Al-Mukhadramun: Sezaman Dan Beriman, Tapi Tidak Pernah Bertemu Rasulullah

735

Alhamdulillah, syukur pada Tuhan, kita masih lagi diberi kesempatan untuk terus bernafas memasuki dekad kedua millennium kedua dalam kalender Masihi (kalender Gregorian) ini. Mengikut kalender Hijrah pula, kita berada dalam pertengahan tahun 1441. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi kita akan menghampiri bulan Ramadan.

Artikel penulis yang pertama pada tahun ini ialah menyentuh perbincangan berkenaan golongan al-Mukhadramun, suatu kelompok generasi umat Nabi Muhammad S.A.W yang jarang kita ketahui secara umumnya. Al-Mukhadram mempunyai pengertian berbeza dalam bidang ilmu rijal hadith dan kesusasteraan Arab.

Dalam bidang ilmu rijal hadith, mereka adalah golongan manusia yang sezaman dan beriman dengan Nabi Muhammad S.A.W tetapi mereka bukan dalam kelompok para sahabat dan mereka juga bukan golongan para tabi’in (golongan yang sezaman dan berguru dengan para sahabat nabi). Ini kerana sungguhpun mereka hidup sezaman dengan baginda, beriman dengan baginda melalui dakwah para sahabat, tetapi mereka tidak pernah bertemu dengan baginda sepanjang hayat mereka.

Para ulama meletakkan golongan al-Mukhadramun dalam suatu kelompok dan tingkatan yang berlainan dengan para sahabat dan para tabi’in terutamanya dalam bidang periwayatan ilmu rijal hadith. Kedudukan mereka adalah “bawah” sedikit daripada para sahabat, tetapi “atas” sedikit daripada para tabi’in besar (Kibar at-Tabi’in). Walau bagaimanapun, secara umumnya para ulama yang menggolongkan mereka dalam kelompok tabi’in besar. Ini kerana syarat utama seseorang individu itu boleh dikategorikan sebagai sahabat Rasulullah S.A.W ialah individu tersebut mesti seorang muslim, meninggal dunia dalam keadaan Islam dan pernah bersemuka secara langsung dengan baginda ketika hayat baginda.

Dua orang mukhadram yang masyhur dalam sirah Rasulullah S.A.W ialah an-Najasyi iaitu Raja Habsyah dan Uwais al-Qarni. Sebenarnya terdapat ramai golongan mukhadramun yang dikelompokkan oleh para ulama, sehingga jumlah mereka mencecah seramai 40 orang. Bahkan dalam sesetengah perbahasan para ulama, bilangan mereka mencapai hampir 90 orang.

Ahli hadith dan ahli bahasa berbeza pandangan berkenaan golongan al-Mukhadramun. Bagi ahli hadith, al-Mukhadramun secara umumnya ialah muslim yang hidup pada zaman Jahiliyyah dan selepas kerasulan Rasulullah SAW tetapi mereka tidak pernah melihat baginda. Bagi ahli bahasa pula, al-Mukhadramun ialah mereka yang hidup pada zaman Jahiliyyah dan ketika hayat Rasulullah SAW, tidak kiralah mereka itu sahabat ataupun bukan. Dalam bidang kesusasteraan Arab pula, al-Mukhadramun merujuk pada para penyair Arab yang sebelum keislamannya lagi pada zaman Jahiliyyah adalah seorang penyair dan kekal aktif sebagai seorang penyair selepas keislaman mereka. Sebagai contoh dua orang sahabat Rasulullah S.A.W yang bernama Hassan bin Tsabit dan Ka’ab bin Zuhayr R.A. Mereka berdua menyebarkan dakwah melalui syair-syair mereka setelah keislaman mereka.

Artikel ini membincangkan golongan Mukhadramun dari sudut pandang ahli hadith. Antara individu yang dikategorikan sebagai al-Mukhadramun ialah seperti al-Ahnaf bin Qays, al-Aswad bin Yazid, Abu ‘Amr asy-Syaibani, Abdullah bin Ukaym dan Sa’ad bin Iyas. Ada dalam kalangan mereka yang diketahui perihalnya oleh Rasulullah S.A.W melalui perkhabaran wahyu seperti Uwais al-Qarni.

Uwais bin ‘Amir al-Qarni berasal dari Yaman dan merupakan seorang anak yang begitu soleh menjaga ibunya yang lanjut usia. Rasulullah S.A.W bersabda kepada sahabatnya supaya mereka meminta supaya Uwais mendokan keampunan mereka kepada Allah S.W.T disebabkan ketaatannya. Atas saranan Rasulullah S.A.W tersebut, Umar ibn al-Khattab R.A sendiri bertemu dengan Uwais dan meminta supaya didoakan beliau. Uwais tidak pernah ke Madinah bertemu Rasulullah S.A.W kerana begitu taat menjaga ibunya di kampung halamannya. Beliau syahid terkorban dalam Peperangan Siffin ketika zaman pemerintahan Ali bin Abi Talib R.A.

An-Najasyi atau nama sebenarnya ialah As-hamah bin Abjar adalah seorang Raja yang memerintah Habsyah, sebuah negeri yang pada masa kini terletak di negara Ethiopia. Baginda adalah seorang raja yang pertama memeluk Islam pada zaman Rasulullah S.A.W melalui para sahabat Rasulullah S.A.W yang berhijrah ke sana ketika kaum Musyrikin Makkah melaksanakan usaha pemulauan terhadap kaum Muslimin dan ahli keluarga baginda. Sebelumnya, an-Najasyi adalah seorang penganut agama Nasrani (Kristian). Atas perlindungan baginda, kaum muslimin yang memohon bantuan perlindungan daripada kerajaan baginda dilindungi daripada buruan kaum musyrikin Makkah yang mengejar mereka. Apabila Rasulullah S.A.W mengetahui akan kemangkatan baginda, Rasulullah S.A.W melaksanakan solat jenazah ghaib terhadapnya.

Terdapat seorang lagi daripada golongan Mukhadram yang mempunyai kisah yang menarik iaitu Imam Abu Muslim Abdullah bin Thuwab al-Khaulani. Beliau berasal dari Yaman, tetapi menetap di Syam. Beliau memeluk Islam ketika hayat Rasulullah SAW dan mempelajari Islam daripada ramai para sahabat. Hajat beliau untuk menemui baginda di Madinah tidak kesampaian kerana ketika tiba di Madinah, baginda telahpun wafat. Kisah menarik beliau diceritakan dalam Kitab Bustanul ‘Arifin karangan Imam Nawawi. Kisahnya begini:

Ketika hayat Rasulullah SAW lagi, telah munculnya beberapa orang yang mendakwa diri mereka sebagai seorang rasul yang diutuskan Tuhan. Antara kisah nabi palsu pada zaman baginda ialah kisah Musailamah al-Kazzab. Di Yaman, munculnya seorang nabi palsu bernama al-Aswad ibn Qays al-Insi. Beliau berjaya mempengaruhi ramai orang melalui sihirnya dan mempunyai ramai pengikut. Ketika itu, Abu Muslim telahpun memeluk Islam.

Abu Muslim dipaksa oleh al-Aswad mengakui dirinya adalah seorang rasul dan menafikan kerasulan Rasulullah SAW tetapi beliau berkeras tidak menurutinya. Al-Aswad kemudiannya memerintahkan pengikutnya membuat unggun api yang besar dan marak dan menghukum Abu Muslim dihukum mati dengan dibakar hidup-hidup. Ajaibnya, unggun api yang besar tersebut tidak membakar beliau malah beliau keluar daripada unggun api tersebut dengan selamat. Sama seperti mukjizat Nabi Ibrahim AS. Akhirnya beliau dihalau keluar dari Yaman dan menuju ke Madinah.

Berita karamah tersebut tersebar dengan cepat dan meluas sehingga sampai ke pengetahuan ‘Umar ibn al-Khattab dan Abu Bakar as-Siddiq RA. Apabila Abu Muslim tiba di Madinah, kedua-dua orang sahabat Rasulullah SAW tersebut menyambut beliau dengan gembira apabila mengetahui tentang dirinya.

Salah seorang Mukhadram yang agak kontroversi ialah Abu Ishaq Ka’ab bin Mati’ atau lebih dikenali sebagai Ka’ab al-Ahbar al-Himyari. Pada asalnya, beliau adalah seorang pendeta Yahudi yang amat disegani di Yaman ketika hayat Rasulullah SAW. Beliau memeluk Islam pada zaman pemerintahan Abu Bakar as-Siddiq RA dan merantau ke Madinah pada zaman pemerintahan ‘Umar bin al-Khattab RA. Oleh itu, kebanyakan ulama mengkategorikan belau sebagai golongan tabi’in.

https://www.thepatriots.store/store/pra-tempah/

Beliau banyak meriwayatkan kisah-kisah Isra’iliyyat dalam bidang hadith dan tafsir. Walaupun terdapat golongan ulama yang tidak menerima periwayatannya seperti Imam Bukhari dalam kitab sahihnya, tetapi ramai ulama hadith yang lain mengambil riwayat daripadanya yang mereka nilai Ka’ab sebagai seorang tabi’in yang tsiqah (terpecaya) dan ‘adalah (adil). Beliau meninggal dunia dalam usia yang begitu lanjut ketika zaman pemerintahan ‘Uthman bin ‘Affan RA.

Mukhadramun yang lain ialah seperti Suwaid bin Ghaflah yang menetap di Kufah dan tiba di Madinah ketika hari pengebumian Rasulullah SAW. Beliau seorang yang thiqah dan berguru dengan ramai sahabat Rasulullah SAW. Umurnya begitu lanjut kerana beliau hampir sebaya dengan Rasulullah SAW dan meninggal dunia melepasi zaman pemerintahan Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA (lebih seabad).

Dalam bidang periwayatan hadith, hadith yang diriwayatkan oleh golongan al-Mukhadramun dikenali sebagai Hadith Mursal, bermaksud hadith yang terputus periwayatannya kepada Rasulullah S.A.W tanpa melalui para sahabat. Ulama berbeza pandangan berkenaan status hadith Mursal. Sebahagian besar ulama hadith dan ulama feqah menolaknya kerana tanpa perantaraan para sahabat, manakala segolongan ulama menerimanya dengan bersyarat sepertimana pandangan empat orang Imam mazhab.

Golongan sahabat, Mukhadramun, tabi’in dan tabi’ tabi’in adalah golongan salafussoleh, iaitu golongan umat Rasulullah SAW yang terbaik. Ini kerana para sahabat iaitu golongan umat Rasulullah SAW yang terbaik dalam kalangan yang terbaik mendapat didikan secara langsung daripada baginda sendiri. Sedangkan golongan mukhadramun dan tabi’in mendapat didikan secara langsung daripada para sahabat, begitu juga golongan tabi’ tabi’in mendapat didikan secara langsung daripada para tabi’in.

Tapi tahukah anda, Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda: “Aku ingin bertemu dengan saudara-saudaraku.” Para sahabat baginda bertanya: “Bukankah kami saudara-saudaramu?” Baginda menjawab: “Kamu semua bukan saudara-saudaraku tetapi adalah sahabat-sahabatku, (apa yang aku maksudkan) saudara-saudaraku itu ialah mereka yang beriman kepadaku walaupun mereka tidak pernah melihatku.” (Hadith riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, yang dilaporkan oleh Anas bin Malik RA). Begitu rindunya baginda terhadap kita umatnya. Kita bagaimana?

Jom kita berselawat:

اللهم صل علی محمد وعلی آل محمد

 

RUJUKAN:

– Ahmad Musa Ali Soleh (Dr.), “Al-Mukhadramun min al-Muhaddithin wa Hukm Muriwayatihim,” Majallah asy-Syari’ah wa ad-Dirasah al-Islamiyyah, Bil. 14, Sya’aban 1430 H, Ogos 2009, hlm. 110-174.

– Ishak Hj. Sulaiman (Prof. Madya Dr.), “Isra’iliyyat dalam Pengajian Tafsir dan Sunnah, Jurnal Usuluddin, No. 1, Bil. 8, Disember 1998, hlm. 1-12.

– Hassan Sheikh Hussein Osman (Dr.), Ashamah ben Abjar, USA: Colombus, Ohio.

– Mohd. Faiz Othman, “Api Tidak Membakar Imam al-Khaulani,” dalam ruangan Agama, Berita Harian, 3 Oktober 2017, hlm. 83.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.