Al-Battani: Saintis Islam Yang Namanya Diabadikan Pada Fiksyen Star Trek

6,965

https://bit.ky/kombowww

Namanya mungkin kurang dikenali berbanding nama-nama cendekiawan Islam yang lain seperti Ibnu Sina, Ibnu Rushd dan al-Khawarizmi. Tetapi jasanya kepada umat Islam dalam pelbagai disiplin ilmu termasuk ilmu astronomi terus harum sehingga ke hari ini. Jika tidak mengapa ada sesetengah pihak menggelarnya Ptolemy Dunia Arab. Ini sekaligus menunjukkan betapa signifikan jasa al-Battani kepada dunia ilmu pengetahuan moden hari ini.

Tidak diketahui kisah kehidupan sebenarnya. Nama sebenar beliau ialah Abū ʿAbd Allāh Muḥammad ibn Jābir ibn Sinān al-Raqqī al-Ḥarrānī aṣ-Ṣābiʾ al-Battānī. al-Battani dikatakan lahir di Harran berhampiran bandar Sanli Urfa, Turki hari ini. Bapanya merupakan seorang pembuat peralatan saintifik yang digunakan para cendekiawan ketika itu. Ada yang berpandangan pegangan agama al-Battani ialah as-Sabi, satu kumpulan agama yang menyembah bintang-bintang dan berpusat di Harran di mana bandar tersebut menjadi tumpuan ramai ilmuan ketika itu termasuk Thabit bin Qurra.

Namun, idea itu ditolak sekeras-kerasnya berdasarkan dua bukti iaitu nama Abdullah dan nama kunyanya iaitu Abu Abdullah. Ini menunjukkan al-Battani sebenarnya seorang Muslim. Sesetengah sejarawan Barat mendakwa beliau mempunyai darah keturunan diraja Arab tetapi dakwaan tersebut dipandang sepi berikutan tiada catatan berkenaan susur-galurnya yang direkodkan oleh periwayat-periwayat sejarah keturunan Arab.

Antara tahun 877 hingga 917/918 Masihi, beliau dikatakan menetap di Raqqa, Syria selama 40 tahun. Raqqa menjadi pilihan untuk al-Battani bermastautin kerana dirasakan tempat yang sesuai untuk membuat pemerhatian objek-objek cakerawala di angkasaraya. Beliau dikatakan kembali ke rahmatullah pada tahun 929 Masihi semasa dalam perjalanan pulang ke Baghdad ke satu kubu yang bernama Qasr al-Jiss yang terletak sama ada di Tikrit atau Samarra, Iraq hari ini.

Memandangkan beliau hidup semasa era pemerintahan Bani Abbasiyyah, era tersebut juga merupakan era kegemilangan emas Islam. al-Battani merupakan antara ramai cendekiawan Islam yang membuat kajian dalam bidang astronomi. Beliau menggunakan pelbagai peralatan dalam penyelidikannya seperti paku bayang, jam matahari menegak dan melintang dan astrolab. Beliau juga mempunyai ukuran tersendiri dalam membina balai cerap iaitu berukuran lebih daripada satu meter untuk mendapatkan pemerhatian objek cakerawala yang tepat. Ukuran inilah yang digunakan al-Battani semasa berada di Antioch untuk mencerap fenomena gerhana matahari dan gerhana bulan ketika itu.

Bersesuaian dengan gelarannya sebagai Ptolemy Dunia Arab, antara kitab-kitab rujukannya ialah kitab-kitab yang dikarang oleh Ptolemy yang telah diterjemah dari Bahasa Yunani ke Bahasa Arab. Hasil kajiannya mendapati terdapat beberapa kesalahan yang wujud pada teori-teori yang dikarang cendekiawan Yunani itu. Satu kesilapan yang dikesannya ialah bilangan sebenar tahun suria. Selepas mengira semula tahun suria, kiraannya berjumlah 365 hari, 5 jam, 46 minit dan 24 saat. Dalam kiraan moden tahun suria, kiraan sebenar berjumlah 365 hari, 5 jam, 48 minit dan 22 saat.

Ini sekaligus menunjukkan pengiraannya tidaklah tersasar berbanding kiraan moden tahun suria. Sementara kiraan tahun suria Ptolemy pula ialah 365 hari, 5 jam, 55 minit dan 12 saat. Tambah mengagumkan, kiraannya itu dilihat jauh lebih tepat berbanding kiraan Nicholas Copernicus beberapa abad kemudian. Ada mengganggap perkara ini berlaku berikutan hampirnya al-Battani dengan kedudukan khatulistiwa di mana fenomena gerhana dan kedudukan matahari tidak diganggu oleh pembiasan atmosfera. Yang pasti, Copernicus menerusi bukunya De Revolutionibus Orbium Clestium meluahkan rasa terhutang budinya kepada al-Battani kerana berupaya membuat pengiraan kedudukan matahari jauh lebih tepat berbanding pengiraan yang dibuatnya.

Figure 1: Copernicus mengakui kiraan suria yang dibuat al-Battani jauh lebih baik berbanding kiraannya.

al-Battani juga merupakan orang pertama yang meneroka kedudukan azimut dan nadir serta bagaimana mengenalpasti kedudukannya di angkasaraya. Orientalis Itali Carlo Alfonso Nallino mendedahkan berikutan pemerhatian teliti yang dibuat beliau berkenaan gerhana bulan dan gerhana matahari, ia menjadi rujukan ramai cendekiawan astronomi termasuk ahli astronomi Inggeris Richard Dunthorne. Dunthorne menggunakan pemerhatian al-Battani sebagai rujukan untuk mengira kelajuan pergerakan bulan sepanjang satu abad. Sementara penulis dan ahli astronomi Perancis Jerome Lalande menyifatkan beliau sebagai pemimpin bidang astronomi di seluruh dunia.

Justeru tidak hairanlah nama dan hasil kerjanya dikumpulkan dalam satu buku yang dikarang Ibnu an-Nadim bertajuk Fihrist pada tahun 988 Masihi. Buku tersebut menceritakan serba sedikit karya-karya Bahasa Arab yang boleh didapati pada abad ke-10 Masihi dan memberi sedikit keterangan berkenaan pengarang karya-karya berkenaan. Fihrist menggambarkan al-Battani menerusi petikan ini:

Salah seorang daripada pencerap terkenal dan merupakan pemimpin disiplin ilmu geometri, teori dan amali astronomi serta astrologi. Beliau mengarang karyanya berkenaan astronomi dan turut disertakan dengan jadual mengandungi pemerhatiannya terhadap bulan dan matahari serta penerangan kedudukan mereka yang jauh lebih tepat berbanding Almagest yang dikarang oleh Ptolemy.

Di dalamnya, beliau menerangkan pergerakan orbit lima planet dengan pencerapan yang lebih baik, pencerapan yang lebih baik membolehkannya membuat pengiraan penting astronomi yang tepat. Sesetengah pencerapannya dinyatakan dalam jadual menunjukkan ia sudah dibuat sejak tahun 880 Masihi dan kemudiannya pada 900 Masihi.

Tiada siapa yang diketahui dalam Islam yang mencapai kesempurnaan sebegitu rupa dalam mencerap bintang-bintang dan mencatat pergerakan mereka. Selain itu, beliau juga menunjukkan minat dalam astrologi yang kemudiannya membawa penulisan buku astrologi: dalam kebanyakan karyanya dalam bidang itu, beliau turut mengulas Tetrabillos yang dihasilkan oleh Ptolemy.”

Antara kitab al-Battani yang terkenal ialah Kitab al-Zij atau Kitab Jadual Astronomi. Kitab ini dianggap mahakarya ulung yang dihasilkannya berkenaan teori astronomi Ptolemy dan Greco-Syria yang turut mempunyai pengaruh India-Parsi di dalamnya. Kitab ini turut mengandungi lakaran peralatan yang digunakan beliau untuk mengukur kuadran di langit.

Kitab ini diterjemah dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Latin dan Bahasa Sepanyol. Kini, manuskrip asal kitab berkenaan berada dalam simpanan Perpustakaan Vatican di Rome, Itali. Selain Kitab al-Zij, al-Battani turut menghasilkan Kitab al-Zij al-Sabi (kronologi catatan astronomi dan geografi), Arba Makalat (ulasan karya Tetrabillos yang berkisar tentang astrologi) dan Kitab fi Mikdar il Ittisalat (catatan empat suku bagi sebuah sfera).

Selain dikenali sebagai pakar astronomi, al-Battani turut dikenali menerusi sumbangannya dalam dunia matematik. Ini kerana kebanyakan kiraan matematik yang digunakan dilihat membantunya mendapatkan data pencerapan astronomi yang lebih tepat pada zamannya. Salah satu sumbangan pentingnya ialah penciptaan fungsi trigonometri. Selain menggunakan sinus yang dicipta sebelum ini, al-Battani turut mencipta kosinus, tangen dan kotangen. Tambahan pula, beliau juga turut menulis sebuah jadual yang tepat untuk kotangen dari sudut 0 hingga 90 darjah.

Pencipta dan jurutera Hungary menyifatkan dalam bahagian trigonometri, teori sinus, kosinus dan tangen merupakan warisan turun-temurun bangsa Arab. Ini kerana trigonometri dan pemahaman kedudukan bintang sangat penting dalam kehidupan umat Islam. Ini kerana menerusi dua komponen ini, umat Islam dapat mengetahui kedudukan arah kiblat Kaabah dari mana-mana lokasi mereka berada. Bagi para pelayar pula, ia amat berguna dalam menentukan kedudukan mereka semasa berlayar merentas lautan. Justeru tidak hairanlah, trigonometri ini merupakan asas kepada penciptaan sistem kedudukan global sejagat (GPS) hari ini.

Sebagai mengenang jasanya yang terlalu banyak kepada dunia ilmu, salah satu kawah bulan dinamakan Albategnius (nama Latin untuk al-Battani) oleh NASA. Nama itu sebenarnya diberi oleh ahli astronomi Itali Giovanni Riccioli. Selain Albategnius, kawah itu turut dinamakan kawah Ferdinand III sempena nama Maharaja Ferdinand III oleh Michael van Langren dan Didymus Mons (Johannes Hevelius). Dalam dunia sains fiksyen pula, salah satu nama kapal angkasa dalam Star Trek Voyager dinamakan USS Al-Batani.

Figure 2: Kubah Albategnius

RUJUKAN:

  1. Akhter, Areeha. (2019). This Muslim Astronomer Calculated the Length of the Solar Year Long Before the Use of Telescopes!. Mvslim.com. https://mvslim.com/this-muslim-astronomer-calculated-the-length-of-the-solar-year-long-before-the-use-of-telescopes/
  2. Abdullatif, Mohammad. (2011). Al-Battani Contributions in Astronomy and Mathematics. Contributions of Early Muslim Scientists to Engineering Studies and Related Sciences. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. https://www.researchgate.net/publication/260877427_Al-Battani_Contributions_in_Astronomy_and_Mathematics

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.