diberikan Anugerah Khas Maal Hijrah Negeri Sembilan 1427 Hijriyyah.

Selain berdakwah melalui lisan dan mengadakan pengajian untuk bentuk kader Islam, beliau juga bergiat aktif berdakwah melalui penulisan. Beliau merupakan seorang ulama yang paling aktif dalam dunia penulisan pada zaman ini di Malaysia. Beliau yang pernah dilantik menjadi Pengerusi Akidah Kerajaan Negeri Sembilan ini telah menulis kitab dan makalah sekitar 200 buah serta membentang pelbagai kertas kerja di serata negeri.

Beliau digelar al-Rembawi adalah kerana asal kelahirannya di Rembau manakala gelaran al-Maliki pula dianugerahkan oleh gurunya iaitu Abuya Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki iaitu seorang ulama Ahlul Bayt jalur Saiyidina Hassan di Mekah. Abuya Sayyid Muhammad memberikan gelaran ini kepada tiga orang ulama Nusantara yang beliau anggap sebagai anaknya sendiri iaitu Syeikh Fuad ar-Rembawi (Malaysia), Syeikh Fahmi ZamZam al-Maliki al-Banjari an-Nadwi (Indonesia) dan Syeikh Abdul Karim al-Maliki al-Fathani (Thailand).

Al-Maliki itu adalah gelaran bagi keluarga Abuya Sayyid Muhammad secara turun temurun kerana nenek moyangnya merupakan ulama besar mazhab Maliki di Mekah. Namun, ketiga-tiga ulama Nusantara ini tetap sahaja berpegang dengan mazhab Syafie sepertimana uruf Nusantara dalam bab Fiqh. Manakala dalam bab Akidah pula, mereka adalah bermazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah Asyairah Maturidiyyah dan berpegang dengan Tasawwuf Imam Junaid al-Baghdadi serta Imam al-Ghazali.

Sejak belum baligh lagi, Syeikh Fuad telah menjadi imam Solat Terawih di kampungnya itu. Syeikh Fuad gemar menghadiri majlis-majlis zikir yang dipimpin oleh Syeikh Rasyid bin Syeikh Muhammad Said al-Linggi di kampungnya. Syeikh Fuad telah mengambil ijazah Tarekat Ahmadiyyah daripada gurunya itu semasa berumur 8 tahun hingga tarbiyah Tasawwuf telah sebati dalam jiwanya. Beliau juga meminta bapanya menghantar beliau belajar di pondok-pondok pada musim cuti sekolah. Oleh itu, beliau dihantar oleh ke pondok al-Nuriyyah, Sungai Udang, Melaka untuk belajar agama dan Bahasa Arab.

Dari segi pengajian formal, Syeikh Fuad mendapat pendidikan awal di sekolah rendah di Rembau sebelum menyambung pengajian di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan. Selepas SRP, beliau menuntut ilmu di Maahad Ahmadi lalu mendapat keputusan cemerlang dalam Thanawi. Selepas SPM, beliau menuntut ilmu di Madrasah al-Nahdah al-Hassanah, Kedah untuk lebih mendalami pengajian Agama dan Bahasa Arab dengan guru-guru pondok di sana. Di sana, beliau belajar dengan Dato’ Mursyid DiRaja Syeikh Tajuddin yang merupakan bekas Pengerusi Ahli Majlis Fatwa Malaysia.

Selepas STAM, Syeikh Fuad melanjutkan pengajiannya ke Mesir ketika berusia 19 tahun. Semasa berada di Mesir, beliau belajar di maahad selama setahun sebelum menyambung pengajiannya di Universiti al-Azhar dalam bidang Syariah dan Undang-Undang sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang dengan keputusan Jayyid Jiddan. Syeikh Fuad amat gigih melaksanakan perjalanan ilmiah ke serata dunia untuk bertemu para ulama dan mengambil sanad-sanad keilmuan terutama dalam Hadis dan Tasawwuf sehingga beliau digelar al-Musnid. Antara ulama yang menjadi guru beliau sepanjang perjalanan ilmiahnya adalah :-

MALAYSIA
– TG Ibrahim bin Dahan
– TG Abdul Wahid bin Uthman
– TG Tajuddin bin Abdul Rahman
– TG Abdullah bin Sijang
– TG Nawawi bin Hassan
– Sahibus Samahah Hassan bin Sail
– TG Abdullah bun Abdul Rahman
– TG Ahmad bin Muhammad Aji

INDONESIA
– Habib Soleh al-Aydarus
– Syeikh Abdul Hamid al-Makki
– Syeikh Abdul Karim al-Banjari al-Makki

SINGAPURA
– Sayyid Ahmad Semait
– Syeikh Ahmad Sonhaji
– Syeikh Haji Muhammad Said
– Syeikh Abdul Rasyid bin Muhammad Said

MESIR
– Syeikh Ali Jumuah (Mantan Mufti Mesir)
– Syeikh Abdullah al-Syura
– Syeikh Mahmud al-Adawi
– Syeikh Hussein al-Darwisyi
– Syeikh Wajihuddin al-Turki
– Syeikh Muhammad Ibrahim al-Asymawi
– Syeikh Abdul Ghani bin Soleh al-Jaafari
– Syeikh Judah al-Mahdi al-Husseini
– Syeikh Abdul Salam Abul Fadhl al-Hassani
– Syeikh Ahmad Umar Hasyim
– Syeikh Mahmud Said Mamduh
– Sayyid Mustafa bin Ahmad al-Syarif
– Sayyid Ma’mun bin Sayyid Abdul Qadir
– Sayyid Idris bin Sayyid Mustafa
– Sayyid Idris bin Abdul Rahim al-Idrisi
– Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Kattani
– Syeikh Usamah Said
– Syeikh Saad Jawish
– Syeikh Ismail bin Sodiq al-Adawi
– Syeikh Saad Badran
– Syeikh Ahmad bin Darwish

MEKAH
– Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki
– Sayyid Ahmad bin Muhammad al-Maliki
– Syeikh Umar Abdullah Kamil
– Syeikh Ali Qaddur al Madani
– Habib Umar Hamid al-Jailani

DUBAI
– Syeikh Isa bin Abdullah al-Himyari
– Syeikh Ahmad Muhammad Nur Saif

SYRIA
– Syeikh Muhammad Muti’ al-Dimasyqi
– Syeikh Khalaf Muhammad al-Halabi
– syeikh Hussein So’biyyah

YAMAN
– Habib Umar bin Hafiz
– Habib Ali al-Jufri
– Syeikh Ali Hamid Ahmad Abduh Hassan

SUDAN
– Sayyid Mustafa bin Idris al-Hassani
– Sayyid Ibn Idris al-Hassani al-Idrisi
– Sayyid Abdul Wahhab al-Tazi al-Idrisi
– Sayyid Ahmad bin Idris al-Hassani
– Sayyid Muhammad bin Idris al-Hassani
– Sayyid Mujadidi al-Hassani al-Idrisi

MAGHRIBI
– Syeikh Faruq Hamadah
– Syeikh Muhammad bun Kiran

TUNISIA
– Syeikh Mukhtar as-Salami

Selepas tamat pengajian, Syeikh Fuad pulang ke tanah air untuk menyebarkan ilmu pengetahuannya kepada masyarakat terutama di Negeri Sembilan. Beliau mengajar kitab-kitab Turath secara Talaqqi bersanad. Pada tahun 1998, Syeikh Fuad mengasaskan sekolah Menengah Agama Rakyat yang dinamakan Maahad at-Taufiqi Dato’ Abdullah dengan bantuan rakan-rakan seperjuangan dan penduduk setempat. Maahad ini dikunjungi oleh para ulama sama ada dalam mahupun luar negara untuk aktiviti ilmiah. Ramai pelajar dari Maahad ini kemudiannya berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar.

Pada tahun 2003, Syeikh Fuad dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan oleh Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan. Pada awalnya beliau menolak jawatan ini kerana berasa tidak layak. Namun, atas rasa kasih, adab dan hormat terhadap gurunya iaitu Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, akhirnya Syeikh Fuad menerimanya. Beliau juga kemudiannya dilantik menjadi Panel Temuduga Tauliah Mengajar Agama di Negeri Sembilan. Begitulah tawaduknya sikap seorang ulama rabbani.

Pada 17 Februari 2004, Syeikh Fuad menubuhkan Yayasan Sofa. Selain menjadi pengasas, beliau merupakan pengerusi Yayasan Sofa ini. Yayasan Sofa merupakan sebuah NGO yang tidak berasaskan keuntungan. Ia ditubuhkan dengan tujuan menyebarkan ilmu kepada masyarakat di era modenisasi melalui dakwah, pendidikan dan kebajikan. Asalnya, Yayasan Sofa hanya berpusat di sebuah surau kecil yang terpencil. Namun kini, Yayasan Sofa telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Yayasan Sofa telah berkembang pengaruhnya sehingga ke Indonesia, Brunei, Mekah, Madinah, Mesir, Sudan, Maghribi dan United Kingdom. Yayasan Sofa telah dikurniakan kekuatan dan kejayaan dalam membangunkan institusi-institusi pendidikan serta penyelidikannya di Malaysia, Indonesia, Mesir dan Maghribi yang terdapat pusat pendidikan tertua di dunia iaitu Qal’ah Ilmu Qarawiyyin. Yayasan Sofa telah semakin berkembang besar. Antara bahagian terpenting dalam Yayasan Sofa adalah Sofa Education Group yang menaungi pelbagai institusi pendidikan tersendiri untuk pelbagai peringkat pengajian iaitu :-

– Kolej Islam as-Sofa (KIS)
– Sekolah Tinggi Islam as-Sofa (STIAS)
– Darul Quran Wal Hadith (DAQWAH)
– As-Sofa Centre Of Excellence
– Maahad Tahfiz as-Sofa
– Maahad Turath as-Sofa
– Tahfiz Rendah as-Sofa
– Tadika Aulad as-Sofa

Bahkan, Kolej Islam as-Sofa telah menandatangani Memorandum Persetujuan dengan Universiti Mohammed V pada 10 Disember 2012 dan Universiti al-Qarawiyyin iaitu Universiti tertua di dunia pada 16 Julai 2014. Kedua-dua buah universiti yang terletak di Maghribi ini telah bersetuju mengurniakan kepada Kolej Islam as-Sofa Kursi Pengajian Islam Kolej Islam as-Sofa yang merupakan sebuah institut penyelidikan Kolej Islam as-Sofa di universiti-universiti tersebut. Di antara peranan Kursi tersebut adalah:

– Mengadakan nadwah dan syarahan di bawah institut berkaitan penyelidikan dan ilmiah.
– Menerbit dan berkongsi buku-buku dan bahan rujukan dalam usaha mengukuhkan ilmu dan pengetahuan Islam.
– Perkongsian tenaga pengajar dalam pertukaran ilmu di kedua belah pihak.

Selain itu, Yayasan Sofa juga mempunyai Bayt al-Hikmah iaitu sebuah pusat penyelidikan khazanah Islam yang berperanan mengumpul, menyelenggara dan mengemaskini koleksi bahan-bahan rujukan bacaan dan audio visual yang berkaitan dengan Islam dan ilmu lain mengikut keperluan semasa. Ia juga mencetak semula dan menterjemah manuskrip lama yang berbahasa Arab dan Melayu, serta menerbit buku-buku dan artikel-artikel bagi menjelaskan isu-isu penting yang menjadi persoalan di kalangan umat. Terdapat tiga lokasi Bayt al-Hikmah iaitu di Rembau (Malaysia), Kaherah (Mesir) dan Rabat (Maghribi).

Bayt al-Hikmah ini memiliki perpustakaan yang sangat besar dan cantik serta menyimpan pelbagai kitab untuk dikaji. Seterusnya, Yayasan Sofa juga sering melakukan Program Ziarah Ilmiah ke Universiti al-Zaytuna, Tunisia iaitu antara universiti paling bersejarah dalam Islam selain al-Qarawiyin dan al-Azhar. Program ini adalah untuk para pelajar peringkat menengah merasai pengalaman suasana pembelajaran peringkat tertinggi serta mengenali budaya masyarakat tempatan. Program ini juga diadakan di Maghribi dan United Kingdom pada tahun 2019.

Dengan segala usaha dan kejayaan besar dakwah ini, Syeikh Fuad telah ditabal menjadi Khalifah Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah bagi wilayah Asia Tenggara. Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah ini diasaskan oleh Sayyid Ahmad bin Idris al-Fasi seorang ulama Sufi keturunan Rasulullah dari nasab Saiyidina Hassan. Tarekat ini memiliki beberapa jalur sanad antaranya melalui jalur cabang Sanusiyyah dan Mirghaniyyah atau jalur cabang atas cabang seperti Jaafariyyah serta Rasyidiyyah-Dandrawiyyah.

Tarekat Ahmadiyyah mula berkembang di Nusantara melalui jalur Rasyidiyyah-Dandrawiyyah yang dibawa oleh Tok Syafie di Kedah, Tuan Tabal, Mufti Wan Musa bin Tuan Tabal, Sidi Muhammad Azhari dan Tuan Haji Daud Bukit Abal di Kelantan serta Syeikh Muhammad Said Linggi, Syeikh Abdullah al-Linggi dan Syeikh Ahmad al-Linggi di Negeri Sembilan. Kisah lanjut tentang jalur ini boleh dibaca di https://www.facebook.com/100001728579660/posts/2428203340580595/?d=n

Jalur-jalur cabang ini semuanya dibawa oleh murid Sayyid Ahmad bin Idris. Manakala Jalur Induk bagi tarekat ini adalah melalui Sadah Adarisah atau ahli keluarga al-Idrisi sendiri. Mereka memelihara sanad asal bagi tarekat ini melalui pimpinan yang dilantik untuk memegang amanah. Pimpinan atau Khalifah Tarekat ini dipanggil sebagai Syeikh Umum yang mengetuai Jemaah Tarekat Ahmadiyyah seluruh dunia. Jalur induk melalui sanad emas tarekat ini adalah :-

– Nabi Muhammad Rasulullah
– Saiyidina Khidr alaihissalam
– Sayyid Abdul Aziz ad-Dabbagh
– Sayyid Abdul Wahhab at-Tazi
– Sayyid Ahmad bin Idris (Imam Tarekat)
– Sayyid Abdul Aal (Syeikh Umum Pertama)
– Sayyid Muhammad asy-Syarif(Syeikh Umum ke-2)
– Sayyid Muhammad al-Mirghani (Syeikh Umum ke-3)
– Sayyid al-Hassan al-Idrisi (Syeikh Umum ke-4)
– Sayyid al-Kamil al-Idrisi (Syeikh Umum ke-5)
– Sayyid Abdul Wahhab at-Tazi (Syeikh Umum terkini)
– Syeikh Fuad al-Maliki (Khalifah Asia Tenggara)

Sayyid Abdul Wahhab at-Tazi iaitu Syeikh Umum terkini memiliki Sanad Aliy (Tertinggi) dan menghimpunkan seluruh jalur yang wujud dalam Tarekat Ahmadiyyah ini. Sayyid Abdul Wahhab al-Tazi inilah yang memakaikan Khirqah Sufi iaitu Rida’ di bahu kepada Syeikh Fuad. Ini merupakan ijazah rasmi bagi perlantikan Khalifah-khalifah Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah.

Selain itu, Sayyid Abdul Wahhab al-Tazi telah meriwayat dan mengijazahkan kitab nendanya Sayyid Ahmad bin Idris berjudul Ruh as-Sunnah yang mengandungi 202 buah hadis dan telah ditahqiq serta ditakhrij oleh beliau. Pengijazahan dan pelantikan ini berlaku pada 16 Mac 2005 di Dewan Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia di Omdurman, Sudan.

Sebarang perkongsian maklumat dan soal jawab, jemput follow https://instagram.com/khairiasyraf_17

RUJUKAN
– Raudhah al-Muhaddithin, Zulhusni Mat Resat
– Laman Web Rasmi Yayasan Sofa
– Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Comments are closed.