Al-Kisah Raja Dadah Colombia – Si Pablo Escobar

0
4323
views

“Plata o plomo!” (duit atau peluru). Itulah falsafah yang dipegang oleh Pablo Emilio Escobar Gaviria semasa menjadi penjenayah narko-terroris yang paling kejam di atas muka bumi ini. Dalam keganasannya yang telah memberi masalah yang besar buat Republik Colombia pada ketika itu, mungkin ramai tidak tahu antara kisah menarik berkenaan Pablo Escobar.

Escobar pernah menuntut di Universidad Autónoma Latinoamericana tetapi tidak menghabiskan pengajiannya. Membesar dalam persekitaran yang dipenuhi dengan jenayah, Escobar bermula sebagai pencuri jalanan dan mencuri kereta. Beliau kemudiannya berjinak-jinak menjadi seorang penyeludup, penculik dan pemeras ugut. Beliau menjadi jutawan seawal usia 22 tahun hasil dari kegiatan jenayahnya.

Bermula pada awal 1970-an, Colombia menjadi tapak utama penyeludupan ganja, namun setelah bertemu dengan Mateo Moreno, seorang ahli kimia dari Chile yang memperkenalkan kokain kepada Escobar lantas membawa kerjaya penyeludupan Escobar kepada fasa baharu. Bermula dengan penyeludupan 5kg kokain pada hari pertama ke Miami, Amerika Syarikat, perniagaan Escobar semakin berjaya sehingga mencecah 60 tan sehari. Jika Escobar berjaya mendapat pulangan sebanyak RM540,000 dengan penyeludupan sebanyak 5kg, bayangkan pula keuntungan yang dijananya selepas menyeludup 60 tan kokain itu!

Kemasukan kokain ke pasaran Miami secara besar-besaran telah menjadikan bandaraya itu hampir musnah. Di antara tahun 1979 hingga 1984 dicatatkan sebanyak 3245 orang maut akibat berlakunya pertempuran antara pengedar dadah dan pasukan keselamatan. Balai Polis Daerah Dade terpaksa menyewa lori penyejuk dari syarikat tempatan bagi menyimpan mayat. Ini menyebabkan Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan yang sebelum itu hanya menumpukan kepada masalah marijuana terpaksa bertindak.

Keuntungan yang dijana oleh Meddelin Cartel yang dikepalai oleh Escobar semakin mencurah-curah sehingga mereka menjadi cuai dalam menyorokkan wang mereka. Nama Escobar pernah disenaraikan di dalam majalah Forbes sebagai orang ketujuh terkaya pada ketika itu dengan mempunyai aset mencecah USD 30 billion. Beliau membina zoo yang diberi nama Napoles yang dihuni oleh pelbagai spesis dari Afrika, melabur sehingga USD 1 juta hanya untuk menjinakkan burung himalaya untuk duduk kekal di atas sebuah pokok dan mempunyai sehingga 800 buah rumah dan villa. Duitnya ada terpaksa disorokkan di atas siling dan ditanam di dalam tanah. Dalam pada itu, beliau juga banyak mendekati golongan miskin di bandar Meddelin dan banyak memberi wang kepada mereka. Sekolah, gereja dan pusat komuniti dibina olehnya dan pasukan bolasepak tempatan juga didanai oleh beliau. Dalam sebulan, Escobar membelanjakan sebanyak USD 2,500 (RM11,000) hanya untuk membeli getah bagi mengikat wang beliau!

Sejak kecil lagi, Escobar memberitahu keluarga dan rakan-rakannya bahawa dia ingin menjadi presiden Colombia satu hari nanti. Beliau kemudiannya menyertai Parti New Liberal sebagai calon ganti kepada Jairo Ortega dan menang besar di dalam pilihanraya. Selepas menang, Ortega meletak jawatan dan memberi laluan kepada Escobar untuk menyertai kongres.

Keputusan Escobar melibatkan diri di dalam politik merupakan kesilapan besar yang pernah dilakukannya. Beliau yang berada di dalam radar Drug Enforcement Agency (DEA) sejak dari awal 70-an lagi telah dikorek sejarah silamnya. Gambar semasa penangkapan pertamanya diserahkan kepada Menteri Kehakiman, Rodrigo Lara Bonilla. Lara kemudiannya mendesak Escobar supaya meletak jawatan. Menyedari impiannya untuk menjadi presiden sudah terkubur, Escobar kemudiannya mengisytiharkan perang terhadap kerajaan. Rodrigo Lara Bonilla ditembak di dalam kenderaannya di Bogota. Kerajaan bertindak balas dengan menyerbu kediamannya serta makmal-makmal pemprosesan dadah miliknya dan mula membuat tangkapan terhadap pengikut-pengikutnya.

Escobar semakin mengganas dengan menjalinkan kerjasama dengan gerila komunis M19 bagi menawan Istana Kehakiman di Bogota. Dalam serangan itu seramai 100 orang dijadikan tebusan memaksa polis dan tentera menyerbu semula menggunakan kenderaan berperisai. Berpuluh-puluh nyawa termasuk hakim-hakim, dan sebahagian besar anggota M19 terkorban tetapi gerila berkenaan berjaya memusnahkan bukti-bukti dan dokumen berkaitan siasatan terhadap Escobar yang tersimpan di dalamnya.

Selepas insiden berkenaan Amerika Syarikat menyalurkan bantuan dari segi kelengkapan dan perisikan bagi menangkap Escobar. Kerajaan Colombia menegaskan kartel-kartel yang menyeludup dadah ke AS akan diekstradisi dan menjalankan hukuman di penjara AS. Escobar kemudiannya melarikan diri ke Panama bersama rakan-rakan kongsinya dan mengarahkan calon presiden, Luis Carlos Galán Sarmiento yang menyokong ekstradisi dibunuh semasa kempennya.

Selepas pembunuhan Galan, calon pengganti César Augusto Gaviria Trujillo menjadi sasaran seterusnya. Pada tahun 1990, pesawat Avianca 203 yang sepatutnya dinaiki oleh Gaviria diletupkan menghasilkan korban seramai 107 orang. Gaviria terselamat kerana membatalkan perjalanan beliau pada saat akhir. Peristiwa pengeboman itu menimbulkan simpati pada kalangan rakyat seterusnya memberi kemenangan besar kepada Gaviria pada pilihanraya tahun itu. Kemenangan Gaviria membuatkan usaha penangkapan terhadap Escobar ditingkatkan.

Escobar bagaimanapun tidak mengalah dan mengubah modus operandinya dalam menekan kerajaan. Sejurus pulang dari Panama, beliau mengarahkan pengikut-pengikutnya menculik anak-anak orang kenamaan kerajaan Colombia. Antara tuntutannya ialah beliau rela menyerah diri dan berhenti melakukan keganasan dengan syarat penjara yang bakal menghukumnya dibina olehnya sendiri!

Kerajaan Colombia pada mulanya tidak mengendahkan tuntutan itu dan mengarahkan pasukan polis menjalankan usaha menyelamat. Malang tidak berbau apabila wartawan terkenal yang merupakan salah seorang tebusan, Diana Turbay Quintero terbunuh semasa serbuan oleh pihak polis. Liputan luas media tentang kematian Diana yang tertembak secara tidak sengaja oleh pihak polis memberi tekanan hebat kepada Presiden Gaviria lantas akur kepada tuntutan yang dibuat oleh Escobar.

La Catendral merupakan nama penjara yang dihuni oleh Pablo Escobar. Di dalam syarat yang ditetapkan olehnya, pihak polis dan tentera tidak boleh berada di dalam lingkungan 3km dari penjara berkenaan. Pengawal keselamatan pula terdiri daripada pembunuh upahan yang dilantik olehnya sendiri. Escobar menjadikan penjara itu sebagai kubu dan ‘tempat percutian’ untuk diri dan konco-konconya. Di samping perniagaan penyeludupan masih dikawal oleh beliau dari dalam penjara, ‘kubu’ itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti padang bola, mesin perjudian, jakuzi, meja snuker, senjata api dan penyeludupan makanan mewah serta pelacur-pelacur dari luar.

Pembunuhan dua rakan kongsi Escobar, Kiko Moncada and Fernando Galeano telah menamatkan ‘percutian’ beliau di La Catedral. Berita pembunuhan yang tersebar itu membuatkan kerajaan Colombia menarik semula perjanjian dan mengarahkan hampir 600 tentera Colombia disertai oleh delta force dan seal team menyerbu penjara tersebut, walaubagaimanapun beliau berjaya melarikan diri melalui terowong rahsia.

Kerajaan Columbia melancarkan semula operasi besar-besaran bagi mencari Escobar dan kali ini berazam mahu membunuhnya. Escobar bertindak balas dengan mengupah remaja bawah umur di sekitar Meddelin untuk membunuh anggota-anggota polis di sekitar bandar berkenaan dengan menyelinap di belakang mereka.

Peperangan di antara Escobar dengan kerajaan ini sebenarnya melemahkan kedudukan dan fokus beliau. Kartel Cali, pesaing utama Meddelin Cartel secara senyap telah merampas pasaran kokain Escobar di Miami. Dengan meletakkan caj perdamaian yang tinggi bernilai puluhan juta dollar kepada Kartel Cali, ramai pengedar mula berpaling tadah dan memberi maklumat kepada kerajaan tentang kedudukan makmal-makmal pemprosesan dadah milik Escobar termasuk tempat persembunyiannya. Serbuan demi serbuan dilancarkan menyebabkan ramai pengikutnya ditangkap dan terbunuh. Pada satu ketika semasa persembunyiannya, Escobar terpaksa membakar wang sebanyak USD 2 juta hanya untuk menghangatkan anak perempuannya pada waktu malam. Keadaan bertambah teruk buat Escobar apabila munculnya kumpulan vigilante, ‘Los Pepes’ yang dipercayai didanai oleh CIA bagi memburu Escobar. Ramai pengikut-pengikutnya terbunuh dan mayat mereka dicampak di sekitar bandar.

Berikutan serangan bertali arus dari pelbagai sudut, Escobar terpaksa mengarahkan ibu, isteri dan dua orang anaknya melarikan diri ke luar negara bagi menyelamatkan nyawa mereka namun mereka berjaya ditahan oleh pihak berkuasa. Escobar menulis surat kepada Ketua Hakim negara dan mendesak supaya keluarganya dibebaskan namun tidak berhasil. Dengan kedudukan beliau yang semakin lemah, kerajaan menggunakan kesempatan itu menekan Escobar dengan lebih hebat.

Pada 2 Disember 1993 sehari selepas hari lahir Escobar, Hugo Martínez, pegawai polis dari cawangan perisikan berjaya memintas panggilan telefon yang dibuat Escobar terhadap isterinya. Satu serbuan dilancarkan oleh pasukan polis ‘Search Bloc’ yang ditubuhkan khas untuk memburu Escobar disertai oleh Ejen Steve Murphy dari DEA. Serbuan itu berhasil menemui Escobar dan berlaku pertempuran yang meragut nyawanya. Ejen Murphy mendakwa beliau orang yang pertama menembak Escobar. Serbuan itu menamatkan serta-merta usaha pemburuan selama 16 bulan selepas Escobar berjaya melarikan diri dari La Catedral dan menelan kos sebanyak ratusan juta dollar.

Keluarga Escobar kemudiannya dibebaskan pihak berkuasa dan bermastautin di Mozambique dan kemudiannya di Argentina menggunakan nama samaran. Di Meddelin pula, golongan miskin tetap mengabadikan nama Escobar di sekitar bandar berkenaan hasil dari sumbangannya kepada penduduk. Mereka menggelarkannya ‘Robin Hood Paisa

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.