Pada Zaman Keemasan Islam, muncul ramai polymath yang mahir dalam pelbagai bidang ilmu termasuk bidang falsafah. Mereka bukan saja mengharumkan nama Tamadun Islam tetapi legasi mereka terus berkekalan sehingga ke hari ini. Dalam bidang falsafah, ada seorang cendekiawan ini diberi gelaran Guru Kedua selepas Aristotle diberi gelaran Guru Pertama. Orang yang dimaksudkan ialah al-Farabi.

Tidak diketahui tentang kesahihan kisah hidupnya kerana ia tidak direkodkan semasa hayatnya dan kebanyakan maklumat berdasarkan khabar angin atau tekaan sejarawan-sejarawan dulu dan sekarang. al-Farabi atau nama sebenarnya Abu Nasr Muhammad ibn Muhammad ibn Tarkhan ibn Awzalagh al-Farabi dikatakan lahir sekitar 872 Masihi di Farab. Tempat kelahirannya ini menjadi bahan perdebatan para sejarawan berikutan terdapat beberapa lokasi yang berkongsi nama Farab seperti Turkmenistan, Kazakhstan dan Afghanistan.

Begitu juga tentang isu bangsanya. Sesetengah pihak berpandangan al-Farabi berdarah Parsi dan pendapat ini diutarakan sejarawan Arab Ibnu Abi Usaibia. Ini berdasarkan dakwaan bapanya merupakan seorang pegawai tentera. Malah dalam kebanyakan karyanya, al-Farabi banyak menggunakan Bahasa Parsi, Sogdia dan Yunani.

Sementara Ibnu Khallikan dalam kitabnya al-Wafayat berpandangan beliau berdarah Turki tetapi dakwaan ini dilihat tidak kukuh. Manakala fahaman agamanya turut menjadi perdebatan di mana ada mendakwa al-Farabi merupakan seorang Syiah sementara beberapa sumber mengatakan beliau seorang sufi.

Yang pasti, kebanyakan kehidupannya dihabiskan di ibu kota kerajaan Bani Abbasiyyah ketika itu, Baghdad. Semasa kecilnya, al-Farabi telah didedahkan dengan pendidikan tradisional seperti tafsir al-Quran, hadis dan asas aritmetik. Beliau juga dikatakan mampu menguasai pelbagai bahasa seperti Bahasa Turki, Arab, Parsi dan Yunani.

Berdasarkan biografinya yang dikarang Ibnu Abu Usaibia, beliau berguru dengan filsuf Nasrani Yuhanna ibn Haylan dan filsuf berfahaman Nestoria Abu Bishr Matta ibn Yunus. Abu Bishr Matta juga merupakan salah seorang penterjemah karya-karya Aristotle ke Bahasa Arab. al-Farabi juga turut berguru dengan Ibnu al-Sarraj dalam soal nahu dan tatabahasa Arab. Antara pelajar al-Farabi yang terkenal ialah Ibnu al-Sarraj dan Adi bersaudara (Yahya dan Ibrahim bin Adi).

Beliau dikatakan menetap di Baghdad sehingga September 942 Masihi kerana ini direkodkan dalam nota-notanya untuk kitab Mabādeʾ ārāʾ ahl al-madīna al-fāżela. Kitab tersebut siap setahun selepas itu. Selain Baghdad, al-Farabi dikatakan pernah berkelana ke Tetouan, Maghribi, Mesir dan akhir sekali Halab (Aleppo), Syria.

Semasa di Mesir, beliau menghabiskan enam bahagian terakhir untuk kitab Mabade dari tahun 948 hingga 949 Masihi. Bila al-Farabi tiba di Syria atau lebih tepat Halab, beliau mendapat sokongan dan naungan Saif al-Dawla yang memerintah utara Syria ketika itu. Menurut catatan al-Mas’udi, lima tahun selepas menyiapkan kitab Tanbihnya, al-Farabi dikatakan berpindah ke Damsyik dan kembali ke rahmatullah pada bulan Rejab 339 H (antara 14 Disember 950 hingga 12 Januari 951).

Dalam bidang falsafah, tiada siapa yang dapat menyainginya terutama membabitkan Aristotle. Selepas kembali ke Baghdad, beliau dikatakan membaca De Anima dan Physics yang dikarang cendekiawan Yunani itu berpuluh-puluh kali untuk mendalami ilmu falsafah. Menurut Ibnu Khallikan dalam catatannya, “Saya (al-Farabi) telah membaca De Anima sebanyak 100 kali dan saya membaca Physics sebanyak 40 kali.” Semasa di Baghdad jugalah, beliau turut membantu usaha penterjemahan karya-karya Yunani ke Bahasa Arab dan memberi komentar terhadap teori-teori yang dibangkitkan mereka. Selain dua buku yang dinyatakan di atas, al-Farabi turut menterjemah dan mengulas karya-karya Yunani lain seperti Nicomachean Ethics, Republic, Almagest dan Universe.

Hasil daripada kajian mendalamnya terhadap karya-karya Yunani, ini membolehkan beliau menghasilkan kitab falsafah yang terkenal iaitu Kitab al-Jam Bayn Ra’yai al-Hakimayn aflatun al-ilahi wa Aristotalis. Kitab ini membicarakan perbandingan dua tokoh falsafah Yunani terkenal iaitu Plato dan Aristotle serta bagaimana menyesuaikan aliran pemikiran kedua-dua tokoh itu. Bukan calang-calang untuk tokoh sebegini dapat mengkaji akar ilmu falsafah itu sendiri.

Justeru, tidak hairanlah mengapa Imam al-Ghazali dalam kitabnya al-Munqidz min al-Dalal menyatakan hanya al-Farabi dan Ibnu Sina saja yang mempunyai kemahiran dalam aliran pemikiran falsafah Yunani. Tambah al-Ghazali lagi, kebanyakan usaha kajian orang lain didapati sebagai dangkal, bercampur-campur dan sukar difahami. Tetapi sayang seribu kali sayang. Kebanyakan hasil kerja dan komentar filsuf Islam terkenal itu hilang ditelan zaman.

Kebanyakan usaha penulisan karya-karya al-Farabi ini dikatakan sudah bermula semasa beliau berada di Harran (ketika itu al-Farabi berguru dengan Yuhanna). Dan ianya diteruskan semasa beliau tinggal di Baghdad, Mesir, Halab dan Damsyik sehinggalah usianya mencecah 80 tahun. Dengan erti kata lain, al-Farabi amat aktif menulis pelbagai karya-karya ilmu selama 40 tahun. Tetapi ini juga menimbulkan perdebatan dalam kalangan sejarawan bilangan sebenar buku yang dikarang filsuf terkenal itu. Selain isu karya-karya tersebut hilang ditelan zaman, wujud kekosongan dari segi rekod sejarah berkenaan perkara ini.

Ini menyebabkan para sejarawan berspekulasi bilangan karya yang dihasilkan beliau. Berdasarkan catatan Dr Abdul Halim Mahmud, al-Farabi dikatakan telah menghasilkan 118 buah kitab. Sementara M.M Sharif pula berpendapat bilangan yang dihasilkan al-Farabi ialah 100 buah buku. Beliau menambah, “al-Farabi telah menulis lebih daripada 100 buah kitab dan separuh daripadanya merupakan komentar dan kritikan terhadap topik-topik perbahasan terdahulu manakala bakinya merupakan topik diskusi-diskusi baru.” Ibnu Abi Usaibiah pula berpandangan jumlah sebenar karya yang dihasilkannya ialah 115 buah kitab. Antara kitab disiplin ilmu lain ialah Kitab al-Musiqa (muzik), Ihsa’ al-‘Ulum (sains), Al-Siyasah al-Madaniyah/Mabadi’ al-Mawjudat (falsafah politik) dan Kitab al-Huruf (bahasa).

Rajah 1: Salah satu alat muzik yang ditampilkan al-Farabi dalam Kitab al-Musiqa.
Rajah 2: Terjemahan Latin kitab Ihsa’ al-Ulum.

Kebanyakan hasil kerjanya mempunyai cerita tersendiri. Contohnya berkenaan Kitab al-Musiqa. Pada satu ketika, al-Farabi dijemput datang ke istana Saif al-Dawlah untuk tujuan berdiskusi dengan para ulama yang dijemput oleh penguasa Halab itu. Tatkala mereka berdiskusi, salah seorang daripada mereka berpendapat muzik tidak mempunyai sebarang manfaat kepada manusia. Untuk menyanggah hujah cendekiawan itu, al-Farabi meminta izin untuk bermain gambus di hadapan mereka.

Selepas mendapat izin Saif al-Dawlah, beliau mula memetik melodi muzik yang membuatkan ramai hadirin menitiskan air mata. Bila diminta menukar melodi lagu, al-Farabi memainkan pula lagu jenaka yang membuatkan ramai tidak kering gusi termasuk Saif al-Dawlah sendiri. Bila diminta menukar melodi lagu buat kali kedua, beliau memainkan lagu irama padang pasir yang membuatkan ramai terlelap. Selepas apa yang berlaku, penguasa Halab itu memuji kepintarannya dan mengurniakan hadiah yang banyak kepada al-Farabi.

Sementara dalam kitab al-Siyasat al-Madaniyyah dan al-Madinah al-Fadilah, al-Farabi menggabungkan bukan saja pengetahuan falsafah Yunani tetapi juga pengalaman sesebuah wilayah/negara semasa kembaranya. Dalam dua kitabnya itu, beliau menyifatkan konsep negara terbaik ialah konsep di mana ia diketuai oleh seorang insan yang terbaik dan kepayahan serta kesenangan yang dilalui oleh pemimpin dan rakyat hendaklah bersifat kolektif. Ini kerana negara itu boleh diibaratkan seperti tubuh badan manusia. Bila ia dalam keadaan baik terutama dari segi susunan organisasi dan usaha kolektif, maka semuanya akan menjadi baik dan sebaliknya.

al-Farabi turut berpandangan negara terbaik ialah negara yang dapat memberi peluang kepada ummahnya meraih kebahagiaan di dunia dan akhirat. Ini kerana negara sebegini mementingkan aspek kebahagiaan populasinya bukan saja di dunia bahkan di akhirat. Justeru, kesempurnaan dan kebahagiaan seharusnya menjadi matlamat utama pemerintah dalam konsep ini.

Dalam kedua-dua kitab itu juga, al-Farabi turut menolak sikap individualistik kerana tanpa kerjasama, sukar bagi sesebuah negara itu untuk bahagia secara bersama. Selain menekankan kepentingan bahagia, al-Farabi turut menyentuh kualiti kepimpinan negara terbaik, aspek kerjasama, komposisi rakyat negara terbaik dan perbezaan antara negara terbaik dengan negara-negara tidak terbaik.

Walaupun kebanyakan karyanya hilang ditelan zaman, legasi falsafahnya diteruskan oleh anak-anak murid beliau seperti Yahya bin Adi. Yahya atau nama kunyanya Abu Zakariya menurut jejak langkah gurunya sebagai penterjemah karya-karya Yunani. Selain itu, falsafahnya turut tersebar ke dunia Barat di mana sesetengah karyanya diterjemah ke pelbagai bahasa seperti al-Madinah al-Fadilah.

Di Jerman, Friedrich Dieterici menterjemah kitab itu dengan tajuk Der Munsterstaat Von al-Farabi. Sementara di Perancis pula, R.P Jansen, Yonssef Karam dan J. Chlala menterjemahkan kitab tersebut dengan tajuk Ides des habitats de la Cite Vertueuse. Hari ini, salah satu asteroid di rantaian asteroid dinamakan 7057 al-Farabi sebagai mengenang jasanya yang terlalu banyak kepada dunia ilmu.

RUJUKAN:

  1. Zakaria, Idris. (1985). Al-Farabi dan usahanya mengembangkan falsafah. Islamiyyat : Jurnal Antarabangsa Pengajian Islam; International Journal of Islamic Studies, 6 . pp. 43-56. ISSN 0216-5636. http://journalarticle.ukm.my/7579/1/2485-5089-1-SM.pdf
  2. Zakaria, Idris. (1995) Perbezaan negara baik dan tidak baik menurut Al-Farabi. Islamiyyat : Jurnal Antarabangsa Pengajian Islam; International Journal of Islamic Studies, 16 . pp. 33-47. ISSN 0216-5636. http://journalarticle.ukm.my/7636/1/3959-9049-1-SM.pdf

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.