Al-Hakim: The Mad Caliph

213

Dinasti Fatimiyyah merupakan dinasti pimpinan Syiah Ismailliyah yang menguasai sebahagian daripada dunia Islam daripada tahun 909 sehingga 1171 S.M. Dinasti Fatimiyyah merupakan pesaing kuat Dinasti Abbasiyyah dan pernah berjaya menakhluki sebahagian besar kawasan di Afrika Utara meliputi sehingga Syria dan Hijaz. Pemerintah Fatimiyyah mendakwa berasal daripada keturunan Saidatina Fatimah r.a, anak perempuan Rasulullah S.AW. Pusat pemerintahan dinasti tersebut sentiasa berubah sehingga akhirnya mereka memilih Kaherah, Mesir mulai tahun 969 SM.

Pada tahun 996 S.M, seorang remaja berusia 11 tahun bernama Abu Ali Mansur Tariq Hakim telah diangkat menjadi khalifah pemerintah Fatimiyyah yang keenam sejurus setelah kematian bapanya Khalifah Al-Aziz.   Seperti kebiasaan pada zaman tersebut, pemerintah yang dilantik sewaktu usia muda akan dibantu oleh mentor yang bertindak sebagai penasihat. Abu Ali Mansur Tariq Hakim menggunakan gelaran Al-Hakim dan berikutan usianya yang masih muda, beliau dibantu oleh gurunya yang bernama Barjuwan.

Barjuwan menguasai pemerintahan secara proksi dan apabila pengaruhnya terlampau kuat, Al-Hakim yang pada ketika itu berusia 15 tahun telah mengatur pembunuhan Barjuwan. Tindakan Al-Hakim menerima bantahan warga Kaherah, tetapi Al-Hakim berhasil mengukuhkan kekuasaannya dengan menyeksa dan membunuh ramai pembesar yang cuba mencabarnya.

Al-Hakim adalah seorang Syiah Ismailiyah yang fanatik dan menjadikan penyebaran mazhab tersebut sebagai matlamat utama pemerintahannya. Di bawah arahan beliau, orang Islam bermazhab Sunni dan penganut Kristian dan Yahudi menerima penindasan yang teruk. Rakyat termasuk yang tidak beragama Islam dilarang daripada meminum arak. Nyanyian dan alatan muzik juga tidak dibenarkan.

Kemuncak kekejaman Al-Hakim adalah apabila beliau mengarahkan pemusnahan gereja dan sinagog serta memaksa penganut agama lain masuk Islam. Tindakan Al-Hakim ini merupakan antara punca pemerintah Kristian di Eropah melancarkan Perang Salib, lebih-lebih lagi apabila gereja suci Kristian di Baitulmaqdis turut dimusnahkan. Ilmuwan Barat menggelarkannya ”Mad Caliph” 

Walaupun begitu, Al-Hakim juga giat menggalakkan pengembangan ilmu pengetahuan. Sebagai contoh, atas usahanya, Dar Al-Hikmah yang bermula sebagai sebuah perpustakaan menjadi universiti yang menarik ramai ilmuwan daripada serata tempat. Dar Al-Hikmah dikatakan mempunyai 40 buah rak buku dan setiap rak buku dikatakan boleh memuatkan kira-kira 18,000 buah buku. 

Al-Hakim berupaya mewujudkan hubungan diplomatik dengan pemerintahan Dinasti Song di China dan empayar Byzantine. Konflik di antara tentera Al-Hakim yang berbangsa Turki dan Barbar juga berjaya dikawal oleh Al-Hakim. Pada tahun 1011 S.M, sebagai reaksi terhadap dominasi Al-Hakim, pemerintah Abbasiyyah akhirnya mengisyhtiharkan bahawa keturunan pemerintah Fatimiyyah bukan berasal daripada Saidatina Fatimah. Sepanjang pemerintahannya, Dinasti Fatimiyyah tidak mengalami sebarang kehilangan wilayah di Afrika Utara, walaupun menerima cabaran hebat oleh pemerintah Abbasiyyah dan Qarmatiyah. 

Pada beberapa tahun dalam penghujung pemerintahan beliau, Al-Hakim mula sentiasa bersendiri, di samping menunjukkan kelakuan pelik dan mengeluarkan arahan yang tidak masuk akal. Antaranya, beliau mengarahkan pengharaman permainan catur dan semua anjing di Kaherah dibunuh. Wanita dilarang daripada memakai barang kemas dan seterusnya dilarang pergi ke tempat mandi awam, sehinggalah beliau turut memerintahkan tukang kasut supaya berhenti membuat kasut untuk wanita bagi memastikan mereka tidak keluar daripada rumah. Setiap cubaan untuk memberontak dihentikan dan Al-Hakim turut membunuh pegawainya sendiri apabila perlu.

Mulai tahun 1017 S.M, seorang ahli sufi daripada Asia Tengah mula menyebarkan dogma yang meletakkan Al-Hakim sebagai Tuhan. Ahli sufi tersebut dibunuh tetapi ajaran tersebut diteruskan seorang lagi ahli sufi yang berbangsa Farsi. Al-Hakim bertindak menyokong ajaran berkenaan walaupun menerima tentangan rakyat yang tidak bersetuju dengan fahaman syirik tersebut.

Kemarahan rakyat gagal mengubah pendirian Al-Hakim. Pada tahun 1020 S.M, Al-Hakim memberikan kebenaran kepada hamba dan tenteranya yang berbangsa Afrika untuk merampas harta dan membakar rumah penduduk Kaherah. Kegilaan tersebut hanya terhenti apabila tentera yang berbangsa Barbar dan Turki memutuskan untuk menyokong penduduk. 

Pada Februari 1021 S.M, Al-Hakim yang telah berusia 36 tahun bersendirian menunggang keldainya ke arah kawasan bukit di selatan Kaherah. Beliau hilang begitu sahaja tanpa sebarang kesan. Usaha pencarian berakhir dengan penemuan keldai dan bajunya yang berlumuran darah. Pemerintahan Fatimiyyah diteruskan oleh anaknya sehinggalah Dinasti Fatimiyyah berakhir pada tahun 1171 S.M dan digantikan oleh gerakan yang diketuai oleh Nuruddin Al-Zinki yang seterusnya akan diganti oleh Salahuddin Al-Ayyubi, pemimpin yang bertanggungjawab membebaskan Baitulmaqdis daripada tentera Salib.

Kehilangan Al-Hakim secara misteri menyebabkan pengikutnya percaya bahawa beliau akan kembali pada akhir zaman bagi membawa keamanan kepada dunia.

Ahli sufi berbangsa Farsi yang sebelum ini menyebarkan ketuhanan Al-Hakim pula melarikan diri ke Syria dan memperluaskan ajarannya di situ. Pengikut ajaran tersebut berkembang dan kini wujud sebagai golongan Druze, salah sebuah kumpulan minoriti utama di Timur Tengah, khususnya Syria, Lubnan dan Israel.

Artikel kiriman Muhammadk untuk The Patriots.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.