Al Kisah Saintis Memakan Cencurut

508

Apabila kita mendengar nama saintis gila, benda pertama yang terpampang di minda kita ialah manusia memakai kot makmal dengan rambut kusut masai. Point bonus sekiranya mukanya seperti Albert Einstein.

Perwatakan mahupun stereotype ini tak menghairankan apabila kita lihat kajian yang telah dibuat oleh ilmuwan ilmuwan terdahulu. Sebagai contoh, eksperimen anjing berkepala dua oleh Vladimir Demikhov dan Marshal yang menelan kultur H. pylori bagi membuktikan ulser perut berpunca daripada bakteria berkenaan.

Dalam kerangka masa lain, kita ada sepasang arkeologis yang menelan cencurut, tanpa sebarang kunyahan, atas nama sains.

Dalam kertas kajian yang ditulis mereka, bertajuk Human Digestive Effects on a Micromammalian Skeleton, Brien Crandall dan Peter Stahl cuba untuk melihat kesan penghadaman terhadap tulang temulang fosil. Dapatan ini mempunyai potensi terhadap bidang arkeologi berkaitan diet manusia. Seperti yang kita sedia maklum, korprolite, fosil tahi adalah dapatan yang amat penting dalam memahami kehidupan silam.

Sekiranya penyelidik ini bernasib baik, kadang kala ada fosil yang tersimpan baik dek keadaan semula jadi yang menghalang pereputan fosil seperti kawasan salju dan paya, sekaligus menyebabkan makanan dalam perut manusia/haiwan masih terjaga baik.

Ia tak diketahui siapa yang memakan cencurut tersebut, tapi yang pasti adalah antara mereka berdua sahaja yang makan haiwan berkenaan. Cencurut yang ditangkap oleh perangkap telah dimasak separuh masak dan kemudiannya ditelan terus tanpa kunyahan. Setelah itu, mereka melihat hasil produk penghadaman mereka (a.k.a tahi) untuk melihat sebarang tindak balas sistem penghadaman manusia terhadap bangkai cencurut.

Caranya adalah dengan mengumpul tahi pemakan sepanjang tiga hari selepas ditelan. Tahi tersebut kemudiannya dicuci dan ditapis bagi mendapat tulang temulang cencurut berkenaan. Apabila disusun kembali, tulang temulang tersebut adalah sepanjang 10.4 cm, sama dengan kepanjangan asal.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa tulang yang telah hilang. Antaranya, sebahagian daripada tulang kaki, 4 gigi geraham dan kesemua tulang jari telah hilang. Tengkorak cencurut berkenaan pula dikatakan mengalami kerosakan. Berkemungkinan besar tulang tulang tersebut telah dilarutkan oleh asid perut dan enzim, lantas menyebabkan kerosakan tersebut.

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Disebabkan kegilaan Crandall dan Stahl, mereka telah dianugerahkan Hadiah Nobel pada tahun 2013.

Tak, aku gurau je. Mereka menang Hadiah Ig Nobel bagi bidang arkeologi, anugerah Nobel versi parodi yang mendidik masyarakat melalui kajian yang aneh tapi menarik.

Aku rasa bagus juga mereka ni menang Hadiah Ig Nobel. Aku tahu mereka ni buat benda gila, tapi mereka juga buat aku terfikir sejenak tentang kerumitan proses penghadaman manusia. Memandangkan aku mahu menjadi seorang saintis, aku ada terfikir adakah aku akan menjadi gila seperti mereka?

Aku tak pasti, tapi apabila melihatkan content dan artikel pelik pelik yang aku selalu tulis, boleh jadi kebarangkaliannya sangat tinggi. Ah mampus aku.

RUJUKAN:

Crandall, B. D., & Stahl, P. W. (1995). Human digestive effects on a micromammalian skeleton. Journal of Archaeological Science22(6), 789-797.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.