Al-Kisah Malaysia, UAE Dan Delegasi Israel

205

Seperti Malaysia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga tidak mengiktiraf Israel. Mereka juga tidak mengiktiraf passport Israel, malah tiada sebarang hubungan diplomatik langsung dengan Israel. Hubungan mereka dengan Israel adalah terhad.

Seperti Malaysia, UAE juga turut membantu Palestin dalam membela kebajikan masyarakatnya yang dihimpit kezaliman rejim Zionis. Bantuan perubatan, makanan dan pendidikan yang disediakan UAE jika tidak sama, mungkin lebih banyak dari yang disumbangkan Malaysia ke Palestin untuk tujuan yang sama.

Namun dengan mengatakan yang ini, seperti Malaysia, UAE juga memiliki hubungan perdagangan secara tidak langsung dengan Israel. Hubungan melalui badan-badan sukan juga majlis Olimpik atau FIFA misalnya masih berlangsung di peringkat antarabangsa.

Dari segi hubungan antarabangsa, UAE juga menyertai PBB, sama seperti Malaysia malah sama juga dengan Israel. Keahlian ketiga-tiga negara ini tertakluk kepada keperluan PBB, diiktiraf sebagai ahli PBB sehingga hari ini. Diplomat ketiga-tiga negara masih tetap berhubung di meja bulat PBB misalnya, menyokong atau menolak usul yang sama dimana perlu.

UAE akan tetap didatangi malah menerima kehadiran warga Israel di bawah tiket PBB ke negara mereka. Ia konsep sama ketika Malaysia menghantar pengaman ke negara-negara konflik yang sedang bergolak, sekalipun ditentang rejim yang berkuasa, mereka sekalipun tidak dapat menghalang bantuan pengaman, apatah lagi delegasi yang bekerja dengan PBB ke negara mereka.

Ia perlu demi menjaga reputasi dan nama baik negara di mata badan dunia tersebut.

Ia sama sekali tidak mengorbankan prinsip dan asas pegangan sebagai negara yang tidak mengiktiraf sebuah negara bernama Israel.

Bantuan yang telah diberi kepada Palestin sejak sekian lama tetap diteruskan, Israel tetap tidak akan diiktiraf baik oleh Malaysia dan UAE.

Semua tahu WUF tahun ini tuan rumah adalah Kuala Lumpur, 2020 nanti akan menyaksikan WUF UN-Habitat akan bertempat di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selaku tuan rumah.

Kontroversi dan konflik prinsip dan keperluan yang dihadapi Kuala Lumpur beberapa hari lalu berkaitan kehadiran warga Israel ketika WUF lalu akan turut berulang di Dubai, atas sebab yang sama.

Kerana seperti Malaysia, UAE juga akan menerima permohonan dan didatangi warga Israel yang bertugas dan mewakili PBB ke Dubai sepanjang mereka menjadi tuan rumah WUF 2020 nanti.

Yang jelas dan lebih penting, dunia tidak berputar di sekeliling UAE, mahupun sekeliling Malaysia semata-mata.

 

Anda mungkin juga berminat

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.